Kecantikan dan ketampanan wajah diimpikan oleh setiap manusia. Rendahnya diri kita andai punya fzikal yang tidak seayu ‘mereka’. Jiwa rasa gundah fikiran mula meminta sesuatu yang indah. Terkadang kita menjadi lemah dengan apa yang menimpa. Sedarkah kita, semua yang diberikan oleh- NYA itu adalah pemberian yang paling baik yang tidak dimiliki oleh setiap manusia. Musafir kita di sana nanti bukan di nilai dari wajah yang punya senyuman ayu yang mampu membuat sang lelaki menjadi layu tetapi akhlak yang padu disulami dengan iman yang satu yang akan dinilai oleh Allah.
Usai bertemu cinta di subuh hari, aku termenung di hamparan kain suci pantas kata berputar bermonolog dengan diri…
“Aku nie tak sekacak dan tak setampan lelaki yang menjadi idaman wanita. Bagaimanalah agaknya jodoh aku nanti.”
“Ish, apa yang aku fikirkan ini. Bukan sahaja ketampanan wajah yang menjadi idaman wanita tapi akhlak dan tanggungjawabku yang harus di jaga untuk menjelajah ke alam rumah tangga kelak. Apalah erti punya wajah yang tampan dan indah tetapi perangaiku tidak setampan wajahku. Ah…aku nakkan perempuan cantik tetapi peribadi aku masih kurang terdidik. Mungkin aku dapat wanita yang aku idamkan tetapi bersediakah aku nanti menahan rasa cemburu apabila melihat ada sahaja mata yang memerhati kecantikan isteriku nanti? Mampukah aku mendidik isteriku nanti bahawa kecantikan yang dia ada itu hanyalah untukku dan bukan untuk pandangan umum. Berhemahkah aku dalam menjadi seorang suami yang mendidik isteri dan anakku nanti.”
“Ramai kawan-kawanku terasa hina dengan apa yang diberikan kepada mereka. Wahai sahabat syukurilah dengan setiap kecantikan yang kita ada. Wajah kita tidak pernah diciptakan untuk menjadi hodoh tetapi wajah kita diciptakan hanya berbeza kecantikan sahaja! Jangan sesekali rasa merendah diri. Perbaiki akhlak dan diri pasti nanti wajah kita akan berseri. Jika tidak di mata manusia pasti akan di pandang tinggi oleh Ilahi.”
Aku hentikan monolog dengan diriku. Muhasabah pada jiwa yang resah. Lihat di luar sana, ramai manusia yang punya wajah yang cantik dan tampan tetapi buruk peribadi dan akhlaknya. Apalah guna punya wajah yang cantik seperti Neelofa tetapi bangga membuka lurah di bahagian dada. Memberi saham pada yang melihatnya! Apalah guna wajah setampan Aidil Zafuan andai kisah rumah tangganya bagai tiada kesudahannya. Kita doakanlah moga mereka bertemu petunjuk dari-NYA.
Jangan kita sesekali risau pada pertukaran wajah dan rupa yang berlaku pada diri kita. Apa yang penting hubungan kita dengan-NYA masih terjaga bahkan makin erat. Percayalah, apabila kita dekat dengan pencipta kita itu, segala yang hina pada pandangan manusia pasti akan mulia pada mata Pencipta kita. Yakinlah. Ketepikan pada mulut yang mengata. Teruskan menjalin cinta kita dengan-NYA. Bukankah Islam mengajar kita perkara yang mudah dan tidak membebankan kita. Kita punya masalah di bahagian muka? Mudah sahaja penawarnya..basahkan muka kita dengan wudhuk, hiasi wajah kita dengan bacaan doa penyeri muka bukan mantera tetapi bacaan doa!. Tidak perlu kita menghabiskan duit dengan membeli produk kecantikan yang berjenama yang mahal harganya dan banyak bahan kimia. Jika kita punya berat badan yang maksimum dan sering dicerca usah kuatir dan rasa terhina. Islam ada penawarnya. Dengan apa? Berpuasa! Inilah cara diet yang terbaik! Bukan sahaja mampu memberikan perubahan pada badan kita tetapi juga pada akhlak kita. Tidak perlu tertipu dengan segala ubat yang boleh menguruskan badan kita. Ia hanya sementara. Jika kita berhenti dari mengambilnya padah pula yang akan menimpa. Bahkan berubah berkali ganda bukan bertambah perkasa tetapi makin sengsara! Contohilah cara pemakanan nabi.
Solat fadhu dan sunat jadikan senaman harian kita. Wajib kita kerjakan! Kita terkadang rasa malu dengan apa yang ada pada diri tetapi sedarkah kita akan ada-NYA pencipta kita? Sedih bila jerawat atau ada kecacatan pada muka tetapi tidak pula menunaikan kewajipan kepada–NYA. Tidak pula kita malu dengan DIA. Kita meminta semuanya sempurna tapi sempurnakah tanggungjawab kita kepada DIA? Tanyalah iman anda.
Pada mawar di luar sana. Syukurilah dengan setiap kecantikan yang dimiliki. Tutupilah tubuhmu yang langsing itu dengan pakaian yang labuh. Jangan kau bangga menayang gunung megahmu pada mereka. Kau seolah membuka maruahmu untuk dijaja! Juga pada kumbang di luar sana. Jangan sesekali dikau bangga dengan punya wajah yang kacak dan tampan kerana itu merupakan ujian buatmu. Jangan kau gunakan wajah itu sebagai perayu peminta mahkota wanita. Jangan sesekali dikau merosakkannya! Sukakah dikau melihat jika ada di antara ahli keluargamu nanti dipersenda sebegitu rupa? Berubahlah masih belum terlambat. Terkadang maksiat yang kita lakukan itu menjadi titik mula bagi kita untuk mendekatkan diri dengan pencipta. Tetapi Cuma sekali! Sebagai pengajaran buat kita. Jangan sesekali kita mengulanginya.
Syukran jazilan pada Ukhti Hala kerana sudi meng‘kartun’ wajah saya. =). Moga enti terus istiqamah dalam perjuangan dakwahNYA. Ingatlah! Nilai pandangan manusia berbeza dengan pandangan Allah. Yakinlah kepada kurniaan kecantikan yang ada pada diri kita itu!