Pages

Thursday, August 9, 2012

Monolog di Hari Lahirku


Malam ini tepat jam 12 malam aku akan menyambut ulang tahun kelahiranku. Aku lahir tepat jam 12.38 pagi. Aku mula dipertanggungjawabkan oleh Ilahi tentang urusan duniawi. Lahirku di sambut dengan senyuman dan air mata. Terima kasih ayah. Terima kasih bonda. Usia anaknda mu kini semakin mencecah dewasa dan aku sedang mengembara ke alam remaja. ~Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi juga kehidupannya dengan tangisan dan akan di hantar ke pusara oleh tangisan~

Coretan ini ku tulis buat peringatan diriku sendiri. Entah kenapa, hatiku gundah resah dan gelisah. Ya Allah sempatkah aku sampai ke usia 22 tahun ini. Berdebar rasa dijiwa kerana sudah ramai kawanku yang pergi menemuiMU sebelum sampai usia mereka. Allah maha besar. Mati itu pasti. Ya Allah, andai  dikau masih menghidupkan aku selepas ini aku bersyukur Ya Allah namun, andai dikau menjemput ku sebelum sampai usiaku aku jua redha Ya Allah.

Tapi aku masih belum bersedia untuk bertemuMU Ya Allah. Iman ku masih nipis, amalan ku  masih tiada berlapis, yang ada cuma diriku yang kerdil ini sahaja penuh debu dosa dan noda. Wahai Allah, coretan ini ku tulis dalam dada yang penuh debar. Kerana aku takut dikau akan menjemputku sebelum aku mengakhiri coretan ini. Ya Allah, aku bersyukur kerana tarikh kelahiranku pada tahun ini telah jatuh pada malam ke 20 Ramadhan. Bulan yang penuh mulia. Aku redha Ya Allah andai nyawaku terputus pada bulan ini. Aku yakin pada bulan ini kerana semua pintu syurga telah dikau buka seluasnya dan pintu neraka dikau tutup serapat-rapatnya. Ya Allah, apabila dikau memanggilku kelak, ambillah aku dalam keadaaan Khusnul Khotimah dan sempatkanlah aku mengucapkan kalimah “ LA ILAHA ILLALLAH” bila mana sakaratulmaut menghampiri aku.

Hatiku gusar menanti detik 12.38 malam. Sempatkah aku untuk melihat dunia ini untuk esok. Mungkin malam ini aku tidur di sebuah katil yang empuk dan mungkin malam esok aku akan berada di sebuah rumah yang jauh tersorok. Berdindingkan papan dan berlantaikan tanah. Aku kembara berseorangan dan tubuhku akan dibaluti kain putih dan wangian ku pada ketika itu adalah setanggi kemenyan. Ya Allah, gentarnya ku rasa malam ini. Kesejukan menyeliputi tubuhku. Allah. Aku kini terkenang wajah keluarga tercinta. Mak, Abah, Adik, kawan-kawan. Maaf, andai kita tidak sempat lagi bersua untuk hari esok. Malam ini ku rasakan malam yang terlalu panjang.

Aku bersyukur kerana hari kelahiran ku ini tidak disambut dengan helai tawa dan suka ria. Cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan aku dan keluarga. Diriku diruntum sayu apabila bertubi pesanan ringkas dan ucapan di laman maya yang mendoakan kesejahteraan untuk hari lahirku ini. Terasa diri masih ada yang mengingati dan menyayangi. Terima kasih tidak terhingga aku ucapkan kepada kawan-kawan seperjuangan yang tidak lelah mendoakan kesejahteraan ku, menegur kekhilafanku dan senantiasa ada apabila aku berduka. Buat ‘si dia’ terima kasih kerana masih mengingati hari bermakna ini.. Walau kini kita telah menjadi teman dan kawan tapi ukhwah kita akan sentiasa berkekalan. 

Buat si dia jua ku hadiahkan ungkapan ini ~ manusia itu jika kita terlalu mencintainya maka kita akan merana, kita akan buat panduan dan hilang arah tuju kerana manusia hidupnya tidak akan kekal lama. Allah itu jika kita terlalu mencintaiaNYA pasti akan bahagia selamanya kerana Allah yang hanya kekal abadi~ . Buat teman semua janganlah kita terpisah bersama-samalah kita menuju ke jalan Allah. Andai aku lalai. Tegurlah, nasihatlah, berilah aku tunjuk ajar. Temanku pesan hukama ~Andai kita tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, janganlah kita menjadi lalat yang akan membusukkan ikan~. Bawalah aku ke jalan Ilahi andai landasanku sesat ke arah murka duniawi agar nanti roh dah jasadku selamat berkelana ke alam ukhrawi sampai ke destinasi firdausi yang kita rindui. Terima kasih teman. Allah pasti akan membalas jasa kalian. Ameen.

Tepat jam 9.10 malam aku menerima satu pesanan ringkas..

“Salam buat anaknda ku yang tercinta, selamat menyambut hari lahir yang ke 22. Semoga anaknda berjaya di dunia dan akhirat. Ameen.”

Pesanan ringkas itu menerjah masuk ke dalam peti telefon bimbitku. Pesanan dari seorang ibu..air mataku  mula berkaca.

“Ibu menjadi orang pertama mengucapkan selamat hari lahir kepada ku seperti tahun-tahun sebelumnya. Bermula dari aku berada di dalam rahim ibu sehinggalah aku dewasa. Ibu tak pernah melupakan tarikh keramat ini. Ya Allah kekalkanlah cintaku kepada ibu dan bapaku sebagaimana aku mencintaiMU dan sebagaimana mereka mencintaiku” Monolog aku pada diri. Terima kasih buat ayah dan bonda yang mendidik dengan penuh rasa bahagia. Walau didikan dari mereka berbeza tetapi jasa merekalah yang membawa aku ke medan kerjaya. Aku terkenang akan ungkapan dari HAMKA ~ Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Salahlah pendidikan orang tua yang hendak memperbuat anaknya seperti mereka juga~.

 “Wassalam, terima kasih bonda. Anaknda jauh dari matamu. Doakan kesejahteraan anaknda ye bonda? Bonda, mohon berjuta ampun dan maaf seandainya sepanjang hidup anaknda ada mengguriskan hati bonda. Anaknda senantiasa mendoakan keselamatan bonda, kemurahan rezeki bonda dan kesihatan tubuh badan. Bonda, redhakanlah hidup anaknda. Anaknda takut esok anaknda akan mengembara berseorangan tanpa dapat menatap wajah bonda buat kesekian kalinya. Bondaku sayang, halalkanlah segala apa yang telah bonda berikan. Wassalam.”

Pesanan itu ku balas. Aku ingin sesekali menalefon ibu tercinta tetapi terpaksa aku batalkan. Ku tahu malam ini ibu sedang bekerja. Ya Allah, sempatkanlah untukku esok menelefon dan berbicara dengan ibu. Ingin sekali aku melepas rindu pada ibu. Mudah-mudahan usiaku yang meningkat ini menjadi peringatan buatku bahawa maut sentiasa memburu aku dan moga diri ini pergi dalam keadaan yang baik dan beriman.

Aku termenung sendiri. Usiaku kini sudah bertambah dan umurku yang sebenarnya semakin berkurang. Wahai Allah, bersempena dengan hari lahirku ini aku bermohon padamu moga aku kembali ‘dilahirkan’ dengan hati, jiwa, dan rasa yang baru. Moga kelahiran ku yang baru ini akan terus menguatkan lagi cinta antara aku denganMU YA Allah. Moga ‘kelahiran’ yang baru ini, aku akan terhindar dari sebarang perkara yang mungkar dan maksiat. Allah, lindungilah hambamu ini.

Ya Allah, denai perjalananku semakin jauh, kaki ku ini seakan lumpuh..badanku mencari tempat untuk berteduh..aku semakin rapuh..terasa diri tidak lagi ampuh..entah mengapa, entah kenapa jiwaku kini semakin longlai, rasa ku ini semakin landai, Allah.. ku bermohon agar di hari lahirku ini aku ‘dilahirkan’ sebagai insan yang punya kekuatan, yang punya ketaqwaan kepada mu. Ya Allah, andai hatiku selama 21 tahun ini telah rosak, kotor dan penuh noda ku bermohon dikau gantikanlah aku dengan hati yang baru. Hati yang selalu merinduiMU Ya Allah. Ya Allah jadikanlah aku anak yang soleh dan matikanlah aku dalam keadaan Khusnul Khotimah dan bawalah jasad, jiwa, dan seluruh tubuhku ini ke syurgamu Ya Allah.”Ameen Ya Rabbal Alamin.

Lagu untukku dan untukmu teman...

8 comments:

  1. happy birthday. moga doa awak dimakbulkan :')

    ReplyDelete
  2. hepi belated bufday husairi hanafi =)

    ReplyDelete
  3. hepi belated besday =).. ~datang follow sini =)

    ReplyDelete
  4. slmt ulang tahun.. semoga thn baru ni memberi rahmat, baby doakan yg terbaik utk semuanya..

    ReplyDelete
  5. Selamat Menyambut Hari Lahir yg ke duapulohduo tahun~ Semoga hidup bro husairi lebih baik daripada sebelumnya.

    ReplyDelete
  6. jutaan terima kasih sya ucapkan kepada Sue Pelik, aniss, suke-suki,cikmisi leen, baby comel n nurAisyah atas ucapan dan doa. Moga Allah memberkati kalian. Teruskan bersama secangkir bicara.=)

    ReplyDelete
  7. selamat hari lahir..semoga panjang umur dan murah rezeki:) amin..

    ReplyDelete