Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya ~ Ada tiga
perkara. Siapa yang memilikinya pasti akan merasai kemanisan iman. Pertama,
Apabila Allah S.W.T dan rasul NYA lebih dikasihi selain keduanya. Kedua,
apabila dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah S.W.T. Ketiga, apabila dia
merasa benci untuk menjadi kufur, seperti bencinya dia dicampak ke dalam api.~
(Riwayat Bukhari)
Kehilangan sesuatu perkara yang kita sayang
begitu menyakitkan dan begitu memedihkan. Bila hilang apa yang kita ada baru
timbul rasa sesal di jiwa. Hati mati memburu cinta tapi hakikat jiwa penuh
dihujani murka dari DIA. Awas dengan sebuah angkara sahaja pasti akan
merosakkan raja dalam kerajaan diri kita. Andai raja sudah rosak apatah lagi
rakyat jelata iaitu seluruh tubuh badan kita.
Di sinilah bermula satu muhasabah diri yang
perlu kita hayati dan mesti untuk kita fahami. Mengapa berlaku perkara yang
tidak kita pinta dan mengapa DIA menguji dengan cinta yang sangat kita damba. Tapi
hakikat manusia, cinta pada DIA yang perlu diutama. Mana mungkin kita mendapat
cinta yang barakah andai kita memilih jalan yang salah. Mana mungkin kita akan
mendapat cinta yang bahagia jika kita menjadikan nafsu sebagai matlamat utama. Cinta
itu bahagia dan membahagiakan. Cinta itu satu perasaan sesama insan dan cinta
itu adalah fitrah. Agama kita mengajar panduan bercinta sesama insan. Perkara
yang fitrah sememangnya akan menjadi lumrah. Tapi ingat cinta yang dikurniakan
oleh Tuhan harus mempunyai panduan dan tujuan. Cinta bukan sebagai sekatan
tetapi sebagai kawalan.
Kawalan dan sekatan satu perkara yang
berbeza. Sekatan membawa makna kita menghalang terus dari berlaku sesuatu
perkara itu dan kawalan kita membenarkan perkara itu berlaku tetapi kita
mengawalnya mengikut garis tujuan yang diajar di dalam agama kita. Fitrah ini
ada pada makhluk yang bernama manusia. Sangat indah kerana dengan kuasa cinta
ini juga akan membawa kita ke neraka atau ke syurga. Jalan menuju ke sana sudah
ada di hadapan kita. Terpulang pada kita untuk memilihnya. Lakukanlah pemilihan
yang bijak. Bagaimana ya sekiranya kita dapat melihat keadaan di syurga dan
neraka? Saya yakin semua akan menolak cinta yang ada di dunia ini dan pasti
akan memilih syurga! Waktu mana kita akan melihat penentuan nasib kita nanti? Itulah
waktu saat kita menghadapi sakaratulmaut. Pada detik itu segala hijab kita
dibuka dan kita akan melihat ke mana kita akan berkelana sama ada ke syurga
atau neraka. Mohonlah moga kita sama-sama di tempat si syurga firdausi.
Rasa ingin dicintai mesti akan tiba pada
diri kita. Alam remaja alam penuh pancaraba. Segala neka ragam manusia kita
akan merasa pada alam ini. Remaja sifatnya memberontak, tenaganya genta
membuak, pancainderanya tegap dipasak. Tapi akan tewas dengan penangan cinta
yang hadir untuk memberi rasa dalam kehidupan remaja. Di sinilah perkara yang
harus kita faham iaitu berkenaan dengan kawalan dan sekatan. Mereka perlukan
kita, berilah nasihat sebanyak mungkin moga nanti akan mendatangkan natijah
yang terpimpin. Di Malaysia kajian menyatakan bahawa gadis Melayu kita
merupakan bangsa yang paling ramai kehilangan DARA. Maknanya apa? Mereka sudah
pernah melakukan hubungan kelamin sebelum berkahwin. Tanyalah pada mana-mana
lelaki adakah mereka hendak pada wanita yang sudah menjadi ‘bekas’ orang ini
atau ‘secondhand’ ini. Sudah semestinya jawapan mereka tidak. Tapi ingat pada
maksud kalam Allah ini ~Wanita yang jahat untuk lelaki yang jahat dan wanita
yang baik untuk lelaki yang baik~
Kadang-kadang Allah mengurniakan ujian
cinta pada kita untuk kita rasa. Rasa sakit, pedih, cemburu, marah, sedih,
rindu dan pelbagai lagi rasa mainan syaitan yang perlu kita terima. Inilah
ujian buat kita. Saat cinta mula berbunga antara kita dan dia, dan tika itu
juga racun layu menyirami cinta kita itu. Mengapa terjadi perpisahan saat hati
mula bertautan? Kenapa berlaku kesakitan saat jiwa mula ingin berkasihan? Nah,
inilah dia nikmat ujian dari Tuhan. Jika kita yakin dengan ketentuan Tuhan
pasti kita redha dan pasrah untuk melepaskan. Cinta itu bukan bererti
mengikat tapi melepaskan dan membebaskan. Takut akan nama kehilangan? Mengapa?
Mati itu pasti dan kehilangan itu juga akan kita hadapi jadi, perlu persiapkan
diri. Kegagalan dalam percintaan bukan bererti kita gagal dalam kehidupan
tetapi untuk memberi kejayaan pada kita supaya bersiap sedia bertemu dengan
Tuhan. Mampukah kita bertemu dengan NYA saat diri penuh maksiat, dosa dan
noda.? Tepuk dada tanya Iman anda.
Tiga penyesalan yang akan kita semua alami
andainya kita tidak benar menghayati cinta kurniaan Ilahi ini. Skop perbincangan
saya bukan hanya menjurus pada cinta sesama insan tetapi cinta kepada pencipta
dan kekasihnya juga perlu kita hayati bersama. Penyesalan pertama ialah penyesalan
saat sakaratulmaut, kedua penyesalan saat melihat sahabat handai kita
disiksa di neraka dan penyesalan ketiga penyesalan saat diperlihatkan catatan
buku amalan kita. Sesal pada ketika itu sudah tidak memberi apa-apa lagi.
Jadikanlah cinta nan lalu sebagai
kenangan kita bukan kenangan indah tetapi kenangan yang akan memberikan kita
natijah, natijah sebuah hayah sama ada ke syurga atau neraka. Jangan
sesekali kita menyesali perkara yang telah berlaku tetapi persiapkanlah diri
untuk melalui perkara yang menunggu. Teguhkan matlamat, betulkan niat dan
mantapkan ilmu akhirat supaya nanti tidak menyesal di kemudian hari. Alirkan kenangan
lalu bersama angin semangat untuk kita menjadi yang terbaik. Jangan takut atas
kesilapan lalu kerana lumrah manusia pasti akan melakukan kesilapan dan dosa.
Hanya Rasul sahaja yang terpelihara dari segala bencana ini. Hadis nabi ada menyebut “setiap anak adam itu bersalah tetapi sebaik-baik kesalahan
itu adalah BERTAUBAT.”
👍
ReplyDelete