Hari ini hangat dikatakan seorang pelajar
universiti yang begitu lantang mengutarakan pendapatnya. Beliau dihentam dari
segenap segi. Beliau seorang anak muda berketurunan India. Sebelum saya
meneruskan kata-kata ini. Saya berharap agar rakan-rakan pembaca tidak menyalah
tafsir apa yang ingin saya perkataan. Jadikanlah ia sebagai isi untuk kita
berfikir untuk sama-sama kita nilai dan bukalah pemikiran kita seluas-luasya. Saya
bukan hendak berbicara soal politik tanah air kerana saya tidak arif tentang
politik di Malaysia ini. Saya juga tidak mahu berbicara dengan emosi kerana
saya takut isi yang saya ingin sampaikan kepada pembaca nanti menjadi lari dan
terhenti.
Heboh video ini di Youtube, Facebook,
Twitter dan laman sosial yang lain yang menyatakan kebiadaban seorang mahasiswi
wanita ini. Beliau berbicara soal kepentingan mahasiswa di garap dengan fakta
dan pemikiran beliau. Saya yakin beliau banyak berfikir dan membaca dan tidak
menyerap sebarang fahaman tanpa berfikir terlebih dahulu. Benar negara kita
adalah negara demokrasi dan kita bebas bersuara tapi ingat bukan bebas ‘sepenuhnya’.
Gadis India ini antara mahasiswi yang berjaya bangun dari keramaian yang hanya
tahu mengangguk dan bertepuk.
Namun, apa yang malang adalah apabila
seorang wanita yang lebih berusia daripada gadis ini terus memotong dan
mencatas hujah dan percakapannya. Adilkah begitu? Di mana hak beliau sebagai
seorang mahasiswa untuk bersuara. Mikrofonnya di rampas dan percakapan beliau dihentikan.
Kali ini saya melihat hujah antara ilmu dan emosi. Wanita yang menjadi
pengerusi itu hanya bercakap sekadar emosi semata-mata. Dia meminta untuk di
dengar tetapi dia sendiri tidak mahu mendengar, dia meminta untuk dihormati
tetapi dia sendiri tidak tahu menghormati. Saya yakin dia bukan bangsa Melayu
kerana bangsa Melayu ini penuh adab dan kesopanannya dan helahnya juga tinggi
setinggi bintang di angkasa.
Apa yang lebih mendukacitakan saya adalah,
keegoan seorang wanita yang merasakan bahawa dia berpendidikan tinggi. Beza antara
A level dan Degree. Alahai sempitnya pemikiran seorang presiden ini. Jika dibandingkan
dengan sijil memanglah dia hebat tetapi jika dibandingkan dengan pemikiran
gadis India itu jauh lebih hebat. Ini pandangan saya. Siapa kita untuk menghina
orang dikhalayak ramai dan menjatuhkan maruahnya dengan sesuka hati ini. Hanya kerana
kita punya jawatan dan pangkat kita bebas melakukannya? Tidak dan tidak kerana
mengikut hukum alam apa yang berlaku tidak akan kekal lama. Cuaca ada hujan,
ada panasnya air laut juga ada pasang ada surutnya dan begitu juga kehidupan
bukan selamanya kita berada di atas. Ingat!.
Ada apa dengan pelajaran tinggi jika ilmu
komunikasi dan menghormati tidak beliau adaptasi di dalam kehidupan. Bahkan
mempersoalkan gadis itu mengapa beliau perlu belajar di Universiti ini dan
mengapa beliau masih perlu tinggal di negara ini. Angkuh dan penuh sombong
wanita itu berkata. Di mana datangnya pemimpin jika tidak dari seorang
warganegara? Maaf saya tidak menggunakan perkataan RAKYAT kerana rakyat itu
bermaksud hamba. Jiwa yang masih rasa dijajah. Sebenarnya kita bukan rakyat
tetapi adalah WARGANEGARA. Rakyat bererti hamba yang abdi yang sentiasa
mengikut telunjuk orang atasan. Kita sudah merdeka tetapi jiwa kita masih
belum. Siapa sebenarnya yang berkuasa di dalam sebuah negara? Yang berkuasa
adalah WARGANEGARA. Mereka memilih kerajaan untuk memerintah dan kuasa ditangan
mereka. Warganegara adalah raja. Bukan warganegara yang berkhidmat kepada
kerajaan tetapi kerajaan yang harus berkhidmat kepada warganegara. Sudah menjadi
tanggungjawab mereka untuk menyediakan prasarana dan kemudahan kepada kita. Itu
memang kerja dan amanah mereka. Bukan untuk dikaut harta yang ada di dalam
negara. Mengapa perlu diungkit? Mengapa perlu dimasukkan di dalam bait lagu? Mengapa
perlu diminta untuk dihargai? Itu sememangnya kerja anda dan itu sememangnya
amanah dari kami untuk anda yang perlu dilaksanakan.
Ada yang menyatakan kita harus bersyukur
kerana di bumi Tanah Tumpah kita ini aman dan damai tiada langsung peperangan. Baik,
saya nyatakan di sini amankah kita sekiranya kes bunuh, rogol, rompak, samun
dan jenayah yang lain berlaku setiap hari. Tidak percaya dengan kata-kata ini lihat
di Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan TV 1 bahkan turut ada rancangan khas
seperti 999. Amankah kita sebenarnya? Kes ini meningkat saban tahun tetapi yang
ditangkap bukan penjenayah, golongan
agama, pelajar yang inginkan haknya, golongan ilmuan dan cerdik pandai yang
mendapat hukumannya. Penjenayah semakin ramai dan terus ramai. Soal akhlak
apatah lagi, kita mengalami kebobrokan dan kebejatan yang amat serius. Kes pembuangan
bayi hampir setiap hari. Itukah bangsa yang merdeka.
Natijah daripada memperbanyakkan program dansa
daripada program agama. Pada fahaman kita program agama mesti dikaitkan dengan
politik. Itu salah. Banyak lagi ilmu yang diperbincangkan dan salah satunya ada
berkaitan dengan politik. Mengapa kita terlalu jumud dan takut. Kita buta
menilai hak dan kita celik melihat batil. Mahukan pangkat dan nama, perkara itu
kita pandang sepi sahaja. Inilah kehebatan kita. Hanya tahu menyalak apabila
isu Kalimah Allah dan penghinaan Rasul dimainkan tetapi apakah sebenarnya
tujuan kita. Adakah kita sebenar-benarnya faham tentang agama kita atau sekadar
ikutan sahaja. Marilah kita fikirkan bersama. Islam itu cara hidup kita. Tiada langsung
lari dengan agama. Mengapa kita tidak mahu bersama dengan orang yang punya ilmu
agama mengapa kita lebih suka dengan orang yang punya nama?
Mari kita renung maksud mahasiswa. Mahasiswa
terdiri daripada dua perkataan iaitu maha yang bermaksud tinggi serta siswa bermaksud
orang yang menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Mahasiswa dicorak dan
diwarnakan oleh suasana universiti yang didokongi oleh ahli-ahli akademik. Jika
murni dan betul suasana yang dicorakkan itu, serta tepat landasan intelektualnya,
maka baiklah mahasiswa yang dihasilkan, dan begitu pula sebalikknya. Sejak
merdeka, bilangan siswazah universiti tempatan dan siswazah yang menamatkan
pengajian di luar negeri bertambah pesat sekali. Kepesatan tersebut seiring
pula dengan kepesatan ekonomi Malaysia yang secara purata menunjukkan kadar
pertumbuhan yang tinggi. Dalam suasana begini, keperluan untuk menyediakan
tenaga kerja menjadi isu kritikal yang penting, dan tanggungjawab besar itu
dibebankan kepada universiti tempatan. Oleh itu para mahasiswa pada masa kini
haruslah mempersiapkan diri mereka supaya mampu berdepan dengan pasaran kerja
yang semakin mencabar.
Mahasiswa telah berada di dalam suasana keilmuan dan akademik dalam
kehidupan mereka dan telah menjadikan mereka golongan intelektual muda yang
mampu disandarkan harapan. Peranan mahasiswa di dalam bidang keilmuan haruslah
dipandang tinggi dan mendapat perhatian semua pihak kerana mahasiswa memainkan
peranan yang amat penting terhadap pembangunan bangsa dan negara. Walau
bagaimanapun, hari ini telah dilihat semakin lesu dan hilang taringnya kerana
kegagalan mereka menghayati dan menjiwai peranan mahasiswa yang sebenar. Berada
di alam universiti bukanlah masa untuk bersenang lenang setelah berjaya di
dalam peperiksaan awam tetapi, masih banyak peranan dan tanggungjawab yang
perlu dipikul oleh mahasiswa kini. Mahasiswa bukan sahaja perlu untuk
menghabiskan pembelajaran mereka di universiti bahkan perlu mempersiapkan diri
untuk ke alam kerjaya mereka di masa hadapan.
Ada
yang berpendapat bahawa sekiranya mahasiswa tidak suka dengan sistem pendidikan
atau pentadbiran negara, sila keluar dari negara ini. Alahai begitu mudah
memberi hukuman. Bukan tidak suka tetapi tidak bersetuju dengan apa yang ada. Bukan
menentang tetapi hanya mempunyai perbezaan pandangan sahaja. Salahkan jika
menyatakan pandangan. Konsepya mudah di dalam keluarga, kadang-kadang anak-anak
ada menegur ibu atau ayahnya tentang sesuatu perkara yang dia tidak suka dan
ibu bapa haruslah pandai mendidik anak-anak itu dan membuat sedikit perubahan
supaya mendatangkan kembali sifat positif kepada anak-anak mereka. Kita selalu
meminta untuk didengar tetapi adakah kita juga selalu mendengar apa yang orang
kata?. Wajarkah apabila anak itu menegur ayah dan ibunya terus dia dihalau dari
rumah.Ini Zalim. Bukan soal biadap bukan soal anak derhaka tetapi persoalan
berkaitan dengan kesalahan.
Sebagai seorang manusia yang waras
kita fikirkanlah sejenak apa yang sudah kita dapat. Bukan tidak mensyukuri
tetapi minta untuk diberikan dengan seadil-adilnya tiada langsung berkaitan
kaya untuk kroni. Salam sayang dari saya. Saya tutup bicara ini dengan memetik
kata-kata dari Buya Hamka, “Kalau hidup sekadar hidup, khinzir di hutan juga
hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja.”
Sedikit
ole-ole untuk para pembaca.
salam ukhuwah dari bunda
ReplyDelete