Jodoh akan tiba pada tepat masa, siapa
ketika dan di mana. Ia bicara hakikat bukan sekadar pengubat. Yakinlah pada
urusan Allah ini. Jodoh itu akan hadir pada kita semua. Teruskan menanti dan
mengharap pada si pemberi Jodoh yakni Allah. Persiapkanlah diri untuk jodoh
kita nanti agar kita menjadi pembimbing dan pendampingnya.
Jatuh cinta pada seseorang itu, fitrah. Jatuh
cinta kerana bernafsu pada seseorang itu, mazmumah dan jatuh cinta pada
seseorang untuk menjadikannya isteri atau suami kepada kita itu, adalah amanah!
Perasaan ini akan hadir bila kita menginjak usia remaja. Segala kawalan dan pengetahuan
perlu ada di dalam habitat cinta ini. Andai kita gugur untuk mentafsirkannya
maka akan membawa bencana pada diri kita dan dia. Hakikat cinta itu suci dan ia
bermula di syurga. Kisah antara Nabi Allah Adam dan Hawa. Namun, cinta kita
pada hari ini, banyak tersasar dan dan lari dari istilah suci itu.
Apa yang dilarang menjadi ikutan dan apa
yang disuruh menjadi ejekan. Penangan cinta membuka marahbahaya kita. Saya yakin,
ramai di antara kita yang pernah bercinta atau sedang atau akan atau telah
bercinta. Saya akui saya juga pernah. Penangannya sungguh bahaya dan amat
bahaya. Benar awalnya manis akhirnya sakit seperti hempedu yang terhiris. Ramai
di antara kita yang tidak sedar ketika mana saat bahagia bersama pasangan dan
adakah kita terfikir selamanya ia akan bahagia. Hakikat kita lupa si pemberi
cinta yakni Allah. Apabila terjadi sesuatu perkara di luar jangkaan kita, kita
seakan pasrah dan menyalahkan takdir. Takdir yang membuatkan kita menjadi
begini. Takdir yang menjadi pemutus antara kita dan dia. Bukan takdir yang
salah tetapi kita yang salah mentadbir hati kita. Saya ulangi sebenarnya kita
yang salah mentadbir hati kita.
Pahitnya ujian itu bukan menjadi racun
dalam kehidupan kita tetapi sebaliknya ia menjadi penawar pada bisa yang kita
rasa. Sebagai contoh, apabila kita sakit, kita memerlukan ubat. Ubat itu pahit
bukan? Tetapi pahit itulah yang akan melegakan kita. (Cuma nasihat saya jangan
kita terlalu bergantung pada ubat kerana banyak kandungan dadah di situ. Barat
mencipta ubat yang boleh melemahkan antibodi kita dan menyebabkan kita ketagih
pada ubat. Ini hanyalah perumpamaan dari saya). Kesakitan akibat putus cinta
boleh menyebabkan kita lemah. Tetapi itu juga akan menjadikan kita seorang yang
tabah dan seorang yang akan berubah. Benar. Kita belum terlambat untuk berubah.
Berubah menjadi seorang yang lebih matang dan tahu tentang hidup dan kehidupan.
Lakukan persediaan untuk masa hadapan kita nanti.
Pesan saya, usah kita menyalahkan bahan
ujian dari Tuhan itu tetapi berterima kasih lah kepadanya. Agak sukar tetapi,
andai tidak mampu kirimkanlah doa bahagia buat dia. Jangan rasa benci mahupun
iri hati. Bahagiakanlah diri kita apabila melihat dia bahagia. Bukan tiada
jodoh dengan dia tetapi jodoh itu belum sampai. Bersabarlah. Allah itu yang
memberi hati kepada kita. Bagi yang sedang berbahagia dengan pasangan
masing-masing. Jagalah dan peliharalah segala apa yang menjadi larangan di
dalam percintaan. Andai mampu kita menjauhi dari zina mata, hati, kaki dan
tangan. Insya Allah. Allah pasti akan redha tetapi andai kita gagal menjaganya
pasti Allah jua akan murka.
Masa bukan menentukan pengakhiran tetapi
permulaan itu yang akan menentukan pengakhiran. Iftitah penentu natijah. Proses memilih jodoh
kita itu yang penting. Jika diawalnya kita sudah melalui perkara-perkara yang
mendekatkan kita dengan maksiat bersama pasangan kita itu pasti diakhir nanti
kita akan memperolehi hidup yang tiada berkat. Ingat dia yang akan menjadi
suami dan ayah pada anak kita nanti dan dia juga akan menjadi ibu dan isteri
kita nanti. Ketahuilah olehmu wahai putera puteri amanah Ilahi, jangan sesekali
kau tukar fitrah itu menjadi fitnah. Ingat taat lebih mudah daripada melakukan
maksiat, jika taat itu pedih, sesungguhnya maksiat itu lebih pedih.
Doa dan istikharah pengikat pada datangnya
jodoh kita. Kita masih tidak tahu siapa jodoh kita tetapi kita boleh berdoa
untuk jodoh yang tidak diketahui oleh kita itu. Teruskanlah berdoa, biar dia
tidak tahu kerana kita punya DIA yang maha tahu. “Ya Allah, kurniakanlah aku
jodoh yang baik, jodoh yang soleh/solehah.” Istikarah sahaja tidak mencukupi
harus diistiqamah dengan doa setiap hari. Tapi apa yang penting perubahan diri
kita. Bagaimana nanti jika jodoh kita itu tahu kita orang yang tidak baik. Selagi
ada masa berubahlah.
Pimpinan tangan ketika bercinta bukan
syarat utama. Bergambar mesra berdua (couple) juga bukan tuntutan agama. Wahai
sahabat, tidakkah kita kasihankan pada jodoh kita nanti jika dia tahu dan dia
melihat jodohnya itu bergambar mesra bersama pasangan yang dia sendiri tidak
tahu pengakhirannya. Andai dosa itu berbau pasti tidak ada orang yang akan
mendekati kita. Mari kita ambil contoh makanan. Kita semestinya mahukan makanan
yang enak dan tidak terusik oleh sesiapa. Tetapi sanggupkah kita menghabiskan
makanan kita itu andai ada kawan kita yang sudah merosakkannya dengan mencampurkan
bahan perisa atau rasa yang kita tidak gemari.?
Bersabarlah dengan urusan Allah ini kerana
ia pasti akan hadir walau kita tidak sedari. ~Wa ila Rabbika far ghob~.
Utamakan amanah kita nanti akan kita iring dengan fitrah cinta yang suci. Jangan
kita sibuk memikirkan siapa jodoh kita tetapi sibuklah dengan berfikir apa
persiapan kita untuk bakal jodoh kita. Mudah-mudahan bicara kali ini menjadi nasihat
buat diri saya terutamanya dan kepada pembaca yang budiman sekalian.~
Secangkirbicara
betul tu .. Allah da tentukan siapa jodoh kita ..
ReplyDeletesokong sgt2..
ReplyDelete. speechless.... entry "baek punya"..
ReplyDeletetuan admin, mintak izin curik pict di atas ea.. TQ