Pages

Wednesday, April 10, 2013

TUDUNG LABUH @ FREE HAIR = CANTIK



“Cantik itu subjektif”. Itulah ayat yang biasa kita dengar dan selalu kita katakan. Biasanya kecantikan ini dinisbahkan kepada golongan hawa. Walau bagaimanapun ada juga segelintir golongan adam yang tidak selesa dengan panggilan wajah yang kacak tetapi mereka bahagia dengan ungkapan rupa yang cantik. Cantik dan kecantikan itulah satu kurniaan dari Tuhan. keindahan paras rupa yang ada pada diri seseorang akan menjadi daya tarikan kepadanya dan menjadi aset yang bernilai bagi kita pada pandangan yang pertama. Siapa yang tidak suka apabila dipuji? Siapa yang tidak suka apabila ada sahabat yang mengatakan kita cantik dan indah. Senyuman kita mampu menawan sang penjantan.

Ramai di antara kita yang mampu tersenyum apabila dipuji dengan kecantikan yang pada wajah kita tetapi tidak ramai yang mampu bersyukur apabila dikeji dengan perbezaan kecantikan yang ada pada kita dan sahabat kita. Jangan sekali-kali kita katakan bahawa kita hodoh atau tidak cantik! Kita bukan hodoh tetapi berbeza kecantikan! Kita gusar dengan kedutan yang ada di muka, jerawat yang tumbuh melata tetapi kita lupa asbab yang menyebabkan berlaku sedemikian rupa. Bagaimana kehidupan seharian kita? Bagaimana pemakanan kita? Dan bagaimana dengan solat kita? Hendakkan kecantikan tetapi segala kewajipan kita tinggalkan. Adilkah kita.

Bagi para wanita yang dikurniakan rupa yang cantik dan menawan berbahagialah olehmu akan keindahan dari Tuhan ini. Namun harus diingat, cantik itu ujian dari Tuhan bukan sebagai bahan untuk kau jadikan makanan dalam kehidupan. Ia hanya sementara dan rupa yang kau ada itu pasti nanti akan menjadi makanan ulat dan kala jengking sahaja andai dikau tidak menghargainya dengan sebaik mungkin. Hari ini, wajah kita mudah kita paparkan di laman maya. Rasa bangga menyelimuti diri tatkala ramai yang memuji. Ada yang berkata rupa kita seperti artis dan model-model terkenal di dunia tetapi mereka juga sama dengan kita. Cuba lihat wajah mereka tanpa make-up. Itu bukan cantik itu plastik yang hanya menutup kecantikan yang sebenar. Wahai wanita, untuk apa sebenarnya kita menayangkan rupa kita di laman maya itu. Apa sebenarnya niat dan tujuan kita? Jika sengaja hendakkan pujian tinggalkanlah, jika terlampau terdesak mencari pasangan bersabarlah! Jika ingin menunjukkan kecantikan kita ingatlah masih ramai yang lebih cantik dari kita!

Bertudung labuh tidak semestinya baik” Mungkin ada yang pernah mendengar ungkapan ini dan mungkin ada yang hari ini baru mendengarnya. Bukan tudung itu yang tidak baik tetapi si pemakai itu yang kurang terdidik! Jika dia tahu tudung itu mampu menutupi keburukan akhaknya pasti dia akan cuba berusaha menjadi baik. Memang ada yang bertudung labuh tetapi mulutnya mengalahkan murai di hutan. Semua yang dihukumnya berdosa, menjaja keaiban orang sini dan sana dan lupa tentang keaiban diri sendiri yang terbuka luas. Lebih baik hanya memakai tudung seperti Yuna atau Najwa Latiff sahaja. Bagi yang terasa silakan terasa kerana diri yang tidak sempurna ini hanya menegur dan tidak mahu tudung yang indah itu menjadi fitnah buat wanita solehah.

Itu hanya segelintir sahaja tetapi banyak yang baik dari yang tidak baik. Labuhnya tudung itu mencirikan mereka solehah. Indahnya pakaian mereka itu menandakan mereka tahu hukum Allah. Jujur saya katakan, saya suka melihat wanita yang memakai tudung labuh atau tudung bulat. Tidak perlu berpurdah jika sama sahaja ingin menayangkan kecantikan muka. Make-up tebal juga dan kening ditrim nipis. Cantik bukan wanita yang bertudung labuh ini. Sopannya dia, kata-katanya lembut, akhlaknya terjaga dan santunnya menghormati insan. Apa yang penting hubungannya sesama insan terjaga. Biar dia mahal dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Biar dia dianggap sombong oleh lelaki yang ingin mendekatinya kerana dia tahu dia hanya untuk suaminya. Biar dia dihukum haram oleh lelaki lain kerana nanti dia akan menjadi halal kepada lelaki yang akan bergelar suaminya nanti. Ingatlah pemakaian akan merubah perlakuan kita.

Namun bagi golongan ini usahlah kita terperangkap dengan perasaan sendiri. Cinta itu sebenarnya fitrah tetapi usah kita cemari dengan fitnah. Usahlah kita ternanti-nanti siapa bakal imam kita tetapi persiapkanlah diri kita untuk menjadi makmum mereka nanti yang belum kita ketahui. Yakinlah dengan rencana Ilahi kerana DIA maha mengetahui. Tidak perlu meletakkan status-status di laman maya tentang siapa jodoh kita kerana ia sebenarnya sudah ditetapkan sebelum kita lahir lagi bahkan sebelum wujudnya Facebook lagi. Tidak perlulah menggunakan nama yang menjengkilkan mata dan meloyakan tekak rakan kita apabila kita menggunakan nama facebook seperti ~IMAMMU, MAKMUMMU, IMAMKU, MAKMUMKU. Lebih baik kita gunakan nama sendiri yang diberikan oleh ibu dan ayah kita jika hendak komersial letak sahaja nama seperti ~ALLAHYARHAM atau ALLAHYARHAMAH ataupun calon jenazah atau Hamba Allah. Jangan kita kelihatan terdesak mencari pasangan hidup selagi mana kita masih belum bersedia melayari bahtera kehidupan.

Bagaimana dengan wanita yang lebih selesa dengan gaya free hair? Adakah mereka tidak baik? Siapa kita untuk menghukum mereka untuk masuk ke dalam api neraka. Ingat! adakah nenek moyang kita atau ahli keluarga kita dahulunya sudah bertudung? Kalau bertudung cara yang bagaimana. Adakah sekadar menutup di bahagian sanggul dan menampakkan jambul atau sebaliknya? Mari kita mengingat sejarah, pemakaian tudung di Malaysia bermula pada tahun 1970an dan 1980an. Pada ketika ini telah berlaku era kebangkitan gerakan dakwah Islam di Malaysia. Gerakan-gerakan Islam ini telah berjaya mempengaruhi masyarakat di Malaysia khususnya pelajar-pelajar universiti. Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pencetus kepada perubahan pemakaian masyarakat ke arah Islamik. Gerakan Islam seperti PAS, ABIM, AL-ARQAM dan TABLIGH merupakan gerakan yang berada pada zaman kebangkitan Islam di Malaysia.

Itu sejarah dahulu tetapi gerakan ini yang mengubah corak kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. Benar wanita itu tidak wajib memakai tudung tetapi ingat wanita itu wajib menutup aurat. Menutup aurat bukan membaluti aurat. Bagi mereka yang lebih sukakan free hair ini, ingatlah bahawa logik jika sebelum tahun 1970 itu kita tidak bertudung tetapi jika hari ini kita masih lagi sama fikir-fikirkanlah. Hukum menutup aurat ini sudah terkandung di dalam Al-Quran. Kita tahu bahawa hukum menutup aurat itu wajib tetapi kita sengaja malas ambil tahu. Wahai wanita, memang cantik rambut yang anda tayangkan itu tetapi lebih cantik hanya ditayangkan untuk muhrim anda sahaja. Simpanlah ia sebaik mungkin. Kasihanilah kami kaum adam ini. Anda melabur saham kami turut sekali merasainya. Mari kita ambil contoh kita membeli makanan yang berbungkus. Jika kita hendak membawa ke rumah mesti kita bungkus dengan baik dan kemas takut nanti dihurung lalat atau terkena habuk di jalanan. Begitu jugalah dengan badan kita. Mestilah dijaga dengan baik. Jika kita biar ia terdedah sini dan sana bukankah akan membangkitkan nafsu lalat-lalat tahi di luar sana?

Saya tahu anda masih menyalahkan orang yang bertudung kerana trauma dengan golongan ini. Tetapi ingatlah tidak semua mereka begitu. Biarlah mulut mereka. Jika mereka tahu erti dakwah sudah pasti mereka akan mendekati anda dan jika mereka tahu erti mawaddah sudah tentu mereka akan mencintai anda. Jika mereka tahu istilah tarbiah sudah pasti mereka akan mendidik anda menjadi yang solehah. Wahai wanita yang ku sayang kerana Allah. Kita masih ada masa untuk berubah. Ingatlah kita sebenarnya indah kerana kita diciptakan oleh Tuhan yang Maha Indah. Jadilah cantik di mata Allah

p/s: sekadar perkongsian dari insan yang penuh dosa. Moga ada butiran mutiara untuk peringatan bersama. Mohon doa dari sahabat semua moga penulis memperoleh kejayaan di duniawi dan ukhrawi dan dimurahkan rezeki. Salam pilihan raya. Pilihlah yang mampu membawa agama di dalam kepimpinannya. Jangan kita berkecuali dari memilih kerana nanti akan dipersoalkan di akhirat kelak jika kita memilih insan yang salah. Mudah-mudahan kita selamat dari bala bencana Allah. Aku cinta Malaysia

TARIKH NOTIS PILIHANRAYA : JUMAAT
TARIKH PENAMAAN CALON : 20 APRIL 2013 (SABTU)
TARIKH UNDI AWAL : 30 APRIL 2013 (SELASA)
TARIKH UNDI : 5 MAY 2013 (AHAD)
sumber :SPR

2 comments:

  1. Assalammu'alaikum., berkunjung. Membaca soalan menutup aurat selalu membuat saya senang. Makin banyak orang yang faham akan Islam dan aturan-aturannya, jadi kita tidak hanya mengaku Islam saja tapi berlaku seperti umat lain. Di Indonesia pun beragam macam jenis penutup aurat ini, bahkan sekarang sedang trend hijabis. Mudah-mudahan perlahan mereka akan mengerti kalau menggunakan jilbab yang lebar dan pakaian yang longgar adalah yang dikehendaki Allah.. Salam,.

    ReplyDelete
  2. Wasalam..benar sahabat..terima kasih atas kunjungan anda. Mari sama-sama kita doakan mudah-mudahan kita sentiasa berada dibawah rahmat Allah.=)

    ReplyDelete