Alhamdulillah semalam saya menyambut hari
kebebasan setelah sekian lama berjuang dalam medan ilmu. Selesai untuk semester
ini. Masih berbaki 2 semester lagi untuk beralih ke bidang kerjaya. Di harap
para pembaca dapat mendoakan kejayaan saya di dunia dan akhirat. Ameen. Semalam
juga mencoret satu cerita indah buat diri saya yang penuh dosa ini.
Allah mentakdirkan saya untuk
menghadiri satu majlis ilmu yang di sampaikan oleh Syeikh Nuruddin Al-Banjari.
Pertemuan buat kesekian kalinya. Syukur ya Allah di atas pengisian ini dan aku
yang Dikau pilih untuk ke taman syurga.
Banyak mesej yang di sampaikan oleh Syeikh,
santai dan penuh bermakna buat diri yang masih dan selalu melakukan
dosa. Astaghfirullah. Layakkah kita bergelar hamba kepada Allah sekiranya kita
senantiasa mendustai segala arahan dan suruhan Tuan kita yakni Allah. Hamba itu
taat sifatnya. Tapi taatkah kita kepada Allah? Hamba itu patuh sifatnya tetapi
patuhkah kita dengan arahan dan larangan dari Allah? Astagfirullah.
Antara yang menarik perhatian saya
pada isi penyampaian beliau adalah berkenaan dengan kuasa sebuah zikir yakni Istighfar.
Allahu Akbar, begitu cetek ilmu kita kerana zikir yang selalu kita amalkan
itu bukan sahaja untuk mendapat keampunan dari Allah tetapi juga turut menjadi
pembuka rezeki kepada kita dan penawar apabila kita berada dalam duka.
Istighfar itu membawa maksud “Aku bermohon ampunan kepada Allah yang Maha Agung”.
Perbanyakkanlah Istighfar di dalam hidup kita. Bukan hanya sekali sehari tetapi
berkali-kali. Kisah pengajaran terlalu banyak tentang orang yang mengamalkan
zikir ini. Mari kita ambil ibrah di atas segala kurniaan nikmat yang diberikan
Tuhan. Rezeki itu datang dengan hati yang suci, bagaimana mendapatkan hati yang
suci? Kembalilah meminta keampunan dari Ilahi.
“Barang siapa
memperbanyak Istighfar, maka akan diberi kelapangan dalam setiap kesusahan dan
jalan keluar dari kesempitan. Dan dianugerahi rezeki dari jalan yang tiada
disangka-sangka. (HR Abu Dawud dan Nasa’i)
Mari sama-sama kita perbanyakan zikir
pada Ilahi untuk menghilangkan segala daki yang ada di dalam hati yang hampir
mati. Saya tinggalkan anda dengan kuasa Istighfar yang harus kita ambil pengajaran
buat kenikmatan dalam hidup kita. Kemudian, syeikh juga turut memberi
peringatan tentang bahagianya kita apabila berada di rumah Allah yakni masjid
dan surau. Kita boleh berjemaah dengan sahabat handai di tempat makan dan
sebagainya tetapi kita susah untuk berjemaah di masjid bahkan ‘liat’ untuk
menggerakkan kaki ke masjid. Mujurlah ada solat Jumaat jika tidak mungkin sukar
dan payah untuk melangkahkan kaki kita ke Rumah Allah. Lucu apabila Syeikh
secara sinis menyatakan bahawa ada beberapa jenis golongan yang akrab dengan
masjid ini. Golongan pertama yang sentiasa ada di masjid setiap kali solat lima
waktu. Golongan kedua adalah yang hanya mampu ke masjid sekali sahaja dalam
seminggu yakni ketika Solat Jumaat. Golongan ketiga pula adalah golongan yang
mampu ke masjid sekali sahaja dalam setahun yakni ketika Solat Sunat Hari Raya
Aidilfitri atau ketika Solat Sunat Hari Raya Aidiladha. Golongan yang terakhir
pula ialah golongan yang sekali sahaja dalam seumur hidupnya ke masjid yakni
ketika dia disembahyangkan (menjadi jenazah).
Pengajarannya. Jadikanlah diri kita
mencintai masjid sebelum masjid menjadi tempat untuk kita disembahyangkan.
Mungkin pembaca masih tertanya-tanya apa kaitannya dengan tajuk cerita saya.
Sabar dahulu. Akan saya terangkan di sini. Usai mendengar ceramah dari Syeikh,
saya bergegas ke hadapan saf imam untuk mengambil peluang untuk bersalam. Ramai
jemaah yang ingin mengambil peluang untuk bersalam dengan beliau termasuklah
saya. Alhamdulillah, Allah memberi peluang itu. Kemudian para jemaah meneruskan
sola Isyak. Saf sudah dirapatkan. Saya mengundur ke saf yang pertama malangnya,
sudah penuh dan tiada ruang. Teringat pada zaman Rasulullah, para sahabat
berebut-rebut untuk berada di dalam saf yang pertama kerana ingin mendapatkan
pahala. Tetapi pada zaman kita saf yang paling belakang itu adalah saf yang
lebih ‘afdal’ dan ‘awesome'.
Saya
mengundur lagi ke saf ye kedua masih penuh, ketiga sama sahaja dan keempat
tiada juga ruang dan kelima…mata saya terpandang pada hujung penjuru di
bahagian tepi bersebelahan dengan seorang tua yang awesome itu. Alhamdulillah,
ada juga ruang. Saya mengizin lalu di hadapannya kemudian saya berada di
sebelah kiri di bahagian paling tepi dan agak sempit. Belum sempat saya
mengangkat takbir orang tua yang mulia itu memegang bahu saya dan dia menarik
saya ke sisi kanan beliau. Dia mengambil tempat saya di sisi kiri dan saya cuba
menghalang kemudian dia berkeras dengan senyuman. Biar sempit asalkan orang tua
itu dapat solat selesa. Tetapi keselesaan itu dia memberikannya kepada saya.
Subhanallah. Hendak sahaja memeluk beliau seeratnya persis datuk saya di
kampung. Rakaat pertama usai dilakukan, Orang tua itu seakan dalam kepayahan
untuk bangun melakukan rukuk, sujud dan iktidal namun dia gagahkan kerana dia
yakin Allah melihat. Bayangkan, dia terpaksa menggunakan bantuan tangannya
untuk menguatkan tenaganya untuk berdiri.
Rasa kasihan menyelubungi hati saya.
Usai solat, sempat saya membalas senyuman dengannya dan bersalam. Saya
mendoakan beliau panjang umur dan sihat tubuh badan. Ameen. Ketika melangkah
keluar di pintu masjid fikiran saya melayang monolog hadir dalam tenang…
“Aku yang masih muda ini pun kadang-kadang susah
untuk berjemaah di masjid..”
“Aku masih diberi kekuatan tenaga untuk bersolat,
tetapi pak cik itu walau ditarik sedikit kenikmatan sihat beliau tetap terus
melakukan solat berjemaah. Bagaimana pula dengan aku yang masih sihat?”
“Apabila aku sudah tua nanti, adakah aku akan
sentiasa mendekat dengan masjid atau semakin menjauh? Ya Allah lindungilah aku
dari sifat yang keji.”
Saya tinggalkan sebuah hadis buat renungan para
pembaca….moga penulisan kali ini mendapat manfaat buat semua.
Rasulullah S.A.W bersabda
: ”Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang
yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap :
“Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi
dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata
lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak
sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad]
No comments:
Post a Comment