Pages

Friday, April 4, 2014

Cerita Cinta buat Atuk. Al-Fatihah =')


Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang. Syukur Allah masih memberi kita nyawa untuk terus berada di dunianya ini. Dunia yang penuh pancaroba juga penuh racun di dalamnya. Maha suci Allah yang masih memberikan kita nikmat yang tidak terhingga yakni nikmat sihat dan bahagia. Mari kita renung sejenak seandainya nikmat itu, Allah menariknya kembali. Astaghfirullah, berat rasanya untuk kita terima. Allah menarik nikmat sihat dan Allah memberikan kita sakit. Itu adalah ujian!

Makanan dan minuman penyambung hayat kita untuk meneruskan kehidupan. Maha suci Allah yang turut memberikan nikmat kekenyangan buat kita semua. Bayangkan seandainya jika sudah kehilangan nikmat itu yakni nikmat makan. Allahu Akbar…Masih segar diingatan saya tatkala mengenangkan kisah cinta saya bersama Allahyarham nenda tercinta yang baru sahaja pergi menghadap Pencipta. Saya redha dengan suratan ini. Allahyarham nenda selalu berpesan jagalah dan hargailah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Andai Allah menariknya kita pasti sukar untuk mendapatkannya kembali.

Saat Allahyarham nenda diuji sakit, teringat kata-katanya… “Allah dah tarik nikmat sihat dan nikmat makan atuk, Atuk redha, sebagai hamba Allah kita kena senantiasa bersyukur kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat kita. Ini sudah janji atuk yang telah Allah takdirkan. Apa pun keadaan Allah yang kita perlu utamakan

Pesanan itu, sentiasa subur dan harum di hati saya. Atuk juga berpesan..jagalah kesihatan kerana penyakit ini datangnya seperti angin..cepat! tetapi kesembuhannya seperti semut yang berjalan di laluan yang panjang. Mengambil masa yang lama. Allahu Akbar, nikmat sihat ini yang amat kita impikan. Benar kata atuk, jika sakit..harga kesihatan itu kita rasakan teramat mahal!

Allah rindunya pada Allahyarham atuk, rindu itu tiba-tiba datang melamar saya. Air mata merisik tanpa henti. Hanya kalam indah dari Allah saya jadikan bekal buat atuk di sana. Allah jaga atuk saya. Insya Allah.
Sakit itu penghapus dosa, benar! Tapi, adakah bila kita sakit baru kita rasa kita hamba yang berdosa?? Sekali lagi persoalan atuk membuat hati saya lara…lara bukan bererti kecewa lara kerana kini saya tidak dapat lagi mendengar nasihat yang paling berguna dari atuk.

Atuk berpesan..jangan bila kita sakit baru kita hendak mengingat Allah. Allah itu senantiasa di hati dan diingati bukan sekali tapi setiap hari dan selama-lamanya. Istighfar selalu.. tambah atuk..Allah rindunya hati ini kembali bertaut, namun apakan daya sudah suratan takdir dariMU yang maha merencana. Terima kasih Allah dikau menghadirkannya buat kami sekeluarga. Terima kasih yang Allah dikau meminjamkannya walau sementara cuma.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan peluang untuk saya menjaganya di kala beliau dalam keuzuran sehinggalah beliau bertemu takdir dan suratan hidupnya. Maha suci Allah juga yang memberikan saya peluang untuk menguruskan jenazahnya buat yang terakhir kalinya. Wajah itu dahulu, yang senantiasa tersenyum dan memberi keriangan saat saya ditimpa kehampaan, wajah itu yang dulu senantiasa mengirimkan saya doa kekuatan saat saya berada di landasan kesedihan. Allah, sekejap benar masa itu berlalu. Terlalu pantas dan amat pantas. Maha suci Allah juga kerana sempat memberikan saya ruang untuk menjaganya sebelum matahari tinggi memancar. Waktu fajar yang merupakan fajar terakhirnya untuk melihat dunia.

=========================================

Atuk, abang takkan pernah lupa segala pesanan atuk kepada abang. Atuk, abang mohon sejuta kekhilafan andai tidak dapat menjadi cucu yang terbaik. Abang dah mencuba sedaya abang untuk menjaga atuk. Maafkan abang atuk, jika atuk terguris. Tapi percayalah atuk, abang tak pernah sesekali akan melupakan atuk. Al-Fatihah dari abang senantiasa menjadi peneman buat atuk pada setiap malam. Atuk, abang minta maaf andai terlupa atau sengaja melupakannya untuk membaca kalam Allah itu. Insya Allah atuk, abang senantiasa berikan atuk bekal buat di sana. Abang masih ingat saat atuk menyuapkan makanan kepada abang saat abang masih kecil, atuk akan pastikan abang kenyang. Atuk risau jika abang tak makan. Walau makanan kurang tapi Atuk tetap berkata ‘ada lagi.”Atuk…terima kasih mendidik abang sehingga abang berjaya sampai ke tahap ini. Atuk, maafkan abang tak dapat tunaikan janji abang untuk atuk melihat siapa pasangan hidup abang. Maaf atuk, abang masih tidak tahu siapa jodoh abang dan bila ia tiba abang pasti akan menunjukkannya tapi……atuk…

Atuk, maafkan abang atuk..dulu abang pernah berjanji…gaji pertama abang…akan abang kongsikan dengan atuk..tapi maafkan abang..atuk.abang tidak sempat…atuk pergi sebelum abang mendapat kerja. Insya Allah, atuk akan merasa bahagiannya juga.

Dari kecil sampai abang dewasa atuk tidak pernah meninggikan suara..nasihat atuk penuh hemah bicara atuk senantiasa terselit dakwah. Allah ..rindu sekali lagi datang melamar…

Atuk, abang masih ingat dulu ketika abang merajuk dengan mak, atuk yang datang memujuk. Atuk pesan…jangan sesekali berkecil hati dengan ibu kita kerana di situ syurga kita. Ibu itu suci hatinya, tulus jiwanya. Dia sayang pada kita. Terima kasih atuk mendidik abang tanpa rasa jemu.


Atuk, sekarang atuk sudah kembara di alam sana meninggalkan alam nyata. Abang yakin, atuk bahagia di sana, Dalam mimpi abang, atuk senantiasa tersenyum..sentiasa…Andai dapat di ulang masa..tapi sudah tertulis…atuk tunggu abang di syurga ya. Insya Allah jika Allah izinkan kita semua pasti akan ke sana. AL-FATIHAH BUAT ABDUL MAJID B.DAHAMAN (13/1/2014)





No comments:

Post a Comment