Pages

Thursday, April 24, 2014

Ikhlas dari lubuk hati...


Bismilillah, Dengan Nama Allah yang Maha pengasih Maha Penyayang. Puji dan syukur buat Allah yang senantiasa memberi ruang dan peluang untuk kita berada di alam NYA. Selawat dan salam buat junjungan besar Baginda Rasulullah S.A.W di atas pengorbanan baginda melebarkan agama Allah ini.

Insya Allah di kesempatan ini saya ingin berkongsi sedikit berkaitan erti sebuah ikhlas. Benar, ikhlas itu perasaan. Satu perasaan yang maha dalam. Kata orang ikhlas ini ibarat semut hitam yang berada di atas batu yang berwarna hitam di dalam kepekatan malam yang hitam. Tidak nampak! Keikhlasan itu lahir dari sebuah hati yang dipinjam oleh Allah. Kita hanyalah pinjaman di dunia ini. Tiada apa sebenarnya yang menjadi kepunyaan hakiki dan mutlak kita hatta orang yang paling kita cinta yakni keluarga kita sekalipun merupakan pinjaman dari Allah. Allah layak mengambil kembali mereka pada bila-bila masa yang Dia pinta. Itu hak Allah dan hak kita menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Kehidupan yang serba canggih dan moden ini kita disogokkan dengan pinjaman. Semuanya berkaitan pinjaman yang menjurus kepada kewangan. Usai alam persekolahan kita juga dihadiahkan dengan perniagaan lembut dari pihak kerajaan atas nama ‘pinjaman’ bagi meneruskan kelangsungan hidup kita di alam universiti. Membayar melebihi apa yang di pinjam. Maka di situ juga turuji keikhlasan kita.

Ikhlas itu hanya Allah yang mengetahui kerana hati itu kepunyaan Allah yang Abadi. Bibir kata kita beri tapi hati kita mungkin berbicara sebaliknya. Senyuman bukan menggambarkan apa yang tersirat di dalam hati, kadang sekadar untuk mengambil hati. Sinis dan pedas. Kita mungkin rasa terkilan jika pertolongan yang kita berikan itu tidak di balas dengan penghargaan sekurang-kurangnya ucapan terima kasih. Kita mungkin berkecil hati jika sahabat yang kita pernah bantu ketika dia susah kini menghilang apabila kita pula yang ditimpa musibah. Itulah lumrah dan fitrah. Sahabat ketika senang mudah untuk dicari dan sahabat ketika susah sukar barangkali untuk sentiasa di sisi.

Oleh itu, letakkanlah Allah di hati. Niatkan segala apa yang kita lakukan hanya untuk Allah. Apabila kita letakkan pergantungan dan harapan kita pada pencipta yang menciptakan kita pasti sesekali tidak mengecewakannya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Analogi yang mudah, hanya pembuat kereta sahaja yang tahu mengendalikan dan menyelenggara sesebuah kereta mana mungkin pembuat roti atau mentega yang boleh mengatasinya. Kemahiran berlainan, seni dan pendekatan juga berbeza.

Hanya pada Allah kita bergantung harap apabila kita memberikan sumbangan dan penghargaan. Apabila kita memberi bantuan di jalan Allah balasannya adalah syurga nan indah. Subhanallah. Maha suci Allah. Jika apa yang kita berikan itu tidak mendapat balasan, kita perlu redha! Doa itu kuasa penghubung. Berdoalah dan pintalah pada Allah, biarlah kita biasa di pandangan manusia tetapi luar biasa pada pandangan Allah.

Setiap dari kita mempunyai sahabat. Ada yang punya bermacam-macam-macam ragam, ada yang pemurah ada yang berkira-berkira, ada yang suka menjadikan harta kita seperti hartanya dan bermacam-macam lagi tetapi, apa yang perlu kita faham dan khadam ialah menjaga hubungan kita dengan mereka. Ketahuilah rakan-rakan yang sebegini Allah datangkan kepada kita untuk menguji sifat sabar dan ikhlas. Indahnya dalam berukhwah. Maha Suci Allah.


Ikhlas itu ada di dalam hati, satu karunia dari ilahi yang maha suci, ikhlas itu cerminan akhlak nabi yang terpuji di dalamnya tersimpan rahsia yang tersembunyi bahkan akan tersingkap pada hati yang mencintai dan menghargainya. Ikhlas itu ada pada diri, jarang sekali-kali ia pinta untuk dipuji apatah lagi diharap sanjungan yang tinggi. Ikhlas itu hanya mampu ada pada diri insan yang sentiasa ada rasa taqwa kepada Allah. Saat kita diuji, bersyukur! Tika kita dikeji, tabah! Yakin bahawa semua itu datang dari Allah dan kembalikanlah ia kepada Allah.=)

No comments:

Post a Comment