Pages

Monday, September 24, 2012

Pilihanraya Kampus : Antara Amanah dan Fitnah



Terdetik rasa di hati untuk berbicara soal politik kampus. Walaupun penulis masih mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tetapi penulis merasakan penting untuk dikongsikan kepada mereka di luar sana. Terutama kepada mereka yang akan bergelar pemimpin dan kepada mereka yang ingin memilih pemimpin. Hati dan rasa membuat penulis  untuk menitipkan bicara politik kampus ini. Walaupun penulis bukanlah penyokong tegar daripada mana-mana parti politik di kampus tetapi penulis merasakan ada sesuatu yang perlu diberitahu dan untuk kita fikirkan sejenak.

            Jawatan dan kuasa dapat memberikan kita suatu kelebihan di luar jangka. Jika dahulu kita tidak punya apa-apa tetapi setelah menerima amanah dari NYA kita menjadi seorang insan yang berkuasa, kita menjadi pemimpin, kita menjadi pembawa kepada suara-suara mereka. Nah, Allah telah memilih kita Allah telah mentakdirkan kita untuk menjadi seorang insan yang digelar pemimpin. Pemimpin bukan suatu kebahagiaan tetapi suatu ujian. Pemimpin bukan suatu jawatan yang boleh menggerunkan lawan tetapi boleh mendatangkan murka Tuhan andai kita tidak tidak berpegang pada Taqwa dan Iman.

Selalunya di dalam pilihan raya kampus akan berlaku pertembungan dua kuasa besar dua parti besar di dalam pilihan raya kampus. Parti itu dinamakan Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi. Antara pihak kerajaan dan pihak pembangkang di kampus. Pilihan semua di tangan kita. Kita berhak memilih siapa yang kita kehendaki. Tetapi pastikan pilihan kita itu adalah pilihan yang benar kerana nanti kita juga akan di soal seandainya kita memilih pemimpin yang salah.

Rapat umum sememangnya satu ‘event’ yang ditunggu-tunggu oleh golongan yang bertanding untuk melontarkan buah fikiran, desakan, rayuan dan sebagainya. Bagi calon-calon yang bertanding ini merupakan titik mula untuk mereka memperkatakan apa yang mereka akan lakukan sekiranya mereka memenangi jawatan pemimpin itu nanti. Ada bermacam-macam gaya, ada pelbagai suara dan ada juga lantunan kata dari penyokong-penyokong mereka. Bagi yang inginkan kebenaran mereka terus melawan. Melawan bukan bererti menentang tetapi melawan untuk mencari kebenaran untuk diberikan kebebasan sebagai manusia ciptaan Tuhan. mereka memohon suara mereka didengar hanya sekali hanya untuk diberikan kepercayaan.

Bagi calon yang sudah tahu akan kemenangannya tidak perlu lagi untuk menjerit dan merayu undi. Mereka sudah dipilih, mereka sudah dilantik. Tetapi bukan dari suara mahasiswa. Dalam istilah ‘menang tanpa bertanding’. Ya. Ini biasa, sudah menjadi biasa tetapi, apabila mencecah jumlah yang banyak ia menjadi sesuatu yang agak luar biasa. Awas! Berhati hati dengan istilah ‘pilihan’ dan ‘lantikan’. Muhasabah diri anda. Ramai yang akan cuba mencari kesalahan. Allah sudah mencaturkan sesuatu buat mereka. Kita terima dengan redha tetapi kita teruskan menyokong dan menegur andai mereka melakukan kekhilafan. Walau kita punya beza fahaman tetapi jangan kita tentang sesuatu yang membawa kebaikan dan walau kita berlainan perjuangan tetapi biarlah kita seia dalam melaksanakan hukum Tuhan.

Ingin penulis tegaskan di sini, penulisan ini bukan untuk menghentam sesiapa tetapi sekadar pandangan bebas dari diri penulis sendiri yang telus dari lubuk hati. Pemimpin perlu laksanakan apa yang mereka katakan. Pemimpin bukan hanya pandai dalam syarahan untuk menjadi calon pilihan tetapi pemimpin juga harus bijak dalam perlakuan harus cerdik di dalam penilaian. Pemimpin bukan suatu jawatan yang perlu dibanggakan. Ingat! Jalan ke syurga itu banyak laluan, tetapi jika kepimpinan ini boleh membawa anda ke syurga terimalah dengan redha. Lakukan amanah dengan jaya dan laksanakan setiap apa yang dikau kata. Sendainya nanti dikau alpa apabila sudah berkuasa ingatlah akan maksud ayat Allah ini ~  Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 3.  Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. QS. Al-Shaff: 2-3.

Sebagai pemimpin kita bukan hanya pandai berkata-kata. Berjanji itu dan ini. Mungkin kita melihat mereka itu dari sudut luaran sahaja. Punya muka yang cantik dan kacak, ada poster menceritakan kehebatan mereka dan diuarkan ke sini dan ke sana. Itu hanya pada pandangan mata. Kita hanya melihat mereka dari sudut itu. Tetapi jika kita kenal siapa mereka sebelum mereka menjadi orang yang berkuasa, berfikirlah sebelum kita memilih mereka. Jika mereka sudah berubah menjadi baik itu bonus kepada kita tetapi jika apabila mereka berkuasa dan perangai lebih teruk dari apa yang kita sangka itu akan memberikan defisit buat kita!

Apabila diri sudah menerima lantikan nanti, jangan kita lupa pada yang setia dan jangan kita tinggal pada yang berdoa. Teruskan bersama, kita tetap kita. Jawatan hanya ada di universiti tetapi apabila keluar dari gedung itu ia sudah tiada. Di saat itu kita perlu kepada orang-orang yang bersama dengan kita. Jangan lupa pada insan yang bernama sahabat. Jangan hanya memberi kasih kepada pengampu-pengampu hebat jangan hanya suka pada kawan yang pandai memutar ayat tapi setialah bersama sahabat yang mengenali kita bermula dari kita menjejak langkah ke menari gading ini sehinggalah kita sudah mengecapi apa yang kia ada sekarang. Penulis amat tertarik dengan kata-kata seorang tokoh politik tanah air iaitu ~ Tangan yang membangunkan kamu ketika kamu rebah adalah lebih benar daripada seribu tangan yang bersalam denganmu ketika kamu sampai~ Buat pemimpin yang bakal menaiki kerusi tinggi nanti dengarlah akan ungkapan ini ~ kita kena akrab dengan manusia untuk mengetahui masalah mereka, tetapi kita kena akrab dengan Allah untuk membantu mereka menyelesaikan masalah itu.~ Walau siapa kita jangan sesekali kita lupakan kepada Pencipta kita.

Menjadi pemimpin bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan. Sebelum mengarahkan orang lain, kita perlu mengarah diri kita. Sebelum membuat perubahan kepada orang lain kita sendiri perlu merubah diri kita. Ingatlah! perubahan kita akan mengubah orang lain. Bila menaiki jawatan pemimpin jangan sesekali kita merasakan diri kita bagus! Kita mesti tahu aib yang ada pada diri kita. Kerana apa? Untuk memastikan bahawa kita sedar siapa diri kita yang sebenarnya. Kata Imam Ghazali ada 4 cara untuk kita mengetahui aib kita pertama melalui guru kita kedua, melalui sahabat kita ketiga, melalui musuh kita dan keempat melalui masyarat. Merekalah yang akan memberitahu keaiban kita. Terima dengan yakin. Lakukan perubahan, terima segala teguran jangan menjadi keras seperti batu dilautan. Dengar suara yang menegur walau mereka bukan siapa-siapa.  Jangan sesekali takut akan membuat kesalahan jangan sesekali kita merasakan diri kita baik! Tetapi didiklah diri kita supaya sentiasa hendak menjadi yang terbaik. Orang yang baik akan lihat kebaikan walaupun apa yang diterimanya itu merupakan ujian kepahitan.

Kata imam Shafie, ‘Belajarlah sebelum jadi pemimpin’. Kita sebagai pemimpin bukan memimpin. Ilmu agama menjadi panduan. Perbanyakkan amalan kita dengan membaca, mendengar majlis-majlis ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu dunia dan akhirat. Ilmu itu jambatan Iman. Lengkapkan diri kita dengan ilmu asas aqidah, akhlak, fiqah. Andai nanti bila kita bertemu dengan pemimpin yang berlainan agama kita dapat berhemah jika ada yang bersilat kata. Perlakuan kita dalam bicara dipandu dengan ajaran agama. Mungkin ia menjadi dakwah dan mungkin akan terhindar dari fitnah. Bila bermesyuarah jangan kita menjadi orang nombor satu menyokong majlis-majlis yang mendatangkan murka Allah. Tangani dengan penuh hemah dan helah agar tidak ada yang melatah.

Buat pemimpin yang bakal mewakili mahasiswa nanti, jangan dikau gusar atas nama fitnah. Andai dirimu terfitnah berdoalah kepada Allah sebagaimana golongan sufi berdoa ~Ya Allah seandainya apa yang mereka katakan itu benar terhadap kesalahan diriku DIKAU ampunilah dan terimalah taubatku, Tetapi Ya Allah seandainya apa yang mereka katakan terhadap diriku itu perkara yang tidak benar DIKAU ampunkanlah mereka dan terimalah taubat mereka~. Terimalah amanah ini dengan redha, ranjau pasti menanti di hadapan kita tetapi jika kita ingin menjadi pemimpin yang baik, teladanilah maksud hadis nabi ini ~ untuk menjadi pemimpin yang baik, para pemimpin mestilah menjadi khadam kepada pengikutnya. Pemimpin merupakan ‘gembala’ kepada pengikutnya.~

Sebelum penulis menutup bicara ini, ingin sekali penulis tinggalkan sedikit cerita mengenai Umar Al-Khatab. Sayidina Umar pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya, ‘Jika aku telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin pembantuku, apakah aku telah melaksanakan amanah kepimpinan dengan baik?’ Sahabat-sahabatnya menjawab ‘Sudah tentu wahai Amirul Mukminin.’. Sebaliknya Umar menjawab, ‘Belum. Sehingga aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!

Buat mahasiswa di luar sana selamat menjalankan tanggungjawab anda. Pilihlah kepimpinan yang tepat. Buat sahabat semua yang akan bergelar pemimpin, laksanakanlah amanah itu dengan baik. Ingatlah setiap perbuatan yang kita lakukan nanti akan dipersoalkan diakhirat kelak. Jangan mudah menyerah andai diri di panah, jangan merasa kalah andai musuh datang meratah! Mengadulah pada Allah, contohilah perjuangan baginda Rasulullah. Andai nanti usaha yang kita lakukan tidak mendapat penghargaan redhalah. Biar ia kabur di mata manusia tapi tidak di mata Pencipta kita. Biar kita banyak persatuan tapi kita punya satu kesatuan. Akhir kalam. Penulis memohon maaf andai tulisan ini ada mengguris hati sesiapa. Hanya sekadar pandangan penulis. Pemimpin itu dakwah, kepimpinan itu amanah, dan memimpin juga boleh menjadi fitnah.

p/s : penulis turut menggunakan buku yang bertajuk Dilema Melayu Islam : Kurang Fikir atau kurang zikir karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi di dalam menambah rasa dan perisa bagi menyedapkan isi di dalam ulasan ini.

No comments:

Post a Comment