Kita sebenarnya lebih suka menerima dari
memberi. Penerimaan lebih kita hargai daripada kita memberi pada seseorang.
Lihat bagaimana Allah ciptakan kita dan aturkan kehidupan kita di muka bumi
ini. Kita sering sahaja lalai dan alpa di dalam urusan dunia tetapi bila kita
kembali kepada Allah, Allah tidak pernah melupakan kita bahkan rezeki yang
dikurniakan kepada kita lebih banyak dari yang kita ada sebelum ini. Allah
terus memberi tanpa kita meminta. Allah terus mengurniakan nikmat pada kita
walau Allah sering kita lupakan.
Lihat di luar sana peminta sedekah begitu
banyak dan semakin ramai. Mengapa hal ini berlaku. Terkadang timbul risau di
jiwa dengan kehadiran golongan ini. Saya tidak sesekali menghina golongan ini. Tetapi
apa yang mendukacitakan saya, terdapat segelintir di antara mereka yang
menggunakan kecacatan yang ada untuk menagih simpati manusia. Bayangkan dengan mengutip
sedekah sahaja mereka mampu memperoleh pendapatan yang lumayan di dalam masa
sehari. Kita doakanlah moga mereka diberikan hidayah. Biarlah kita bersangka
baik dengan mereka. Sekiranya kita selalu bersangka buruk dengan orang lain
bermakna hati kita juga buruk! Sebagai manusia yang punya hati nurani ini, saya
begitu tersentuh melihat anak-anak kecil yang terpaksa bersimpul menadah
bekas-bekas kosong dan tin-tin kosong, dengan pakaian yang lusuh setia menanti
untuk menerima ehsan dari kita.
Mengapa ya agaknya Allah menghadirkan mereka
kepada kita? Apa yang direncanakan Allah
dan dijadikan Allah semuanya baik dan penuh hikmahnya, walau buruk pada pandangan
kita tetapi tidak pada Allah. Allah maha mengetahui. Sebenarnya pada mereka ada
lubuk untuk kita membuat pahala. Pada mereka ada berjuta rasa untuk kita
menyemai sifat ikhlas dan berjasa. Jangan sesekali kita mengharapkan penghargaan
apabila memberikan sesuatu tetapi nantikanlah ganjaran kita di sana nanti. Saya
sedih apabila golongan seperti ini datang kepada kita dan kita terus berlalu
dan ada yang tega menghalau mereka dengan kata-kata kesat. Siapa kita untuk
merasa bangga menghina kehidupan mereka? Siapa kita untuk memperlekehkan habuan
yang mereka terima?
Allah itu maha segala maha. Udara dan tubuh
yang kita ada ini pun hanyalah pinjaman dari Allah. Kita tidak layak untuk
merendahkan orang lain dan menghina orang lain. Mereka lubuk kita untuk
menabur pahala. Saya yakin pembaca semua tahu tentang kuasa apabila kita
bersedekah. Ganjarannya hebat dan mampu memberi berkat pada hati yang sudah
berkarat! Berilah seberapa nilai yang kita ada. Sedekahkan kepada mereka. Jangan
sesekali kita berkira. Walau tidak banyak tetapi setidak-tidaknya kita memberi.
Ingat walau sebesar zarah akan dinilai amalan kita di sana nanti.
Tidak cukup dengan senyuman tetapi berilah sedikit
imbuhan kepada mereka. Jangan lokek untuk memberi kerana ia penuh hikmah yang
tersembunyi. Saya akui, tika saya dalam kesempitan ada rezeki yang Allah
berikan bahkan melimpah dari apa yang saya keluarkan dulu. Saya yakin rezeki
ini hadir ketika mana saya membantu golongan seperti itu. Walau tidak banyak
tetapi Allah telah berikan ganjarannya kepada saya. Alhamdulillah. Mungkin mereka
juga telah mendoakan kesejahteraan saya.
Itulah sedikit perkongsian saya kepada
pembaca semua. Bahagiakanlah hidup kita dengan memberi. Kita melihat
ramai orang kaya di luar sana tetapi adakah mereka bahagia? Bagaimana dengan
kehidupan mereka? Bagaimana dengan anak dan isteri mereka? Sumber mana yang
mereka perolehi untuk mencapai kejayaan itu. Saya tidak terkejut dengan
perlakuan anak sultan, anak menteri dan anak-anak orang berada yang hancur
peribadi rosak pekertinya. Pembaca semua boleh melihat sendiri di laman maya
bagaimana perlakuan mereka. Semua ini kerana apa? Bagi saya, sumber rezeki yang
ibu dan bapanya cari adakah diperolehi dengan cara halal ataupun haram. Natijahnya
akan terkesan kepada anak-anak mereka.
Allah itu adil sifatnya, apa yang kita
lakukan kepada orang lain pasti akan di balas kepada kita kalau bukan kita
mungkin kepada ahli keluarga kita. Jadi berhati-hati di dalam ‘menerima’
sesuatu yang diberikan. Bahagia itu
perlu di cari dan perlu dibawa bersama di dalam kehidupan kita. Saya ingin
menyentuh sedikit berkaitan soal rumah tangga. Ramai di antara mereka
mengimpikan kebahagian di dalam rumah tangga tetapi tidak melaksanakan apa yang
di perintahkan Allah. Aurat, maruah, tingkahlaku semuanya perlu dijaga. Jika kita
sayang kepada pasangan kita, peliharalah aurat kita jangan kita mengheret
sesekali mereka ke neraka!. Di dalam perkahwinan kebahagian itu bukan hanya
perlu di cari tetapi perlu di bawa bersama. Teringat saya pada kata-kata hukama
~Jangan mengharapkan kebahagiaan di dalam
rumahtangga tetapi, bawalah kebahagiaan di dalam rumahtangga itu, jangan
mencari isteri yang cantik tetapi lihatlah kecantikan yang ada di dalam diri
isteri itu.
Suami selalu mengharapkan isterinya memberi sesuatu tetapi dia sendiri tidak
memberi dan membantu isterinya. Bagaimana hendak bahagia andainya isteri sahaja
yang memainkan peranannya. Suami juga harus bersama bergandingan dengan mereka
dalam membentuk rumah tangga cerminan syurga.
Alam perkahwinan ini ibarat permainan bola. Jika kita
hendak menang sehingga tamat perlawanan kita harus mempunyai strategi yang
mantap, kesepaduan yang utuh, dan kehebatan dari setiap posisi. Tidak guna kita
mempunyai penyerang yang hebat andainya benteng pertahanan mampu dipatahkan,
tidak guna kita punya penjaga gawang yang menonjol seandainya barisan serangan
masih tumpul! Kita tidak mampu menang mungkin hanya sekadar seri di dalam
perlawanan. Begitulah kehidupan di alam rumah tangga. Saling melengkapi. Saling
menghargai dan saling bersatu hati. Perkahwinan itu indah andai kita dan
dia punya hati yang tabah, hati yang mampu melawan setiap rencah, hati yang
setia jika ada bahtera yang meredah, hati yang pasrah jika ada ujian yang
menadah. Bahagia itu akan datang jika setiap apa yang kita lakukan itu hanya
kerana Allah.
Love Allah
No comments:
Post a Comment