Pages

Wednesday, October 17, 2012

Letih, Sakit, Sedih



Salam pertemuan buat pembaca semua. Alhamdulillah masih lagi dapat kita bersua dan masih lagi dapat saya menitip sedikit bicara. Mudah-mudahan bicara pada kali ini dapat menjadi ubat buat kita semua. Saya akui, penulisan saya ini tidaklah sehebat mana tetapi saya ingin menabur bakti pada semua. Moga nanti ada ganjaran saya di sana kelak.

LETIH, satu perkataan yang selalu kita ungkapkan. Desakan kerja yang menggunung, bebanan tugas yang tinggi melangit menyebabkan fizikal kita menjadi tidak tentu arah. Di sini perlu kita ketahui bahawa pengurusan waktu yang baik amat penting untuk kita. Allah telah memberikan kita 24 jam sehari. Cukup dan teramat cukup bagi kita untuk menggunakannya. Masa akan mencemburui kita seandainya kita curang terhadap masa. Bagaimana? Kita melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita mengadu badan dan minda mengalami keletihan tetapi bukan disebabkan dengan aktiviti senaman atau membaca Quran tetapi kita khayal dengan laman maya di taman dan lena dengan angan-angan yang tak berkesudahan.

Ubahlah dan perbaiki diri kita supaya menjadi insan yang punya tenaga. Walau penat dan letih tetapi kita masih mampu bangkit untuk meneruskan dakwah demi agama. Biar kita letih di dalam menuntut ilmu jangan kita ketagih di dalam melakukan perkara yang tidak bermutu! Segala apa yang kita ada ini semuanya pinjaman dari yang maha Esa termasuklah diri kita sendiri. Siapa kita untuk berkira dengan Allah. Jika masa kita banyak terluang untuk urusan di dunia jangan sekali kita sempitkan ruang masa kita pula untuk urusan Akhirat!

SAKIT, andai kita letih mudah untuk kita menerima sakit. Tapi sakit kita boleh diubati dengan mendengar ayat-ayat dan zikir Ilahi. Percayalah. Al-Quran dan doa mampu menyembuh segala keletihan dan kesakitan yang kita hadapi. Allah yang memberikan penyakit dan Allah jua yang menyembuhkan penyakit. Tiada penyakit yang tidak dapat diubati melainkan mati. Saya tertarik dengan kata-kata seorang Doktor terkenal di tanah air kita. Menurut beliau, ketika kita ditimpa penyakit, jangan sesekali kita mengeluh sakit dan menyatakan  bahawa kita tidak sihat. Perkataan ini akan menghantar mesej kepada otak kita dan menyebabkan pesanan yang negatif kepada tubuh badan kita.

Elakkan dari mengucapkannya tetapi banyakan dari menyebut ayat- ayat Allah dan positifkan perkataan kita itu. Kita Sihat dengan izin Allah! Sakit itu tanda Allah sayang pada kita. Perit itu tanda Allah menguji kita. Jangan sesekali kita berduka, hadapi ia dengan tabah. Ramai orang apabila ditimpa dengan penyakit yang membahayakan akan merasakan diri mereka tidak berguna lagi dan hanya menunggu masa untuk kita bertemu Ilahi. Jangan sesekali berfikir sebegitu rupa. Ingat! Allah maha Besar dan Allah yang maha kuasa. Kun Fayakun. Apa sahaja yang Allah hendak ciptakan atau rencana pasti ia akan terjadi. Pasti! Begitu juga dengan penyakit kita, walau kritikal mana pun seandainya  Allah akan menyembuhkan penyakit kita itu pasti akan sembuh. Semuanya dengan izin Allah.

SEDIH, ia juga merupakan satu ujian dari Allah. Di dalam hidup kita ini tidak semestinya semua yang kita lalui akan berasa indah dan damai. Pasti ada duka, pasti ada rencah gempita. Namun kita harus tabah dan redha dalam menghadapinya. Ramai orang apabila dia menerima kehidupan yang indah mula lupa pada Penciptanya tetapi apabila dia ditimpa musibah mula ingin dekat dengan Penciptanya. Begitulah lumrah kehidupan. Layak sebenarnya kita diibaratkan ‘kacang lupakan kulit’. Tetapi tidak layak untuk kita melupakan Allah. Allah pencipta kita. Allah maha Agung, raja segala raja. Allah menguji kita dengan rasa sedih agar kita kembali kepada NYA, agar kita muhasabah diri kita yang hina ini. Begitulah hebatnya perasaan negatif yang Allah kurniakan kepada kita tetapi terkandung berjuta simbol positif mengapa Allah ciptakan perasaan itu.


Sedih itu perlu ada pada diri kita. Dengan air mata keinsafan akan mampu menghindarkan diri kita dari api neraka. Alirkanlah air mata keinsafan agar kita mampu menghasilkan tenaga kekuatan sebagai hamba Allah yang mempunyai banyak taklifan di dunia ini. Sedih dengan cinta manusia, Allah tempat kita mengadu, sedih dengan kehidupan, Al-Quran menjadi rujukan, sedih dengan tohmahan, jadikan nabi sebagai panduan dalam menerima ujian. Ubat kesedihan kita ini akan menjadi penawar pada kepayahan kita di dalam kehidupan. Bergembiralah dalam menerima ujian. Kita tidak dapat menggembirakan orang lain selagi mana kita tidak merasa gembira dengan diri kita.

Sebagai kesimpulannya, semua rasa yang kita rasa ini adalah datang dari Allah S.W.T dan jangan sesekali kita menyerah kalah di atas ujian  ini. Dekatkan diri kita pada Allah, Eratkan hati kita untuk sentiasa mengingati Allah. Ketenangan itu akan hadir jika kita merasa Allah ada di sisi kita. Maksiat itu akan terhenti mengalir andai kita yakin Allah sentiasa memerhatikan kita.
Love Allah

No comments:

Post a Comment