Pages

Monday, October 15, 2012

Luka dan Terluka



Kesakitan batin lebih perit dari kesakitan zahir kita. Mengapa Allah jadikannya begitu ya? Kerana itulah hebatnya kuasa Allah. Luka yang zahir mudah untuk sembuh. Sebagai contoh, kita mengalami suatu kemalangan yang menyebabkan tangan atau jari kita terluka. Jika kena ubat dan pantangnya maka cepatlah sembuhnya dan ada yang akan memberikan parut pada tangan kita itu ataupun tidak. Tapi hakikat kita sudah sembuh dari kesakitan zahiriah itu. Ada ubat dan penawarnya. Walau jiwa kita masih trauma tetapi zahir kita sudah pulih seperti sedia kala. Allah maha Besar!

Itu cerita pada kesakitan zahir yang kita rasa. Tapi bagaimana pula kesakitan batin yang kita terima. Kesannya begitu perit, masanya terlalu lama untuk diulit. Anggota mana yang merasa kesakitan batin ini. Dialah anggota yang menjadi raja di dalam kerajaan diri kita. Hati, kalbu dan jiwa! Subhanallah. Hebatnya penciptaan segumpal darah yang bernama hati ini. Hati kita yang menanggung segala beban ujian hidup yang diterima. Andai kita tidak punya hati yang tabah maka kita akan mudah mengaku kalah dan menyerah. Moga Allah selamatkan kita semua.

Raja di dalam kerajaan diri kita ini harus kita pelihara, segala musibah yang kita rasa bukanlah untuk merosakkan hati kita tetapi untuk memberi rasa dan rencah di dalam kehidupan kita agar senantiasa tahu bahawa Allah itu ada. Allah yang mendatangkan ujian kepada kita dan Allah juga yang menjadi pelindung kita. Andai masalah kita besar, jangan sesekali kita melangkah menunduk ke belakang seakan tidak mampu melawan masalah itu. Hadapi! Kerana kita yakin, kita ada Allah yang MAHA BESAR. Allah pasti membantu kita. Bukan sekadar berdoa tetapi kita perlu berusaha untuk menyelesaikannya.

Jangan sesekali kita berduka andai tiada sahabat yang dapat membantu untuk menyelesaikan masalah kita itu. Minta pada Allah, niatkan untuk menyelesaikan semua masalah itu hanya kerana Allah. Mudah-mudahan kita menjadi hambanya yang sentiasa tagihkan pertolongan dari-NYA. Saya ingin berkongsi cerita pada pembaca semua. Moga menjadi pengiktibaran buat kita.

Sebelum menghadapi peperiksaan semester lepas, saya menghadapi masalah yang tidak mampu saya tangani, masalah berkaitan hati dan perasaan. Andai saya tidak mampu menghadapi masalah ini, sudah pasti saya tidak akan dapat mengulangkaji pelajaran dengan baik dan tidak mampu menjawab soalan peperiksaan itu dengan yakin. Allah maha besar. Ujian yang saya terima ini sehari sebelum saya menghadapi kertas peperiksaan pertama saya. Di keheningan malam itu, saya bangun sendiri, saya mengadu pada Ilahi, saya menangis semahu-NYA. Hati saya terlalu kotor, dosa saya terlalu banyak tapi saya gagahkan untuk merintih dan berdoa pada Allah moga diberi kekuatan yang menggunung agar saya mampu menghadapi hari-hari peperiksaan saya.

Saya berdoa moga selepas kesakitan yang saya alami ini, menjadi tongkat untuk saya bangkit memperbaiki diri. Mudah-mudahan niat saya ini dipandang Ilahi. Allahu Akbar. Esoknya suatu ketenangan yang tidak pernah saya rasa, saya mampu menjawab soalan peperiksaan itu dengan baik. Alhamdulillah. Allah telah kabulkan doa saya. Malam mengulangkaji pelajaran saya lalui dengan tenang setenang air yang mengalir lembut mengikut arus lunak sungai nan jernih. Mudah untuk memahami, setiap kata-kata pensyarah di dalam pengajaran mereka dapat saya ingati walau tidak banyak tetapi dapat menjadi isi untuk saya menjawab nanti. Buat teman, jangan sesekali kita menyerah kalah dengan setiap ujian yang menimpa kita. Hadapi! Walau kesakitan batin yang kita rasa ini terlalu lama tetapi yakinlah lukanya pasti sembuh. Suatu hari nanti pasti sembuh! Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Bersabarlah apabila kita diuji.

Lupakah kita pada maksud kalam Allah ini. ~Allah tidak akan memberikan ujian kepada hambanya melainkan yang termampu untuk diterima oleh hambanya sahaja~. Kesakitan hati yang kita rasa di dalam corak kehidupan inilah yang akan mematangkan kita yang akan menjadikan kita dekat dengan Pencipta kita. Selalu kita dengar ungkapan “awak dah terima macam-macam dugaan baru sekarang nak ingat Allah, baru nak bertaubat. Dah terlambat lah..”. Ungkapan ini selalunya akan mematahkan ranting semangat kita. Tetapi jangan kita layan pada kata-kata itu. Setidak-tidaknya kita masih mahu berubah dan kita ingin berubah. Setidak-tidaknya kita masih tahu Allah itu pencipta kita dan Allah itu yang akan membantu kita. Setidak-tidaknya kita tahu kita masih ada agama dalam diri kita!

Di dalam kehidupan ini kita tidak boleh menyangka diri kita baik tetapi harus kita berusaha menjadikan diri kita baik! Kita bukan maksum seperti nabi, ujian kita tidak sehebat ujian para sahabat, nabi dan wali. Kita hanya sekadar menerima sedikit sahaja ujian kehidupan. Sedikit sahaja. Tetapi ada yang tidak mampu menghadapinya. Natijah daripada penyelesaian masalah yang kita hadapi itu adalah dengan membunuh diri! Astagfirullahalazim, mudah-mudahan pengakhiran kita tidak seperti itu. Mengapa ramai di dalam bangsa kita memilih nikmat dunia dari nikmat akhirat? Ini kerana kesakitan batin mereka yang masih tiada penawar dan ubatnya. Masalah sosial, jenayah, zina, rasuah, penyelewengan kita yang menduduki carta. Kita hebat dari sudut itu.

Apabila agama dan nabi kita dihina kita marah, kita bangkit. Amarah kita menongkah rasa dan dendam kesumat membaluti diri kita. Tetapi adakah hanya sekadar itu. Kita masih lagi tidak bersatu. Kita masih lagi tidak sama mendendangkan lagu. Fahaman berbeza dan pantang untuk berdamai! Bangsa lain terus bersatu, memperkuatkan agama dan bangsa mereka. Jika benar kita sayangkan nabi dan agama kita. Ikuti setiap apa yang diperintahkan oleh Allah dan tinggalkan setiap apa yang dilarang oleh Allah. Sayang nabi, contohi akhlak nabi, nabi tidak mengajar kita untuk sama-sama membenci tetapi nabi mengajar kita cara untuk bersatu hati, mempertautkan ukhwah sejati moga nanti kita akan ditempatkan di singgahsana Firdausi
.
Tika kita rasa luka rasa luka dan terluka. Jangan sesekali kita terlalu berduka. Tetapi jika kita tidak mampu menahannya. Menangislah, menangislah semahunya.. dan apabila kita sudah henti mengeluarkan air mata kesedihan kita itu, alirkanlah pula tenaga kebangkitan pada diri kita. Kita ada Allah! Yakin! Kita mampu menghadapinya. Jika mana kita dihenyak di juram yang paling bawah, kumpulkan segala kekuatan kita untuk menghadapi masalah itu. Sebenarnya kita mampu! Kita bukan tidak tahu untuk mengatasinya tetapi kita malas untuk mengambil tahu cara untuk menghadapi masalah itu. “Ujian adalah tarbiah dari Allah…” ingatkah kita pada lirik indah ini?

Mujahadahlah kita di dalam menghadapi setiap ujian dan masalah. Mujahadah itu payah tapi andai kita istiqamah pasti natijahnya menjadi indah. Percayalah! Setiap penyakit jua ada penawarnya kecuali mati. Itu janji Allah yang pasti. Tabahlah di dalam mehnah kehidupan yang kita terima ini. Jangan lari dari Allah, dekatkan hati dengan Allah, tautkan cinta kita pada Allah. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita senantiasa menjadikan Allah itu tujuan kehidupan kita di akhirat dan dunia. Semua yang kita lakukan hanya kerana Allah. Akhirul kalam saya pohon doa dari pembaca semua agar tidak keberatan untuk mendoakan kesejahteraan saya di dunia dan akhirat. Doakanlah saya menjadi hamba Allah yang sejati, doakanlah moga saya dijauhi dari segala fitnah, zina dan maksiat yang boleh merosakkan diri. Doakanlah jua agar saya menjadi anak yang soleh. Saya turut mendoakan kesejahteraan pembaca semua agar kita sentiasa menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah. Ameen.
   Allah


1 comment:

  1. terima kasih saudara.Perkongsian yang sangat bermanfaat dan bermakna.

    ReplyDelete