Pages

Thursday, June 27, 2013

Aku bertanya pada Tuhan...



~2.30 Pagi~

Mata masih segar tapi hamba merasakan amat sukar untuk terbang ke alam fantasi! Serba tidak kena! Ke kiri dan ke kanan semuanya sama tidak langsung mampu melelapkan mata. Arh…mengapa begitu sukar hendak merehatkan minda dan membiarkan roh hamba bebas seketika! Sang cengkerik masih bernyanyi riang tapi hamba masih lagi tidak mampu untuk membiarkan jiwa terbang. Fikiran terus melayang dan terus melayang…..

~9.00 Malam~

Mesej dari bonda tiba…

“Assalamualaikum anakndaku, moga sihat seadanya, bonda ingin menitip perkhabaran duka, jiran kita di desa baru sahaja dijemput oleh yang Esa. Tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk dia.”

Hamba terpaku dan terus bertanya….

“Wassalam bonda, Alhamdulillah anaknda sihat sahaja. Bagaimana perkhabaran bonda di desa? Jiran kita yang mana bonda?

“Alhamdulillah bonda sihat sahaja, jiran kita yang berada di sebelah musolla desa kita.”

“Innalillahi wainna ilahirrajiun. Anaknda seakan tidak percaya. Rasanya baru sahaja ketemu dengan dia bonda, anaknda malu dengan dia..waktu itu dia yang kerap ke Rumah Allah tetapi anaknda tidak. Allahu akbar. Allah masih sayangkan dia. Allah berikan peluang untuk dia. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman..Ameen”

“Mudah-mudahan begitulah..anaknda ku yang ku cinta kerana Yang Esa, bagaimana jika ini titipan terakhir atau bualan terakhir antara anaknda dan bonda? Anakndaku, walau apa pun yang terjadi ingatlah bahawa Allah maha mengetahui. Bonda redha jika sudah dipanggil oleh NYA tapi bonda masih perlukan rantai doa dari anaknda”

Air mata hamba mengalir laju…..

Persoalan itu hamba tamatkan dengan panggilan kerinduan. Hamba tahu bonda rindukan hamba. Hanya doa dan tawakal di serahkan pada yang Esa moga bonda sihat sentiasa.

~~~~~~~~~~

4.00 Pagi

“Ya Allah, bagaimana jika esok aku sudah tiada lagi di duniamu ini?”

“Wahai Allah, aku masih belum cukup amal bahkan masih kurang beramal untukmu…”

“Wahai Allah pahalaku masih sedikit tetapi dosaku semakin membukit”

“Ya Allah, bagaimana jika esok aku bangun bukan lagi didunia tetapi aku berada di alam barzakh sana?”

“Aku penuh dengan dosa. Aku mengaku aku hamba tetapi aku ingkar!”

“Aku mengaku DIKAU Tuhanku tetapi aku sengaja tidak mahu mengenal bahawa DIKAU Tuhanku”

“Hebat sangatkah aku???Leka dengan pujian lupa pada diri yang hanya kepunyaan Tuhan!”

“Ya Allah adakah kau menerima taubatku? Adakah kau mengampunkan dosa-dosaku yang lalu?”

“Ya Allah..orang memandangku tinggi tapi aku tahu dosaku penuh dalam diri”


“Astaghfirullahalazim.Ya Allah DIKAU izinkan aku berada di duniamu ini tapi aku leka dan terus leka!”

“Allah..Allah..Allah ampunilah dosa kedua ibu dan bapaku, ampunilah dosa seluruh ahli keluargaku. Ampunilah dosa seluruh kaum Muslimin dan muslimat, ampunilah dosa guru-guru dan pensyarah-pensyarahku, ampunilah dosa sahabat-sahabatku dan yang akhir ya Allah ampunilah dosa hambamu ini yang lemah lagi hina. Ameen.


Monday, June 24, 2013

Rotan Kecil dari Tuhan...


Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.
Al-Anbiyaa’: 35

Kita dilahirkan dengan tangisan kemudian kita meniti hidup juga dengan selitan senyuman dan tangisan dan pemergian kita juga akan turut diiringi dengan tangisan. Setiap tangisan itu tanda bahawa bukan kita menzahirkan kekecewaan tetapi kita menatijahkan ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan kita. Terkadang hati kita keras dan sukar untuk menangis tetapi kita lupa dengan tangisan kita mampu mengalirkan air kekecewaan menjadi tenaga kekuatan pada diri kita. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama dengan kita..

Hidup dilahirkan untuk menerima ujian jika kita takut untuk menghadapi ujian untuk apa kita dihidupkan? Getir dan pahitnya sebuah ujian dalam kehidupan itu pasti ada syurga kemanisan yang akan menunggu kita cuma masanya yang akan menentukan. Sebagai hamba Allah kita wajib percaya kepada hari pembalasan yakni hari Kiamat dan kita tahu setiap apa yang kita lakukan di dunia ini pasti akan mendapat balasan di akhirat kelak. Dunia merupakan tempat kita berpenat dan akhirat nanti adalah destinasi untuk kita berehat! Senyumlah tatkala diri menerima ujian. Bisik dalam diri bahawa ia bukan ubat yang pahit tetapi madu yang manis untuk kita rasa.

Setiap peristiwa yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah telah mentakdirkan sesuatu itu kepada kita dan kadang-kadang apa yang kita rasa itu tidak adil untuk kita terima tetapi kita lupa bahawa ALLLAH MAHA MENGETAHUI!. Sedarlah wahai diri, walau hati disakiti kita masih punya Ilahi, walau pengorbanan kita tidak mendapat pujian tapi yakinlah bahawa ia di pandang Tuhan dan walau kita dihenyak dengan pelbagai ujian, senyumlah kerana ia merupakan kejayaan buat kita. Usah dipeduli apa orang kata tetapi yakini apa yang Allah suka. Kita tidak mampu menutup mulut orang di sekeliling kita kerana itulah lumrah manusia yang suka bercerita dan mengadu domba. Kesalahan orang terlalu besar untuk diterima tetapi kesalahan sendiri hanya dipejamkan mata. Dalam bahasa sejarah ‘melakukan pengadilan moral’ yang bersifat bias dan tidak bebas!.

Kita sibuk bercerita tentang keburukan dan kekurangan rakan-rakan kita tetapi kita lupa pada keburukan dan keaiban yang ada pada diri kita. Kita lupa dan kita sengaja melupakannya. Menganggap diri lebih sempurna dari sahabat kita dan merasakan kita lebih segala-galanya. Ada di antara kita yang tidak boleh melihat orang lain lebih daripadanya dalam setiap segi. Jika ada, mula menarik muka dan mencebik wajah seperti ungka di rimba. Sungguh bahaya sifat seperti ini. Kita tidak akan maju jika terus begini dan selamanya. Bukan menarik muka apabila melihat sahabat kita punya kelebihan dari kita tetapi kirimkanlah nasihat dan doa buatnya mudah-mudahan dia istiqamah dan tidak menyalahgunakan segala kelebihan yang dikurniakan Tuhan itu.


Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu mendidik lidah supaya menjadi baik. Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu menggunakan akal supaya menjadi cerdik! Mari sama-sama kita merenung diri. Segala apa yang berlaku di dunia ini adalah teguran dari Tuhan. Masalah alam mula menangis akibat dari kita yang tidak peka dan tidak mahu mengambil peduli tentang alam yang melindungi kita. Mudah-mudahan kita selamat dari bencana dunia dan dilindungi oleh yang Maha Esa.Ameen.

Friday, June 21, 2013

Setia itu Menyakitkan???


Salam pertemuan buat semua. Satu soalan saya hari ini buat teman-teman semua. Bagaimana hati dan iman anda hari ini? Masih ‘sihatkah’. Alhamdulillah. Setia itu menyakitkan? Benarkah ungkapan ini? Ungkapan ini begitu popular pada pasangan yang baru sahaja mengalami kemalangan di dalam percintaan mereka yakni putus atau suami isteri yang mengalami kecurangan pasangan hidup mereka. Moga kita di jauhi dari segala fitnah dunia ini. Ameen

Kalau tidak mampu untuk setia jangan sekali kita mengenal cinta.” Indah betul ungkapan ini. Mungkin ada yang memahaminya pada tafsiran yang berbeza. Pertama kali melihat saya agak terjatuh hati dengan kata-kata ini. Tapi kali kedua melihat dan memikirkannya membuatkan hati saya mula mempersoalkannya. Sebenarnya cinta yang bagaimana yang boleh didasarkan dengan makna setia. Kita harus memahaminya sedalam-dalamnya. Ramai yang beranggapan ‘orang ketiga’ itu adalah punca yang menjadi keretakan dalam hubungan cinta dan rumahtangga. Kita sering menyalahkan orang ketiga tetapi mengapa kita tidak merujuk kepada ‘orang pertama’ dan ‘kedua’ yakni pasangan yang sudah ada tali ikatan cinta itu sendiri? Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya.

Mengapa pasangan kita berubah hati kepada yang ketiga kerana kita tidak mampu mendidik hati kita untuk menjaga hatinya. Saya ulangi kerana kita tidak mampu mendidik hati kita untuk menjaga hatinya. Bagi memahami apa yang saya jelaskan tadi mari kita memahami apa yang dimaksudkan dengan cinta itu. Cinta atau hub atau pyar atau love atau mohabbatein ini banyak di sebut di dalam Kalam Allah kerana ia mempunyai maksud yang indah. Cinta itu fitrah dan sememangnya ada pada setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah. Bercinta itu tidak salah tetapi melanggar hukum cinta itu yang salah. Menghalalkan yang haram itu yang membawa kepada mazmumah. Boleh menghalalkan yang haram tetapi perlu betul caranya. Bagaimana? Nikah.

Jika bertunang adakah masih halal untuk menjalinkan cinta? Haram sekiranya kita melanggar segala yang dilarang di dalam agama seperti bersentuhan atau berpimpinan tangan. Kerana dia masih belum halal untuk kita dan masih dia belum mahram kita. Bertunang itu hanya adat bukan syariat. Maka harus dijaga setiap perlakuan kita. Zina hati terutamanya. Kata orang, apabila kita bertunang ini banyak dugaannya dan saya menambah lagi bahaya dugaannya. Cinta boleh jadi dendam jika tidak dijaga dengan mendalam! Cinta juga boleh menjadi kesumat jika tidak dikawal dengan cermat!

Apabila bertunang, rindu di hati makin mekar semekar bunga di taman. Dugaan pasti hadir dalam tempoh itu. Jika tiada kawalan atau ketetapan iman pasti akan merobohkan ikatan yang membawa ke alam perkahwinan itu. Oleh itu, kawallah hati nescaya kita akan mampu mengawal diri! Setia itu bukan mudah tetapi tidak susah jika semuanya kerana Allah. Jika matlamat betul dan jodoh yang kita pilih itu adalah tepat dengan kita pasti hati kita susah untuk berubah atau tergelincir dari setia. Namun, jika sebaliknya pasti akan berlaku perkara yang mendukacitakan kita tetapi percayalah setiap kejadian pasti ada hikmahnya.
Mendidik setia itu sukar tetapi boleh dikawal bukan dengan pandangan mata tetapi dengan pandangan mata yang ada pada dada yakni hati!.

Jika setia kita bentuk dengan hanya pandangan mata, maka apabila berlaku ‘pameran’ kecantikan wanita di hadapan mata kita. Kita akan jadi buta. Buta memilih antara yang indah dan sedap untuk di pandang. Apabila kita melihat rupa mungkin kita keliru dan buntu. Masih tercari-cari yang paling cantik. Percayalah kecantikan manusia itu takkan kekal hanya Allah sahaja yang maha kekal. Zaman sekarang ini berbeza, apa guna rupa yang cantik jika banyak penyakit! Apa guna wajah yang tampan jika tidak mampu melaksanakan suruhan Tuhan.

Berbalik pada ungkapan tadi. Sebenarnya setia itu tidak menyakitkan bahkan membahagiakan walaupun kita disakiti. Tetapi ada yang berkata luka di jiwa lebih dalam dan lama kesannya dari luka yang ada pada tubuh badan kita. Tetapi kedua-duanya tetap meninggalkan kesan dan parut! Kita perlu mengenal cinta! Kita perlu mentadbir setia! Tetapi bagaimana cara dan pelaksanaannya? Jawapannya kenal cinta DIA dahulu. Kita mengaku kita tahu Allah itu ada tetapi kita tidak benar-benar kenal bahawa Allah itu ada dengan kita bahkan sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri kita. 

Apabila kita disakiti atau dicurangi pernahkah kita menyoal kembali diri kita. Adakah kita pernah menyakiti Allah dan mencurangi kasih Allah kepada kita. Kita sudah lupa ‘si pemberi’ kasih dan cinta apabila kita bertemu dengan ‘dia’ di dunia. Kita bercinta kemudian putus kemudian bertemu lagi kemudian putus lagi kemudian bertemu kembali. Takdir dari Allah. Apabila berlaku perkara yang menguji hati dan perasaan kita, barulah kita akan kembali kepada Allah. Mujur masih diberikan hati untuk berubah. Itu tanda hati kita masih belum mati lagi. Acap kali kita melakukan dosa dan acap kali kita bertaubat. Kita bersih dan suci. Tetapi pernahkah kita berfikir sudah berapa kali kita berlaku curang terhadap kasih Allah kepada kita?

Ketika bertemu dengan ‘dia’ kita percaya bahawa dia adalah jodoh kita dan datang dari Tuhan dan jodoh itu kita yang berusaha mendapatkannya. Maka dilaksanakan Istikarah, Doa dan Istiqamah dalam memilihnya. Tetapi sedarkah kita, adakah kita benar-benar sudah bersedia untuk mendapatkan jodoh kita itu. Saya ulangi soalan saya adakah kita sudah mampu dan sanggup ke alam tanggungjawab yang lebih besar? Tiada guna jika makan dan belanja pun masih ditanggung ibu bapa tetapi hati ‘gian’ hendak mencari jodoh yang mulia. Bagi mereka yang berkemampuan tidak mengapa tetapi bagi yang tidak, fikirkanlah sedalam-dalamnya. Apa guna mengejar syurga rumah tangga seandainya syurga di bawah telapak kaki pun masih terkial-kial mencarinya. Di dalam kehidupan ini kita harus tahu bahawa jodoh itu kita merancang memilihnya dan Tuhan juga merancang menentukannya. Percayalah bahawa jodoh dari Tuhan itu adalah yang paling tepat kerana dia Maha Agung dan Maha mengetahui. Bersabarlah.

Namun, jika kita rasakan cinta kita yang sekarang ini adalah milik kita dan dia sebenarnya kita sudah melakukan satu kesilapan yang agak besar. Ini bermakna kita sudah memberikan hati kita kepada dia dan berharap dia yang terawal dan terakhir atau dia yang kedua dan terakhir atau dia yang ketiga dan terakhir. Apabila bukan kerana Tuhan, cinta yang diberikan itu bertemu titik perhentian dan ujian maka apa yang dipanggil setia itu akan dikatakan sebagai satu kesakitan. Ingatlah apabila kita memiliki sesuatu jangan sekali-kali kita menganggap ia merupakan milik kita selama-lamanya anggaplah ia hanya pinjaman. Kerana jika kita meminjam kita harus memulangkannya kembali. Begitu juga dengan cinta, anggaplah ia pinjaman dari Tuhan. Jika nikmat itu ditarik balik kita tidak akan merasa kesakitan kerana ia sebenarnya MILIK TUHAN. Kita tiada daya untuk menghalangnya.

Jika hendak menilai setia mari kita renungi kisah Asiah isteri Firaun, dia setia kepada suaminya tetapi Allah yang utama. Dia diuji dengan suami yang zalim dan kejam tetapi dia yakin dengan percaturan Tuhan. Setia itu tidak menyakitkan tetapi memberi kebaikan. Apabila kita diduakan baru kita tahu kita juga telah menduakan cinta Tuhan! Setia itu membahagiakan! Walau hati disakiti tetapi ingat kita masih ada Ilahi bukankah dia yang mengurniakan hati kita? Kesetiaan itu pasti di balas. Jika bukan di dunia mungkin nanti di alam sana. Apa yang penting kita sentiasa berbaik sangka dengan Tuhan!

********
“Abang, awek saya minta putus la”
“Kenapa? Korang dah kenal berapa tahun?”
“Erm..lama jugak.dalam 5 tahun”
“Lama tue, apa alasan nak putus dengan kau?”
“Katanya nak berubah kerana Allah, dia tak dapat nak tumpukan pelajaran dan bukan ini yang dia harapkan dalam perhubungan.”
“Kau dah apa-apakan dia ke?”
“Ish takdela bang”
“Kau nak tahu kenapa dia bagi alasan tue dan minta putus dengan kau?”
“Kenapa? Saya takda masalah pun dengan dia dan saya setia dengan dia bang”
“Sebab dia ‘JEMU’..”
“Jemu??Kenapa abang cakap macam tue?”
“Hubungan yang dibina lama tanpa ada pengakhiran buatkan kita jemu, perkara yang dulu luar biasa ketika kita bertemu dengan dia sekarang sudah menjadi biasa-biasa sahaja, mesej, telefon, we chat, fb, twitter, whass up dan sebagainya membuatkan timbul satu perasaan iaitu JEMU!! Segala yang dia katakan itu hanyalah alasan tapi hakikatnya dia sudah jemu dengan kau!


p/s : pandangan dari kaca mata bebas. Dakwahku untuk semua.


Saturday, June 15, 2013

Orang Tua Yang 'Awesome'


Alhamdulillah semalam saya menyambut hari kebebasan setelah sekian lama berjuang dalam medan ilmu. Selesai untuk semester ini. Masih berbaki 2 semester lagi untuk beralih ke bidang kerjaya. Di harap para pembaca dapat mendoakan kejayaan saya di dunia dan akhirat. Ameen. Semalam juga mencoret satu cerita indah buat diri saya yang penuh dosa ini.

Allah mentakdirkan saya untuk menghadiri satu majlis ilmu yang di sampaikan oleh Syeikh Nuruddin Al-Banjari. Pertemuan buat kesekian kalinya. Syukur ya Allah di atas pengisian ini dan aku yang Dikau pilih untuk ke  taman syurga. Banyak mesej yang di sampaikan oleh Syeikh,  santai dan penuh bermakna buat diri yang masih dan selalu melakukan dosa. Astaghfirullah. Layakkah kita bergelar hamba kepada Allah sekiranya kita senantiasa mendustai segala arahan dan suruhan Tuan kita yakni Allah. Hamba itu taat sifatnya. Tapi taatkah kita kepada Allah? Hamba itu patuh sifatnya tetapi patuhkah kita dengan arahan dan larangan dari Allah? Astagfirullah.

Antara yang menarik perhatian saya pada isi penyampaian beliau adalah berkenaan dengan kuasa sebuah zikir yakni Istighfar. Allahu Akbar, begitu cetek ilmu kita kerana zikir yang selalu kita amalkan itu bukan sahaja untuk mendapat keampunan dari Allah tetapi juga turut menjadi pembuka rezeki kepada kita dan penawar apabila kita berada dalam duka. Istighfar itu membawa maksud “Aku bermohon ampunan kepada Allah yang Maha Agung”. Perbanyakkanlah Istighfar di dalam hidup kita. Bukan hanya sekali sehari tetapi berkali-kali. Kisah pengajaran terlalu banyak tentang orang yang mengamalkan zikir ini. Mari kita ambil ibrah di atas segala kurniaan nikmat yang diberikan Tuhan. Rezeki itu datang dengan hati yang suci, bagaimana mendapatkan hati yang suci? Kembalilah meminta keampunan dari Ilahi.

“Barang siapa memperbanyak Istighfar, maka akan diberi kelapangan dalam setiap kesusahan dan jalan keluar dari kesempitan. Dan dianugerahi rezeki dari jalan yang tiada disangka-sangka. (HR Abu Dawud dan Nasa’i)

Mari sama-sama kita perbanyakan zikir pada Ilahi untuk menghilangkan segala daki yang ada di dalam hati yang hampir mati. Saya tinggalkan anda dengan kuasa Istighfar yang harus kita ambil pengajaran buat kenikmatan dalam hidup kita. Kemudian, syeikh juga turut memberi peringatan tentang bahagianya kita apabila berada di rumah Allah yakni masjid dan surau. Kita boleh berjemaah dengan sahabat handai di tempat makan dan sebagainya tetapi kita susah untuk berjemaah di masjid bahkan ‘liat’ untuk menggerakkan kaki ke masjid. Mujurlah ada solat Jumaat jika tidak mungkin sukar dan payah untuk melangkahkan kaki kita ke Rumah Allah. Lucu apabila Syeikh secara sinis menyatakan bahawa ada beberapa jenis golongan yang akrab dengan masjid ini. Golongan pertama yang sentiasa ada di masjid setiap kali solat lima waktu. Golongan kedua adalah yang hanya mampu ke masjid sekali sahaja dalam seminggu yakni ketika Solat Jumaat. Golongan ketiga pula adalah golongan yang mampu ke masjid sekali sahaja dalam setahun yakni ketika Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri atau ketika Solat Sunat Hari Raya Aidiladha. Golongan yang terakhir pula ialah golongan yang sekali sahaja dalam seumur hidupnya ke masjid yakni ketika dia disembahyangkan (menjadi jenazah).

Pengajarannya. Jadikanlah diri kita mencintai masjid sebelum masjid menjadi tempat untuk kita disembahyangkan. Mungkin pembaca masih tertanya-tanya apa kaitannya dengan tajuk cerita saya. Sabar dahulu. Akan saya terangkan di sini. Usai mendengar ceramah dari Syeikh, saya bergegas ke hadapan saf imam untuk mengambil peluang untuk bersalam. Ramai jemaah yang ingin mengambil peluang untuk bersalam dengan beliau termasuklah saya. Alhamdulillah, Allah memberi peluang itu. Kemudian para jemaah meneruskan sola Isyak. Saf sudah dirapatkan. Saya mengundur ke saf yang pertama malangnya, sudah penuh dan tiada ruang. Teringat pada zaman Rasulullah, para sahabat berebut-rebut untuk berada di dalam saf yang pertama kerana ingin mendapatkan pahala. Tetapi pada zaman kita saf yang paling belakang itu adalah saf yang lebih ‘afdal’ dan ‘awesome'.

                Saya mengundur lagi ke saf ye kedua masih penuh, ketiga sama sahaja dan keempat tiada juga ruang dan kelima…mata saya terpandang pada hujung penjuru di bahagian tepi bersebelahan dengan seorang tua yang awesome itu. Alhamdulillah, ada juga ruang. Saya mengizin lalu di hadapannya kemudian saya berada di sebelah kiri di bahagian paling tepi dan agak sempit. Belum sempat saya mengangkat takbir orang tua yang mulia itu memegang bahu saya dan dia menarik saya ke sisi kanan beliau. Dia mengambil tempat saya di sisi kiri dan saya cuba menghalang kemudian dia berkeras dengan senyuman. Biar sempit asalkan orang tua itu dapat solat selesa. Tetapi keselesaan itu dia memberikannya kepada saya. Subhanallah. Hendak sahaja memeluk beliau seeratnya persis datuk saya di kampung. Rakaat pertama usai dilakukan, Orang tua itu seakan dalam kepayahan untuk bangun melakukan rukuk, sujud dan iktidal namun dia gagahkan kerana dia yakin Allah melihat. Bayangkan, dia terpaksa menggunakan bantuan tangannya untuk menguatkan tenaganya untuk berdiri.

Rasa kasihan menyelubungi hati saya. Usai solat, sempat saya membalas senyuman dengannya dan bersalam. Saya mendoakan beliau panjang umur dan sihat tubuh badan. Ameen. Ketika melangkah keluar di pintu masjid fikiran saya melayang monolog hadir dalam tenang…

“Aku yang masih muda ini pun kadang-kadang susah untuk berjemaah di masjid..”

“Aku masih diberi kekuatan tenaga untuk bersolat, tetapi pak cik itu walau ditarik sedikit kenikmatan sihat beliau tetap terus melakukan solat berjemaah. Bagaimana pula dengan aku yang masih sihat?”

“Apabila aku sudah tua nanti, adakah aku akan sentiasa mendekat dengan masjid atau semakin menjauh? Ya Allah lindungilah aku dari sifat yang keji.”

Saya tinggalkan sebuah hadis buat renungan para pembaca….moga penulisan kali ini mendapat manfaat buat semua.

Rasulullah S.A.W bersabda : ”Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad]



Friday, June 14, 2013

Aku, Gadis Berniqab dan Mawar bertudung labuh



Salam pertemuan buat sahabat semua. Sudah lama rasanya tidak berkongsi cerita di alam nyata ini. Alhamdulillah masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk sama-sama menitip secangkir dakwah buat semua. Bicara kali ini tentang perubahan. Ramai yang ingin berubah tetapi tidak ramai yang sanggup istiqamah dan bermujahadah!

Setiap usaha yang hanya dilapik dengan semangat tanpa di alas dengan keringat hanyalah sekadar usaha yang singkat dan tidak akan sampai ke garisan penamat. Perubahan memerlukan pengorbanan. Pengorbanan dari sudut rohani dan jasmani. Sudah menjadi lumrah perubahan kita pasti akan ada yang berbicara tetapi ingat juga tetap ada yang menitip doa untuk kita. Kita bukan insan yang baik tetapi kita adalah insan yang sentiasa ingin menjadi dan melakukan kebaikan. Lihat sahaja adilnya Tuhan, orang jahat juga diberi nikmat dan orang yang baik juga turut sama diberi nikmat. Tetapi jalan menuju nikmat itu ada pada kita sama ada yang halal atau yang haram.

“Saya hendak berubah menjadi baik dan saya dan mendekatkan diri kepada Allah.” Mesti ramai di antara kita yang pernah mengungkap kata-kata ini bukan? Percayalah Allah tidak menilai adakah kita sudah berubah menjadi baik tetapi Allah menilai adakah kita sudah berusaha untuk menjadi baik. Itu yang di nilai. Mari kita berbicara soal perubahan fizikal. Fokus kepada makhluk yang penuh perasaan. Wanita atau kaum hawa. Buatmu para wanita usah bimbang dengan kata-kata yang mengeji perubahan dirimu. Jika kau sudah selasa dengan pakaian ‘barumu’ yang lebih labuh, sopan dan ayu teruskanlah dan jika kau sudah selesa dengan kain yang menutup mukamu itu teruskanlah kerana itu lebih indah. Namun harus di ingat bahawa tunjukanlah kebaikan di dalam perubahan mu itu bukan kau menunjuk-menunjuk. Ini bahaya dan amat bahaya.

Kita sering melihat budaya niqab/purdah ini sudah menjadi trend wanita pada hari ini. Alhamdulilllah ini merupakan satu mesej yang penting buat kemurnian Islam dan golongan wanita. Jika dahulu wanita seperti digelar dengan gelaran yang menyeramkan seperti hantu bungkus dan stoking bergerak( rujuk kembali sejarah perkembangan Islam di Malaysia, 1970). Saya pun tidak mengerti kenapa mereka digelar sebegitu rupa. Teruskanlah bagi yang ingin istiqamah. Namun jangan jadi seperti chipsmore sekejap ada sekejap tiada. Al-hasil perubahan itu tidak mendatangkan apa-apa. Apa yang perlu kita ambil pengajaran adalah perubahan kita itu adakah untuk mendapat penghargaan manusia atau mendapat redha Allah?. Bagi saya tidak perlu kita mengambil gambar kita berpurdah atau bertudung labuh kemudian di upload di facebook, istagram atau twitter dengan status “cuba menjadi solehah” atau “bakal makmummu” ataupun “doakan saya suatu hari nanti”. Jika hendak melakukan perubahan tidak perlu kita tayangkan. Cukup sekadar berdoa pada Tuhan kemudian gerakkan dengan tindakan!

Saya suka lihat melihat golongan berpurdah ini tetapi saya benci melihat mereka yang menjadikan fesyen yang berlebihan di dalam berpurdah. Berpurdah itu cantik, tetapi apa maknanya jika make-up di muka masih tebal, kening dicukur halus, alis mata dilentikkan dan jubah yang dipakai bukan menutup tetapi membalut. Ini boleh ‘merosakkan’ mata pada yang melihat dan ‘mematahkan’ hidung pada yang menghidu. Perubahan kita bukan didasarkan atas ikutan atau trend tetapi atas ilmu dan pengetahuan. Itu yang utama. Nasihat saya bagi golongan Muslimah ini, ingatlah berpurdah itu indah, jangan rosakkannya dengan mazmumah dan fitnah! Kain itu menutup mulut dan sebahagian muka anda itu juga memberi petanda bahawa jagalah percakapan kita. Ingat Allah itu maha mendengar.

~~~~~~~~~
“Perempuan tue tudung labuh sampai ke punggung tapi mulut mengalahkan murai dirimba” Keluh seorang sabahat saya.
“Habes tue kenapa?” Soal saya.
“Yerla, aku ingatkan pakaian tue melambangkan akhlak dia. Baik, tidak berburuk sangka dan sopan sahsiahnya..tapi ada ke patut dia kata aku playboy! Disgusting!. Keluh beliau lagi.
“Ish kau nie, tak baik fitnah perempuan yang macam tue. Dengar sini, mungkin dia mendengar cerita tue dari sebelah pihak je kot..lebih baik kau bersangka baik, yang buruk itu bukan pakaian dia tetapi mulut dan akhlak dia. Sama-sama kita doakan”
“Agaknya itulah yang terjadi bila nak berubah tetapi tidak mujahadah dengan Allah.” Balas dia selamba
“Wow, hebat kau bermadah!” Usik saya
“Bukan, sekadar memberi ibrah.”

Sedikit perbualan ringkas antara saya dengan sahabat handai tentang golongan Muslimah ini. Dakwah itu indah mengapa perlu disusahkan. Dakwah itu untuk semua mengapa perlu kita membuat pilihan dalam memberi. Teguran ikhlas dari saya buat wanita yang bertudung labuh, jika ada sahabat kita yang tidak sama pakaian mereka dengan kita yakni berjubah dan bertudung labuh, jangan sekali-kali kita meminggirkan mereka. Dekati dan fahami mereka tentang indahnya menutup aurat mendidik mereka bukan memerli atau menyentap hati mereka. Lapikkan dengan usikan manja bukan gurauan yang menusuk di jiwa. Itu bukan mencari bahagia tetapi menyemarakkan api yang sedang menyala!.

Cantik itu sifat pada wanita. Ia subjektif dan bersifat sementara. Dapat wajah cantik syukur dan senyum. Di kurnia wajah yang berlainan kecantikan juga patut syukur dan senyum!. Jika sudah tahu diri kita itu mempunyai kecantikan yang luar biasa janganlah pula disalah gunakannya. Mungkin senyuman itu boleh memberi racun pada teruna yang melihatnya. Bahkan ibarat daging segar yang disuakan di hadapan mulut buaya yang hidup di darat!. Tidak perlu berniqab cukup sekadar menjaga pandangan bukan membalas senyuman. Sekadar bertegas dengan diri dan nafsu! Tundukkan pandangan dan mahalkan senyuman pada sang kumbang. Bukan isyarat sombong atau menolak sunah tetapi ingin menjaga diri dari fitnah dan sikap mazmumah. Ingat dari mata turun ke hati. Bahaya! Kawal dan selia hati anda sebaik mungkin!

p/s:pandangan dari kaca mata bebas buat golongan wanita. Insya Allah dilain masa ada titipan dan peringatan khas buat kaum lelaki!!