Mata masih segar tapi hamba merasakan amat
sukar untuk terbang ke alam fantasi! Serba tidak kena! Ke kiri dan ke kanan
semuanya sama tidak langsung mampu melelapkan mata. Arh…mengapa begitu sukar
hendak merehatkan minda dan membiarkan roh hamba bebas seketika! Sang cengkerik
masih bernyanyi riang tapi hamba masih lagi tidak mampu untuk membiarkan jiwa terbang.
Fikiran terus melayang dan terus melayang…..
~9.00 Malam~
Mesej dari bonda tiba…
“Assalamualaikum anakndaku, moga sihat
seadanya, bonda ingin menitip perkhabaran duka, jiran kita di desa baru sahaja
dijemput oleh yang Esa. Tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk dia.”
Hamba terpaku dan terus bertanya….
“Wassalam bonda, Alhamdulillah anaknda
sihat sahaja. Bagaimana perkhabaran bonda di desa? Jiran kita yang mana bonda?
“Alhamdulillah bonda sihat sahaja, jiran
kita yang berada di sebelah musolla desa kita.”
“Innalillahi wainna ilahirrajiun. Anaknda
seakan tidak percaya. Rasanya baru sahaja ketemu dengan dia bonda, anaknda malu
dengan dia..waktu itu dia yang kerap ke Rumah Allah tetapi anaknda tidak.
Allahu akbar. Allah masih sayangkan dia. Allah berikan peluang untuk dia.
Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang
beriman..Ameen”
“Mudah-mudahan begitulah..anaknda ku yang
ku cinta kerana Yang Esa, bagaimana jika ini titipan terakhir atau bualan
terakhir antara anaknda dan bonda? Anakndaku, walau apa pun yang terjadi
ingatlah bahawa Allah maha mengetahui. Bonda redha jika sudah dipanggil oleh
NYA tapi bonda masih perlukan rantai doa dari anaknda”
Air mata hamba mengalir laju…..
Persoalan itu hamba tamatkan dengan panggilan
kerinduan. Hamba tahu bonda rindukan hamba. Hanya doa dan tawakal di serahkan
pada yang Esa moga bonda sihat sentiasa.
~~~~~~~~~~
4.00 Pagi
“Ya Allah, bagaimana jika esok aku sudah
tiada lagi di duniamu ini?”
“Wahai Allah, aku masih belum cukup amal
bahkan masih kurang beramal untukmu…”
“Wahai Allah pahalaku masih sedikit tetapi
dosaku semakin membukit”
“Ya Allah, bagaimana jika esok aku bangun
bukan lagi didunia tetapi aku berada di alam barzakh sana?”
“Aku penuh dengan dosa. Aku mengaku aku
hamba tetapi aku ingkar!”
“Aku mengaku DIKAU Tuhanku tetapi aku sengaja
tidak mahu mengenal bahawa DIKAU Tuhanku”
“Hebat sangatkah aku???Leka dengan pujian
lupa pada diri yang hanya kepunyaan Tuhan!”
“Ya Allah adakah kau menerima taubatku?
Adakah kau mengampunkan dosa-dosaku yang lalu?”
“Ya Allah..orang memandangku tinggi tapi
aku tahu dosaku penuh dalam diri”
“Astaghfirullahalazim.Ya Allah DIKAU
izinkan aku berada di duniamu ini tapi aku leka dan terus leka!”
“Allah..Allah..Allah ampunilah dosa kedua ibu dan bapaku, ampunilah dosa
seluruh ahli keluargaku. Ampunilah dosa seluruh kaum Muslimin dan muslimat,
ampunilah dosa guru-guru dan pensyarah-pensyarahku, ampunilah dosa
sahabat-sahabatku dan yang akhir ya Allah ampunilah dosa hambamu ini yang lemah
lagi hina. Ameen.
Dan Kami menguji kamu dengan
kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan
dikembalikan.
Al-Anbiyaa’: 35
Kita dilahirkan dengan tangisan kemudian
kita meniti hidup juga dengan selitan senyuman dan tangisan dan pemergian kita
juga akan turut diiringi dengan tangisan. Setiap tangisan itu tanda bahawa
bukan kita menzahirkan kekecewaan tetapi kita menatijahkan ketaqwaan dan
kesyukuran kepada Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan kita. Terkadang
hati kita keras dan sukar untuk menangis tetapi kita lupa dengan tangisan kita
mampu mengalirkan air kekecewaan menjadi tenaga kekuatan pada diri kita.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama dengan kita..
Hidup dilahirkan untuk menerima ujian jika
kita takut untuk menghadapi ujian untuk apa kita dihidupkan? Getir dan pahitnya
sebuah ujian dalam kehidupan itu pasti ada syurga kemanisan yang akan menunggu
kita cuma masanya yang akan menentukan. Sebagai hamba Allah kita wajib percaya
kepada hari pembalasan yakni hari Kiamat dan kita tahu setiap apa yang kita
lakukan di dunia ini pasti akan mendapat balasan di akhirat kelak. Dunia
merupakan tempat kita berpenat dan akhirat nanti adalah destinasi untuk kita
berehat! Senyumlah tatkala diri menerima ujian. Bisik dalam diri bahawa ia
bukan ubat yang pahit tetapi madu yang manis untuk kita rasa.
Setiap peristiwa yang berlaku itu ada
hikmahnya. Allah telah mentakdirkan sesuatu itu kepada kita dan kadang-kadang
apa yang kita rasa itu tidak adil untuk kita terima tetapi kita lupa bahawa
ALLLAH MAHA MENGETAHUI!. Sedarlah wahai diri, walau hati disakiti kita masih
punya Ilahi, walau pengorbanan kita tidak mendapat pujian tapi yakinlah bahawa
ia di pandang Tuhan dan walau kita dihenyak dengan pelbagai ujian, senyumlah
kerana ia merupakan kejayaan buat kita. Usah dipeduli apa orang kata tetapi
yakini apa yang Allah suka. Kita tidak mampu menutup mulut orang di sekeliling kita
kerana itulah lumrah manusia yang suka bercerita dan mengadu domba. Kesalahan
orang terlalu besar untuk diterima tetapi kesalahan sendiri hanya dipejamkan
mata. Dalam bahasa sejarah ‘melakukan pengadilan moral’ yang bersifat bias dan
tidak bebas!.
Kita sibuk bercerita tentang keburukan dan
kekurangan rakan-rakan kita tetapi kita lupa pada keburukan dan keaiban yang
ada pada diri kita. Kita lupa dan kita sengaja melupakannya. Menganggap diri
lebih sempurna dari sahabat kita dan merasakan kita lebih segala-galanya. Ada
di antara kita yang tidak boleh melihat orang lain lebih daripadanya dalam
setiap segi. Jika ada, mula menarik muka dan mencebik wajah seperti ungka di rimba.
Sungguh bahaya sifat seperti ini. Kita tidak akan maju jika terus begini dan
selamanya. Bukan menarik muka apabila melihat sahabat kita punya kelebihan dari
kita tetapi kirimkanlah nasihat dan doa buatnya mudah-mudahan dia istiqamah dan
tidak menyalahgunakan segala kelebihan yang dikurniakan Tuhan itu.
Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak
mampu mendidik lidah supaya menjadi baik. Apa guna wajah yang cantik tetapi
tidak mampu menggunakan akal supaya menjadi cerdik! Mari sama-sama kita
merenung diri. Segala apa yang berlaku di dunia ini adalah teguran dari Tuhan.
Masalah alam mula menangis akibat dari kita yang tidak peka dan tidak mahu
mengambil peduli tentang alam yang melindungi kita. Mudah-mudahan kita selamat
dari bencana dunia dan dilindungi oleh yang Maha Esa.Ameen.
Salam pertemuan buat semua. Satu soalan
saya hari ini buat teman-teman semua. Bagaimana hati dan iman anda hari ini?
Masih ‘sihatkah’. Alhamdulillah. Setia itu menyakitkan? Benarkah
ungkapan ini? Ungkapan ini begitu popular pada pasangan yang baru sahaja
mengalami kemalangan di dalam percintaan mereka yakni putus atau suami isteri
yang mengalami kecurangan pasangan hidup mereka. Moga kita di jauhi dari segala
fitnah dunia ini. Ameen
“Kalau tidak mampu untuk setia jangan
sekali kita mengenal cinta.” Indah betul ungkapan ini. Mungkin ada yang
memahaminya pada tafsiran yang berbeza. Pertama kali melihat saya agak terjatuh
hati dengan kata-kata ini. Tapi kali kedua melihat dan memikirkannya membuatkan
hati saya mula mempersoalkannya. Sebenarnya cinta yang bagaimana yang boleh
didasarkan dengan makna setia. Kita harus memahaminya sedalam-dalamnya. Ramai
yang beranggapan ‘orang ketiga’ itu adalah punca yang menjadi keretakan
dalam hubungan cinta dan rumahtangga. Kita sering menyalahkan orang ketiga
tetapi mengapa kita tidak merujuk kepada ‘orang pertama’ dan ‘kedua’ yakni
pasangan yang sudah ada tali ikatan cinta itu sendiri? Setiap yang berlaku
pasti ada sebabnya.
Mengapa pasangan kita berubah hati kepada
yang ketiga kerana kita tidak mampu mendidik hati kita untuk menjaga hatinya.
Saya ulangi kerana kita tidak mampu mendidik hati kita untuk menjaga hatinya.
Bagi memahami apa yang saya jelaskan tadi mari kita memahami apa yang
dimaksudkan dengan cinta itu. Cinta atau hub atau pyar atau love atau
mohabbatein ini banyak di sebut di dalam Kalam Allah kerana ia mempunyai maksud
yang indah. Cinta itu fitrah dan sememangnya ada pada setiap makhluk yang
diciptakan oleh Allah. Bercinta itu tidak salah tetapi melanggar hukum cinta
itu yang salah. Menghalalkan yang haram itu yang membawa kepada mazmumah. Boleh
menghalalkan yang haram tetapi perlu betul caranya. Bagaimana? Nikah.
Jika bertunang adakah masih halal untuk
menjalinkan cinta? Haram sekiranya kita melanggar segala yang dilarang di dalam
agama seperti bersentuhan atau berpimpinan tangan. Kerana dia masih belum halal
untuk kita dan masih dia belum mahram kita. Bertunang itu hanya adat bukan
syariat. Maka harus dijaga setiap perlakuan kita. Zina hati terutamanya.
Kata orang, apabila kita bertunang ini banyak dugaannya dan saya menambah lagi
bahaya dugaannya. Cinta boleh jadi dendam jika tidak dijaga dengan mendalam!
Cinta juga boleh menjadi kesumat jika tidak dikawal dengan cermat!
Apabila bertunang, rindu di hati makin
mekar semekar bunga di taman. Dugaan pasti hadir dalam tempoh itu. Jika tiada
kawalan atau ketetapan iman pasti akan merobohkan ikatan yang membawa ke alam
perkahwinan itu. Oleh itu, kawallah hati nescaya kita akan mampu mengawal
diri! Setia itu bukan mudah tetapi tidak susah jika semuanya kerana Allah.
Jika matlamat betul dan jodoh yang kita pilih itu adalah tepat dengan kita
pasti hati kita susah untuk berubah atau tergelincir dari setia. Namun, jika
sebaliknya pasti akan berlaku perkara yang mendukacitakan kita tetapi
percayalah setiap kejadian pasti ada hikmahnya.
Mendidik setia itu sukar tetapi boleh
dikawal bukan dengan pandangan mata tetapi dengan pandangan mata yang ada pada
dada yakni hati!.
Jika setia kita bentuk dengan hanya
pandangan mata, maka apabila berlaku ‘pameran’ kecantikan wanita di hadapan mata
kita. Kita akan jadi buta. Buta memilih antara yang indah dan sedap untuk di
pandang. Apabila kita melihat rupa mungkin kita keliru dan buntu. Masih tercari-cari
yang paling cantik. Percayalah kecantikan manusia itu takkan kekal hanya
Allah sahaja yang maha kekal. Zaman sekarang ini berbeza, apa guna rupa
yang cantik jika banyak penyakit! Apa guna wajah yang tampan jika tidak mampu
melaksanakan suruhan Tuhan.
Berbalik pada ungkapan tadi. Sebenarnya setia
itu tidak menyakitkan bahkan membahagiakan walaupun kita disakiti. Tetapi ada
yang berkata luka di jiwa lebih dalam dan lama kesannya dari luka yang ada pada
tubuh badan kita. Tetapi kedua-duanya tetap meninggalkan kesan dan parut! Kita
perlu mengenal cinta! Kita perlu mentadbir setia! Tetapi bagaimana cara dan
pelaksanaannya? Jawapannya kenal cinta DIA dahulu. Kita mengaku kita tahu Allah
itu ada tetapi kita tidak benar-benar kenal bahawa Allah itu ada dengan kita
bahkan sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri kita.
Apabila kita disakiti atau dicurangi pernahkah
kita menyoal kembali diri kita. Adakah kita pernah menyakiti Allah dan
mencurangi kasih Allah kepada kita. Kita sudah lupa ‘si pemberi’ kasih dan
cinta apabila kita bertemu dengan ‘dia’ di dunia. Kita bercinta kemudian putus
kemudian bertemu lagi kemudian putus lagi kemudian bertemu kembali. Takdir dari
Allah. Apabila berlaku perkara yang menguji hati dan perasaan kita, barulah
kita akan kembali kepada Allah. Mujur masih diberikan hati untuk berubah. Itu
tanda hati kita masih belum mati lagi. Acap kali kita melakukan dosa dan acap
kali kita bertaubat. Kita bersih dan suci. Tetapi pernahkah kita berfikir sudah
berapa kali kita berlaku curang terhadap kasih Allah kepada kita?
Ketika bertemu dengan ‘dia’ kita percaya
bahawa dia adalah jodoh kita dan datang dari Tuhan dan jodoh itu kita yang
berusaha mendapatkannya. Maka dilaksanakan Istikarah, Doa dan Istiqamah dalam
memilihnya. Tetapi sedarkah kita, adakah kita benar-benar sudah bersedia untuk
mendapatkan jodoh kita itu. Saya ulangi soalan saya adakah kita sudah mampu dan
sanggup ke alam tanggungjawab yang lebih besar? Tiada guna jika makan dan
belanja pun masih ditanggung ibu bapa tetapi hati ‘gian’ hendak mencari jodoh
yang mulia. Bagi mereka yang berkemampuan tidak mengapa tetapi bagi yang
tidak, fikirkanlah sedalam-dalamnya. Apa guna mengejar syurga rumah tangga seandainya
syurga di bawah telapak kaki pun masih terkial-kial mencarinya. Di dalam
kehidupan ini kita harus tahu bahawa jodoh itu kita merancang memilihnya dan
Tuhan juga merancang menentukannya. Percayalah bahawa jodoh dari Tuhan itu
adalah yang paling tepat kerana dia Maha Agung dan Maha mengetahui.
Bersabarlah.
Namun, jika kita rasakan cinta kita yang
sekarang ini adalah milik kita dan dia sebenarnya kita sudah melakukan satu
kesilapan yang agak besar. Ini bermakna kita sudah memberikan hati kita kepada
dia dan berharap dia yang terawal dan terakhir atau dia yang kedua dan terakhir
atau dia yang ketiga dan terakhir. Apabila bukan kerana Tuhan, cinta yang
diberikan itu bertemu titik perhentian dan ujian maka apa yang dipanggil setia
itu akan dikatakan sebagai satu kesakitan. Ingatlah apabila kita memiliki
sesuatu jangan sekali-kali kita menganggap ia merupakan milik kita
selama-lamanya anggaplah ia hanya pinjaman. Kerana jika kita meminjam
kita harus memulangkannya kembali. Begitu juga dengan cinta, anggaplah ia
pinjaman dari Tuhan. Jika nikmat itu ditarik balik kita tidak akan merasa
kesakitan kerana ia sebenarnya MILIK TUHAN. Kita tiada daya untuk
menghalangnya.
Jika hendak menilai setia mari kita renungi
kisah Asiah isteri Firaun, dia setia kepada suaminya tetapi Allah yang utama.
Dia diuji dengan suami yang zalim dan kejam tetapi dia yakin dengan percaturan
Tuhan. Setia itu tidak menyakitkan tetapi memberi kebaikan. Apabila kita
diduakan baru kita tahu kita juga telah menduakan cinta Tuhan! Setia itu
membahagiakan! Walau hati disakiti tetapi ingat kita masih ada Ilahi bukankah
dia yang mengurniakan hati kita? Kesetiaan itu pasti di balas. Jika bukan di
dunia mungkin nanti di alam sana. Apa yang penting kita sentiasa berbaik sangka
dengan Tuhan!
********
“Abang, awek saya minta putus la”
“Kenapa? Korang dah kenal berapa tahun?”
“Erm..lama jugak.dalam 5 tahun”
“Lama tue, apa alasan nak putus dengan kau?”
“Katanya nak berubah kerana Allah, dia tak
dapat nak tumpukan pelajaran dan bukan ini yang dia harapkan dalam perhubungan.”
“Kau dah apa-apakan dia ke?”
“Ish takdela bang”
“Kau nak tahu kenapa dia bagi alasan tue
dan minta putus dengan kau?”
“Kenapa? Saya takda masalah pun dengan dia
dan saya setia dengan dia bang”
“Sebab dia ‘JEMU’..”
“Jemu??Kenapa abang cakap macam tue?”
“Hubungan yang dibina lama tanpa ada
pengakhiran buatkan kita jemu, perkara yang dulu luar biasa ketika kita bertemu
dengan dia sekarang sudah menjadi biasa-biasa sahaja, mesej, telefon, we chat,
fb, twitter, whass up dan sebagainya membuatkan timbul satu perasaan iaitu
JEMU!! Segala yang dia katakan itu hanyalah alasan tapi hakikatnya dia sudah
jemu dengan kau!
p/s : pandangan dari kaca mata bebas.
Dakwahku untuk semua.
Alhamdulillah semalam saya menyambut hari
kebebasan setelah sekian lama berjuang dalam medan ilmu. Selesai untuk semester
ini. Masih berbaki 2 semester lagi untuk beralih ke bidang kerjaya. Di harap
para pembaca dapat mendoakan kejayaan saya di dunia dan akhirat. Ameen. Semalam
juga mencoret satu cerita indah buat diri saya yang penuh dosa ini.
Allah mentakdirkan saya untuk
menghadiri satu majlis ilmu yang di sampaikan oleh Syeikh Nuruddin Al-Banjari.
Pertemuan buat kesekian kalinya. Syukur ya Allah di atas pengisian ini dan aku
yang Dikau pilih untuk ke taman syurga.
Banyak mesej yang di sampaikan oleh Syeikh,
santai dan penuh bermakna buat diri yang masih dan selalu melakukan
dosa. Astaghfirullah. Layakkah kita bergelar hamba kepada Allah sekiranya kita
senantiasa mendustai segala arahan dan suruhan Tuan kita yakni Allah. Hamba itu
taat sifatnya. Tapi taatkah kita kepada Allah? Hamba itu patuh sifatnya tetapi
patuhkah kita dengan arahan dan larangan dari Allah? Astagfirullah.
Antara yang menarik perhatian saya
pada isi penyampaian beliau adalah berkenaan dengan kuasa sebuah zikir yakni Istighfar.
Allahu Akbar, begitu cetek ilmu kita kerana zikir yang selalu kita amalkan
itu bukan sahaja untuk mendapat keampunan dari Allah tetapi juga turut menjadi
pembuka rezeki kepada kita dan penawar apabila kita berada dalam duka.
Istighfar itu membawa maksud “Aku bermohon ampunan kepada Allah yang Maha Agung”.
Perbanyakkanlah Istighfar di dalam hidup kita. Bukan hanya sekali sehari tetapi
berkali-kali. Kisah pengajaran terlalu banyak tentang orang yang mengamalkan
zikir ini. Mari kita ambil ibrah di atas segala kurniaan nikmat yang diberikan
Tuhan. Rezeki itu datang dengan hati yang suci, bagaimana mendapatkan hati yang
suci? Kembalilah meminta keampunan dari Ilahi.
“Barang siapa
memperbanyak Istighfar, maka akan diberi kelapangan dalam setiap kesusahan dan
jalan keluar dari kesempitan. Dan dianugerahi rezeki dari jalan yang tiada
disangka-sangka. (HR Abu Dawud dan Nasa’i)
Mari sama-sama kita perbanyakan zikir
pada Ilahi untuk menghilangkan segala daki yang ada di dalam hati yang hampir
mati. Saya tinggalkan anda dengan kuasa Istighfar yang harus kita ambil pengajaran
buat kenikmatan dalam hidup kita. Kemudian, syeikh juga turut memberi
peringatan tentang bahagianya kita apabila berada di rumah Allah yakni masjid
dan surau. Kita boleh berjemaah dengan sahabat handai di tempat makan dan
sebagainya tetapi kita susah untuk berjemaah di masjid bahkan ‘liat’ untuk
menggerakkan kaki ke masjid. Mujurlah ada solat Jumaat jika tidak mungkin sukar
dan payah untuk melangkahkan kaki kita ke Rumah Allah. Lucu apabila Syeikh
secara sinis menyatakan bahawa ada beberapa jenis golongan yang akrab dengan
masjid ini. Golongan pertama yang sentiasa ada di masjid setiap kali solat lima
waktu. Golongan kedua adalah yang hanya mampu ke masjid sekali sahaja dalam
seminggu yakni ketika Solat Jumaat. Golongan ketiga pula adalah golongan yang
mampu ke masjid sekali sahaja dalam setahun yakni ketika Solat Sunat Hari Raya
Aidilfitri atau ketika Solat Sunat Hari Raya Aidiladha. Golongan yang terakhir
pula ialah golongan yang sekali sahaja dalam seumur hidupnya ke masjid yakni
ketika dia disembahyangkan (menjadi jenazah).
Pengajarannya. Jadikanlah diri kita
mencintai masjid sebelum masjid menjadi tempat untuk kita disembahyangkan.
Mungkin pembaca masih tertanya-tanya apa kaitannya dengan tajuk cerita saya.
Sabar dahulu. Akan saya terangkan di sini. Usai mendengar ceramah dari Syeikh,
saya bergegas ke hadapan saf imam untuk mengambil peluang untuk bersalam. Ramai
jemaah yang ingin mengambil peluang untuk bersalam dengan beliau termasuklah
saya. Alhamdulillah, Allah memberi peluang itu. Kemudian para jemaah meneruskan
sola Isyak. Saf sudah dirapatkan. Saya mengundur ke saf yang pertama malangnya,
sudah penuh dan tiada ruang. Teringat pada zaman Rasulullah, para sahabat
berebut-rebut untuk berada di dalam saf yang pertama kerana ingin mendapatkan
pahala. Tetapi pada zaman kita saf yang paling belakang itu adalah saf yang
lebih ‘afdal’ dan ‘awesome'.
Saya
mengundur lagi ke saf ye kedua masih penuh, ketiga sama sahaja dan keempat
tiada juga ruang dan kelima…mata saya terpandang pada hujung penjuru di
bahagian tepi bersebelahan dengan seorang tua yang awesome itu. Alhamdulillah,
ada juga ruang. Saya mengizin lalu di hadapannya kemudian saya berada di
sebelah kiri di bahagian paling tepi dan agak sempit. Belum sempat saya
mengangkat takbir orang tua yang mulia itu memegang bahu saya dan dia menarik
saya ke sisi kanan beliau. Dia mengambil tempat saya di sisi kiri dan saya cuba
menghalang kemudian dia berkeras dengan senyuman. Biar sempit asalkan orang tua
itu dapat solat selesa. Tetapi keselesaan itu dia memberikannya kepada saya.
Subhanallah. Hendak sahaja memeluk beliau seeratnya persis datuk saya di
kampung. Rakaat pertama usai dilakukan, Orang tua itu seakan dalam kepayahan
untuk bangun melakukan rukuk, sujud dan iktidal namun dia gagahkan kerana dia
yakin Allah melihat. Bayangkan, dia terpaksa menggunakan bantuan tangannya
untuk menguatkan tenaganya untuk berdiri.
Rasa kasihan menyelubungi hati saya.
Usai solat, sempat saya membalas senyuman dengannya dan bersalam. Saya
mendoakan beliau panjang umur dan sihat tubuh badan. Ameen. Ketika melangkah
keluar di pintu masjid fikiran saya melayang monolog hadir dalam tenang…
“Aku yang masih muda ini pun kadang-kadang susah
untuk berjemaah di masjid..”
“Aku masih diberi kekuatan tenaga untuk bersolat,
tetapi pak cik itu walau ditarik sedikit kenikmatan sihat beliau tetap terus
melakukan solat berjemaah. Bagaimana pula dengan aku yang masih sihat?”
“Apabila aku sudah tua nanti, adakah aku akan
sentiasa mendekat dengan masjid atau semakin menjauh? Ya Allah lindungilah aku
dari sifat yang keji.”
Saya tinggalkan sebuah hadis buat renungan para
pembaca….moga penulisan kali ini mendapat manfaat buat semua.
Rasulullah S.A.W bersabda
: ”Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang
yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap :
“Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi
dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata
lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak
sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad]
Salam pertemuan buat sahabat semua. Sudah
lama rasanya tidak berkongsi cerita di alam nyata ini. Alhamdulillah masih
diberikan kesempatan oleh Allah untuk sama-sama menitip secangkir dakwah buat
semua. Bicara kali ini tentang perubahan. Ramai yang ingin berubah tetapi tidak
ramai yang sanggup istiqamah dan bermujahadah!
Setiap usaha yang hanya dilapik dengan
semangat tanpa di alas dengan keringat hanyalah sekadar usaha yang singkat dan
tidak akan sampai ke garisan penamat. Perubahan memerlukan pengorbanan.
Pengorbanan dari sudut rohani dan jasmani. Sudah menjadi lumrah perubahan kita
pasti akan ada yang berbicara tetapi ingat juga tetap ada yang menitip doa
untuk kita. Kita bukan insan yang baik tetapi kita adalah insan yang sentiasa
ingin menjadi dan melakukan kebaikan. Lihat sahaja adilnya Tuhan, orang jahat
juga diberi nikmat dan orang yang baik juga turut sama diberi nikmat. Tetapi jalan
menuju nikmat itu ada pada kita sama ada yang halal atau yang haram.
“Saya hendak berubah menjadi baik dan saya
dan mendekatkan diri kepada Allah.” Mesti ramai di antara kita yang pernah mengungkap
kata-kata ini bukan? Percayalah Allah tidak menilai adakah kita sudah berubah
menjadi baik tetapi Allah menilai adakah kita sudah berusaha untuk menjadi
baik. Itu yang di nilai. Mari kita berbicara soal perubahan fizikal. Fokus
kepada makhluk yang penuh perasaan. Wanita atau kaum hawa. Buatmu para wanita
usah bimbang dengan kata-kata yang mengeji perubahan dirimu. Jika kau sudah
selasa dengan pakaian ‘barumu’ yang lebih labuh, sopan dan ayu teruskanlah dan
jika kau sudah selesa dengan kain yang menutup mukamu itu teruskanlah kerana
itu lebih indah. Namun harus di ingat bahawa tunjukanlah kebaikan di dalam
perubahan mu itu bukan kau menunjuk-menunjuk. Ini bahaya dan amat bahaya.
Kita sering melihat budaya niqab/purdah
ini sudah menjadi trend wanita pada hari ini. Alhamdulilllah ini merupakan satu
mesej yang penting buat kemurnian Islam dan golongan wanita. Jika dahulu wanita
seperti digelar dengan gelaran yang menyeramkan seperti hantu bungkus dan stoking
bergerak( rujuk kembali sejarah perkembangan Islam di Malaysia, 1970). Saya pun
tidak mengerti kenapa mereka digelar sebegitu rupa. Teruskanlah bagi yang ingin
istiqamah. Namun jangan jadi seperti chipsmore sekejap ada sekejap
tiada. Al-hasil perubahan itu tidak mendatangkan apa-apa. Apa yang perlu kita
ambil pengajaran adalah perubahan kita itu adakah untuk mendapat penghargaan
manusia atau mendapat redha Allah?. Bagi saya tidak perlu kita mengambil gambar
kita berpurdah atau bertudung labuh kemudian di upload di facebook, istagram
atau twitter dengan status “cuba menjadi solehah” atau “bakal makmummu” ataupun
“doakan saya suatu hari nanti”. Jika hendak melakukan perubahan tidak perlu
kita tayangkan. Cukup sekadar berdoa pada Tuhan kemudian gerakkan dengan
tindakan!
Saya suka lihat melihat golongan berpurdah
ini tetapi saya benci melihat mereka yang menjadikan fesyen yang berlebihan di
dalam berpurdah. Berpurdah itu cantik, tetapi apa maknanya jika make-up di muka
masih tebal, kening dicukur halus, alis mata dilentikkan dan jubah yang dipakai
bukan menutup tetapi membalut. Ini boleh ‘merosakkan’ mata pada yang melihat
dan ‘mematahkan’ hidung pada yang menghidu. Perubahan kita bukan didasarkan
atas ikutan atau trend tetapi atas ilmu dan pengetahuan. Itu yang utama.
Nasihat saya bagi golongan Muslimah ini, ingatlah berpurdah itu indah, jangan
rosakkannya dengan mazmumah dan fitnah! Kain itu menutup mulut dan sebahagian
muka anda itu juga memberi petanda bahawa jagalah percakapan kita. Ingat Allah
itu maha mendengar.
~~~~~~~~~
“Perempuan tue tudung labuh sampai ke
punggung tapi mulut mengalahkan murai dirimba” Keluh seorang sabahat saya.
“Habes tue kenapa?” Soal saya.
“Yerla, aku ingatkan pakaian tue
melambangkan akhlak dia. Baik, tidak berburuk sangka dan sopan sahsiahnya..tapi
ada ke patut dia kata aku playboy! Disgusting!. Keluh beliau lagi.
“Ish kau nie, tak baik fitnah perempuan
yang macam tue. Dengar sini, mungkin dia mendengar cerita tue dari sebelah
pihak je kot..lebih baik kau bersangka baik, yang buruk itu bukan pakaian dia
tetapi mulut dan akhlak dia. Sama-sama kita doakan”
“Agaknya itulah yang terjadi bila nak
berubah tetapi tidak mujahadah dengan Allah.” Balas dia selamba
“Wow, hebat kau bermadah!” Usik saya
“Bukan, sekadar memberi ibrah.”
Sedikit perbualan ringkas antara saya
dengan sahabat handai tentang golongan Muslimah ini. Dakwah itu indah mengapa
perlu disusahkan. Dakwah itu untuk semua mengapa perlu kita membuat pilihan
dalam memberi. Teguran ikhlas dari saya buat wanita yang bertudung labuh, jika
ada sahabat kita yang tidak sama pakaian mereka dengan kita yakni berjubah dan
bertudung labuh, jangan sekali-kali kita meminggirkan mereka. Dekati dan fahami
mereka tentang indahnya menutup aurat mendidik mereka bukan memerli atau
menyentap hati mereka. Lapikkan dengan usikan manja bukan gurauan yang menusuk
di jiwa. Itu bukan mencari bahagia tetapi menyemarakkan api yang sedang
menyala!.
Cantik itu sifat pada wanita. Ia subjektif
dan bersifat sementara. Dapat wajah cantik syukur dan senyum. Di kurnia wajah
yang berlainan kecantikan juga patut syukur dan senyum!. Jika sudah tahu diri
kita itu mempunyai kecantikan yang luar biasa janganlah pula disalah gunakannya.
Mungkin senyuman itu boleh memberi racun pada teruna yang melihatnya. Bahkan ibarat
daging segar yang disuakan di hadapan mulut buaya yang hidup di darat!. Tidak
perlu berniqab cukup sekadar menjaga pandangan bukan membalas senyuman. Sekadar
bertegas dengan diri dan nafsu! Tundukkan pandangan dan mahalkan senyuman pada
sang kumbang. Bukan isyarat sombong atau menolak sunah tetapi ingin menjaga
diri dari fitnah dan sikap mazmumah. Ingat dari mata turun ke hati. Bahaya!
Kawal dan selia hati anda sebaik mungkin!
p/s:pandangan dari kaca mata bebas buat
golongan wanita. Insya Allah dilain masa ada titipan dan peringatan khas buat
kaum lelaki!!