Labels

Pages

Followers

Saturday, September 29, 2012

Akhirnya, Kita bertemu jua...


Salam, Alhamdulillah kesempatan yang ditunggu-tunggu akhirnya bersua juga. Allah pertemukan saya dengan idola saya. Jika dahulu saya hanya membaca karya-karyanya dan hanya mampu membayangkan sahaja gaya penyampaiannya dan jika dahulu mata hanya mampu melihat sosok tubuhnya di kaca televisyen dan telinga hanya mampu mendengar lunak suaranya di corong radio. Kata-katanya terpancar hikmah, susunan bicaranya penuh berhemah dan memberi kuasa pada hati yang lemah.

Setiap kali membaca karya-karyanya saya berbisik di dalam hati, mudah-mudahan suatu hari nanti saya dapat berbicara dan bersua muka dengan insan yang saya hormati ini. Allah memberikan suatu ilmu yang luar biasa kepadanya. Lisannya mudah diterima, nasihatnya mekar untuk dibaja. Saya berdoa moga dapat dipertemukan dengan insan ini. Susun kata dari karyanya begitu mudah meresapi ke jiwa saya. Bermula dengan memahami kitabnya –Nota Hati Seorang Lelaki akhirnya saya sudah jatuh cinta dengan kitab beliau yang seterusnya sehinggalah yang terbaru ini –Cinta Kerana Allah.

Saya juga bersyukur kerana mampu memperkenalkan karya-karya idola saya ini kepada sahabat saya. Alhamdulillah mereka juga terpengaruh. Moga ada bekal saya di sana nanti. Ameen. Allah itu maha kaya, Maha Pemurah dan Maha segala-galanya. 28 September 2012, Jumaat penghulu segala hari. Impian yang dinanti-nanti akhirnya dipenuhi Ilahi. Saya berpeluang menghadiri slot bicara ilmu yang disampaikan sendiri oleh beliau. Syukur, kerana akhirnya Allah berikan kesempatan untuk bertemu dengannya.

Namun hati saya gusar, adakah saya hanya dapat melihat beliau berbicara dikejauhan sahaja. Saya santuni diri mendengar setiap inci bicara dari beliau. Saya amati setiap kata-kata beliau. Saat berlalu saat, minit beransur minit dan jam berlari laju hingga ke akhir bicaranya. Tamat sudah bicara dari beliau. Allah, begitu banyak ilmu yang diberi. Moga dapat meresapi di dalam diri. Hati berbisik, ini mungkin peluang pertama untuk saya bertemu dengan beliau.

Saya berdoa dalam hati. ‘Rabbi Yassir Wala Tuassir’. Mudah-mudahan dapat bertemu dengan tokoh ini. Seusai menyampai bicara, beliau bergegas ke meja ‘meletak tanda’. Beliau dikejar oleh dua orang pemuda dan mereka sempat merakam gambar dengannya. Alahai cemburu rasa dijiwa. Takdir Allah, saya bergerak langkah ke arahnya dan disambut dengan senyuman manis. Bagai berjumpa para ulama. Senyuman penuh ilmu wajah berseri cerminan lelaki firdausi.

Dua keping potret dapat dirakamkan! Beliau memegang bahu saya. Seperti anak dan bapa bertemu kali pertama akrab seperti sudah lama bersua. Saya melafaz bicara

“Ustaz, ana nak jumpa ustaz boleh? Nak minta tandatangan dan sedikit ilmu ustaz.”

“InsyaAllah. Boleh..” Jawab beliau.

Saya begitu teruja, lebih teruja dari bertemu raja. Dia duduk ke meja melakar tinta. Sekejap sahaja dikerumuni oleh penagih ilmu seperti saya. Kitab beliau silih berganti menyalin tinta. Agar semua dapat merasa. Saya sabar menanti. Kini giliran saya. Malu untuk mengeluarkan kitab-kitabnya dari beg besar saya. Tapi saya gagahkan juga lalu terpancarlah kata-kata dari beberapa orang kaum hawa..
“MasyaAllah banyaknya die kumpul buku ustaz..”

Saya hanya diam. Dan hanya membiarkan mereka. Sempat juga saya mempromosikan buku beliau kepada mereka. Mungkin ada sebuah buku kecil (Duhai yang Tersayang) berjaya mendapat hati mereka. Saya hulurkan semua buku itu kepada Insan tersebut. Melihat saya yang menghulurkannya beliau lalu berkata

“MasyaAllah, awak kumpul semua buku saya. Saya suka sangat. Mudah-mudahan ada ilmu yang berguna. Doakan moga saya panjang umur dan sihat tubuh badan ye.”

“Syukran Ustaz. InsyaAllah, mohon doa dari Ustaz juga ye, moga saya dapat menjadi seperti ustaz.” Jawab saya

“Husairi, ambik kos ape?”

“Gulp..” Saya terdiam, bagaimana beliau boleh mengetahui nama saya. Rupa-rupanya di dalam buku itu ada tertulis nama saya.

Seusai menandatangani perjanjian.. maaf, buku beliau. Sekali lagi saya berkesempatan untuk merakam sebuah potret dengan beliau. Kemudian beliau memeluk saya seeratnya dan memegang kopiah saya. Bagai ada doa yang dibaca beliau. Saya terasa ada resapan ilmu dan semangat beliau. Allah, mudah-mudahan saya dapat menjadi seperti beliau.

Sempat saya berbicara. “Ustaz saya mohon izin menggunakan kata-kata dakwah ustaz di blog dan karya saya.”

Beliau lalu berkata “ Silakan Husairi. Teruskan, teruskan berdakwah, teruskan berkarya. Moga Allah merahmati kita.”

Mudah-mudahan kami akan bertemu lagi atau dapat sama-sama berganding bahu menyampaikan ilmu agama ini. Ameen..=)

Antara gambar yang sempat dirakamkan bersama beliau. Terima kasih Ustaz Pahrol Mohamad Juoi….










Friday, September 28, 2012

HINA NABI : DEMONSTRASI VS BERJEMAAH DI MASJID




Salam pertemuan buat sahabat semua. Alhamdulillah pada pagi jumaat ini dapat kita bersama-sama bernafas di bumi Allah ini. Masih lagi diberikan kesempatan untuk sama-sama kita  bersua. Allah maha pengasih maha penyayang. Syukur kepada NYA kerana kita hambanya yang dipilih oleh Allah untuk bersama-sama  meraih dosa dan pahala yang dikurniakan NYA.

Bisiklah pada hati kita tentang tanggugjawab yang telah kita jalankan sebagai hamba Allah. Monolog pada jiwa apa yang telah disumbangkan pada agama, berdialog dengan sebaya apa yang telah kita bantu untuk agama. Saat Islam dicerca saat Rasul tercinta di senda. Amarah kita membuah rasa. Berarak sini dan sana. Walau ada yang tidak seia dengan perlakuan ini. Kata mereka ‘tidak perlu berdemokrasi itu dan ini’  tidak perlu berarak ke sana ke mari seolah-olah kita memperjuangkan nabi dan agama Ilahi.

Bagi saya tidak mengapa. Saya ulangi, tidak mengapa. Setidak-tidaknya mereka menzahirkan sesuatu apa yang tersirat di dalam dada. Memperjuangkan agama. Apabila desakan ini keluar di mana-mana media ia mampu membuka mata kepada yang menghina. Setidak-tidaknya mereka mencuba! Ada yang mengatakan daripada kita berdemontrasi lebih baik kita berjemaah di masjid. Ya itu betul. Tetapi bagaimana hendak berjemaah andai kita sendiri berpecah. Apabila berbicara soal hukum Allah dan perlaksanaannya kita dikatakan berpolitik di rumah Allah.

Nabi dulu juga berpolitik. Agama tidak lari dari politik. Politik bukan sekadar berkait dengan pentadbiran negara tetapi seluruh kehidupan kita. Perlu kita paham dan perlu kita khadam. Kita lakukan semampu kita. Sekadar berkata tidak mencukupi tetapi kita amalkannya. Bagi yang mampu bersama-sama di jalanan untuk menzahirkan kebencian kepada kaum yang mengina Tuhan. Silakan. Tapi bagi yang boleh berdakwah tentang keindahan Islam teruskan! Jangan sesekali menghentam mereka yang berjuang di jalanan. Kia bersatu. Biar berbeza jalan tetapi kita punya satu tujuan! Tujuaannya adalah untuk mempertahankan agama kita.

Ingatlah, suatu masa dahulu saya pernah menulis tentang sebuah cerita berkenaan dengan jasa seekor burung kecil (rujuk sini). Allah tidak bertanya berapa banyak yang kita sumbangkan kepada agama tetapi Allah akan bertanya apa yang telah kita sumbangkan pada agama. Sekadar memberi pandangan dan luahan. Kita punya banyak berbezaan pendapat tetapi perbezaan itu bukan bererti penentangan.

Wednesday, September 26, 2012

Aku, Ramlee Awang Murshid dan Zainal Abas



Salam buat sahabat pembaca semua. Maaf ya kerana jarang meng ‘update’ blog. Biasalah apabila mula semester, kerja makin bertambah, amanah makin payah dan fizikal perlu dikerah. Walau bagaimanapun saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca dan peminat  setia Secangkirbicara.. di atas kerinduan anda terhadap blog ini.Hahahahaha. PERASAN!.

Semalam dan hari ini saya dipertemukan dengan dua orang insan hebat. Insan yang semakin mengukir nama dan dulu pernah menjadi insan yang ternama. Ketika berbicara dengan mereka seakan ada satu resapan tenaga kepada diri saya untuk terus berkarya. Bukan untuk mengejar populariti tapi untuk berkongsi ilmu Ilahi.

Ramlee Awang Murshid, akhirnya kita ketemu juga. Walau hanya seketika tetapi saya begitu salute dengan karya-karya anda. Maaf saya bukan peminat tegar anda. Kepada peminat bro Ramlee nie jangan marah ye. InsyaAllah mungkin satu hari nanti saya akan jatuh cinta dengan karya anda. Nak tengok gambar saya dengan dia..xpayahla kot..=)

Berbicara pula tokoh yang kedua ini. Mungkin di zaman ini kita sudah tidak mengenali nama Saudara Zainal Abas ini. Tapi pada era 70-an dan 80-an nama beliau begitu popular. Beliau merupakan bekas juruhebah RTM (DJ). Suaranya begitu memukau hati pendengar. Mungkin beliau amat dikenali pada zaman ibu, ayah dan datuk kita. Mudah cerita, popularitinya dulu setanding Aznil Haji Nawawi, Faizal Ismail, dan Farah Fauzana. Berbicara dan duduk semeja dengan beliau begitu mengujakan saya sehingga ada sesuatu yang beliau tawarkan kepada saya. Hehehe..doakan moga semuanya berjaya.

Saya dan Ramlee Awang Murshid


Tandatangan dari beliau


Saya dan Zainal Abas

Tandatangan dari beliau

Buku yang menceritakan pengalaman 100% beliau sebagai seorang juruhebah. Menarik!


Monday, September 24, 2012

Pilihanraya Kampus : Antara Amanah dan Fitnah



Terdetik rasa di hati untuk berbicara soal politik kampus. Walaupun penulis masih mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tetapi penulis merasakan penting untuk dikongsikan kepada mereka di luar sana. Terutama kepada mereka yang akan bergelar pemimpin dan kepada mereka yang ingin memilih pemimpin. Hati dan rasa membuat penulis  untuk menitipkan bicara politik kampus ini. Walaupun penulis bukanlah penyokong tegar daripada mana-mana parti politik di kampus tetapi penulis merasakan ada sesuatu yang perlu diberitahu dan untuk kita fikirkan sejenak.

            Jawatan dan kuasa dapat memberikan kita suatu kelebihan di luar jangka. Jika dahulu kita tidak punya apa-apa tetapi setelah menerima amanah dari NYA kita menjadi seorang insan yang berkuasa, kita menjadi pemimpin, kita menjadi pembawa kepada suara-suara mereka. Nah, Allah telah memilih kita Allah telah mentakdirkan kita untuk menjadi seorang insan yang digelar pemimpin. Pemimpin bukan suatu kebahagiaan tetapi suatu ujian. Pemimpin bukan suatu jawatan yang boleh menggerunkan lawan tetapi boleh mendatangkan murka Tuhan andai kita tidak tidak berpegang pada Taqwa dan Iman.

Selalunya di dalam pilihan raya kampus akan berlaku pertembungan dua kuasa besar dua parti besar di dalam pilihan raya kampus. Parti itu dinamakan Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi. Antara pihak kerajaan dan pihak pembangkang di kampus. Pilihan semua di tangan kita. Kita berhak memilih siapa yang kita kehendaki. Tetapi pastikan pilihan kita itu adalah pilihan yang benar kerana nanti kita juga akan di soal seandainya kita memilih pemimpin yang salah.

Rapat umum sememangnya satu ‘event’ yang ditunggu-tunggu oleh golongan yang bertanding untuk melontarkan buah fikiran, desakan, rayuan dan sebagainya. Bagi calon-calon yang bertanding ini merupakan titik mula untuk mereka memperkatakan apa yang mereka akan lakukan sekiranya mereka memenangi jawatan pemimpin itu nanti. Ada bermacam-macam gaya, ada pelbagai suara dan ada juga lantunan kata dari penyokong-penyokong mereka. Bagi yang inginkan kebenaran mereka terus melawan. Melawan bukan bererti menentang tetapi melawan untuk mencari kebenaran untuk diberikan kebebasan sebagai manusia ciptaan Tuhan. mereka memohon suara mereka didengar hanya sekali hanya untuk diberikan kepercayaan.

Bagi calon yang sudah tahu akan kemenangannya tidak perlu lagi untuk menjerit dan merayu undi. Mereka sudah dipilih, mereka sudah dilantik. Tetapi bukan dari suara mahasiswa. Dalam istilah ‘menang tanpa bertanding’. Ya. Ini biasa, sudah menjadi biasa tetapi, apabila mencecah jumlah yang banyak ia menjadi sesuatu yang agak luar biasa. Awas! Berhati hati dengan istilah ‘pilihan’ dan ‘lantikan’. Muhasabah diri anda. Ramai yang akan cuba mencari kesalahan. Allah sudah mencaturkan sesuatu buat mereka. Kita terima dengan redha tetapi kita teruskan menyokong dan menegur andai mereka melakukan kekhilafan. Walau kita punya beza fahaman tetapi jangan kita tentang sesuatu yang membawa kebaikan dan walau kita berlainan perjuangan tetapi biarlah kita seia dalam melaksanakan hukum Tuhan.

Ingin penulis tegaskan di sini, penulisan ini bukan untuk menghentam sesiapa tetapi sekadar pandangan bebas dari diri penulis sendiri yang telus dari lubuk hati. Pemimpin perlu laksanakan apa yang mereka katakan. Pemimpin bukan hanya pandai dalam syarahan untuk menjadi calon pilihan tetapi pemimpin juga harus bijak dalam perlakuan harus cerdik di dalam penilaian. Pemimpin bukan suatu jawatan yang perlu dibanggakan. Ingat! Jalan ke syurga itu banyak laluan, tetapi jika kepimpinan ini boleh membawa anda ke syurga terimalah dengan redha. Lakukan amanah dengan jaya dan laksanakan setiap apa yang dikau kata. Sendainya nanti dikau alpa apabila sudah berkuasa ingatlah akan maksud ayat Allah ini ~  Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 3.  Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. QS. Al-Shaff: 2-3.

Sebagai pemimpin kita bukan hanya pandai berkata-kata. Berjanji itu dan ini. Mungkin kita melihat mereka itu dari sudut luaran sahaja. Punya muka yang cantik dan kacak, ada poster menceritakan kehebatan mereka dan diuarkan ke sini dan ke sana. Itu hanya pada pandangan mata. Kita hanya melihat mereka dari sudut itu. Tetapi jika kita kenal siapa mereka sebelum mereka menjadi orang yang berkuasa, berfikirlah sebelum kita memilih mereka. Jika mereka sudah berubah menjadi baik itu bonus kepada kita tetapi jika apabila mereka berkuasa dan perangai lebih teruk dari apa yang kita sangka itu akan memberikan defisit buat kita!

Apabila diri sudah menerima lantikan nanti, jangan kita lupa pada yang setia dan jangan kita tinggal pada yang berdoa. Teruskan bersama, kita tetap kita. Jawatan hanya ada di universiti tetapi apabila keluar dari gedung itu ia sudah tiada. Di saat itu kita perlu kepada orang-orang yang bersama dengan kita. Jangan lupa pada insan yang bernama sahabat. Jangan hanya memberi kasih kepada pengampu-pengampu hebat jangan hanya suka pada kawan yang pandai memutar ayat tapi setialah bersama sahabat yang mengenali kita bermula dari kita menjejak langkah ke menari gading ini sehinggalah kita sudah mengecapi apa yang kia ada sekarang. Penulis amat tertarik dengan kata-kata seorang tokoh politik tanah air iaitu ~ Tangan yang membangunkan kamu ketika kamu rebah adalah lebih benar daripada seribu tangan yang bersalam denganmu ketika kamu sampai~ Buat pemimpin yang bakal menaiki kerusi tinggi nanti dengarlah akan ungkapan ini ~ kita kena akrab dengan manusia untuk mengetahui masalah mereka, tetapi kita kena akrab dengan Allah untuk membantu mereka menyelesaikan masalah itu.~ Walau siapa kita jangan sesekali kita lupakan kepada Pencipta kita.

Menjadi pemimpin bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan. Sebelum mengarahkan orang lain, kita perlu mengarah diri kita. Sebelum membuat perubahan kepada orang lain kita sendiri perlu merubah diri kita. Ingatlah! perubahan kita akan mengubah orang lain. Bila menaiki jawatan pemimpin jangan sesekali kita merasakan diri kita bagus! Kita mesti tahu aib yang ada pada diri kita. Kerana apa? Untuk memastikan bahawa kita sedar siapa diri kita yang sebenarnya. Kata Imam Ghazali ada 4 cara untuk kita mengetahui aib kita pertama melalui guru kita kedua, melalui sahabat kita ketiga, melalui musuh kita dan keempat melalui masyarat. Merekalah yang akan memberitahu keaiban kita. Terima dengan yakin. Lakukan perubahan, terima segala teguran jangan menjadi keras seperti batu dilautan. Dengar suara yang menegur walau mereka bukan siapa-siapa.  Jangan sesekali takut akan membuat kesalahan jangan sesekali kita merasakan diri kita baik! Tetapi didiklah diri kita supaya sentiasa hendak menjadi yang terbaik. Orang yang baik akan lihat kebaikan walaupun apa yang diterimanya itu merupakan ujian kepahitan.

Kata imam Shafie, ‘Belajarlah sebelum jadi pemimpin’. Kita sebagai pemimpin bukan memimpin. Ilmu agama menjadi panduan. Perbanyakkan amalan kita dengan membaca, mendengar majlis-majlis ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu dunia dan akhirat. Ilmu itu jambatan Iman. Lengkapkan diri kita dengan ilmu asas aqidah, akhlak, fiqah. Andai nanti bila kita bertemu dengan pemimpin yang berlainan agama kita dapat berhemah jika ada yang bersilat kata. Perlakuan kita dalam bicara dipandu dengan ajaran agama. Mungkin ia menjadi dakwah dan mungkin akan terhindar dari fitnah. Bila bermesyuarah jangan kita menjadi orang nombor satu menyokong majlis-majlis yang mendatangkan murka Allah. Tangani dengan penuh hemah dan helah agar tidak ada yang melatah.

Buat pemimpin yang bakal mewakili mahasiswa nanti, jangan dikau gusar atas nama fitnah. Andai dirimu terfitnah berdoalah kepada Allah sebagaimana golongan sufi berdoa ~Ya Allah seandainya apa yang mereka katakan itu benar terhadap kesalahan diriku DIKAU ampunilah dan terimalah taubatku, Tetapi Ya Allah seandainya apa yang mereka katakan terhadap diriku itu perkara yang tidak benar DIKAU ampunkanlah mereka dan terimalah taubat mereka~. Terimalah amanah ini dengan redha, ranjau pasti menanti di hadapan kita tetapi jika kita ingin menjadi pemimpin yang baik, teladanilah maksud hadis nabi ini ~ untuk menjadi pemimpin yang baik, para pemimpin mestilah menjadi khadam kepada pengikutnya. Pemimpin merupakan ‘gembala’ kepada pengikutnya.~

Sebelum penulis menutup bicara ini, ingin sekali penulis tinggalkan sedikit cerita mengenai Umar Al-Khatab. Sayidina Umar pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya, ‘Jika aku telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin pembantuku, apakah aku telah melaksanakan amanah kepimpinan dengan baik?’ Sahabat-sahabatnya menjawab ‘Sudah tentu wahai Amirul Mukminin.’. Sebaliknya Umar menjawab, ‘Belum. Sehingga aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!

Buat mahasiswa di luar sana selamat menjalankan tanggungjawab anda. Pilihlah kepimpinan yang tepat. Buat sahabat semua yang akan bergelar pemimpin, laksanakanlah amanah itu dengan baik. Ingatlah setiap perbuatan yang kita lakukan nanti akan dipersoalkan diakhirat kelak. Jangan mudah menyerah andai diri di panah, jangan merasa kalah andai musuh datang meratah! Mengadulah pada Allah, contohilah perjuangan baginda Rasulullah. Andai nanti usaha yang kita lakukan tidak mendapat penghargaan redhalah. Biar ia kabur di mata manusia tapi tidak di mata Pencipta kita. Biar kita banyak persatuan tapi kita punya satu kesatuan. Akhir kalam. Penulis memohon maaf andai tulisan ini ada mengguris hati sesiapa. Hanya sekadar pandangan penulis. Pemimpin itu dakwah, kepimpinan itu amanah, dan memimpin juga boleh menjadi fitnah.

p/s : penulis turut menggunakan buku yang bertajuk Dilema Melayu Islam : Kurang Fikir atau kurang zikir karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi di dalam menambah rasa dan perisa bagi menyedapkan isi di dalam ulasan ini.

Wednesday, September 19, 2012

Tentang Hati ini


~Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita, tetapi Allah menjadikan cinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci kepada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itulah yang berfikiran waras~
Al –Hujurat 49:7


Hati itu raja di dalam tubuh badan kita. Dia yang mengawalnya dan segala perlakuan kita akan berkait dengan hati dan diikuti dengan emosi kita. Hati itu terkadang suka rasanya terkadang sensitifnya jiwanya. Soal hati begitu subjektif untuk kita renungkan tetapi kita perlu kreatif di dalam menelusuri tentang hati ini. Ramai di antara kita yang punya masalah di dalam kehidupan seperti pergaulan, percintaan, persahabatan dan bermacam-macam lagi. Semua itu adalah berkaitan dengan masalah hati.

Sering sahaja kita mendengar rakan-rakan kita yang mengalami ‘kemalangan’ hati ini. Terlalu banyak masalah yang menimpa mereka dan kita di dunia ini sehingga memberi kesan kepada hati dan jiwa kita. Jika kita tersilap membantunya kelak dia pula yang termakan hati. Tulisan saya kali ini akan membicaran tentang persahabatan dan sudah semestinya akan saya kaitkan dengan hati dan perasaan kita. Hebat ya kuasa hati ini. Sebab itulah ramai cerdik pandai menyatakan bahawa apabila kita ingin menilai sifat seseorang pandanglah dengan pandangan hati bukan dengan pandangan mata. Mengapa mereka mengatakan sebegitu rupa? Kerana tafsiran dari hati lebih jujur dan lebih teratur penilaiannya.

Sebab itulah istilah hati ini begitu banyak digunakan dan besar penangannya kepada insan yang bernama manusia seperti mata hati, jatuh hati, keras hati dan hati ini disifatkan sebagai perkara yang membawa kebaikan kepada kita. Jika hati binatang boleh kita memakannya tetapi hati manusia jika tuan yang empunya diri itu yang termakannya maka akan gelaplah dunia ini. Hancur rasanya punah jiwanya dek kerana ‘termakan hati”. Masih ingat lagi akan ungkapan berhati –hati di jalan raya? Ya. Adakan perkataan hati itu? Besar sungguh tafsirannya. Saya tertarik dengan ungkapan kerana ‘nila setitik habis rosak susu sebelanga’ dan saya kaitkan pula dengan peribahasa ciptaan saya ini “kerana dosa setitik habis rosak seluruh hati di dada.” Benar. Hati kita bukan seperti hati kekasih Allah, Nabi Muhammad  s.a.w yang telah di cuci sebanyak 2 kali. Hati baginda bersih dan baginda sudah dijanjikan syurga. Tetapi baginda tetap tidak tega meninggalkan setiap perintah dari yang Esa, baginda pasrah dalam setiap ujian yang melanda, baginda istiqamah di dalam menyebarkan agama dan baginda pasrah atas setiap kecelakaan yang menimpanya. Allah sebagai tempatnya mengadu. Para sahabat dan keluarga tercinta menjadi bukti kasih mereka berpadu.

Hati kita tidak seperti baginda. Hati kita tidak di cuci oleh para malaikat. Fikirlah sejenak, masih ada lagikah tompokan merah suci di hati kita atau semuanya sudah bertukar gelita natijah dari dosa dan noda yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan kita. Ingatlah andai kita sudah tidak lagi merasa berdosa apabila kita melakukan dosa ini menandakan hati kita sudah mati ini membuktikan hati kita sudah mejadi keras! Kita layak digelar mayat hidup! Kerana apa? Kerana hanya jasad kita sahaja yang masih bernyawa tetapi jiwa dan perasaan kita sudah tidak lagi bermaya dan tidak mampu untuk berkelana. Fikiran tidak lagi mampu menerima kebahagiaan yang jelas dan al hasil jiwa dan emosi kita akan menjadi malas. Kita malas melakukan kebaikan, kita malas bertemu dengan Tuhan, kita malas membuat kerja yang diberikan, kita malas di dalam pelajaran!

Ini antara tanda-tanda hati kita sudah rosak. Kita gembira melakukan dosa dan terasa sengsara apabila mencari pahala. Apabila ini berlaku pada diri kita. Kenang dan ingat kembali pesanan para Muttaqin : apabila hatimu menjadi keras, buas dan liar sekali, bukalah al-Quran, baca dan tadabbur akan makna dan rasanya. Bukankah Al-Quran penawar hati? Namun jika masih keras juga, dirikan solat. Solat itu penyucian hati. Dan sekiranya masih keras juga, bangunlah di dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepadanya agar dikurniakan hati yang lain kerana hati yang kita miliki sekarang bukan lagi milik kita. Takutlah kita pada maksud kalam Allah ini ~ kemudian hatimu itu menjadi keras sesudah itu, lalu menjadi batu malah lebih keras dari itu~Al, Baqarah, ayat 74

Jangan kita mudah merasa hati dengan dengan sahabat kita andainya kata-kata mereka membuatkan kita terluka. Yakinlah bahawa Allah hantarkan mereka untuk menguji kesabaran kita dan untuk mengajar kita erti cinta di dalam persahabatan. Jangan terlalu sensitif dengan usikan kawan kerana mereka hanya memberi ujian. Andai kita berjaya dalam ujian itu makan bermaknalah erti persahabatan yang kita dambakan. Dalam bahasa remaja kita sekarang “Friends till Jannah” Kita ingin memasuki syurga Allah tetapi alangkah indahnya kita turut memimpin tangan sahabat kita itu bersama-sama menuju ke syurga Allah itu. Dia pelengkap kita. Salah kita dia menegurnya, khilaf dia kita membetulkannya. Itulah erti sahabat sejati cerminan para sahabat nabi!

Sahabat bukan menunjukkan jalan kehinaan tetapi sahabat memberikan kita hadiah dalam kehidupan. Sahabat bukan hanya bererti memberi lagu pada cinta teman tetapi mencipta lirik dan melodi indah untuk kita mengingati Tuhan. Hargailah sahabat yang dikurniakan kepada kita. Jangan sesekali kita pinta supaya mereka memahami kita tetapi pintalah pada diri bahawa kita yang harus memahami mereka. Ingat! Perubahan kita akan mengubah orang lain! Ini realiti bukan hikayat fantasi. Menjadi kesalahan dalam persahabatan andainya kita beranggapan segala fikiran, pendapat, rasa, jiwa dan hati sahabat kita adalah sama dengan kita! Ia tanggapan yang salah dan harus kita ubah! Nikmati erti persahabatan kerana di dalamnya ada rahsia kejujuran ada cerita pengalaman dan ada juga mainan perasaan.

Andai kita bersilat kata, muzakarah menjadi talian. Tolak ansur kita aulakan dan kesabaran kita amalkan. Inilah nilai sahabat yang tahu erti berTuhan. Pasrah bila diuji, bersama bila rasa di duga llahi! Andai berlaku pertengkaran mengadulah pada Tuhan. Mohonlah moga hati kita dan hatinya kembali berukhwah. Hati itu bolak balik sifatnya. Jangan selamanya kita membenci sahabat yang pernah melukai hati kita. Andai tidak mampu untuk kita bersua muka dengannya, cukuplah kita mendoakan kebaikan di dalam kehidupannya. ~Secangkirbicara~

Gesekan indah untuk didengar sebelum anda mengakhiri titipan ini….

Monday, September 17, 2012

Sumpahan JKK menghantui Ustaz Azhar Idrus!


Satu video panas akan ditontonkan kepada anda. Bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi sekadar menunjukkan salah satu makhluk istimewa kurniaan Allah ini. Saya agak terhibur apabila melihat pemuda ini begitu alergik atau alah kepada beberapa perkataan yang didengarnya. Ibarat kata UAI pemuda ini “one only…spesis yang terakhir”

Nak tahu ke apa perkataan yang beliau alah tue. Hehehe..dengarla sendiri.. bila dengar jer..secara automatik suaranya akan bertukar. Entahlah sama ada beliau begitu trauma atau takut dengan perkataan tue..Mungkin dia tidak boleh mendengarnya dan katanya bila dengar perkataan tue jadi automatik suaranya berubah (suara macam mengilai). Agak-agaknya kalau semua penduduk kampung alah pada perkataan dan pada parti politik itu gamatlah mesyuarat kampung nanti.Hehhehe

Tajuk entry macam UAI yang kena tetapi bukan UAI..pemuda nie yang kena! Segala perkataan yang muak untuk didengar pasti beliau akan bertukar suara. Saksikan. Tontonan yang lucu tetapi punya maksud yang begitu mendalam. Nilai dan fikir!

Membawa ‘Dia’ Sampai Ke Syurga



~Allah s.w.t berfirman, “ Pasti akan mendapat cintaKu kepada orang-orang yang cinta mencintai kerana Aku, saling kunjung mengunjungi kerana Aku dan saling memberi kerana Aku” (Hadis Qudsi)~

 “Saya cinta awak kerana Allah”. Indahnya jika ungkapan ini dipraktikkan dan bukan sekadar melafaznya dibibir sahaja. Jika benar kita cinta ‘dia’ kerana Allah mengapa harus kita membawa ‘dia’ melanggar hukum Allah. Inilah tafsiran yang salah pada remaja kita. Menggunakan agama bagi menghalalkan percintaan mereka. Kita harus sedar syaitan itu kreatif hasutannya dan licik permainannya. Jika benar Allah sebagai matlamat utama kita, bimbinglah ‘dia’ supaya bersama-sama mengingati Allah bukan memimpin ‘dia’ supaya sentiasa mengingati kita.

Benar, hubungan dengan manusia akan menjadi jalan untuk kita menjaga dan mendekatkan diri dengan Allah. Tapi kita harus pandai memilih hubungan yang bagaimana yang perlu kita zahirkan. Hubungan itu mestilah hubungan yang tidak membawa kepada perkara-perkara yang maksiat. Yakinlah bahawa hubungan yang akrab dengan Allah pasti akan membentuk hubungan yang erat sesama manusia. Matlamat utama kita mencari si ‘dia’ bukan sekadar untuk menjadi peneman yang halal di dalam hidup kita tetapi mencari untuk menjadi insan yang akan bersama dengan kita di syurga nanti. Siapa yang kita cintai didunia ini, itulah yang akan bersama dengan kita di akhirat nanti. Cintailah orang yang mencintai kita tetapi harus diingati akan peraturan-peraturan di dalam bercinta. Awas pada maksiat dan jauhi diri dari Zina.

Lucu apabila ada ungkapan dari pemuda pemudi kita yang begitu mengharapkan cinta. Baik yang puterinya sering mengungkapkan kata kata seperti “ menunggu bakal imamku” atau yang puteranya pula “ mencari gerangan siapa makmumku”. Hebat ayat dan pengharapan ini. Benar-benar serius dalam menunggu! Bagi saya, tidak perlu kita menguar-uarkan akan hal ini. Kita tidak perlu menunggu siapa imam dan makmum kita kerana bukankah jodoh itu sudah ditetapkan dan menjadi rahsia Allah. Jika ingin sangat menunggu tok-tok imam dan makmum sila pergi ke masjid atau surau dan nyatakan hasrat anda itu. Sekadar gurauan. Ingat jodoh itu datang dan pasti datang apabila tepat masa, waktu, siapa dan ketikanya. Pasti datang!

Sekarang ini kita harus persiapkan diri kita menjadi soleh dan solehah. Cukupkan dulu bakti kita kepada ibu bapa. 9 bulan 10 hari mereka mengandungkan kita. Kenang jasa mereka. Jika kita cinta akan ‘dia’, bukan sahaja ‘dia’ menjadi matlamat kita membawanya ke syurga tetapi seluruh ahli keluarga kita dan ‘dia’ untuk bersama-sama kita di syurga nanti. Memang berat untuk dilaksanakan tetapi jika kita percaya dengan bantuan Allah pasti kita akan dapat melakukannya. InsyaAllah. Tulisan saya sebelum ini pun  ada membicarakan soal cinta dan remaja. Bukan bertujuan untuk mengkritik para remaja yang tengah hangat bercinta tetapi sekadar memberi peringatan kepada diri saya dan anda semua bahawa cinta pada ‘dia’ boleh sahaja membawa kita ke neraka atau syurga tetapi cinta kita pada yang Esa sudah pasti akan dijamin syurga.

Sunday, September 16, 2012

Semarakkan Cinta- Ustaz Pahrol Mohd Juoi



Salam pertemuan buat semua. Hari ini saya ingin berkongsi sebuah tatapan buat anda. Saya merasakan perlu untuk dikongsikan kepada para remaja berkenaan dengan soal cinta ini. Saya yakin dan percaya sudah ramai mengenali seorang sosok tubuh yang begitu aktif di dalam medan dakwah ini. Bagi yang tidak mengenalinya pasti anda akan jatuh cinta kepadanya setelah menyaksikan video beliau ini. Lapangkan masa anda untuk menonton bicara cinta daripada beliau ini. Biarlah dia yang berbicara soal cinta ini. Mungkin ada semua lebih faham dan boleh dikhadamkan di dalam hati dan fikiran.

Tidak semua di antara kita yang mempunyai minat membaca. Hobi ini perlu di ubah! Daripada kita membaca pesanan ringkas pasangan kita lebih baik kita membaca nota ilmu untuk bekalan kita nanti. Di dalam Al-Quran juga ada menyebut ‘bacalah’. Ini membuktikan bahawa kuasa membaca itu akan mengubah seseorang menjadi lebih pintar dan berilmu. Virus kita sekarang adalah bukan sahaja malas membaca bahan-bahan ilmiah tetapi payah untuk membaca dan menghayati “Surat Cinta Dari Allah (Al-Quran)”. Justeru, marilah sama-sama kita berubah. Perubahan kita ini akan mengubah orang lain. Percayalah.

Di negara kita agak unik sifatnya. Bahan-bahan bacaan yang lebih bersifat natural tanpa ada bias di mana-mana pihak seperti bahan sejarah, politik tanah air dan perkara yang boleh memburukkan kerajaan adalah di haramkan. Tetapi majalah zina dan pendedahan aurat begitu banyak di tanah air kita. Ia Halal dan dihalalkan. Kenapa ia tidak juga diharamkan? Bukankah sifatnya boleh meruntuhkan akhlak para pemuda pemudi kita. Ini bukan salah Barat! Ini bukan pengaruh dari Barat tetapi kita yang terpengaruh!

Segala keruntuhan moral kita semua kita tundingkan kepada Barat tetapi mengapa tidak kita tujukan kepada ulama dan mufti-mufti yang ada di tanah air kita. Ulama muda khususnya. Cukupkah hanya sekadar mengambil  sampul selepas memberikan ceramah. Ayuh! Turun melihat remaja kita! Bukan sekadar pandai berbahas sirah itu dan ini tetapi kaku menyantuni para pemuda dan pemudi. Saya bukan menyokong Barat. Tidak sama sekali. Tetapi tahukah anda jawapan ‘mufti’ yang ada sekarang ini adalah ditubuhkan oleh Barat. Sila baca sejarah!

Nampaknya perbincangan saya ini semacam lari dari tajuk asalnya. Biarlah. Saya sekadar melontar fikiran. Berbalik kepada soal cinta ini, saya akui tulisan saya juga sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh tulisan daripada Ustaz Pahrol . Entah kenapa ia kena dengan jiwa dan nurani saya. Bagi remaja yang agak kurang untuk membaca tentang peraturan cinta dan tips-tips bercinta anda boleh mendengar kuliah beliau ini. Kepada para remaja yang punya minat membaca yang luar biasa saya syorkan anda membaca buku tulisan beliau seperti tentang cinta, Mukmin Profesional, Di Mana Dia Di Hatiku, Nota Fikir Untuk Zikir, 1Hati 2Rasa, Nota Hati Seorang Lelaki, Duhai Yang Tersayang, Dilema Melayu Islam dan yang terbaru Cinta kerana Allah. Saya yakin ia tidak rugi. Saya ulangi tidak rugi! Tontonlah sehingga habis rancangan ini. Akhirul kalam, saya menulis bukan untuk meraih pandangan indah tetapi desakan dari hati untuk berdakwah.

Saturday, September 15, 2012

'Dia' Ujian Buat Diriku..



Allah menghadiahkan seseorang untuk kita cintai untuk kita hargai dan untuk kita lindungi. Mereka adalah sebaik-baik harta yang kita ada. Andai suami dihadiahkan isteri untuk melakar bahagia, anak dikurniakan ibu bapa untuk cinta dan begitu juga dengan mereka dikurniakan cahaya mata untuk dibelai manja. Itulah hadiah dari yang Esa. Sebelum melangkah ke alam bahagia mungkin ada di antara kita diuji dengan kehadiran si ‘dia’ dalam hidup kita

Kita tidak pasti sama ada benarkah ‘dia’ pasti akan menjadi milik kita dan adakah ‘dia’ yang akan bersama mendoakan kita hingga kita bertemu Pencipta nanti. Kita tidak tahu. Tuhan hadirkan ‘dia’ kepada kita untuk menguji keimanan kita. Tuhan datangkan ‘dia’ bukan sekadar untuk memberi seri pada hati kita tapi menguji sejauh mana cinta kita pada Tuhan. Andai cinta kita pada si ‘dia’ melebihi cinta pada yang Esa bermakna kita sudah gagal dalam ujian itu!

Ujian dalam bercinta bukan saja terpalit pada remaja yang biasa-biasa tetapi ada juga terselit kepada remaja yang ada agamanya. Di corak mengikut kreativiti mereka. Tetapi awas! Zina tidak mengenal siapa diri seseorang itu. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang ada dalam diri yang mampu menghindari kita dari melakukan semua perkara maksiat itu. Ingat! Cinta bukan bererti mengikat tetapi membebaskan dan melepaskan. Bagaimana untuk membebaskan dan melepaskan? Bebaskanlah ‘dia’ untuk mempertaruhkan  cintanya kepada penciptanya..lepaskanlah ‘dia’ untuk memberi cintanya dulu kepada ayah dan bondanya.

Bukan bererti kita memutuskannya tetapi memberi tali untuknya supaya cinta kita dan ‘dia’ nanti direstui ilahi dan keluarga yang kita cintai. Bersabarlah dahulu. Hentikan dari melakukan zina hati. Ya. Memang sukar tetapi yang sukar itu pasti akan memberi kenikmatan kepada kita di suatu hari nanti. Saya yakin dan percaya apabila kita memaksa diri kita untuk melakukan perkara kebaikan kita akan menjadi orang yang berjaya dan jika kita terpaksa melakukan sesuatu kebaikan kita adalah orang gagal. Biar kita memaksa bukan kita terpaksa! Paksa diri untuk tidak merindui dan selalu menghantar pesanan ringkas kepada ‘dia’. Lawan hasutan syaitan yang membuat kita lupa pada pencipta kita itu. Sabar untuk pengakhiran yang benar.

Andai hati kita sudah terpaut pada ‘dia’, teruskan berdoa, jaga adab dalam agama, walau kita tidak tahu adakah ‘dia’ benar untuk kita tetapi kita sekadar berusaha. Allah maha mengetahui Maha bijaksana. Jangan sesekali kita menganggap kita sudah benar memiliki ‘dia’. Itu tafsiran yang salah dan boleh membawa padah! Anggaplah ia hanya ujian dan pinjaman dari yang Esa. Jika sesuatu perkara buruk berlaku antara kita dan ‘dia’, sudah pasti kita redha kerana semua itu datang dari yang maha Esa. Semaikan akhlak nurani kita untuk menjadi seorang suami atau isteri yang berpekerti di mata Ilahi.

Kita sering mendengar ada rakan-rakan kita yang mempunyai masalah dengan pasangan mereka dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk ‘bercerai’ di dalam percintaan mereka yang hebat itu kononnya. Jangan gundah akan erti perpisahan itu kerana dosa kita mungkin sudah dihentikan melalui perkara ini. Kata mereka “ sudah serik untuk bercinta, sudah serik buat kali kedua, tiada lagi nama lelaki atau wanita di hati aku, hatiku sudah tertutup untuk menerima cinta.” Tapi kita lupa Allah pemilik hati kita. Allah yang membolak-balikkan hati kita. Allah akan menguji kita lagi dengan kehadiran insan lain. Muhasabah pada diri kita benarkah ungkapan kita bila cinta kita yang dulu terputus kita lakukan dan kita amalkan?

Neraka itu panas sifatnya begitu juga zina panas bahangnya. Jangan sesekali kita hampiri ia. Jadikanlah diri kita perisai agama Allah yang paling berbahagia dan kita di antara pemuda pemudi yang akan dijanjikan syurga. Ingatlah hadirnya ‘dia’ di dalam hidup kita bukan untuk sekadar jalan menyemai alam rumah tangga tetapi adalah ujian besar dari pencipta kepada kita. Cintailah Allah melebihi segala-galanya kelak nanti  akan dihadirkan ‘dia’ yang sebenarnya untuk kita!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...