Labels

Pages

Followers

Monday, April 28, 2014

Aku Benci kat hang!!!


“Geram aku tengok dia…”

“Awat cheq…cer habaq mai kat aku..”

“Ada budak laki nie..budjet alim”

“La..awatnya?? dia budjet ja kot..bukannya dia dh kaya jadi alim..”

“Hang nie loyar buruk noh..”

“Dak la aku tengok dia…perasaan baik, padahai dalam fesbuk macam playboy ja..DP tu 
cover line ja..”

“Amboi hang..fitnah orang..tak baik hang tau tak..awat hang sempurna sangat ka?

“Ish, aku mana ada sempurna..aku cuma meluahkan ja..”

“Hang dengaq sini baik-baik, biaqla dekat dia nak berlagak atau budget alim. Sekurang-kurangnya dia tau lagi nak jadi alim dan masih ada hati lagi nak ke situ. Kalau niat dia kerana Allah takkan tu pun salah?

“Aku tau..tapi..lelaki memang macam tu ka? Nak memikat oghang betina kena jadi alim dulu ka?

“Eh, hang ni..alim tu bukan saja erti baik tapi berilmu..takla sampai kena berjubah berserban segala..nak pakai dapat pahala tak pakai pun takpa..benda sunah..kalau nak ikut kan lebih baik..”

“Betoi..aku tengok dia memang suka dressing ala pak ustaz tapi dekat fesbuk lain macam ja.. semua yang cantik dia nak rembat..ayat duk memikat ja..panaih aku..”

“Hahahaha..sabaq cheq..yang hang jelous dekat dia pasaipa?”

“Aku bukan jelous tapi hang tau tak matlamat tak menghalaikan cara!”

“Uish…berfalsafah hang..nak jadi pencetus ummah musim kedua ka?”

“Tak salah nak berubah tapi yang menjadi salah kalau bukan kerana Allah, hanya sekadar nak tunjuk diri dan bermegah2…”

“Cuba hang bayangkan..”

“Sat aku nak bayang…”

“Hang nie..

“Dah hang suruh aku bayang..”

“Nie..ada kawan-kawan kita yang dah kawen masa belajaq hang tau kan?”

“La..mestilah…ramai kot.”

“Nie aku nak pesan sikit dekat hang..

“Owh dekat aku ja ka?”

“Ya la dekat aku sekali..”

“Kita tau depa dah kawen..dok galak sangat pos gambaq mesra-mesra dengan pasangan pegang tangan, peluk sana sini, love after nikah la..sweet la..macam-macam!”

“La…awatnya…bukan dapat dosa pun..depa dah kawen.. tu hak depa kan?”

“Memangla..apa perasaan kita yang belum kawen tengok gambaq depa?Hang tau istilah “ayaq naik dekat kepala"? Tak salah upload tu..tapi berpada-padala..semua gambaq nak tunjuk..gambaq malam pertama pandai pulak simpan.”

“Uihhhh..hang nie..hahahahahahaha…Kasaq ayat. Mungkin depa nak tunjukkan indahnya kehidupan lepas berumah tangga. Nak galakkan kita kahwin muda dan jauh dari dosa!”

“Hmmm..kalau duit aku ada takpala..family aku pun tak terbalaih lagi budi depa..”

“Takpala…kita positif..sangka baik..dan doakan kebahagiaan depa.

“Aku tau hang marah sebab apa?”

“Awat?”

“Hang tertengok gambaq kawen ex hang kan?Hahaha”

“Aku benci hang!”

“Eleh..benci tapi bila ada masalah aku juga yang kena tadah telinga!”

“Kita bukan berbalah tapi berdiskusi ilmiah”

“Yalah sobat….”

(CATATANMIMPIKOSONG14)



"Harap itu..Cinta!"


Bismillah, dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang menciptakan seluruh Alam.  Selawat serta salam buat junjungan besar baginda Rasulullah S.A.W

Setiap kehidupan kita pasti diiringi dengan harapan. Hidup tanpa harap ibarat pokok bunga yang hidup tanpa dibaja dan di siram air. Kehidupan ini dikurniakan dari Allah kepada kita dan harapan untuk meneruskan kehidupan pula adalah dari kita kepada Allah. Tanpa harapan kita pasti tidak akan mampu untuk meneruskan kehidupan kita. Allah telah menyebut dalam kalamnya yang penuh bermadah dan berhikmah…seperti yang terkandung di dalam surah Al-Insyirah yang membawa maksud “ dan hanya pada TUHANMU lah engkau bergantung HARAP”. Itulah peri tingginya sebuah harapan.

Harapan kita untuk dihidupkan adalah menanam baja-baja kebajikan dan kebaikan. Pengalaman hidup kita ini akan kita jadikan pengamalan apabila kita berada di alam yang kekal abadi yakni Akhirat. Kita hidup untuk harapan ke akhirat dan berharap kita ditempatkan di syurga. Mari sama-sama kita doakan moga kita terpilih dalam kalangan ahli syurga. Insya Allah.

Dalam percintaan juga ada pengharapan dalam pernikahan juga disulami dengan harapan. Selagi kita berharap pada kehidupan berumah tangga yang baik selagi itu kita akan berusaha untuk menjadi pasangan yang terbaik. Begitu juga dengan alam percintaan, jika kita berharap bahawa ‘dia’ merupakan harapan kita untuk menjadi peneman setia kita mestilah persiapkan diri dengan jalan yang paling suci. Bukan zina apatah lagi melakukan perkara yang lagha (lalai). Tidak salah berharap dalam cinta tetapi menjadi kesalahan apabila kita bergantung harap kepada ‘si dia’ kerana hati manusia itu berbolak balik sifatnya. Bercinta boleh sahaja putus, bertunang juga boleh sahaja diputuskan bahkan berkahwin juga kadang-kadang kala akan berakhir dengan penceraian kerana semua itu datang dari Yang Maha Merencana.

Harapan dalam perhubungan itu perlu diletakkan kepada si pemberi jalan untuk berhubung yakni Allah. Doa dan istiqamah dalam menjaga ikhtilat itu yang utama. Bagaimana jika hubungan itu sentiasa berbaur zina dan dosa. Allah pasti tidak redha. Saya mungkin insan yang tidak layak untuk berbicara soal ini tetapi saya hanya insan yang berdosa sekadar melontarkan persoalan kepada insan-insan yang sedang di lamun cinta.

**********************************

“Saya tak nak awak berharap apa-apa dari saya”

“Kenapa?”

“Saya takut nanti ada di antara kita ada yang terluka”

“Benar, tapi salahkah untuk saya memberi harapan”

“Awak yakinlah dengan Tuhan tentang sebuah perhubungan kerana Tuhan itu  Maha tahu apa yang terbaik buat kita.”

“Saya pilih awak bukan kerana rupa, saya tahu jodoh itu rahsia ilahi tapi jodoh yang baik perlu di cari”

“Tapi…saya rasa saya bukan orangnya”

“Tapi saya yakin awak antara orangnya”

“Hmmm…kalau bukan bagaimana?”

“Redha. Sebab yang selebihnya itu urusan dari DIA. Tapi jika benar pula bagaimana?”

“Saya terima. Jika itu sudah takdir dari yang Esa”

“Mudah-mudahan ada hikmah di sebalik pertemuan ini”

“Benar, apa yang berlaku jangan sekali-kali kecewa kerana semua itu ketentuan darinya.

(coretan dari sebuah mimpi kosong)


Thursday, April 24, 2014

Ikhlas dari lubuk hati...


Bismilillah, Dengan Nama Allah yang Maha pengasih Maha Penyayang. Puji dan syukur buat Allah yang senantiasa memberi ruang dan peluang untuk kita berada di alam NYA. Selawat dan salam buat junjungan besar Baginda Rasulullah S.A.W di atas pengorbanan baginda melebarkan agama Allah ini.

Insya Allah di kesempatan ini saya ingin berkongsi sedikit berkaitan erti sebuah ikhlas. Benar, ikhlas itu perasaan. Satu perasaan yang maha dalam. Kata orang ikhlas ini ibarat semut hitam yang berada di atas batu yang berwarna hitam di dalam kepekatan malam yang hitam. Tidak nampak! Keikhlasan itu lahir dari sebuah hati yang dipinjam oleh Allah. Kita hanyalah pinjaman di dunia ini. Tiada apa sebenarnya yang menjadi kepunyaan hakiki dan mutlak kita hatta orang yang paling kita cinta yakni keluarga kita sekalipun merupakan pinjaman dari Allah. Allah layak mengambil kembali mereka pada bila-bila masa yang Dia pinta. Itu hak Allah dan hak kita menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Kehidupan yang serba canggih dan moden ini kita disogokkan dengan pinjaman. Semuanya berkaitan pinjaman yang menjurus kepada kewangan. Usai alam persekolahan kita juga dihadiahkan dengan perniagaan lembut dari pihak kerajaan atas nama ‘pinjaman’ bagi meneruskan kelangsungan hidup kita di alam universiti. Membayar melebihi apa yang di pinjam. Maka di situ juga turuji keikhlasan kita.

Ikhlas itu hanya Allah yang mengetahui kerana hati itu kepunyaan Allah yang Abadi. Bibir kata kita beri tapi hati kita mungkin berbicara sebaliknya. Senyuman bukan menggambarkan apa yang tersirat di dalam hati, kadang sekadar untuk mengambil hati. Sinis dan pedas. Kita mungkin rasa terkilan jika pertolongan yang kita berikan itu tidak di balas dengan penghargaan sekurang-kurangnya ucapan terima kasih. Kita mungkin berkecil hati jika sahabat yang kita pernah bantu ketika dia susah kini menghilang apabila kita pula yang ditimpa musibah. Itulah lumrah dan fitrah. Sahabat ketika senang mudah untuk dicari dan sahabat ketika susah sukar barangkali untuk sentiasa di sisi.

Oleh itu, letakkanlah Allah di hati. Niatkan segala apa yang kita lakukan hanya untuk Allah. Apabila kita letakkan pergantungan dan harapan kita pada pencipta yang menciptakan kita pasti sesekali tidak mengecewakannya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Analogi yang mudah, hanya pembuat kereta sahaja yang tahu mengendalikan dan menyelenggara sesebuah kereta mana mungkin pembuat roti atau mentega yang boleh mengatasinya. Kemahiran berlainan, seni dan pendekatan juga berbeza.

Hanya pada Allah kita bergantung harap apabila kita memberikan sumbangan dan penghargaan. Apabila kita memberi bantuan di jalan Allah balasannya adalah syurga nan indah. Subhanallah. Maha suci Allah. Jika apa yang kita berikan itu tidak mendapat balasan, kita perlu redha! Doa itu kuasa penghubung. Berdoalah dan pintalah pada Allah, biarlah kita biasa di pandangan manusia tetapi luar biasa pada pandangan Allah.

Setiap dari kita mempunyai sahabat. Ada yang punya bermacam-macam-macam ragam, ada yang pemurah ada yang berkira-berkira, ada yang suka menjadikan harta kita seperti hartanya dan bermacam-macam lagi tetapi, apa yang perlu kita faham dan khadam ialah menjaga hubungan kita dengan mereka. Ketahuilah rakan-rakan yang sebegini Allah datangkan kepada kita untuk menguji sifat sabar dan ikhlas. Indahnya dalam berukhwah. Maha Suci Allah.


Ikhlas itu ada di dalam hati, satu karunia dari ilahi yang maha suci, ikhlas itu cerminan akhlak nabi yang terpuji di dalamnya tersimpan rahsia yang tersembunyi bahkan akan tersingkap pada hati yang mencintai dan menghargainya. Ikhlas itu ada pada diri, jarang sekali-kali ia pinta untuk dipuji apatah lagi diharap sanjungan yang tinggi. Ikhlas itu hanya mampu ada pada diri insan yang sentiasa ada rasa taqwa kepada Allah. Saat kita diuji, bersyukur! Tika kita dikeji, tabah! Yakin bahawa semua itu datang dari Allah dan kembalikanlah ia kepada Allah.=)

Tuesday, April 22, 2014

Dosa yang teristimewa


Jadilah insan yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Walau ada yang membenci, jangan berhenti teruskan melangkah kaki kerana kita masih lagi ada hari ini untuk terus berbakti. Hari esok ada tapi kita mungkin tiada. Kita perlu melangkah dan berubah! Bukan nanti tapi sekarang. Masa itu ada tapi kita yang selalu kehilangannya. Justeru, letakkan keyakinan pada Allah dan diri bahawa kita mampu berubah!

Setiap dosa yang pernah kita lakukan jadikan pelajaran. Pahit tapi ia juga merupakan satu suntikan untuk kita menjadi yang lebih sempurna. Pedih tapi itulah hakikat dalam kehidupan. Dosa yang kita lakukan tidak terkira banyaknya. Tapi sedarlah selagi ada harapan untuk kita diampun, selagi itu Allah akan mengampunkannya. Jangan lari dari kesilapan lalu tapi hadapi ia dengan penuh ketabahan dan kekuatan.

Kita adalah hamba yang diciptakan untuk akhirat. Kita punya tujuan di alam yang fana ini. Keluhan dan keletihan terkadang menyelubungi hati dan hidup kita tapi percayalah bahawa itu merupakan sijil kerehatan apabila kita berada di alam sana. Berpenatlah di sini agar di sana nanti kita dapat berehat dengan tenang dan damai.

Jika kita sudah mula untuk berubah jangan sekali-kali kita tinggalkan sahabat kita yang masih belum dan mampu untuk berubah. Syurga itu bukan untuk kita sahaja tetapi untuk semua. Jadilah hamba Allah yang sentisasa membantu. Andai ada sahabat yang menjauh kita perlu datang mendekat bukan membiarkannya lalai dan tiada matlamat. Kerana mungkin kita juga akan di tanya nanti. Pada masa itu kita mungkin boleh berikan pelbagai alasan tetapi Tuhan akan berkata kita pernah bergelar ‘kawan’. Oleh itu, jangan sekali-kali kita tinggalkan sahabat kita.


Senyumlah pada setiap masalah yang menimpa kita. Jangan sesekali lari tapi hadapi!Stres atau tertekan itu sudah lumrah. Kembali sahaja kepada si pemberi masalah itu yakni Allah. Ujian itu kadang lama. Itu tandanya kita diuji dengan sabar. Sabarlah dalam bersabar…TEMAN..berdakwahlah semampu mu..ingatlah… ‘jalan dakwah itu panjang dan meletihkan kerana syurga itu tenang dan mendamaikan’.

Jelingan Pendosa


Jangan bila kita sudah mula berubah dan melangkah kita merasakan diri kita cukup sempurna dan diredhai Allah. Jangan pernah kita rasa sombong dengan insan yang bernama manusia. Sebuah pertemuan kadang-kadang diuji dengan percintaan dan kadang-kadang akan turut terruji dengan perpisahan. Berpisah itu lumrah dan pertemuan itu sebenarnya datang dari Allah.

Benar ada perhubungan yang terpisah. Kadang-kadang masa lalu itu kita tinggalkan perlahan dan hilangkan tanpa ada kesan. Tapi jangan sekali-kali membenci dan memandangnya nista. Kita bukan sempurna mungkin kita berubah natijah darinya. Lucu ada yang cuba melarikan diri apabila bertemu bahkan ada yang memalingkan muka seolah-olah melihat hantu. Kita sedar diri kita penuh dosa tapi kita juga sedar takkan selamanya kita hendak berdosa. Perbuatannya menghukum seolah-olah kita pendosa yang akan pasti masuk ke neraka. Allah moga dijauhkan dari kejahatan ini.

Acap kali terjadi, jangan rasa khuatir..kita takkan ada lagi permainan atau ayat yang mengukir. Kita hanya hendak bersahabat bukan memikat jauh sekali untuk terpikat. Kita sedar kita siapa. Tapi jika tiada kesudian kita tidak memaksa. Ya, mungkin kita ini dipandang dan dihidu busuk dengan dosa. Moga Allah menerima taubat kita. Ameen


Kita berbicara dengan bonda bukan bermakna kita berkehendakkan menabur gula apatah lagi menitiskan cuka pada luka di dada. Tidak. Kita hanya berbicara ikhlas dari hati seorang anak muda. Kita bukan bersengketa tapi kita sedaya menyusun kata dan gerak untuk sebuah cerita. Usah dikhuatir kita takkan sesekali cuba meningkah. Kita takkan merosakkan apa yang telah di bina..Kita hanya ingin melihat senyum dan bukan pandangan dosa.Itu sahaja dari kita.

Saturday, April 19, 2014

Mentera Nafsu



Kau bisikkan aku dengan jalan derita
Dalam diam kau mematikan aku perlahan
Racunmu kini menjalar dalam saraf dan nadiku
Panas bahang membakar
Bisanya pedih tak ku tertahan

Kau bisikkan semua itu nikmat
Tapi bagiku derita yang menjerat
Mendaki dosa yang makin bertingkat
Pesan mu boleh diubat dengan taubat
Tapi,jentik hati..jika masih sempat?
Jika tidak…
Mungkar dan Nankir yang akan datang mengikat
Saat itu aku tidak akan dapat sesekali berehat
Bahkan aku pasti tidak akan mampu menahan azab yang mendekat

Sudahlah, berhentilah dikau dari terus menawan
Aku pasti akan melawan
Sehingga aku tidak lagi tertawan
Aku letih dengan angan yang tiada kesudahan
Kau hanya taburkan aku madu kepalsuan
Yang kan mengheret aku lembah kemaksiatan!

Kau ketawa
Aku derita
Kau menang
Aku kalah
Itu dulu!!

Cukuplah
Tamat
Aku akan hentikan
Padamu Tuhan ku bermohon kekuatan
Juga ketabahan

Untuk melawan segala yang nista dan derita!

Thursday, April 17, 2014

Wajah Berdosa!



Kenapa masih payah dan susah
Susah benar untuk mengubah
Masihkah aku menyalahkan syaitan?
Atau diriku yang  menolak janji Tuhan?
Ah, aku penat dengan semua ini!
Benar  dan jujur dari hati
Aku ingin berubah
Aku ingin melangkah
Tapi ada sahaja alasan yang meningkah!

Itu dosa! Aku tahu
Tapi aku tega melakukannya
Aku membenarkannya
Mengisi hati-hatiku
Kenapa masih susah untuk berubah

Hatiku sudah rosak?
Ya Allah jika hati yang lama ini sudah mati
Engkau sudikanlah menggantikannya dengan yang baru dan suci
Aku tidak bisa menahan beban yang terpikul ini
Aku khuatir aku akan jatuh tersungkur
Bahkan terkubur…

Nafsu yang bisa
Melemahkan saraf jiwa
Hancur dibadai rangsang
Makin longlai melayar rasa yang mencincang
Sombongnya aku pada MU Tuhan
Ku biarkan mantera lain yang berbicara
Bukan dari kalam mu yang penuh bahagia

Aku makin menjauh terus menjauh
Ingkar dan angkuh!
Entah bila hatiku mahu luluh
Luluh pada jasadku yang akan dimamah usia

Sukar tapi aku perlu menukar
Payah tapi aku mesti beralah
Getir tapi aku harus pandai mentadbir
Biar lambat asalkan aku melangkah
Dari kaku mati dalam tingkah!

Aku ingin berubah
 Ke jalanMU Allah
Aku tidak mahu dipandang indah pada zahir
Tapi batin penuh racun yang mengalir]
Yang bisa merosakkan iman dan taqwaku pada MU



Sunday, April 13, 2014

Lagu buat yang tercinta...


Baru sekejap meninggalkan mereka di kampung tapi rindu bagaikan hangat dan sentiasa segar. Tanpa mereka aku pasti tiada. Terima kasih kasih  Tuhan memberikan aku cinta yang indah ini. Setiap kali aku pandang senyuman mereka terasa hilang penat dalam menuntut ilmu yang setinta, datang berjuta semangat yang memberi untuk aku buktikan segala janji yang telah aku janjikan untuk mereka. Setiap kali pulang mereka senantiasa sambut dengan gembira dari mula aku melihat dunia sehingga kini aku menjadi aku yang dewasa. Sempatkah tuhan untuk aku berbakti pada mereka? Ku yakin jika Dikau izinkan aku pasti akan membayar budi mereka walau tidak setimpal tapi akan cuba sepenuh daya dan keringatku.

Aku sedar aku makin membesar, aku juga sedar mereka juga makin bertambah usia. Wajah yang dulu licin kini kuntum kedutan. Keringat yang memberikan aku makan, tenaga yang senantiasa mengatakan cukup untuk apa yang aku perlukan. Tidak pernah menolak dan mengecewakan. Benang putih yang suci semakin menutup rambut mereka nan hitam. Tuhan jagalah mereka, cintailah mereka seperti mana mereka mencintaiku. Ameen..

Lagu ini ku dedikasikan buat ayah dan bonda..=')

Lirik Lagu Arjuna Beta - Fynn Jamal

Tak kanku biarkan walau ribut menyentakmu yang tidur
datang petir menyambar
jengking dan ular–
bonda takkan berundur

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa

kan ada satu ketika kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul, anakanda,
tak jelas mata–
ambil yang sarat duri

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

ngeri tak terbayang mata
bonda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anakanda

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa


Biar - Fynn Jamal


Mata tua yang memandang aku itu--
Bundar
Pudar

Dia tak mahu bilang apa yang mencengkam jiwa usangnya
“biar”
Katanya, “biar”.

Wahai ayahanda
Berhentilah walau sebentar
Dan renungkan mataku yang melaut
Khabarkan yang jujur dan ujar
Apa menyerabut?

Wahai ayahanda
Bercukuplah menggagah tulang rapuhmu
Akukan lemahmu
Perikan penatmu
Kisahkan jerihmu
Aku mahu tahu

Mata tua yang bagai ada sakti dewa-dewi itu--
Harum
Senyum

Dipukaukan aku nan terus terpana dan terlupakan
“biar”
Katanya lagi, “biar”

Wahai ayahanda
Bisikkanlah walau sekali
Izinkan aku menumpangkan bahu
Berikan aku seperca dari beban kamu

Wahai ayahanda
Lihatkanlah aku
Berlari kini
Melompat tinggi
Setiapnya kerna kau tak pernah pergi

Ah, apa masih ingat lagi
Aku suka lari-lari?
Kau bagaikan tak peduli
Ku biar kau patah hati

Ah, apa masih tidak lupa
Tengking jerit sama-sama?
Makan tak mahu semeja
Sahabat lebih berharga

Ah, apa mampu kau sudikan
Ampun maaf ku sujudkan?
Bisa tidak kau teruskan
Ku sesat kau tunjuk jalan?

Ah, apa layak aku bagi?
Tak terbalas sampai mati
Kau sungguh yang paling tinggi
Istanamu syurga nanti


Friday, April 4, 2014

Cerita Cinta buat Atuk. Al-Fatihah =')


Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang. Syukur Allah masih memberi kita nyawa untuk terus berada di dunianya ini. Dunia yang penuh pancaroba juga penuh racun di dalamnya. Maha suci Allah yang masih memberikan kita nikmat yang tidak terhingga yakni nikmat sihat dan bahagia. Mari kita renung sejenak seandainya nikmat itu, Allah menariknya kembali. Astaghfirullah, berat rasanya untuk kita terima. Allah menarik nikmat sihat dan Allah memberikan kita sakit. Itu adalah ujian!

Makanan dan minuman penyambung hayat kita untuk meneruskan kehidupan. Maha suci Allah yang turut memberikan nikmat kekenyangan buat kita semua. Bayangkan seandainya jika sudah kehilangan nikmat itu yakni nikmat makan. Allahu Akbar…Masih segar diingatan saya tatkala mengenangkan kisah cinta saya bersama Allahyarham nenda tercinta yang baru sahaja pergi menghadap Pencipta. Saya redha dengan suratan ini. Allahyarham nenda selalu berpesan jagalah dan hargailah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Andai Allah menariknya kita pasti sukar untuk mendapatkannya kembali.

Saat Allahyarham nenda diuji sakit, teringat kata-katanya… “Allah dah tarik nikmat sihat dan nikmat makan atuk, Atuk redha, sebagai hamba Allah kita kena senantiasa bersyukur kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat kita. Ini sudah janji atuk yang telah Allah takdirkan. Apa pun keadaan Allah yang kita perlu utamakan

Pesanan itu, sentiasa subur dan harum di hati saya. Atuk juga berpesan..jagalah kesihatan kerana penyakit ini datangnya seperti angin..cepat! tetapi kesembuhannya seperti semut yang berjalan di laluan yang panjang. Mengambil masa yang lama. Allahu Akbar, nikmat sihat ini yang amat kita impikan. Benar kata atuk, jika sakit..harga kesihatan itu kita rasakan teramat mahal!

Allah rindunya pada Allahyarham atuk, rindu itu tiba-tiba datang melamar saya. Air mata merisik tanpa henti. Hanya kalam indah dari Allah saya jadikan bekal buat atuk di sana. Allah jaga atuk saya. Insya Allah.
Sakit itu penghapus dosa, benar! Tapi, adakah bila kita sakit baru kita rasa kita hamba yang berdosa?? Sekali lagi persoalan atuk membuat hati saya lara…lara bukan bererti kecewa lara kerana kini saya tidak dapat lagi mendengar nasihat yang paling berguna dari atuk.

Atuk berpesan..jangan bila kita sakit baru kita hendak mengingat Allah. Allah itu senantiasa di hati dan diingati bukan sekali tapi setiap hari dan selama-lamanya. Istighfar selalu.. tambah atuk..Allah rindunya hati ini kembali bertaut, namun apakan daya sudah suratan takdir dariMU yang maha merencana. Terima kasih Allah dikau menghadirkannya buat kami sekeluarga. Terima kasih yang Allah dikau meminjamkannya walau sementara cuma.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan peluang untuk saya menjaganya di kala beliau dalam keuzuran sehinggalah beliau bertemu takdir dan suratan hidupnya. Maha suci Allah juga yang memberikan saya peluang untuk menguruskan jenazahnya buat yang terakhir kalinya. Wajah itu dahulu, yang senantiasa tersenyum dan memberi keriangan saat saya ditimpa kehampaan, wajah itu yang dulu senantiasa mengirimkan saya doa kekuatan saat saya berada di landasan kesedihan. Allah, sekejap benar masa itu berlalu. Terlalu pantas dan amat pantas. Maha suci Allah juga kerana sempat memberikan saya ruang untuk menjaganya sebelum matahari tinggi memancar. Waktu fajar yang merupakan fajar terakhirnya untuk melihat dunia.

=========================================

Atuk, abang takkan pernah lupa segala pesanan atuk kepada abang. Atuk, abang mohon sejuta kekhilafan andai tidak dapat menjadi cucu yang terbaik. Abang dah mencuba sedaya abang untuk menjaga atuk. Maafkan abang atuk, jika atuk terguris. Tapi percayalah atuk, abang tak pernah sesekali akan melupakan atuk. Al-Fatihah dari abang senantiasa menjadi peneman buat atuk pada setiap malam. Atuk, abang minta maaf andai terlupa atau sengaja melupakannya untuk membaca kalam Allah itu. Insya Allah atuk, abang senantiasa berikan atuk bekal buat di sana. Abang masih ingat saat atuk menyuapkan makanan kepada abang saat abang masih kecil, atuk akan pastikan abang kenyang. Atuk risau jika abang tak makan. Walau makanan kurang tapi Atuk tetap berkata ‘ada lagi.”Atuk…terima kasih mendidik abang sehingga abang berjaya sampai ke tahap ini. Atuk, maafkan abang tak dapat tunaikan janji abang untuk atuk melihat siapa pasangan hidup abang. Maaf atuk, abang masih tidak tahu siapa jodoh abang dan bila ia tiba abang pasti akan menunjukkannya tapi……atuk…

Atuk, maafkan abang atuk..dulu abang pernah berjanji…gaji pertama abang…akan abang kongsikan dengan atuk..tapi maafkan abang..atuk.abang tidak sempat…atuk pergi sebelum abang mendapat kerja. Insya Allah, atuk akan merasa bahagiannya juga.

Dari kecil sampai abang dewasa atuk tidak pernah meninggikan suara..nasihat atuk penuh hemah bicara atuk senantiasa terselit dakwah. Allah ..rindu sekali lagi datang melamar…

Atuk, abang masih ingat dulu ketika abang merajuk dengan mak, atuk yang datang memujuk. Atuk pesan…jangan sesekali berkecil hati dengan ibu kita kerana di situ syurga kita. Ibu itu suci hatinya, tulus jiwanya. Dia sayang pada kita. Terima kasih atuk mendidik abang tanpa rasa jemu.


Atuk, sekarang atuk sudah kembara di alam sana meninggalkan alam nyata. Abang yakin, atuk bahagia di sana, Dalam mimpi abang, atuk senantiasa tersenyum..sentiasa…Andai dapat di ulang masa..tapi sudah tertulis…atuk tunggu abang di syurga ya. Insya Allah jika Allah izinkan kita semua pasti akan ke sana. AL-FATIHAH BUAT ABDUL MAJID B.DAHAMAN (13/1/2014)





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...