Labels

Pages

Followers

Thursday, February 28, 2013

Senyuman Dari Bintang



Setiakah aku cinta pada NYA? Sejauh mana rasa dan perasaanku untuk kekal mencintai NYA? Terkenang bila di uji dengan gejolak hati aku kaku memilih antara intan dan batu. Aku bungkam mencari antara kilauan dan kegelapan. Semua atas ujian buat diriku untuk mengenal dengan lebih dekat siapa aku yang sebenarnya. Aku cuba menepis semua perasaan lalu. Aku tidak mahu lagi mengulangi kesilapan-kesilapan dulu. Cukuplah Dia yang maha tahu tentang banyaknya dosa-dosaku dahulu.

Aku tahu akan sekian kekhilafanku tapi tika tiba ujian dari NYA , aku seakan tidak mampu. Sebenarnya aku tahu aku mampu. Ya. Aku mampu. Tiap kali diri diuji, satu kesedaran bangkit, merelakan bahawa aku harus menerima setiap apa yang ada di dalam kehidupanku ini. Dia sudah merencanakan sesuatu yang indah buatku. Aku percaya. Aku harus ada rasa sabar yang mendalam. Selagi mana Dia belum mengizinkan, aku harus bersabar dan terus bersabar. Dia sebenarnya telah lama memakmulkan doaku untuk aku menjauhi segala perkara maksiat, mungkar dan mazmumah. Allah. Syukurku padamu.

Alir air dari kelopak pancainderaku masih lagi ada. Aku harus menghargai dan aku perlu terus percaya pada diriku. Siapa aku tanpa keredhaan NYA. Walau aku dihenyat di lautan kebencian yang paling dalam, tetapi aku tahu, aku tidak akan sekali-kali dibenci oleh NYA. Takdir bukan pemutus buatku tetapi aku perlu mencari tadbir untuk aku menerus hidupku. Akan ku bekal dengan pengalaman lalu buat iktibar dalam jiwa.

Bukan nanti tetapi sekarang. Peluang yang ada ini harus aku gunakan. Menjadi yang lebih baik, menjadi anak, pelajar,guru dan suami yang lebih baik. Dan sentiasa tahu bahawa aku adalah hamba Dia.


Andai bisa ku lihat mentari di sana
Takkan mungkin aku merasa gelita
Jika bisa aku berlindung di balik cahaya
Sudah pasti akan ku lakukannya
Tetapi ku tahu Dia tidak mengizinkannya
Dia memberi cinta NYA untuk ku cintai
Dia sentiasa memberi dan tidak pernah henti

Tapi aku..
Aku yang cuba berlari
Berlari dari meraih cinta NYA
Mencari hanya sementara
Buta menilai hakikat pahit
Aku tega tanpa kata

Di mana wahai jiwaku seorang hamba
Hamba pada yang Esa
Aku hanya satu bukan beribu
Penciptaku juga Satu bukan dua bukan tiga
Sedalam mana rasa ini
Makin ku hanyut makin jauh aku lemas
Nafasku kian pergi
Hanya tinggal jasad yang menunggu mati

Allah, sempatkah aku?
Adakah masih punya ruang dan waktu.
Untuk aku laksana apa yang masih terbuku
Menjadi seorang hambamu yang tahu erti Kau yang Satu
Menjadi permata buat ayah dan bondaku
Menjadi pejuang penerus rantai agamamu
Menjadi daie kepada semua makluk yang bernyawa
Menjadi penguat pada sebuah rumah tangga
Sempatkah………..

Saturday, February 23, 2013

Kerana..Kita Mampu !



Allah itu sayang pada kita dan Allah sesekali tidak pernah jauh dari kita. Tiap hari, detik saat dan waktu Allah senantiasa ada dengan kita. Andai ada perkara yang menimpa, cukuplah Allah sebagai pelindung dan tempat untuk kita bergantung harap. Manusia hanya sebagai alat untuk memudahkan segala urusan kita. Allah yang pemilik segala-galanya dan yang utama.

Saya yakin dan percaya kita semua mempunyai kemahuan dan inginkan kejayaan dalam hidup kita. Kita hendak berjaya dalam pelajaran, kemudian bekerjaya, seterusnya ke alam rumah tangga. Tetapi ingat kita masih lagi berpegang kepada amanah dari pencipta dan kita masih lagi ada gelaran ‘hamba’ di dalam diri kita. Bukan hamba kepada manusia dan harta tetapi hamba kepada PENCIPTA kita.

Ke mana sahaja kita pergi, ingat. Allah sentiasa di hati dan memerhati. Tiap apa yang menimpa kepada diri kita. Harus kita lalui dengan tabah dan selesaikan dengan penuh hemah. Penyelesaian itu ada kita yang perlu mencari dan memikirnya. Begitu juga dengan impian kita. Andai kita ingin mendaki gunung yang tinggi kita harus kuat dan persiapkan fizikal dan mental kita bukan sekadar memasang angan tanpa ada usaha. Masih segar bibit-bibit perbincangan antara saya dengan pensyarah saya yang amat saya kagumi. Seorang yang bergelar profesor tetapi watak dan tuturnya biasa dan mudah untuk didekati.

Prof: Semua orang ada angan dan impian. Setiap impian kita mesti diiringi dengan usaha yang gigih bukan sekadar hanya berdoa. Seiringkan keduanya. Kamu ada impian kan?

Saya: Ye prof, saya teringin nak sambung pelajaran saya ni di peringkat yang lebih tinggi. Tapi saya takut terikat dengan banyak perjanjian. Takut terhalang cita-cita saya tue prof.

Prof: Awakni, belum jadi apa-apa dah macam-macam yang awak fikirkan. Awak belum lagi melangkah di akhir garisan tetapi awak dah buat banyak andaian. Bahaya tue.

Saya: Saya bukan apa prof, sekarang nie pasaran kerja kan perlukan persaingan.

Prof: jadi carilah kelainan di sebalik persaingan itu. Kita tahu semua akan tertumpu pada kerjaya yang sama macam kamu. Lambakan pengangguran pasti akan berlaku. Jadi awak perlu merebut peluang yang ada. Kita andaikan begini, awak nak mendaki sebuah gunung yang tinggi. Tetapi awak takut untuk mendaki dek kerana mendengar banyak tanggapan negatif tentang gunung tue. Contohnya banyak binatang buas, tiada laluan yang baik, terpaksa mengharungi arus sungai yang besar dan bermacam-macam lagi perkara yang menghalang awak sehinggakan awak tidak mampu lagi untuk meneruskan hajat awak itu. Walhal awak belumpun lagi melangkah kaki ke tempat itu. Langkahlah dahulu baru awak tahu bagaimana keadaannya. Silap-silap kawasan gunung itu sudah ada pembangunan.

Saya: InsyaAllah prof, terima kasih atas nasihat. Saya akan berusaha menggapai cita-cita saya ini.

Jika kita ada impian kita. Niatkan di dalam hati dan yakin Allah pasti akan perkenankan. Janji Allah adalah pasti. Usaha kita yang perlu disemat dalam diri, istiqamah dalam setiap apa yang kita lalui. Yakin dan letaklah pergantungan kita kepada Allah.

Thursday, February 21, 2013

Cinta Yang Mencintai



Menghargai sesuatu yang ada di hadapan mata kita membuatkan kadang-kadang kita buta dan tidak mampu menilai apa yang terbaik buat kita. Di hadapan kita itu sudah ada yang baik tetapi kita sentiasa ingin mencari yang terbaik. Ingin mencari yang sempurna. Kita harus faham dalam soal kitaran hidup ini. Diri kita baik tidak semestinya kita mendapat pasangan yang baik. Sama-sama kita memperbaiki diri. Sering terjadi apabila cinta itu kita rasakan hanya secebis cuma. Kita perlukan saat kita dalam kesempitan atau sekadar ingin mengisi ruang kosong di dalam hati dan apabila kita sudah memiliki sesuatu yang lebih bermakna akan kita tinggalkan apa yang pernah ada dahulu.

Kita tidak cuba untuk menghargai dengan sejujurnya apa yang kita ada sekarang. Kita tidak cuba untuk meyakini apa yang kita miliki sekarang kerana hati kita masih tidak teguh dan tidak utuh apa yang kita punyai sekarang. Terkadang terpalit pelbagai persoalan yang melanda benak fikiran kita. Adakah benar? Tepatkah pilihan ini? Muktamadkah? Hanya persoalan yang menyatakan diri kita masih keliru. Bukankah Allah itu ada dengan kita? Bukankah doa itu silah kita pada DIA? Mengapa harus kita mempersoalkan apa yang kita tidak pasti kesudahannya. Segala pengakhiran akan berlaku sama ada baik ataupun buruk. Tetapi percayalah Allah sentiasa memberikan kebahagiaan kepada hambanya walau ada dengan jalan derita.

Apabila berlaku yang sebaliknya kita harus berhenti menyalahkan takdir. Anggaplah ia kesilapan kita di dalam mentadbir hati kita ini. Kita telah gagal dalam mentadbir diri, hati, nafsu dan segala pancaindera yang kita ada. Sering kali kita berduka dengan musibah yang melanda kita. Tapi ingatlah bahawa semua yang menimpa diri kita itu sebagai tangga untuk kita menjadi yang terbaik bukan sekadar hamba Allah yang hanya tahu hidup dan makan sahaja tetapi sebagai hamba Allah yang tahu peranan hidup dalam kehidupan mereka. Jadilah kita seorang hamba Allah yang senantiasa bersyukur terhadap apa yang dikurniakan kepada kita.

Hidup ini pasti banyak ujian. Ujian hati yang sukar untuk kita tepis dan memerlukan kesabaran yang amat tinggi di dalam  mentadbir hati kita. Saya masih ingat dengan peribahasa ciptaan saya ini.~ kerana dosa setitik, rosak hati keseluruhannya~ bersamalah kita di dalam mentadbir hati kita ini. Usahlah mengharapakan kesempurnaan pada apa yang kita ada selagi mana diri kita masih belum sempurna.

~cintailah orang yang engkau cintai itu sekadarnya sahaja, sebab barangkali suatu hari dia akan menjadi orang yang kau benci, dan bencilah orang yang tidak engkau sukai itu sekadarnya sahaja sebab barangkali suatu hari nanti dia akan menjadi orang yang kamu cintai~ (HR Tirmizi)




Monday, February 11, 2013

Sebuah Kenangan yang takkan...



Keindahan semalam hanyalah sebuah igauan yang sudah sirna. Melangkah pergi kian jauh dan terus menjauh dan takkan berulang lagi. Mungkin dulu hanya sekali dan dua kali dan tidak lagi untuk buat kesekian kalinya. Lesu langkahnya mengusir kesilapan semalam dan dia terus memanah awan….

“Apa yang telah aku lakukan dulu?”

“Kau silap..kau yang tidak pernah bersyukur, kau silap”

“Tidak…aku dah buat apa yang perlu aku buat”

“Apa yang sebenarnya kau buat? Kau sentiasa tinggikan ego kau dan kau tidak pernah faham tentang perasaan, kau tak pernah hadam erti sebuah ikatan.”

“Aku minta maaf....maafkan aku.”

“Ahh..sudah tiada berguna lagi maafmu itu. Kau selalu buat kesilapan yang berulang”

“Aku tak bersalah… bukan..bukan salah aku sepenuhnya..takdir yang buat aku jadi begini.”

“Sudah! Berhenti menyalahkan takdir..kau yang salah mentadbir hatimu. Sekarang kau terima pembalasannya.”

“Aku tak peduli aku nak ubah kembali apa yang terjadi dulu..”

“Tak perlu kau ubah..cukup kau hargai apa yang telah kau ada sekarang. Faham?”

“Tapi…”

“Kenapa? Tidak sama? Carilah persamaan di sebalik perbezaan itu. Sempurnakan apa yang belum sempurna.”

“Bagaimana?”

“Lihat pokok kelapa itu. Kalau buahnya tiada masihkah ia berguna dan sempurna?”

“Err…mungkin.”

“Sememangnya ia masih berguna. Batangnya boleh dibuat titi, daunnya boleh dijadikan lidi, tingginya ia menutup panas di bumi.”

“Aku faham sekarang.”

“Kenangan yang takkan diulang semula. Kau harus abadikan dia. Usah disesali dengan masa lalu mu itu kerana masa yang ada di hadapan mu itu harus kau hargai dan kau sayangi”

##########

Kringgggggggggggggggggggggggggggg!!!!Kringggggggggggggggggggg!!!

5.30 AM
Astagfirullah..Aku bermimpi rupanya.


~sedikit kelainan di dalam entry kali ini, moga ada unsur dakwah di dalam penulisan ini.=)

Tuesday, February 5, 2013

Bahagiakah dengan Permusuhan???



Salam pertemuan buat pembaca semua. Lama agaknya saya tidak mencoret titipan di dalam blog ini. Hendak kata sibuk tidak juga tetapi ada beberapa amanah yang perlu dilaksana. Alhamdulillah sudah menginjak bulan kedua di dalam tahun 2013 ini. Syukur ya pada Allah kerana kita masih diberikan kesempatan untuk merasa kehidupan di dunia ini.

Sahabat, pernahkah kita sangka bahawa segala tindakan kita di dunia ini disukai oleh semua manusia? Apa sahaja yang kita lakukan disokong dan diikuti oleh mereka. Sukar untuk kita memuaskan hati orang tetapi biarlah kita lakukan itu atas keperluan kita bukan atas kehendak kita. Lumrah di dalam kehidupan sudah pasti ada yang tidak berkenan. Jangan disangka orang yang baik juga tidak ada yang membencinya bahkan menjadi orang yang baik itu lagi banyak musuhnya. Tetapi ingat jika kita menjadi baik bukan untuk membina permusuhan tetapi mencipta ikatan persaudaraan.

Musuh itu kadang-kadang akan menjadi tangga untuk kita berjaya dan kadang-kadang akan menjadi sahabat kita yang paling kita cinta. Ingat sahabat yang baik akan menegur kesilapan rakannya dan membantu untuk menyelesaikan masalah rakannya itu. Bukan hanya menegur dan membuat mimik muka kasihan. Nabi juga mempunyai musuh yang ramai inikan pula kita yang hanya manusia penuh dosa. Ambillah iktibar dari sejarah Nabi bagaimana baginda memenangi hati musuh-musuhnya itu terutamanya kaum Kuffar.

Jangan kita angkuh dengan apa yang kita ada kerana musuh kita senantiasa memerhatikan gerak geri kita. Untuk apa kita membangga diri andai ada yang masih membenci. Kita punya hati, akal dan fikiran untuk kita jadikan iktibar di dalam kehidupan. Sukar untuk mencari kawan yang benar-benar baik tetapi mudahkanlah dengan lakukan sebenar-benar kebaikan kepada kawan kita. Hargailah mereka dan bukan memaksa mereka untuk menghargai kita. Kuasa itu sementara, jawatan itu ada tempohnya dan penghormatan juga ada masanya. Yang kekal hanya jasa. Ingatlah baik orang kepada kita bukan baik kita kepada orang dan Ingatlah buruk kita kepada orang bukan buruk orang kepada kita.=)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...