Setiap yang berlaku pasti banyak hikmah
yang terselindung. Hikmah itu bukan datang selepas kita diuji. Ia hadir dalam
dalam masa yang tidak pernah kita duga. Walau kita rasa kesakitan tetapi bila
kita ada Rasa bertuhan itulah yang akan menjadi panduan buat kita. Hidup ini
untuk di uji bukan hidup ini itu lari dari ujian. Kita hamba Allah yang layak
dan seharusnya mampu untuk menerima ujian itu.
Terkadang kita rasa tidak mampu dan
berputus asa bahkan bagai tiada harapan lagi untuk meneruskan kehidupan. Langkah
kian payah, nafas kian susah, jiwa kian resah hati kian parah. Itu hanyalah di
dalam kawalan kita. Kita mampu mengawalnya. Bisik pada diri.. “ia datang dari
Tuhan dan pasti akan ada kesembuhan.” Andai
ada insan di sekeliling kita yang menjadi alat untuk kesakitan kita
redhalah..hadapilah dengan penuh keredaan kerana mereka adalah lorong kita
meraih pahala juga mendidik jiwa. Jangan sesekali terluka dengan sikap mereka
kerana kita sudah punya jiwa yang mampu mengawal segala molekul rasa yang ada
di dalam diri kita.
Payah tetapi bukan susah. Sakit tetapi
tidak akan berjangkit. Penat tetapi tidak akan menjadikan kita tenat! Walau apa
yang datang di dalam hidup kita. Yakinlah bahawa kita layak untuk di uji dan
menerima ujian. Tuhan sengaja mengaturkan kita dengan pelbagai ragam manusia. Di
situ kita membina ukhwah kita menyelami erti mawaddah andai tersingkap mazmumah
anggaplah ia sebagai rencah bukan padah!
Walau tinggi mana kedudukan kita, walau
kaya mana pun kita tetapi harus kita tahu bahawa Tuhan kita maha Agung, Tuhan
kita maha kaya. Kita berada di dalam dunianya. Sebagai peminjam dan nanti kita
harus memulangkannya kembali kepada NYA. Setiap apa yang ada di bumi ini
hanyalah pinjama dari NYA termasuklah diri kita ini. Gunakanlah ia sebaik
mungkin jangan sesekali kita menyalahgunakannya.
Ujian kehidupan terkadang membuat kita
lemah, sampai ada yang rebah juga ada yang tidak mampu untuk bangkit. Menukar gelap
menjadi cahaya, menukar hiba menjadi bahagia, membuang duka menjadi suka. Setiap
jalan yang kita pilih dan lalui ini pasti akan ada ujian. Bersiap siagalah
wahai diri. Kuatkan iman, kuatkan hati juga kuatkan emosi. Kejarlah cita-citamu!
Secangkirbicara
Tatkala kita diuji dengan satu perasaan
yang tidak pernah kita rasa sebelum ini, ia datang begitu hebat, kita tidak
mampu untuk menyekat. Acap kali kita berkata jiwa kita penat, penat untuk
merasai perasaan itu lagi, serik untuk cenderung ke arah rasa itu. Bukankah ia
anugerah dari Allah yang maha Esa. Benar ia anugerah tapi ingat ia juga akan
menjadi fitnah andai kita tidak tahu mengemudinya. Cinta itu lahir dari hati
yang suci untuk dipindahkan kepada hati yang penuh nurani namun andai cinta itu
datang dari jiwa yang kotor dan rosak ia akan menjadi sebuah cinta yang penuh
noda dan dosa. Moga kita semua dijauhi dari malapetaka ini. Cinta itu lahir
dari syurga kembalikan ia juga ke syurga!
Virus cinta ini semakin terkesan di dalam
diri remaja baik yang ‘biasa-biasa’ atau yang sudah punya nilai agama. Matlamatnya
sama cuma pendekatan berbeza. Bagi yang biasa-biasa, keluar berdua, makan
bersama, bergambar mesra, dan saling berpimpinan tangan sudah menjadi kebiasaan
dan bagi yang ada nilai agamanya juga menggunakan istilah ‘Islamik Couple’
bunyinya seakan menghalalkan tetapi ia penuh kesengsaraan, persoalan untuk
menguruskan hati dan perasaan. Bolehkah bertahan tanpa ada sebuah pertemuan? Mampukah
hati mengawal nafsu yang kuat melawan dan setiakah hati menanti janji Tuhan? Benar
ada doa, ada istikharah tetapi bagaimana istiqamahnya? Adakah dijaga dengan
sebaik mungkin. Kita inginkan buah mangga yang manis, tetapi kita hanya menaman
benihnya sahaja kemudian tidak dijaga dan diberi baja secukupnya. Tidak adil
bukan.
Entah ke berapa bicara tentang cinta dicoretkan
di sini tetapi ingatlah bukan untuk menyatakan diri ini terlalu bagus dan baik
tetapi hanya peringatan buat diri dan buat sahabat yang sudi menghayati
bingkisan ini. Cinta itu fitrah dari Allah. Kita tidak mampu untuk
menghalangnya tetapi kita mampu untuk mengawalnya. Perlukan kawalan dari setiap
segi, kawalan nafsu, hati, pancaindera dan minda. Ramai di antara kita yang
punya pengalaman bercinta baik semasa alam persekolahan atau alam universiti
hinggakan sudah yang ke berapa pengalaman kita itu. Bercinta dan putus,
bercinta lagi dan putus lagi dan terus bercinta kemudian terus putus. Nah,
bahaya bukan cinta yang sebegini. Tapi itulah satu pengalaman mahal yang perlu
kita bayar di dalam mengemudi hati kita. Setiap kali kecewa baru kita bertemu
siapa pencipta kita, setiap kali kita berduka baru kita berjumpa siapa pencipta
kita dan setiap kali hati kita terluka baru kita sedar bahawa hati kita ini
milik DIA.
Mengapa harus kita membenci pengalaman
lalu, jadikan ia sebagai madu kemanisan walau hakikat ia pahit tetapi itu yang
menyebabkan kita bangkit. Ingat, cinta yang sementara itu hanya pinjaman dari
DIA untuk menguji kesetiaan dan kekuatan kita pada DIA. Adakah untuk dia yang
kita cinta atau melebihkan DIA yang memberi cinta. Tepuk dada tanya hati anda. Cinta
itu bukan hanya dinikmati kepada golongan berseluar jeans mahupun berskirt
pendek tetapi ia juga turut dirasai oleh insan yang berkopiah putih dan bertudung labuh. Ada gaya tersendiri. Terpulang
pada hati menilai peribadi. Bukan pakaian itu yang salah jika akhlak tidak
mengikuti dengan apa yang dipakai tetapi, si pemakai itu yang salah kerana
tidak berakhlak untuk mengikutinya.
Cinta itu berkait rapat dengan soal hati. Bagi
yang pernah merasainya tahniah diucapkan dan bagi yang sedang merasai atau akan
merasai, takziah diucapkan kerana bala menunggu di hadapan andai tiada langsung
kawalan. Cinta dalam diam. Mungkin ada yang sedang mengamalkannya. Di pihak
lelaki atau perempuan menyukai seseorang itu tanpa pengetahuannya. Jika itu
jalan yang anda pilih, teruskan berdoa mungkin itu jodoh anda tetapi usah
terlalu berharap kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Perit
dan sakit apabila kita mengalami kegagalan dalam bercinta. Tetapi percayalah
itu bukan kegagalan tetapi kejayaan buat kita kerana kita tidak lagi berdosa!
Mana lebih kita suka antara malu dengan
kawan akibat putus cinta atau malu dengan Tuhan akibat kita terlalu banyak
berdosa. Bayangkan kalau dosa itu berbau, pasti tidak ramai yang akan mendekati
kita. Cukuplah dosa yang kita ada apabila bercinta dengan makhluk yang bukan
sah dengan kita lagi. Mari sama-sama kita bermuhasabah diri. Ada di antara kita
yang sudah bercinta bertahun-tahun lamannya dan di dalam tempoh percintaan itu
terselamatkah kita dari zina hati, mata, kaki, kemaluan dan tangan? Andai masih
terjaga Alhamdulillah. Andai sudah menghampiri ke arah itu Nauzubillah.
Bertaubatlah kerana taubat itu sentiasa terbuka luas untuk kita. Ingatlah Allah
itu maha berkuasa tetapi Allah tidak zalim, Allah maha penyayang. Allah itu
maha kaya tetapi Allah tidak bakhil, Allah maha pemurah.
Kenapa bukan dia jodoh kita? Soalan itu
yang sering kita ucap dan keluhkan. Bersabarlah wahai hati yang tenang. Kita sendiri
sudah ada jawapannya kerana, DIA telah menetapkan siapa jodoh kita yang
sebenarnya. PASti dan PASti! Pernah kita dengar kadang-kadang Allah pertemukan
kita dengan insan yang salah bukan untuk membuatkan kita kalah tetapi memberi
janji bahawa kita tidak seharusnya mengalah. Kalah bukan bererti kita akan
mudah mengalah. Persiapan diri kita sebagai suami/isteri mithali perlu kita
lakukan bukan menunggu bila tiba masanya tetapi ia harus segera! Hari ini kita
juga sudah kembali memutar sejarah bahkan mengulangi sejarah. Berkahwin pada
usia muda. Ya sejarah ini sudah ada bermula dari zaman Nabi sehinggalah zaman
nenek moyang kita. Bukankah ia sesuatu yang mulia bahkan menyempurnakan
sebahagian dari agama. Namun perlu diingat kalau cinta tiada persediaan dan
hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu ia pasti tidak akan berkekalan. Wajah yang
cantik itu hanya indah ketika muda tetapi apabila usia makin bertambah
kecantikan itu akan sirna. Masih adakah erti cinta? Wujudkah lagi istilah
setia?
Kemudilah alam ini sebaiknya. Ranjau sudah
pasti ada di hadapan. Bagi sahabat yang sudah melalui alam ini, teruskanlah dan
tunjukkanlah keindahan cinta yang sebenar bukan menunjuk-nunjuk! Hindari diri
dari fitnah manusia. Bagi yang sedang merancang ke arah itu, teruskanlah
menyiapkan diri dan berusaha sebaik mungkin. Jalan keredaan itu ada kalanya susah
tetapi memerlukan hati yang tabah. Cintailah orang yang tahu mencintai kita
bukan mencintai orang yang menunggu dirinya dicintai. ~Secangkir bicara
Dia-lah yang
menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya
manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu
mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang
demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya)
kepada orang-orang yang mengetahui. (Surah Yunus 10: Ayat ke 5)
Allahu
Akbar, Allahu Akbar.. DIA lah Allah yang menciptakan sekalian alam ini. Segala
puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, siang dan malam, bulan dan
mentari. Bulan itu cahaya berseri indahnya memancar di sanubari, walau ada yang
berkata dari dekat ia penuh dengan kelodak. Tapi hakikat ia datang dari Allah
S.W.T, terlalu banyak kaitan kata tentang bulan.. “engkau laksana bulan” dan
Nabi kita pun dilambangkan seperti bulan purnama menerangi akidah umat tatkala
ia hampir sirna.
Sudah lama
saya mencari lagu ini dan tidak mengetahui apakah tajuk sebenarnya.
Rupa-rupanya indah dan cantik lagu dan maknanya itu. Saya tidak begitu berminat
dengan k-pop apatah lagi dengan lagu mandarin. Tetapi lagu ini telah membuatkan
hati saya jatuh, dulu saya pernah mendengarnya tetapi kali ini buat kesekian
kalinya lagu ini saya dengar. Sebuah lagu popular berbahasa mandarin yang
dinyanyikan oleh Teresa Teng merupakan sebuah lagu yang begitu popular di
serata dunia. Dinyanyikan oleh artis-artis pelosok negara dan lagu ini begitu
dekat dengan masyarakat China. Lagu ini bertajuk Yue Liang Dai Baio Wo De Xin
atau di dalam bahasa Inggerisnya diterjemahkan sebagai The Moon Represents My
Heart atau bermaksud Bulan Mewakili Hatiku. Indah bukan mauduqnya itu?
Maaf,
saya bukan hendak kaitkan dengan politik. Bagi yang berfikiran seperti itu,
terpulanglah. Saya hanya diberi ilham untuk menulis. Tetapi hayati maksudnya
itu dan fikirlah sedalam-dalamnya. Lagu ini mungkin ada di antara kita yang
menujukan kepada kekasih mereka tetapi siapakah yang lebih layak kita cintai
melainkan si pemberi hati kita yakni Allah. Cinta Allah kepada kita tidak
pernah sirna. Sering kali kita mempertikai setiap ujian dari Allah, tetapi
Allah tidak sesekali menjauhi kita bahkan Allah rindu. Allah amat rindu
mendengar rintihan kita. Kita hamba Allah. Alhamdulillah, terasa lunak
mendengar seorang ustaz mampu menyanyikan lagu ini dengan baik. Tahniah.
“Ya Allah beratnya ujian yang kau berikan
ini. Ya Allah aku tidak mampu, mengapa kau duga aku dengan ujian sebegini rupa.
Wahai Allah, hamba mu ini lemah dan tidak punya daya untuk menghadapinya.” ~
begitulah keluhan kita terkadang apabila kita ditimpa dengan pelbagai masalah. Diri
bagaikan tidak punya daya minda bagaikan tidak mampu memahaminya dan hati
seakan buntu untuk menyelesaikannya. Setiap masalah yang datang itu adalah
tanda sayang dari Allah. Saya ulangi ia adalah tanda sayang Allah kepada kita.
Usah sesekali kita mempertikaikan ujian
atau masalah yang kita hadapi itu. Mengapa terjadi begini? Mengapa tidak
sebaliknya? Mengapa harus aku yang lalui semua ini? Banyak persoalan bermain
diminda, semua hadir penuh dengan tanda tanya. Ini bererti kita turut
mempertikaikan si pemberi ujian itu. Siapa yang memberi ujian itu? Dialah Allah
tuhan kita. Kita sebagai hambanya layak untuk diuji kerana apa? Kerana kita
hamba. Hamba adalah insan yang hina, yang penuh dengan kedaifan, tidak punya
apa-apa dan serba kekurangan. santuni jiwa hamba bukan sentiasa ingin menjiwai
jiwa Tuhan.
Maaf saya katakan, istilah kita hamba
kepada raja adalah istilah yang salah dan janggal kerana apa? Bukan dia yang
menciptakan kita tetapi Allah juga yang telah menciptakan dia dan kita. Oleh itu,
hormat kita biar bertempat. Ingat, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat
diri kita. Allah tahu segala-galanya apa yang ada di dalam rasa kita kerana
Allah maha tahu. Terimalah ujian itu dengan hati yang tabah. Jika masalah yang
kita hadapi itu terlalu besar, ingatlah bahawa kita senantiasa ada Allah yang
maha besar. Bersabarlah dalam bersabar.
Bagi remaja yang punya ujian di dalam
bercinta. Hadapi ujian itu jangan sesekali kita lari. Andai dia sudah
ditakdirkan untuk kita, teruskanlah berdoa dan jaga segala perkara yang perlu
dijaga. Andai dia bukan untuk kita. Terima sahaja dengan hati yang terbuka.
Redha dan bersyukur kerana Allah maha tahu. Kumbang itu bukan seekor bunga juga
bukan sekuntum tetapi mencari kumbang yang kuat
tanduknya dan gagah sayapnya bukan suatu perkara yang mudah dan mencari
bunga yang masih belum layu dan suci juga bukan mudah tetapi ia tidak payah
seandainya kita punya hati yang tabah. Jangan cemburu pada mereka yang sudah
mendapat kumbang dan bunganya (yang sah). Tetapi titipkanlah doa buat mereka
agar mereka mampu mengemudi bahtera rumah tangga dengan lebih selamat dan
bahagia bukan hanya sekadar suka-suka tetapi ada ‘sengsara’ yang perlu di
sirna.
Untuk mereka yang sudah berumah tangga juga
ujian dari Allah pasti hadir dan akan hadir. Kesabaran, kesetiaan dan keimanan
akan menguji pasangan ini. Jadi, lengkapkanlah diri dengan ilmu dan pengetahuan.
Fitnah itu akan menjadi makanan kita seandainya kita tidak menjaga dia dan Dia.
Oleh itu, hiasilah diri kita dengan adab dan sedia menerima teguran dari
insan-insan yang ada di sekeliling kita. Alam rumah tangga bukanlah suatu gelanggang
permainan tetapi ia merupakan gelanggang sebuah kehidupan antara sang suami dan
sang isteri. Cinta itu lahir dari Ilahi dan dipindahkan di dalam sekeping hati
dan kemudiannya akan bertaut lagi ke dalam sekeping hati yang suci. Maka abadi
dan terus mengikat tali mencari tangga ke Firdausi.
Jodoh akan tiba pada tepat masa, siapa
ketika dan di mana. Ia bicara hakikat bukan sekadar pengubat. Yakinlah pada
urusan Allah ini. Jodoh itu akan hadir pada kita semua. Teruskan menanti dan
mengharap pada si pemberi Jodoh yakni Allah. Persiapkanlah diri untuk jodoh
kita nanti agar kita menjadi pembimbing dan pendampingnya.
Jatuh cinta pada seseorang itu, fitrah. Jatuh
cinta kerana bernafsu pada seseorang itu, mazmumah dan jatuh cinta pada
seseorang untuk menjadikannya isteri atau suami kepada kita itu, adalah amanah!
Perasaan ini akan hadir bila kita menginjak usia remaja. Segala kawalan dan pengetahuan
perlu ada di dalam habitat cinta ini. Andai kita gugur untuk mentafsirkannya
maka akan membawa bencana pada diri kita dan dia. Hakikat cinta itu suci dan ia
bermula di syurga. Kisah antara Nabi Allah Adam dan Hawa. Namun, cinta kita
pada hari ini, banyak tersasar dan dan lari dari istilah suci itu.
Apa yang dilarang menjadi ikutan dan apa
yang disuruh menjadi ejekan. Penangan cinta membuka marahbahaya kita. Saya yakin,
ramai di antara kita yang pernah bercinta atau sedang atau akan atau telah
bercinta. Saya akui saya juga pernah. Penangannya sungguh bahaya dan amat
bahaya. Benar awalnya manis akhirnya sakit seperti hempedu yang terhiris. Ramai
di antara kita yang tidak sedar ketika mana saat bahagia bersama pasangan dan
adakah kita terfikir selamanya ia akan bahagia. Hakikat kita lupa si pemberi
cinta yakni Allah. Apabila terjadi sesuatu perkara di luar jangkaan kita, kita
seakan pasrah dan menyalahkan takdir. Takdir yang membuatkan kita menjadi
begini. Takdir yang menjadi pemutus antara kita dan dia. Bukan takdir yang
salah tetapi kita yang salah mentadbir hati kita. Saya ulangi sebenarnya kita
yang salah mentadbir hati kita.
Pahitnya ujian itu bukan menjadi racun
dalam kehidupan kita tetapi sebaliknya ia menjadi penawar pada bisa yang kita
rasa. Sebagai contoh, apabila kita sakit, kita memerlukan ubat. Ubat itu pahit
bukan? Tetapi pahit itulah yang akan melegakan kita. (Cuma nasihat saya jangan
kita terlalu bergantung pada ubat kerana banyak kandungan dadah di situ. Barat
mencipta ubat yang boleh melemahkan antibodi kita dan menyebabkan kita ketagih
pada ubat. Ini hanyalah perumpamaan dari saya). Kesakitan akibat putus cinta
boleh menyebabkan kita lemah. Tetapi itu juga akan menjadikan kita seorang yang
tabah dan seorang yang akan berubah. Benar. Kita belum terlambat untuk berubah.
Berubah menjadi seorang yang lebih matang dan tahu tentang hidup dan kehidupan.
Lakukan persediaan untuk masa hadapan kita nanti.
Pesan saya, usah kita menyalahkan bahan
ujian dari Tuhan itu tetapi berterima kasih lah kepadanya. Agak sukar tetapi,
andai tidak mampu kirimkanlah doa bahagia buat dia. Jangan rasa benci mahupun
iri hati. Bahagiakanlah diri kita apabila melihat dia bahagia. Bukan tiada
jodoh dengan dia tetapi jodoh itu belum sampai. Bersabarlah. Allah itu yang
memberi hati kepada kita. Bagi yang sedang berbahagia dengan pasangan
masing-masing. Jagalah dan peliharalah segala apa yang menjadi larangan di
dalam percintaan. Andai mampu kita menjauhi dari zina mata, hati, kaki dan
tangan. Insya Allah. Allah pasti akan redha tetapi andai kita gagal menjaganya
pasti Allah jua akan murka.
Masa bukan menentukan pengakhiran tetapi
permulaan itu yang akan menentukan pengakhiran. Iftitah penentu natijah. Proses memilih jodoh
kita itu yang penting. Jika diawalnya kita sudah melalui perkara-perkara yang
mendekatkan kita dengan maksiat bersama pasangan kita itu pasti diakhir nanti
kita akan memperolehi hidup yang tiada berkat. Ingat dia yang akan menjadi
suami dan ayah pada anak kita nanti dan dia juga akan menjadi ibu dan isteri
kita nanti. Ketahuilah olehmu wahai putera puteri amanah Ilahi, jangan sesekali
kau tukar fitrah itu menjadi fitnah. Ingat taat lebih mudah daripada melakukan
maksiat, jika taat itu pedih, sesungguhnya maksiat itu lebih pedih.
Doa dan istikharah pengikat pada datangnya
jodoh kita. Kita masih tidak tahu siapa jodoh kita tetapi kita boleh berdoa
untuk jodoh yang tidak diketahui oleh kita itu. Teruskanlah berdoa, biar dia
tidak tahu kerana kita punya DIA yang maha tahu. “Ya Allah, kurniakanlah aku
jodoh yang baik, jodoh yang soleh/solehah.” Istikarah sahaja tidak mencukupi
harus diistiqamah dengan doa setiap hari. Tapi apa yang penting perubahan diri
kita. Bagaimana nanti jika jodoh kita itu tahu kita orang yang tidak baik. Selagi
ada masa berubahlah.
Pimpinan tangan ketika bercinta bukan
syarat utama. Bergambar mesra berdua (couple) juga bukan tuntutan agama. Wahai
sahabat, tidakkah kita kasihankan pada jodoh kita nanti jika dia tahu dan dia
melihat jodohnya itu bergambar mesra bersama pasangan yang dia sendiri tidak
tahu pengakhirannya. Andai dosa itu berbau pasti tidak ada orang yang akan
mendekati kita. Mari kita ambil contoh makanan. Kita semestinya mahukan makanan
yang enak dan tidak terusik oleh sesiapa. Tetapi sanggupkah kita menghabiskan
makanan kita itu andai ada kawan kita yang sudah merosakkannya dengan mencampurkan
bahan perisa atau rasa yang kita tidak gemari.?
Bersabarlah dengan urusan Allah ini kerana
ia pasti akan hadir walau kita tidak sedari. ~Wa ila Rabbika far ghob~.
Utamakan amanah kita nanti akan kita iring dengan fitrah cinta yang suci. Jangan
kita sibuk memikirkan siapa jodoh kita tetapi sibuklah dengan berfikir apa
persiapan kita untuk bakal jodoh kita. Mudah-mudahan bicara kali ini menjadi nasihat
buat diri saya terutamanya dan kepada pembaca yang budiman sekalian.~
Secangkirbicara
Salam pertemuan buat pembaca sekalian. Alhamdulillah masih diberi ruang
untuk berkongsi sedikit cerita dengan sahabat semua. Hari ini saya merasakan
hari yang ada sejarah buat saya. Memberi senyum sinis sambil hati mencorak rasa
manis. Ish sastera bunyinya. Jangan risau dengan bahasa yang saya gunakan.
Insya Allah saya yakin sahabat pembaca sekalian masih memahami bicara saya ini.
Hari ini, saya berkesempatan menghadiri sebuah program yang saya rasakan
hebat dalam bahasa sekrang Gojes..Hehehe..Rupanya Allah mengaturkan saya
tentang sesuatu pada program ini. Bagi kita mungkin biasa-biasa sahaja tetapi
ada yang luar biasanya. Pahit di awalnya tapi manis diakhirnya..moga terus
berkekalan.
Kami dipecahkan di dalam kumpulan kecil. Kembali menggamit kenangan
dulu-dulu. Bermula dari ini ada cerita yang masih tersimpan. Hehehehe. Permainan
dimulakan oleh abang-abang dan kakak-kakak fasi.(abang ke? Kakak ke?) . Selang
aktiviti seterusnya..kini tiba dengan permainan yang baru. Mereka namakan
permainan ini “Awak Sayang Saya Tak?”. Agak terkedu dan terkejut saya mendengar
nama slot permainan ini. Susah juga untuk memahaminya. Biasalah bagi pasangan
yang sedang, pernah atau akan bercinta pasti akan melalui frasa ayat ini. Tetapi
saya…ehmmmmmmmmmm…
Fasi-fasi meminta kami berada di dalam bulatan yang besar. Jangan risau
walau berada di dalam bulatan yang besar kami masih menjaga batasan pergaulan
antara yang bukan mahram kami. Aktiviti nya mudah setiap orang yang dipilih
harus bertanya kepada seorang rakannya yang berada di dalam bulatan itu dengan
soalan ~ “Awak sayang saya tak?”. Sekiranya mereka menjawab ya nyatakan
sebabnya dan sekiranya tidak juga harus menyatakan sebabnya. Dan adalah arahan
yang seterusnya.
Saya terfikir sejenak. “Alamak bagaimana kalau ada budak perempuan yang
datang dekat aku pastu tanya aku macam tue. Ish3”. Perasannya saya. Macamlah ada
orang yang akan bertanya soalan begitu kepada saya. Ya. Bagaimana agaknya jika
sahabat berada di dalam permainan ini? Permainan dimulakan! Setiap kesalahan
ada dendanya. Fasi memanggil seorang wanita bertudung litup, ayu gayanya persis
Muslimah solehah. Dia terpinga-pinga. Terkedu dan seolah-seolah tidak tahu
membuat apa. Dia mengelilingi bulatan itu mencari ‘sahabat’ untuk di soal dengan
soalan itu.
Muka saya masih selamba. Cuma kesian kepada gadis itu. Nanti mungkin ada
yang berfikiran negatif kepadanya walau hakikat ia cuma permainan. Saya ulangi
ia hanya permainan. Dia melangkah dan terus melangkah…dan akhirnya langkahnya
terhenti. “Saya pilih dia.” Kata gadis itu tersipu-sipu malu. Suasana terdiam. Gadis
itu terus mengajukan soalannya… “Err….awak sayang saya tak.”.
“Gulp”. Bagaimana untuk menjawab soalan ini, sedangkan kita tidak
langsung mengenali dia. Bersahabat belumpun berkenalan. Suami isteri? Jauh
sekali. Saudara seagama.Ya. “Heeeeeeee..” Hanya senyum panjang yang terukir di
pipi. Andainya ada jawapan pada persoalan itu sudah tentu akan dinukilkan. Sahabat
yang lain memerhati.
**********
Daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya, bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi
menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah
menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan. Lalu malaikat
itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?” Lelaki tersebut
menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”. Malaikat
bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan
daripadanya?” Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT. Maka berkatalah malaikat
itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau.
Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia
kerana Allah”. (Hadith riwayat Muslim).
~Kadang-kadang pasangan bercinta selalu
bertanya kepada pasangan mereka di antara mereka yang siapa yang lebih di
sayangi atau dicintainya, awak ke atau saya? cth suami isteri.
Tapi apabila soalan ini ditujukan kepada
para hukama, mereka menyatakan bahawa siapa yang lebih cinta dan sayangnya
kepada Allah, maka dialah yang lebih cinta kepada pasangannya.~
Hari ini Jumaat yang terakhir pada bulan
ini. Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk kita merasa nikmat hidup
di dunia yang fana ini. Syukur pada Allah kerana memberikan ruang dan peluang
untuk kita semua. Hari ini terdetik untuk saya berbicara soal pengakhiran kita.
Bagaimana ya agaknya kita nanti ketika berhadapan dengan Sakaratul Maut?
Bagaimana ya keadaan kita adakah di dalam Khusnul Khatimah atau Suul Khatimah.
Mudah-mudahan kita semua di dalam Khusnul Khatimah. Insya Allah.
Kita senantiasa diberikan dengan nikmat
Allah yang begitu banyaknya tanpa pernah kita duga dan kadang-kadang Allah akan
menarik nikmat itu dalam tempoh yang cukup singkat dan cepat. Itulah kuasa
Allah. DIA berhak memberi dan berhak mengambil kembali apa yang sudah diberi. Kita
melihat suatu nikmat itu bukan hanya sekadar kaifiat pada kita tetapi bukti
supaya kita terus taat, taat pada si pemberi nikmat itu yakni Allah yang maha
kuasa. Segala nikmat bukan jalan untuk kita menempuh maksiat tetapi tarbiah
buat diri supaya kita lebih menjadi taat.
Hidup kita tidak akan lepas dari dosa. Tetapi
perlu kita bahawa kita ada DIA untuk menebus segala dosa-dosa kita. Dengan apa
caranya. Taubat. Ya, taubat dari melakukan perkara yang kita telah lakukan. Ingat,
kesilapan pertama bukan dinamakan kesilapan tetapi kesilapan kedua itulah yang
dinamakan kesilapan. Rintihlah kesilapan kita dengan doa. Doa silah orang yang
beriman dan bertakwa kepada Allah. Ramai yang berkata bahawa tidak cukup dengan
doa tetapi kita harus berusaha, tetapi sebenarnya dengan berdoa itu jugalah
merupakan usaha kita.
Usah kita risau lagi andai suara dan rintih
kita tidak didengar oleh manusia kerana Allah sentiasa merindukan suara kita.
Mari kita ambil ibrah kata dari Imam Syafie ini ~ tika mana pengharapanmu di
bumi sudah tertutup maka letaklah pengharapanmu pada langit kerana kau tidak
akan sekali-kali kecewa dengan NYA. Allah sebenarnya sudah mengetahui apa yang
berlaku pada diri kita kerana Allah Maha Mengetahui, tetapi berdoalah dengan
yakin bahawa Allah pasti perkenankan segala apa yang kita pohonkan.
Masa kita di dunia ini masih panjang tetapi
tidak bagi orang yang takut akan azab Allah. Segeralah bertaubat. Lakukanlah perubahan
kerana perubahan yang ada di dalam diri kita akan pasti mengubah orang lain. Jika
kita inginkan sahabat kita berubah ke arah yang lebih baik kita juga harus
berubah! Bukan nanti tapi sekarang. ~Secangkirbicara