“Cantik itu subjektif”. Itulah ayat yang
biasa kita dengar dan selalu kita katakan. Biasanya kecantikan ini dinisbahkan
kepada golongan hawa. Walau bagaimanapun ada juga segelintir golongan adam yang
tidak selesa dengan panggilan wajah yang kacak tetapi mereka bahagia dengan
ungkapan rupa yang cantik. Cantik dan kecantikan itulah satu kurniaan dari
Tuhan. keindahan paras rupa yang ada pada diri seseorang akan menjadi daya
tarikan kepadanya dan menjadi aset yang bernilai bagi kita pada pandangan yang
pertama. Siapa yang tidak suka apabila dipuji? Siapa yang tidak suka apabila
ada sahabat yang mengatakan kita cantik dan indah. Senyuman kita mampu menawan
sang penjantan.
Ramai di antara kita yang mampu tersenyum
apabila dipuji dengan kecantikan yang pada wajah kita tetapi tidak ramai yang
mampu bersyukur apabila dikeji dengan perbezaan kecantikan yang ada pada kita
dan sahabat kita. Jangan sekali-kali kita katakan bahawa kita hodoh atau tidak
cantik! Kita bukan hodoh tetapi berbeza kecantikan! Kita gusar dengan kedutan
yang ada di muka, jerawat yang tumbuh melata tetapi kita lupa asbab yang
menyebabkan berlaku sedemikian rupa. Bagaimana kehidupan seharian kita?
Bagaimana pemakanan kita? Dan bagaimana dengan solat kita? Hendakkan kecantikan
tetapi segala kewajipan kita tinggalkan. Adilkah kita.
Bagi para wanita yang dikurniakan rupa yang
cantik dan menawan berbahagialah olehmu akan keindahan dari Tuhan ini. Namun
harus diingat, cantik itu ujian dari Tuhan bukan sebagai bahan untuk kau
jadikan makanan dalam kehidupan. Ia hanya sementara dan rupa yang kau ada itu
pasti nanti akan menjadi makanan ulat dan kala jengking sahaja andai dikau
tidak menghargainya dengan sebaik mungkin. Hari ini, wajah kita mudah kita
paparkan di laman maya. Rasa bangga menyelimuti diri tatkala ramai yang memuji.
Ada yang berkata rupa kita seperti artis dan model-model terkenal di dunia
tetapi mereka juga sama dengan kita. Cuba lihat wajah mereka tanpa make-up. Itu
bukan cantik itu plastik yang hanya menutup kecantikan yang sebenar. Wahai wanita,
untuk apa sebenarnya kita menayangkan rupa kita di laman maya itu. Apa
sebenarnya niat dan tujuan kita? Jika sengaja hendakkan pujian tinggalkanlah,
jika terlampau terdesak mencari pasangan bersabarlah! Jika ingin menunjukkan
kecantikan kita ingatlah masih ramai yang lebih cantik dari kita!
“Bertudung labuh tidak semestinya
baik” Mungkin ada yang pernah mendengar ungkapan ini dan mungkin ada yang hari
ini baru mendengarnya. Bukan tudung itu yang tidak baik tetapi si pemakai itu
yang kurang terdidik! Jika dia tahu tudung itu mampu menutupi keburukan
akhaknya pasti dia akan cuba berusaha menjadi baik. Memang ada yang bertudung
labuh tetapi mulutnya mengalahkan murai di hutan. Semua yang dihukumnya
berdosa, menjaja keaiban orang sini dan sana dan lupa tentang keaiban diri
sendiri yang terbuka luas. Lebih baik hanya memakai tudung seperti Yuna
atau Najwa Latiff sahaja. Bagi yang terasa silakan terasa kerana diri
yang tidak sempurna ini hanya menegur dan tidak mahu tudung yang indah itu
menjadi fitnah buat wanita solehah.
Itu hanya segelintir sahaja tetapi banyak
yang baik dari yang tidak baik. Labuhnya tudung itu mencirikan mereka solehah.
Indahnya pakaian mereka itu menandakan mereka tahu hukum Allah. Jujur saya
katakan, saya suka melihat wanita yang memakai tudung labuh atau tudung bulat. Tidak
perlu berpurdah jika sama sahaja ingin menayangkan kecantikan muka. Make-up
tebal juga dan kening ditrim nipis. Cantik bukan wanita yang bertudung labuh
ini. Sopannya dia, kata-katanya lembut, akhlaknya terjaga dan santunnya
menghormati insan. Apa yang penting hubungannya sesama insan terjaga. Biar dia
mahal dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Biar dia dianggap sombong oleh lelaki
yang ingin mendekatinya kerana dia tahu dia hanya untuk suaminya. Biar dia
dihukum haram oleh lelaki lain kerana nanti dia akan menjadi halal kepada
lelaki yang akan bergelar suaminya nanti. Ingatlah pemakaian akan merubah
perlakuan kita.
Namun bagi golongan ini usahlah kita
terperangkap dengan perasaan sendiri. Cinta itu sebenarnya fitrah tetapi usah
kita cemari dengan fitnah. Usahlah kita ternanti-nanti siapa bakal imam kita
tetapi persiapkanlah diri kita untuk menjadi makmum mereka nanti yang belum
kita ketahui. Yakinlah dengan rencana Ilahi kerana DIA maha mengetahui. Tidak
perlu meletakkan status-status di laman maya tentang siapa jodoh kita kerana ia
sebenarnya sudah ditetapkan sebelum kita lahir lagi bahkan sebelum wujudnya
Facebook lagi. Tidak perlulah menggunakan nama yang menjengkilkan mata dan
meloyakan tekak rakan kita apabila kita menggunakan nama facebook seperti ~IMAMMU,
MAKMUMMU, IMAMKU, MAKMUMKU. Lebih baik kita gunakan nama sendiri yang
diberikan oleh ibu dan ayah kita jika hendak komersial letak sahaja nama
seperti ~ALLAHYARHAM atau ALLAHYARHAMAH ataupun calon jenazah atau Hamba
Allah. Jangan kita kelihatan terdesak mencari pasangan hidup selagi mana kita
masih belum bersedia melayari bahtera kehidupan.
Bagaimana dengan wanita yang lebih selesa
dengan gaya free hair? Adakah mereka tidak baik? Siapa kita untuk menghukum
mereka untuk masuk ke dalam api neraka. Ingat! adakah nenek moyang kita
atau ahli keluarga kita dahulunya sudah bertudung? Kalau bertudung cara yang
bagaimana. Adakah sekadar menutup di bahagian sanggul dan menampakkan jambul
atau sebaliknya? Mari kita mengingat sejarah, pemakaian tudung di Malaysia bermula
pada tahun 1970an dan 1980an. Pada ketika ini telah berlaku era kebangkitan
gerakan dakwah Islam di Malaysia. Gerakan-gerakan Islam ini telah berjaya
mempengaruhi masyarakat di Malaysia khususnya pelajar-pelajar universiti.
Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pencetus kepada
perubahan pemakaian masyarakat ke arah Islamik. Gerakan Islam seperti PAS,
ABIM, AL-ARQAM dan TABLIGH merupakan gerakan yang berada pada zaman kebangkitan
Islam di Malaysia.
Itu sejarah dahulu tetapi gerakan ini yang mengubah
corak kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. Benar wanita itu tidak wajib
memakai tudung tetapi ingat wanita itu wajib menutup aurat. Menutup aurat bukan
membaluti aurat. Bagi mereka yang lebih sukakan free hair ini, ingatlah bahawa
logik jika sebelum tahun 1970 itu kita tidak bertudung tetapi jika hari ini
kita masih lagi sama fikir-fikirkanlah. Hukum menutup aurat ini sudah
terkandung di dalam Al-Quran. Kita tahu bahawa hukum menutup aurat itu wajib
tetapi kita sengaja malas ambil tahu. Wahai wanita, memang cantik rambut yang
anda tayangkan itu tetapi lebih cantik hanya ditayangkan untuk muhrim anda
sahaja. Simpanlah ia sebaik mungkin. Kasihanilah kami kaum adam ini. Anda
melabur saham kami turut sekali merasainya. Mari kita ambil contoh kita membeli
makanan yang berbungkus. Jika kita hendak membawa ke rumah mesti kita bungkus
dengan baik dan kemas takut nanti dihurung lalat atau terkena habuk di jalanan.
Begitu jugalah dengan badan kita. Mestilah dijaga dengan baik. Jika kita biar
ia terdedah sini dan sana bukankah akan membangkitkan nafsu lalat-lalat tahi di
luar sana?
Saya tahu anda masih menyalahkan orang yang
bertudung kerana trauma dengan golongan ini. Tetapi ingatlah tidak semua mereka
begitu. Biarlah mulut mereka. Jika mereka tahu erti dakwah sudah pasti mereka
akan mendekati anda dan jika mereka tahu erti mawaddah sudah tentu mereka akan
mencintai anda. Jika mereka tahu istilah tarbiah sudah pasti mereka akan
mendidik anda menjadi yang solehah. Wahai wanita yang ku sayang kerana Allah.
Kita masih ada masa untuk berubah. Ingatlah kita sebenarnya indah kerana kita
diciptakan oleh Tuhan yang Maha Indah. Jadilah cantik di mata Allah
p/s: sekadar perkongsian dari insan yang
penuh dosa. Moga ada butiran mutiara untuk peringatan bersama. Mohon doa dari
sahabat semua moga penulis memperoleh kejayaan di duniawi dan ukhrawi dan
dimurahkan rezeki. Salam pilihan raya. Pilihlah yang mampu membawa agama di
dalam kepimpinannya. Jangan kita berkecuali dari memilih kerana nanti akan
dipersoalkan di akhirat kelak jika kita memilih insan yang salah. Mudah-mudahan
kita selamat dari bala bencana Allah. Aku cinta Malaysia
TARIKH
NOTIS PILIHANRAYA : JUMAAT
TARIKH PENAMAAN CALON : 20 APRIL 2013 (SABTU)
TARIKH UNDI AWAL : 30 APRIL 2013 (SELASA)
TARIKH UNDI : 5 MAY 2013 (AHAD)
sumber :SPR