Labels

Pages

Followers

Saturday, August 17, 2013

ku pilih untuk berdosa...



Diamku bukan rajuk
 Pergiku bukan kerana dirimu
Hanya ingin mensuci kotoran yang sudah lama berhabuk
Untuk ku buang jauh tafsiran yang lalu
Benar! kita pernah mengukir senyum
Kita juga pernah melukis duka
 Tapi semuanya sebuah kenangan
Sebuah kenangan yang takkan diulang semula
Setiap tawa kata dan bicara dulu menjadi ingatan dalam kalbuku
Mengapa dulu aku memilih dosa dari mencari secebis pahala
Lalaiku dulu membuatkan kau keliru
Antara tuntutan nafsu atau keperluan ilmu
Buta dalam menilai hukum
 Terzahir dalam setiap perlakuan sebagai insan yang berperasaan
Tuhanku, Tuhanku, Tuhanku…
Akhirnya kita diingatkan!
Cukup di matikan di dalam sebuah hentian
Jangan kita coretkan lagi sebuah potret hitam
Lakaran kosong penuh noda semalam
Moga di dalam perjalanan yang makin panjang kita temui kebahagiaan
Walau kita tidak bersua tetapi ku yakin kita pasti akan bersemuka dengan sang Pencipta
Pada detik itu aku tidak mahu kau ataupun aku dipalit sejuta dosa
Aku ingin bersih dari segala-galanya!

~Istighfar ku dari dosa~



Aku Ada, Kau ade???


Bingkisan ini ku titipkan buatmu teman
Saat dikau di dalam kesulitan
Ingatlah aku ada setia menitip sebuah tulisan
Buatmu dan buatku agar kita tidak terputus dari tali iman
Bicara ini juga hembusan rinduku buatmu teman
Saat kita berada dalam ujian jangan kita lupa pada erti Ber Tuhan
Tika kita di tampuk kejayaan jangan sekali kita alpa dengan setiap pujian
Dengarlah..dengarlah bingkisan sanubari ku ini…..

Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Sabar dan redha itu kunci sebuah kejayaan. Istiqamah dalam perlakuan itu tanda kita insan yang beriman. Hidup kita ini sering kali diberikan ujian. Ujian di dalam kesulitan pasti akan kita lalui. Tetapi kita juga perlu ketahui bahawa Allah hadirkan ujian berbentuk ‘kejayaan’. Kejayaan yang kita terima juga adalah merupakan satu ujian buat diri kita. Bahkan ujian ini lebih berat dari ujian kesakitan dan kesulitan yang kita hadapi di dalam hidup.

Tatkala kita mencapai kejayaan, pujian juga turut berjalan seiringan, hati yang dulunya merendah kini mula mendabik megah. Alangkah kita rasa besar pada ketika itu. Kita lupa pada si pemberi nikmat dan ujian. Kita bangga mempamerkan segala kejayaan yang ada di dalam diri kita. Kita lontarkan di laman sini dan sana. Melihat kenalan yang menghamburkan pujian dan kesukaan. Lantas terlupa pada diri yang takut akan sifat ujub dan bongkak. Walau kita tahu bukan untuk membangga tetapi sifat itu pasti ada kerana itulah lumrah manusia. Allah mengurniakan sifat dan rasa yang pelbagai buat diri mereka. Sedih,Marah, Gelisah, Ikhlas, Sabar, Ujub dan gembira antara rasa yang dikurniakan Allah dalam kehidupan kita. Terpulang pada diri untuk mentadbir sifat itu dengan sebaiknya.

Mengapa perlu kita tagih pujian sedangkan kita tahu kita adalah hamba yang paling lemah. Antara Redha dan penghormatan dari insan yang mana menjadi pilihan kita. Mungkin ada yang memberi puji dengan kejayaan kita itu dan mungkin juga ada yang melontarkan keji terhadap kejayaan kita kerana satu rasa yang akan hadir dalam diri mereka yang dinamakan sebagai cemburu! Terkadang kita lapik perasaan riak kita itu dengan kata ‘malu’ hakikatnya kita megah dengan apa yang diberikan. Semua orang inginkan pujian tapi ingatlah kadang pujian itu juga boleh menjadi senjata tajam yang boleh membunuh diri kita. Bahkan boleh menjadi racun yang paling berbisa di dalam merosakkan hati kita. Berlindunglah dari sifat takbur dan riak.

Teman, bicaralah pada diri..setiap kejayaan yang kita tempa perlukah kita bicarakan kesemuanya. Jika perlu untuk apa? Untuk memberikan motivasi pada yang melihat atau mendengarnya? Bisiklah pada hati, untuk apa kita ceritakan andai ini membawa kepada murka Tuhan. Kejayaan itu boleh dikongsi tetapi perlu ada jalan yang baik dan suci bukan memperlihatkan kehebatan yang ada pada diri. Ini melanggar hukum azali bahkan membawa kepada kerosakan di dalam hati. Benar kejayaan kita boleh dijadikan motivasi buat semua tetapi bukan menunjukkan apa yang kita perolehi itu tetapi tunjukkanlah bagaimana jalan kita memperoleh kejayaan itu! Menunjuk bukan menunjuk-nunjuk!. Bukan sekadar meletakkan potret kejayaan di laman maya tetapi titipkanlah sekali jalan bagaimana kita memperoleh kejayaan itu.


Hidup ini tidak selamanya kita berada di puncak dan hidup ini juga tidak akan selamanya kita berada di dasar. Apa yang paling penting adalah perubahan di dalam diri kita. Melihat kejayaan orang lain tanpa kita berusaha dengan gigih untuk memperoleh kejayaan  itu juga tidak akan membantu kita mengubah apa-apa bahkan hanya yang ada sebuah rasa yang dinamakan cemburu. Cemburu tanpa melakukan tindakan yang bernas tidak cukup untuk kita melakar sebuah kejayaan. Cemburu bukan bermakna kita perlu mencantas, cemburu bukan bererti kita perlu menjatuhkan sesiapa tetapi cemburu merupakan suis untuk kita melakukan perubahan di dalam diri kita. 
Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.

1.       Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2.       Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia INGIN MENDAPAT SANJUNGAN MANUSIA.
3.       Orang yang mengaku cinta kepada tuhan yang menciptakannya tetapi dia TIDAK BERANI MERENDAHKAN DIRINYA.

Tuesday, August 6, 2013

Mungkin yang terakhir...



Setiap yang bermula pasti ada pengakhiran. Setiap yang hidup juga pasti akan merasa mati. Apa yang membezakannya adalah detik dan waktu sahaja. Terkadang ia cepat dan terkadang ia lambat untuk menjemput kita bertemu Pencipta kita. Sahabat yang saya sayang kerana Allah, sedarkah kita bulan yang paling mulia yakni bulan Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Terasa cepat waktu berlalu dan terasa lambat pula untuk bertemu Ramadhan pada tahun hadapan. Mudah-mudahan kita dapat bertemu lagi pada bulan itu.

Mari kita merenung diri dan sisi kita. Pada tahun ni adakah kita dapat berpuasa bersama-sama dengan keluarga kita yang tercinta. Mungkin ada di antara kita di uji oleh Sang Pencipta supaya tidak dapat lagi berpuasa bersama dengan ahli keluarga kita. Ada sahabat yang kematian ayah dan bonda tercinta. Mereka pergi buat selama-lamanya. Ada sang suami atau isteri kematian pasangan hidupnya. Itulah lumrah dalam kehidupan. Ibadah puasa perlu diteruskan walau tidak bersama tetapi doa kita pada mereka pengikat ukhwah hingga ke akhirnya. Mungkin sayu tapi ingatlah pesan Allah bahawa banyak ganjaran bagi orang yang sentiasa sabar dan redha dengan setiap ujian Tuhan.

Tahun hadapan adakah kita masih dipilih Allah sebagai tetamu Ramadhan atau tetap menjadi pilihan Allah sebagai penghuni di kuburan. Kita hanya mampu berdoa dan terus berdoa moga ada kebaikan di dalam kehidupan kita. Sekali lagi kita jentik hati kita dengan pertanyaan tahun ini mungkin kita tidak dapat lagi berpuasa bersama kekasih atau cinta hati kita. Kerana apa..kerana sudah menemui noktah dalam percintaan. Ibarat kata pepatah “ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari.” Bagi yang mengalami situasi putus cinta sebelum Ramadhan ini saya ucapkan tahniah kepada anda.  Mungkin anda sudah dapat menjimatkan kredit, air mata dan wang ringgit anda. Namun apa yang penting anda sudah dapat menyelamatkan hati anda dari mencampurkan  nikmat Ramadhan menjadi perkara yang sia-sia. Anda mungkin akan tumpukan sepenuh perhatian anda untuk bertemu dengan pencipta anda. Banyak solat yang anda dapat lakukan pada bulan  ini. Kecewa ubatnya doa.

Jangan risau jika tahun ini anda tidak dapat beraya bersama ‘si dia’ yang anda cinta. Anda sudah selamat dari dosa! Senyum dan syukur!. Orang yang bercinta paling berbahagia ketika hari raya persis suami isteri yang menyambut raya. Sebulan menahan diri dari bersentuhan tapi hari raya kembali beriringan dan berdua-duan. Segala yang haram menjadi halal. Hakikat puasa itu menahan diri dan hakikat Aidilfitri itu ialah menyambut kemenangan bukan meraikan ulang tahun percintaan yang tiada batasan. Andai dosa itu sebusuk tahi sudah pasti ramai yang akan menjauhi kita hatta kekasih yang kita sayang itu pun akan pergi meninggalkan kita.

Di penghujung Ramadhan ini mari kita berbicara dengan hati kita adakah kita sudah berubah atau masih sama seperti dahulu. Maksiat terus menerus dilakukan. Solat masih tidak terjaga dan masih menderhaka kepada ibu bapa. Jika kita masih seperti dahulu pintalah pada Tuhan moga dikurniakan hati yang baru. Hati yang suci dan senantiasa mengingati Tuhan. Alangkah ruginya kita jika Ramadhan ini hadir kemudian berlalu tetapi kita masih seperti dahulu tidak berubah dan tidak langsung merasai bahawa Allah itu satu!

Soal pada diri, pada bulan yang mulia ini adakah kita banyak membaca mesej dari kekasih atau banyak membaca surat cinta dari Allah yang maha pengasih! Bisik juga pada jiwa, pada bulan yang mulia ini adakah kita banyak menangis kerana Dia atau dia yang kita tidak tahu pengakhirannya. Kita mencari suatu yang pasti. Kita percaya pada kehidupan selepas mati yakni Alam akhirat, kita juga yakin bahawa Allah itu ilahi tetapi mengapa kita masih tuli. Tuli dari menerima cinta yang hakiki. Buta dari melihat kehidupan yang suci dan asyik dengan kenikmatan duniawi. Jadikanlah nabi sebagai ikutan dan pendamping diri. Kita insan yang lemah janganlah dilemahkan lagi dengan kebodohan kita yang tidak tahu erti dosa dan pahala.

Ingatlah di neraka itu makanannya bukan seperti yang terdapat di bazar Ramadhan. Menunya berbeza dan rasanya bertambah sengsara. Darah, Nanah, Besi panas yang mendidih, pokok berduri dan segala benda yang kotor menjadi minuman dan makanan kita di sana nanti. Tutuplah Ramadhan ini dengan pintu Taubat kerana Taubat itu ubat dari maksiat! Mudah-mudahan kita semua mendapat sedikit cahaya pada penulisan kali ini. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua sahabat yang berpuasa dan maaf zahir dan batin kepada sahabat yang tidak berpuasa.=)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...