~Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita, tetapi Allah menjadikan cinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci kepada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itulah yang berfikiran waras~
Al –Hujurat 49:7
Hati itu raja di dalam tubuh badan kita. Dia yang mengawalnya dan segala perlakuan kita akan berkait dengan hati dan diikuti dengan emosi kita. Hati itu terkadang suka rasanya terkadang sensitifnya jiwanya. Soal hati begitu subjektif untuk kita renungkan tetapi kita perlu kreatif di dalam menelusuri tentang hati ini. Ramai di antara kita yang punya masalah di dalam kehidupan seperti pergaulan, percintaan, persahabatan dan bermacam-macam lagi. Semua itu adalah berkaitan dengan masalah hati.
Sering sahaja kita mendengar rakan-rakan kita yang mengalami ‘kemalangan’ hati ini. Terlalu banyak masalah yang menimpa mereka dan kita di dunia ini sehingga memberi kesan kepada hati dan jiwa kita. Jika kita tersilap membantunya kelak dia pula yang termakan hati. Tulisan saya kali ini akan membicaran tentang persahabatan dan sudah semestinya akan saya kaitkan dengan hati dan perasaan kita. Hebat ya kuasa hati ini. Sebab itulah ramai cerdik pandai menyatakan bahawa apabila kita ingin menilai sifat seseorang pandanglah dengan pandangan hati bukan dengan pandangan mata. Mengapa mereka mengatakan sebegitu rupa? Kerana tafsiran dari hati lebih jujur dan lebih teratur penilaiannya.
Sebab itulah istilah hati ini begitu banyak digunakan dan besar penangannya kepada insan yang bernama manusia seperti mata hati, jatuh hati, keras hati dan hati ini disifatkan sebagai perkara yang membawa kebaikan kepada kita. Jika hati binatang boleh kita memakannya tetapi hati manusia jika tuan yang empunya diri itu yang termakannya maka akan gelaplah dunia ini. Hancur rasanya punah jiwanya dek kerana ‘termakan hati”. Masih ingat lagi akan ungkapan berhati –hati di jalan raya? Ya. Adakan perkataan hati itu? Besar sungguh tafsirannya. Saya tertarik dengan ungkapan kerana ‘nila setitik habis rosak susu sebelanga’ dan saya kaitkan pula dengan peribahasa ciptaan saya ini “kerana dosa setitik habis rosak seluruh hati di dada.” Benar. Hati kita bukan seperti hati kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w yang telah di cuci sebanyak 2 kali. Hati baginda bersih dan baginda sudah dijanjikan syurga. Tetapi baginda tetap tidak tega meninggalkan setiap perintah dari yang Esa, baginda pasrah dalam setiap ujian yang melanda, baginda istiqamah di dalam menyebarkan agama dan baginda pasrah atas setiap kecelakaan yang menimpanya. Allah sebagai tempatnya mengadu. Para sahabat dan keluarga tercinta menjadi bukti kasih mereka berpadu.
Hati kita tidak seperti baginda. Hati kita tidak di cuci oleh para malaikat. Fikirlah sejenak, masih ada lagikah tompokan merah suci di hati kita atau semuanya sudah bertukar gelita natijah dari dosa dan noda yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan kita. Ingatlah andai kita sudah tidak lagi merasa berdosa apabila kita melakukan dosa ini menandakan hati kita sudah mati ini membuktikan hati kita sudah mejadi keras! Kita layak digelar mayat hidup! Kerana apa? Kerana hanya jasad kita sahaja yang masih bernyawa tetapi jiwa dan perasaan kita sudah tidak lagi bermaya dan tidak mampu untuk berkelana. Fikiran tidak lagi mampu menerima kebahagiaan yang jelas dan al hasil jiwa dan emosi kita akan menjadi malas. Kita malas melakukan kebaikan, kita malas bertemu dengan Tuhan, kita malas membuat kerja yang diberikan, kita malas di dalam pelajaran!
Ini antara tanda-tanda hati kita sudah rosak. Kita gembira melakukan dosa dan terasa sengsara apabila mencari pahala. Apabila ini berlaku pada diri kita. Kenang dan ingat kembali pesanan para Muttaqin : apabila hatimu menjadi keras, buas dan liar sekali, bukalah al-Quran, baca dan tadabbur akan makna dan rasanya. Bukankah Al-Quran penawar hati? Namun jika masih keras juga, dirikan solat. Solat itu penyucian hati. Dan sekiranya masih keras juga, bangunlah di dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepadanya agar dikurniakan hati yang lain kerana hati yang kita miliki sekarang bukan lagi milik kita. Takutlah kita pada maksud kalam Allah ini ~ kemudian hatimu itu menjadi keras sesudah itu, lalu menjadi batu malah lebih keras dari itu~Al, Baqarah, ayat 74
Jangan kita mudah merasa hati dengan dengan sahabat kita andainya kata-kata mereka membuatkan kita terluka. Yakinlah bahawa Allah hantarkan mereka untuk menguji kesabaran kita dan untuk mengajar kita erti cinta di dalam persahabatan. Jangan terlalu sensitif dengan usikan kawan kerana mereka hanya memberi ujian. Andai kita berjaya dalam ujian itu makan bermaknalah erti persahabatan yang kita dambakan. Dalam bahasa remaja kita sekarang “Friends till Jannah” Kita ingin memasuki syurga Allah tetapi alangkah indahnya kita turut memimpin tangan sahabat kita itu bersama-sama menuju ke syurga Allah itu. Dia pelengkap kita. Salah kita dia menegurnya, khilaf dia kita membetulkannya. Itulah erti sahabat sejati cerminan para sahabat nabi!
Sahabat bukan menunjukkan jalan kehinaan tetapi sahabat memberikan kita hadiah dalam kehidupan. Sahabat bukan hanya bererti memberi lagu pada cinta teman tetapi mencipta lirik dan melodi indah untuk kita mengingati Tuhan. Hargailah sahabat yang dikurniakan kepada kita. Jangan sesekali kita pinta supaya mereka memahami kita tetapi pintalah pada diri bahawa kita yang harus memahami mereka. Ingat! Perubahan kita akan mengubah orang lain! Ini realiti bukan hikayat fantasi. Menjadi kesalahan dalam persahabatan andainya kita beranggapan segala fikiran, pendapat, rasa, jiwa dan hati sahabat kita adalah sama dengan kita! Ia tanggapan yang salah dan harus kita ubah! Nikmati erti persahabatan kerana di dalamnya ada rahsia kejujuran ada cerita pengalaman dan ada juga mainan perasaan.
Andai kita bersilat kata, muzakarah menjadi talian. Tolak ansur kita aulakan dan kesabaran kita amalkan. Inilah nilai sahabat yang tahu erti berTuhan. Pasrah bila diuji, bersama bila rasa di duga llahi! Andai berlaku pertengkaran mengadulah pada Tuhan. Mohonlah moga hati kita dan hatinya kembali berukhwah. Hati itu bolak balik sifatnya. Jangan selamanya kita membenci sahabat yang pernah melukai hati kita. Andai tidak mampu untuk kita bersua muka dengannya, cukuplah kita mendoakan kebaikan di dalam kehidupannya. ~Secangkirbicara~
Gesekan indah untuk didengar sebelum anda mengakhiri titipan ini….
No comments:
Post a Comment