Labels

Pages

Followers

Monday, June 24, 2013

Rotan Kecil dari Tuhan...


Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.
Al-Anbiyaa’: 35

Kita dilahirkan dengan tangisan kemudian kita meniti hidup juga dengan selitan senyuman dan tangisan dan pemergian kita juga akan turut diiringi dengan tangisan. Setiap tangisan itu tanda bahawa bukan kita menzahirkan kekecewaan tetapi kita menatijahkan ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan kita. Terkadang hati kita keras dan sukar untuk menangis tetapi kita lupa dengan tangisan kita mampu mengalirkan air kekecewaan menjadi tenaga kekuatan pada diri kita. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama dengan kita..

Hidup dilahirkan untuk menerima ujian jika kita takut untuk menghadapi ujian untuk apa kita dihidupkan? Getir dan pahitnya sebuah ujian dalam kehidupan itu pasti ada syurga kemanisan yang akan menunggu kita cuma masanya yang akan menentukan. Sebagai hamba Allah kita wajib percaya kepada hari pembalasan yakni hari Kiamat dan kita tahu setiap apa yang kita lakukan di dunia ini pasti akan mendapat balasan di akhirat kelak. Dunia merupakan tempat kita berpenat dan akhirat nanti adalah destinasi untuk kita berehat! Senyumlah tatkala diri menerima ujian. Bisik dalam diri bahawa ia bukan ubat yang pahit tetapi madu yang manis untuk kita rasa.

Setiap peristiwa yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah telah mentakdirkan sesuatu itu kepada kita dan kadang-kadang apa yang kita rasa itu tidak adil untuk kita terima tetapi kita lupa bahawa ALLLAH MAHA MENGETAHUI!. Sedarlah wahai diri, walau hati disakiti kita masih punya Ilahi, walau pengorbanan kita tidak mendapat pujian tapi yakinlah bahawa ia di pandang Tuhan dan walau kita dihenyak dengan pelbagai ujian, senyumlah kerana ia merupakan kejayaan buat kita. Usah dipeduli apa orang kata tetapi yakini apa yang Allah suka. Kita tidak mampu menutup mulut orang di sekeliling kita kerana itulah lumrah manusia yang suka bercerita dan mengadu domba. Kesalahan orang terlalu besar untuk diterima tetapi kesalahan sendiri hanya dipejamkan mata. Dalam bahasa sejarah ‘melakukan pengadilan moral’ yang bersifat bias dan tidak bebas!.

Kita sibuk bercerita tentang keburukan dan kekurangan rakan-rakan kita tetapi kita lupa pada keburukan dan keaiban yang ada pada diri kita. Kita lupa dan kita sengaja melupakannya. Menganggap diri lebih sempurna dari sahabat kita dan merasakan kita lebih segala-galanya. Ada di antara kita yang tidak boleh melihat orang lain lebih daripadanya dalam setiap segi. Jika ada, mula menarik muka dan mencebik wajah seperti ungka di rimba. Sungguh bahaya sifat seperti ini. Kita tidak akan maju jika terus begini dan selamanya. Bukan menarik muka apabila melihat sahabat kita punya kelebihan dari kita tetapi kirimkanlah nasihat dan doa buatnya mudah-mudahan dia istiqamah dan tidak menyalahgunakan segala kelebihan yang dikurniakan Tuhan itu.


Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu mendidik lidah supaya menjadi baik. Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu menggunakan akal supaya menjadi cerdik! Mari sama-sama kita merenung diri. Segala apa yang berlaku di dunia ini adalah teguran dari Tuhan. Masalah alam mula menangis akibat dari kita yang tidak peka dan tidak mahu mengambil peduli tentang alam yang melindungi kita. Mudah-mudahan kita selamat dari bencana dunia dan dilindungi oleh yang Maha Esa.Ameen.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...