Pilihan di tangan anda atau adakah pilihan
di hati anda??? Kita membuat pilihan bukan berdasarkan mata yang kita ada
tetapi kita memilih pilihan dengan mata hati yang menjadi kepunyaan kita. Dalam
kehidupan kita sememangnya diberikan pilihan untuk hidup. Hidup yang bahagia
ataupun hidup yang derita. Benar, ketentuan hidup sudah ditakdirkan Tuhan
tetapi kita yang harus menentukan tadbir hidup kita. Ke mana arah tuju kita
bukan sahaja di dunia tetapi apabila kita pergi meninggalkan dunia yang fana
ini yakni Alam akhirat.
Orang yang berjaya adalah orang yang
memaksa dirinya berubah dan orang yang gagal adalah orang yang berubah kerana
terpaksa. Kita bukan orang yang terpaksa tetapi kita orang yang memaksa diri
kita untuk berubah. Di dalam kehidupan ini, Tuhan tidak menilai kita sudah
menjadi baik ataupun tidak tetapi Tuhan menilai adakah kita sudah berusaha
menjadi baik ataupun belum. Pilihan itu ada di hati kita. Gerak hati membuka
bicara menghantar pada minda menyata isyarat bahawa kita adalah seorang hamba.
Hamba kepada pencipta kita. Kehidupan dan ujian tidak dapat kita pisahkan
kerana ia merupakan rencah dalam hayah kita ibarat makanan dan perisanya. Ujian
itu terkadang manis terkadang pahit tetapi redhalah dengan ujian hidup kita.
Hidup kita sememangnya layak untuk di uji. Ujian itu datang pelbagai cara dan
pelbagai rupa. Terpulang pada kita untuk menanganinya. Tetapi dalam kita redha
menerima ujian usah sekali kita lupa pada si Pemberi Ujian itu yakni Allah.
Dialah maha mengetahui apa yang berlaku di sebaliknya. Tapi yang pasti setiap
apa yang berlaku pasti banyak hikmahnya. Itu yang pasti!
Buntu dengan pilihan yang ada di hadapan mata
kita?? Bisiklah pada hati dan Ilahi itu yang pasti akan menjadi jalan pada
pilihan. Jika kita hanya sekadar meminta bantuan mata sahaja ia tidak mencukupi
untuk kita membuat pilihan. Terkadang
cahaya yang terlampau terang akan membuatkan kita buta! Perlukan bantuan yang
ada dalam diri kita yakni mata hati. Hati kita pasti akan berbicara sebaliknya.
Ikutlah kata hati bukan memilih pada pandangan mata yang pasti akan membuatkan
kita buta dan tuli. Sering kali kita menggunakan mata dalam menilai cinta bukan
menggunakan jiwa untuk mentafsir cinta. Maka al-hasil cinta yang disemai itu
bukan berkekalan tapi sekadar bahagia pada awalan dan berakhir dengan sebuah
penderitaan. Mari sama-sama kita bertanya pada diri. Adakah kita menilai
seseorang dengan wajah yang ada pada mereka. Wajah cantik membuat kita
terpesona dan rupa yang tampan membuat kita tertawan! Benarkah begitu? Jika itu
yang menjadi syarat dalam pilihan kita sebenarnya kita telah membuat satu
kesilapan yang amat besar.
Kerana itu bukan menjadi ukuran kebahagiaan
yang berpanjangan. Saya ulangi ia bukan menjadi ukuran sebuah kebahagiaan yang berpanjangan.
Bagaimana kita mengawal rasa tatkala kecantikan yang ada pada pasangan kita
menjadi igauan dan tatapan orang lain. Cemburu pasti ada. Jika pasangan kita
itu memahami erti setia mungkin kita tidak perlu merisaukannya tetapi jika sebaliknya
kita ada alasan untuk menjadi risau. Awas dengan rupa. Kita yang memilih dan
jangan sesekali tersalah pilih. Mungkin kita rasa bangga dapat memikat pasangan
yang cantik atau tampan tetapi kita lupa segala yang menjadi tatapan itu
hanyalah bersifat sementara bukan selama-lamanya. Saya ulangi bukan
selama-lamanya..
Rupa yang menawan itu pasti sirna suatu
hari nanti. Ketika itu pilihan yang kita pilih akan menjadi penyesalan dan
bukan lagi sebagai kesyukuran! Pilihan yang hanya bersifat sementara bukan
untuk setia sehingga hujung nyawa kita. Bila diberi pilihan untuk memilih siapa
sebenarnya pasangan hidup kita harus memilih yang benar-benar memahami kita dan
yang benar-benar setia pada cinta bukan pada manusia tetapi juga pada pencipta.
Pilihan bukan sahaja merangkumi apa yang ada pada pancaindera tetapi ia juga
meliputi segala apa yang ada di dalam jiwa. Telusuri fikrahnya bagaimana,
agamanya bagaimana, keluarganya bagaimana seluruh hati dan nuraninya untuk
siapa. Fikrah itu adalah fikiran dan fahaman. Pemahamannya dalam kehidupan bukan sahaja dari fahaman
politik bahkan meliputi fahaman akidah dan ibadah. Jangan sekali-kali kita
memilih pasangan yang mempunyai fahaman yang bertentangan dengan akidah kita.
Bahaya! Peganglah pada Al-Quran dan As-Sunah.
Di dalam memilih sebenarnya kita baru
bermula di dalam fasa perjalanan. Perjalanan mencari teman, perjalanan mengenal
Tuhan, perjalanan mengambil iktibar dari lawan! Perjalanan ini penuh ranjau dan
cabaran. Sebenarnya kita baru bermula. Kembara kita mencari bahagia dan pasti
akan disulami dengan duka air mata tetapi ingatlah bahawa ia sebenarnya duri
yang perlu kita rasa sebelum kita mengembara mencari nikmat syurga. Moga Allah
izinkan kita untuk merasa nikmatnya ini. Ingatlah bahagia kita ini bukan hanya
ada pada penghujung jalan tetapi ia ada pada sepanjang jalan. Railah dan
nikmatilah nikmat kehidupan kita ini. Pilihlah kehidupan kita ini dengan jalan
yang telah diberikan Tuhan.
Usah gentar pada dosa silam kita. Jadikan
ia sebuah pengajaran yang paling berharga. Manusia boleh sahaja menghukum kita
untuk memasuki pintu neraka tetapi sifat PENCIPTA kita bukan begitu. Allah itu
adil sifatnya. Setiap yang jahat pasti dibalas jahat dan setiap yang baik pasti
akan dibalas dengan baik. Biarkan manusia terus mencaci dengan mengadu domba
perihal dosa-dosa kita yang lalu. Apa yang penting kita sudah melakukan taubat
kepada NYA itu yang utama dan wajib dilaksana! Kita bukan manusia sempurna
mereka juga bukan insan sempurna yang terlepas dari dosa. Ingatlah! Tatkala
manusia membenci, yakinlah bahawa Allah ada sentiasa di sisi dan tatkala
manusia sedang asyik memfitnah, Allah akan hadir menjadi penawar ketika kita
resah dan gundah!
No comments:
Post a Comment