Setiap yang bermula pasti ada pengakhiran.
Setiap yang hidup juga pasti akan merasa mati. Apa yang membezakannya adalah
detik dan waktu sahaja. Terkadang ia cepat dan terkadang ia lambat untuk
menjemput kita bertemu Pencipta kita. Sahabat yang saya sayang kerana Allah,
sedarkah kita bulan yang paling mulia yakni bulan Ramadhan akan pergi
meninggalkan kita. Terasa cepat waktu berlalu dan terasa lambat pula untuk bertemu
Ramadhan pada tahun hadapan. Mudah-mudahan kita dapat bertemu lagi pada bulan
itu.
Mari kita merenung diri dan sisi kita. Pada
tahun ni adakah kita dapat berpuasa bersama-sama dengan keluarga kita yang
tercinta. Mungkin ada di antara kita di uji oleh Sang Pencipta supaya tidak
dapat lagi berpuasa bersama dengan ahli keluarga kita. Ada sahabat yang
kematian ayah dan bonda tercinta. Mereka pergi buat selama-lamanya. Ada sang
suami atau isteri kematian pasangan hidupnya. Itulah lumrah dalam kehidupan.
Ibadah puasa perlu diteruskan walau tidak bersama tetapi doa kita pada mereka
pengikat ukhwah hingga ke akhirnya. Mungkin sayu tapi ingatlah pesan Allah
bahawa banyak ganjaran bagi orang yang sentiasa sabar dan redha dengan setiap
ujian Tuhan.
Tahun hadapan adakah kita masih dipilih
Allah sebagai tetamu Ramadhan atau tetap menjadi pilihan Allah sebagai penghuni
di kuburan. Kita hanya mampu berdoa dan terus berdoa moga ada kebaikan di dalam
kehidupan kita. Sekali lagi kita jentik hati kita dengan pertanyaan tahun ini
mungkin kita tidak dapat lagi berpuasa bersama kekasih atau cinta hati kita.
Kerana apa..kerana sudah menemui noktah dalam percintaan. Ibarat kata pepatah “ku
sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari.” Bagi yang
mengalami situasi putus cinta sebelum Ramadhan ini saya ucapkan tahniah kepada
anda. Mungkin anda sudah dapat
menjimatkan kredit, air mata dan wang ringgit anda. Namun apa yang penting anda
sudah dapat menyelamatkan hati anda dari mencampurkan nikmat Ramadhan menjadi perkara yang sia-sia.
Anda mungkin akan tumpukan sepenuh perhatian anda untuk bertemu dengan pencipta
anda. Banyak solat yang anda dapat lakukan pada bulan ini. Kecewa ubatnya doa.
Jangan risau jika tahun ini anda tidak
dapat beraya bersama ‘si dia’ yang anda cinta. Anda sudah selamat dari dosa!
Senyum dan syukur!. Orang yang bercinta paling berbahagia ketika hari raya persis
suami isteri yang menyambut raya. Sebulan menahan diri dari bersentuhan tapi
hari raya kembali beriringan dan berdua-duan. Segala yang haram menjadi halal.
Hakikat puasa itu menahan diri dan hakikat Aidilfitri itu ialah menyambut
kemenangan bukan meraikan ulang tahun percintaan yang tiada batasan. Andai dosa
itu sebusuk tahi sudah pasti ramai yang akan menjauhi kita hatta kekasih yang
kita sayang itu pun akan pergi meninggalkan kita.
Di penghujung Ramadhan ini mari kita
berbicara dengan hati kita adakah kita sudah berubah atau masih sama seperti
dahulu. Maksiat terus menerus dilakukan. Solat masih tidak terjaga dan masih
menderhaka kepada ibu bapa. Jika kita masih seperti dahulu pintalah pada Tuhan
moga dikurniakan hati yang baru. Hati yang suci dan senantiasa mengingati Tuhan.
Alangkah ruginya kita jika Ramadhan ini hadir kemudian berlalu tetapi kita
masih seperti dahulu tidak berubah dan tidak langsung merasai bahawa Allah itu
satu!
Soal pada diri, pada bulan yang mulia ini
adakah kita banyak membaca mesej dari kekasih atau banyak membaca surat cinta
dari Allah yang maha pengasih! Bisik juga pada jiwa, pada bulan yang mulia ini
adakah kita banyak menangis kerana Dia atau dia yang kita tidak tahu pengakhirannya.
Kita mencari suatu yang pasti. Kita percaya pada kehidupan selepas mati yakni
Alam akhirat, kita juga yakin bahawa Allah itu ilahi tetapi mengapa kita masih
tuli. Tuli dari menerima cinta yang hakiki. Buta dari melihat kehidupan yang
suci dan asyik dengan kenikmatan duniawi. Jadikanlah nabi sebagai ikutan dan
pendamping diri. Kita insan yang lemah janganlah dilemahkan lagi dengan
kebodohan kita yang tidak tahu erti dosa dan pahala.
Very well said...Alhamdulillah
ReplyDeleteVery well said...Alhamdulillah
ReplyDelete