Labels

Pages

Followers

Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Saturday, April 19, 2014

Mentera Nafsu



Kau bisikkan aku dengan jalan derita
Dalam diam kau mematikan aku perlahan
Racunmu kini menjalar dalam saraf dan nadiku
Panas bahang membakar
Bisanya pedih tak ku tertahan

Kau bisikkan semua itu nikmat
Tapi bagiku derita yang menjerat
Mendaki dosa yang makin bertingkat
Pesan mu boleh diubat dengan taubat
Tapi,jentik hati..jika masih sempat?
Jika tidak…
Mungkar dan Nankir yang akan datang mengikat
Saat itu aku tidak akan dapat sesekali berehat
Bahkan aku pasti tidak akan mampu menahan azab yang mendekat

Sudahlah, berhentilah dikau dari terus menawan
Aku pasti akan melawan
Sehingga aku tidak lagi tertawan
Aku letih dengan angan yang tiada kesudahan
Kau hanya taburkan aku madu kepalsuan
Yang kan mengheret aku lembah kemaksiatan!

Kau ketawa
Aku derita
Kau menang
Aku kalah
Itu dulu!!

Cukuplah
Tamat
Aku akan hentikan
Padamu Tuhan ku bermohon kekuatan
Juga ketabahan

Untuk melawan segala yang nista dan derita!

Thursday, April 17, 2014

Wajah Berdosa!



Kenapa masih payah dan susah
Susah benar untuk mengubah
Masihkah aku menyalahkan syaitan?
Atau diriku yang  menolak janji Tuhan?
Ah, aku penat dengan semua ini!
Benar  dan jujur dari hati
Aku ingin berubah
Aku ingin melangkah
Tapi ada sahaja alasan yang meningkah!

Itu dosa! Aku tahu
Tapi aku tega melakukannya
Aku membenarkannya
Mengisi hati-hatiku
Kenapa masih susah untuk berubah

Hatiku sudah rosak?
Ya Allah jika hati yang lama ini sudah mati
Engkau sudikanlah menggantikannya dengan yang baru dan suci
Aku tidak bisa menahan beban yang terpikul ini
Aku khuatir aku akan jatuh tersungkur
Bahkan terkubur…

Nafsu yang bisa
Melemahkan saraf jiwa
Hancur dibadai rangsang
Makin longlai melayar rasa yang mencincang
Sombongnya aku pada MU Tuhan
Ku biarkan mantera lain yang berbicara
Bukan dari kalam mu yang penuh bahagia

Aku makin menjauh terus menjauh
Ingkar dan angkuh!
Entah bila hatiku mahu luluh
Luluh pada jasadku yang akan dimamah usia

Sukar tapi aku perlu menukar
Payah tapi aku mesti beralah
Getir tapi aku harus pandai mentadbir
Biar lambat asalkan aku melangkah
Dari kaku mati dalam tingkah!

Aku ingin berubah
 Ke jalanMU Allah
Aku tidak mahu dipandang indah pada zahir
Tapi batin penuh racun yang mengalir]
Yang bisa merosakkan iman dan taqwaku pada MU



Saturday, August 17, 2013

ku pilih untuk berdosa...



Diamku bukan rajuk
 Pergiku bukan kerana dirimu
Hanya ingin mensuci kotoran yang sudah lama berhabuk
Untuk ku buang jauh tafsiran yang lalu
Benar! kita pernah mengukir senyum
Kita juga pernah melukis duka
 Tapi semuanya sebuah kenangan
Sebuah kenangan yang takkan diulang semula
Setiap tawa kata dan bicara dulu menjadi ingatan dalam kalbuku
Mengapa dulu aku memilih dosa dari mencari secebis pahala
Lalaiku dulu membuatkan kau keliru
Antara tuntutan nafsu atau keperluan ilmu
Buta dalam menilai hukum
 Terzahir dalam setiap perlakuan sebagai insan yang berperasaan
Tuhanku, Tuhanku, Tuhanku…
Akhirnya kita diingatkan!
Cukup di matikan di dalam sebuah hentian
Jangan kita coretkan lagi sebuah potret hitam
Lakaran kosong penuh noda semalam
Moga di dalam perjalanan yang makin panjang kita temui kebahagiaan
Walau kita tidak bersua tetapi ku yakin kita pasti akan bersemuka dengan sang Pencipta
Pada detik itu aku tidak mahu kau ataupun aku dipalit sejuta dosa
Aku ingin bersih dari segala-galanya!

~Istighfar ku dari dosa~



Monday, May 6, 2013

Gerimis Sendu Buat Tok Guru





Hari ini bersaksikan langit dan bumi
Kau memadam seketika api derita
Lafazmu menghentikan segenap jiwa yang kecewa
Jerih mu dulu sudah kau rasa
Keramat inilah yang menjadi tanda kau berhenti seketika

Wahai ulama’ ku, aku tahu kau tidak akan menyerah
Segenap ruang kau difitnah
Setiap detik kau di cacah dengan amarah
Amarah kepada golongan yang ingin terus memerintah
Tapi ku tahu kau berbakti hanya untuk Allah 

Waktu ini, gerimis dari langit meratapi perjuanganmu
Saatku lahir dikau sudah mula melangkah
Menapak membina sebuah negeri gagah
Menukar  rosak menjadi indah
Saban purnama kau tidak henti mencipta sejarah

Hai ulama’ ku ingin sekali aku bertemu
Bilakah akan direncanakan oleh yang Maha Satu?
Ingin ku rasa peluk cium darimu
Inginku harap doamu buatku
Semoga suatu hari nanti pasti ada waktu
Aku kan terus menunggu
Sebelum mata dan tubuhku menjadi kaku

Ku tahu di jagat raya sana ada yang mercerca
Ditabur kata neraka, dihambur bicara petaka
Takkan sekali aku berganjak walau seketika
Kerana aku yakin kau masih ada
Selagi hayat kau kan terus berjuang menegak agama

Walau ramai yang membenci
Tetapi ku yakin bertambah ramai yang mencintai
Walau ramai yang pasrah
Tetapi ku yakin masih ramai yang  akan terus melangkah
Gagah dalam setiap dakwah
Teguh dalam setiak ukhwah

Yakinlah ini adalah perancangan yang Maha Indah
DIA akan menggantikannya dengan insan yang tabah
Walau tidak sama tetapi pasti ada magfirah
Teruskan menitip doa dan Zikrulllah
Demi sebuah perjuangan menegakkan agama Allah..

Perjuangan itu memerlukan kesabaran
Kesabaran itu lahir dari sebuah keimanan
Keimanan itu lahir dari segumpal darah yang diciptakan oleh Tuhan
Teruskanlah  melakukan perubahan pada diri insan
Kita pasti akan mendapat kemenangan

Jika bukan hari ini tapi nanti
Jika bukan nanti, tunggu di waktu yang kekal abadi
Yakinlah ini adalah rencana dari Ilahi
Agar kita persiap keseluruhan jiwa dan nurani
Bukan hanya menang pada emosi
Tetapi mati pada diri
Kalah pada takdir yang meniti

Menangis cumalah hatiku
Senyum rasa ku ulir dijiwa
Ku tahu ada bahagia di hujung sana
Ada cahaya di sebalik lorong yang sirna
Ku yakin akan janjiNYA

Akhirul, Ku selimut gerimis dengan doa
Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua
Allah, panjangkankanlah umur ulama’ kita
Allah, jagalah negara kita dari kerosakan dunia
Allah, peliharalah kita dari azab dan seksaNYA.
Ameen….

Wednesday, January 16, 2013

Menangislah Wahai Jiwa yang Tenang



Menangislah wahai jiwa yang Tenang

Kau hadir dalam hidupku membuka ruang seri dalam hatiku
Menyinari setiap hari dan waktu mengisi segenap ruang yang baru
Dari mula aku kembara dalam rahimmu kau senantiasa menantiku
Takkan tertinggal walau sesaat takkan terleka walau seditik di mata
Setia cintamu padaku, setia cintamu pada dia, dia yang menjadi tongkatmu
Kau alis ukiran senyuman pahat rasamu di setiap corak tongkat itu
Walau getir kau tidak pernah rasa ia payah, malah kau hadir, hadir memberi peluang
Dia juga begitu, lembut dalam bicara tegas di dalam bahasa, marah bukan zahir dia benci
Tapi luahan batin supaya dia dimengerti, didengari dan diiukiti
Buat kau dan dia dengarlah suara hatiku yang paling dalam ini
Aku tanamkan genta rasaku terhadap kau dan dia
Bagaimana aku nanti jika kau dan dia tiada, aku tak sanggup bahkan aku tidak mahu

Wahai jiwa yang tenang ini, kuatkanlah aku untuk mencintai mereka
Sentiasa merasa kasih mereka sentiasa tidak lupa pada mereka
Walau nanti aku dipuncak yang tinggi takkan sekali aku pergi
Akan ku bawa kau dan dia bersama, bersama mengemudi hari
Kita mencari apa yang digelar Firdausi, kita rasa apa yang kita tidak rasa di fana ini
Kau dan dia telah meniti hari aku juga begitu, bahkan aku takut
Gerak apakah yang telah aku lakukan kepada kau dan dia untuk sama-sama kita ke sana
Sudahkah cukup? Atau aku masih belum bermula

Wahai Ilahi, pintaku..rayuku agar aku tidak pernah menjauhkan diri dari hartamu yang bernilai itu
Cintaku pada hartamu itu senantiasa mekar dalam kalbu dan jiwaku
Kerna….
Kau adalah bondaku yang ku cinta
Dan kerana
Dia adalah ayahanda ku yang juga ku cinta.

Sunday, November 18, 2012

Kalam Cinta



KALAM CINTA

Jika kita mencintai seseorang, rahsiakan rasa cinta itu kerana Allah maha tahu.

Jika kita mengasihi seseorang, pendamkan rasa itu kerana Allah telah merancang sesuatu.

Jika kita menyayangi seseorang, hadirkan perasaan itu pada Allah kerana Allah pasti menyambutnya.

Jika kita merindui seseorang, pasakkan perasaan di dalam lubuk hati yang paling dalam

Kerana Allah sudah menyimpannya di dalam rasa yang perlu kita pendam

Jika kita mengimpikan bahagia dengannya, alirkan dengan doa mujahadah pinta pada Allah

Moga istikharah menjadi penawar gelisah dalam berukhwah

Jika kita hadir rasa cemburu terhadap seseorang, jangan sesekali kita luahkannya kerana dia masih belum milik kita

Adulah pada Allah moga hatinya tetap untuk kita moga rasanya ada buat kita dan moga cintanya tersimpan rapi untuk hati seorang lelaki yang bakal di gelar suami.

Wednesday, November 14, 2012

Yang Aku Pinta




Aku tidak pinta dirimu sehebat mereka
Mampu berpanah kata petah membuka bicara
Yang aku pinta suci malumu menghiasi peribadiku
Diammu bukan tidak mampu berbicara
Tetapi demi menjaga redha dan barakah dari DIA

Aku tidak pinta dirimu secantik bidadari dunia
Mampu mencairkan mata dan hati Adam yang terpana
Yang aku pinta kecantikan akhlak luhur peribadi mu
Sopanmu tanda kau solehah
Cintai agamamu bukti kau hamba Allah

Aku tidak pinta dirimu tulus menabur janji setia
Merakam kata bahagia mengukir kata syurga
Yang aku pinta bekalan nasihat dan doa darimu
Setia mememani hari-hariku
Tanda ingatan aku dan dikau kepunyaan DIA

Aku tidak pinta dirimu pandai bergaya
Pakaianmu mengikuti corak semasa
Yang aku pinta cerminan gayamu di dalam syarak agama
Terpelihara auratmu, terjaga maruah dirimu dan keluargamu
Lambang dikau srikandi agama

Aku tidak pinta suaramu lunak yang mampu mengasyikkan mereka
Alunan yang tega menggugat iman mereka
Yang aku pinta suaramu yang mampu memberi kata semangat
Kata nasihat di saat aku tenat pada detik aku tidak mampu untuk melihat
Setia suara itu berdoa dan mengingatkanku bahawa kita ada PENCIPTA

Aku tidak pinta dirimu sempurna dari segala
Tepat memenuhi cita rasa ku
Yang aku pinta moga aku mampu menjadi pelengkap hayahmu
Melengkapi kekuranganmu dan kekuranganku
Untuk sama kita rasa tribulasi ranjau kehidupan ini.

Secangkir bicara
13.11.2012


Tuesday, October 23, 2012

Siapalah aku



Siapalah aku untuk memiliki senyumannya
Siapalah aku untuk merasai rasa nya
Biarlah disimpan dalam jiwa
Bukan tidak terdaya tetapi tak tega menjadi kaca
Biasan indah ada padanya
Tetapi tidak untukku
Dia sudah punya cermin untuk dilihat
Dia sudah punya kayu untuk dipahat

Gelodak rasa ini meronta
Tapi hati masih dapat memujuk diri
Bersabarlah
Biarkanlah
Kerana rahsia itu tidak mampu disingkap oleh manusia
Rahsia itu hanya ada pada nun di atas sana

Ceritakan pada DIA
Adukan pada DIA
Pasti kau akan ketemu ketenangannya
Risau itu panahan syaitan
Buang ia jauh dari lautan
Moga akan hadir untukmu sebuah kebahagiaan
Sabarlah dalam bersabar

Husairi Hanafi
8.00 p.m

Tuesday, October 9, 2012

Semoga Cintaku Bukan Palsu



Melirik penaku di pembuluh rasa
Tercurah segala apa yang telah lama dipendam dalam jiwa
Bangkitku melafaz kalimah sucimu
Sujudku memohon perkenan karuniamu

Tuhan, cinta ini sudah ku tautkan
Pada dahan puncak tinggi keimanan
Tuhan, hati ini telahku pasakkan
Pada lembut tanah ketaqwaan

Moga apa yang telah ku lalui ini jadi iktibar pada diri
Natijah bukan bererti aku mengalah
Tapi iftitah yang menjadi titik untuk aku melangkah
Andai jasad gugur rohku pergi luhur
Al-Fatihah ku pohonkan..

Tuhan, kepahitan ini bukan hempedu buatku
Tetapi madu dalam kalbu merindu
Tuhan, kerdilnya hambamu ini
Segala neka nikmat telah aku rasa
Tapi masih lagi jiwa berkira untuk bertemu denganmu
Bagaimana nanti  untuk kita bersemuka
Andai diri penuh dosa dan noda
Tuhan, rahmatilah segala hayah ku ini
Moga cinta yang ku tautkan padamu
Bukan cinta nan palsu..

Husairi Hanafi
9.19 p.m



Monday, October 1, 2012

Tika Ibu Menangis



Tika Ibu menangis

Tika ibu menangis
tidak siapa rasa kepedihan setiap titis
denyut rasa menongkah jiwa
ada kesedihan di raut wajah sucinya
dia simpan di dalam selimut rahsia
dia kunci di dalam peti duka

Langsung tidak mahu permatanya merasa
ibu diam, ibu hanya berkata dia bahagia
tapi hakikat  ombak derita menongkah ubunnya
gigih di luar pesona
terselit pasrah di jiwa

Tika ibu menangis,
permatanya di dalam senyuman unggas rimba
tidak langsung diketahui derai mata ibu yang tumpah ke bumi
jangan menjadi permata di celahan kaca
jadilah madu yang ada di kuntuman bunga

Kenang jasa insan yang bernama ibu
andai hari ini tiada senda dari dia
jangan lagi kau kesali
usahla kau tangisi
kerana esok sudah tiada

Nyanyikanlah lagu merdu irama kalbu buat ibu
gesekan akhlak sucimu buat ibu
dendangkan gurindam iman buat ibu
puisikan cintamu buat ibu
zikirkan doa kebahagiaan buat ibu
dan dodoikan rasamu di jasad ibu

Wahai permata ibu,
usah pernah kau sakiti syurgamu itu
kerana ia payung untukmu dari rancak hujan neraka
jangan kau tega lukakan dia
kerana dia ubat yang akan membaluti sakitmu
usah lagi kau beri linangan air mata kesangsian
ukirlah senyum suka untuk ibumu
demi harga sebuah cinta ibu nan suci

Hai permata sinar bahagia ibumu
dengarlah harapanku ini
jadilah dikau insan yang berguna
mawarmu bisa demi agama
tangkaimu menjadi penguat tali Esanya
bersatulah dalam berjuang
jangan kau berpadu di dalam cerita yang terbuang.

Husairi Hanafi
10.41 p.m






LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...