Setiap yang berlaku pasti banyak hikmah
yang terselindung. Hikmah itu bukan datang selepas kita diuji. Ia hadir dalam
dalam masa yang tidak pernah kita duga. Walau kita rasa kesakitan tetapi bila
kita ada Rasa bertuhan itulah yang akan menjadi panduan buat kita. Hidup ini
untuk di uji bukan hidup ini itu lari dari ujian. Kita hamba Allah yang layak
dan seharusnya mampu untuk menerima ujian itu.
Terkadang kita rasa tidak mampu dan
berputus asa bahkan bagai tiada harapan lagi untuk meneruskan kehidupan. Langkah
kian payah, nafas kian susah, jiwa kian resah hati kian parah. Itu hanyalah di
dalam kawalan kita. Kita mampu mengawalnya. Bisik pada diri.. “ia datang dari
Tuhan dan pasti akan ada kesembuhan.” Andai
ada insan di sekeliling kita yang menjadi alat untuk kesakitan kita
redhalah..hadapilah dengan penuh keredaan kerana mereka adalah lorong kita
meraih pahala juga mendidik jiwa. Jangan sesekali terluka dengan sikap mereka
kerana kita sudah punya jiwa yang mampu mengawal segala molekul rasa yang ada
di dalam diri kita.
Payah tetapi bukan susah. Sakit tetapi
tidak akan berjangkit. Penat tetapi tidak akan menjadikan kita tenat! Walau apa
yang datang di dalam hidup kita. Yakinlah bahawa kita layak untuk di uji dan
menerima ujian. Tuhan sengaja mengaturkan kita dengan pelbagai ragam manusia. Di
situ kita membina ukhwah kita menyelami erti mawaddah andai tersingkap mazmumah
anggaplah ia sebagai rencah bukan padah!
Walau tinggi mana kedudukan kita, walau
kaya mana pun kita tetapi harus kita tahu bahawa Tuhan kita maha Agung, Tuhan
kita maha kaya. Kita berada di dalam dunianya. Sebagai peminjam dan nanti kita
harus memulangkannya kembali kepada NYA. Setiap apa yang ada di bumi ini
hanyalah pinjama dari NYA termasuklah diri kita ini. Gunakanlah ia sebaik
mungkin jangan sesekali kita menyalahgunakannya.
Ujian kehidupan terkadang membuat kita
lemah, sampai ada yang rebah juga ada yang tidak mampu untuk bangkit. Menukar gelap
menjadi cahaya, menukar hiba menjadi bahagia, membuang duka menjadi suka. Setiap
jalan yang kita pilih dan lalui ini pasti akan ada ujian. Bersiap siagalah
wahai diri. Kuatkan iman, kuatkan hati juga kuatkan emosi. Kejarlah cita-citamu!
Secangkirbicara
Tatkala kita diuji dengan satu perasaan
yang tidak pernah kita rasa sebelum ini, ia datang begitu hebat, kita tidak
mampu untuk menyekat. Acap kali kita berkata jiwa kita penat, penat untuk
merasai perasaan itu lagi, serik untuk cenderung ke arah rasa itu. Bukankah ia
anugerah dari Allah yang maha Esa. Benar ia anugerah tapi ingat ia juga akan
menjadi fitnah andai kita tidak tahu mengemudinya. Cinta itu lahir dari hati
yang suci untuk dipindahkan kepada hati yang penuh nurani namun andai cinta itu
datang dari jiwa yang kotor dan rosak ia akan menjadi sebuah cinta yang penuh
noda dan dosa. Moga kita semua dijauhi dari malapetaka ini. Cinta itu lahir
dari syurga kembalikan ia juga ke syurga!
Virus cinta ini semakin terkesan di dalam
diri remaja baik yang ‘biasa-biasa’ atau yang sudah punya nilai agama. Matlamatnya
sama cuma pendekatan berbeza. Bagi yang biasa-biasa, keluar berdua, makan
bersama, bergambar mesra, dan saling berpimpinan tangan sudah menjadi kebiasaan
dan bagi yang ada nilai agamanya juga menggunakan istilah ‘Islamik Couple’
bunyinya seakan menghalalkan tetapi ia penuh kesengsaraan, persoalan untuk
menguruskan hati dan perasaan. Bolehkah bertahan tanpa ada sebuah pertemuan? Mampukah
hati mengawal nafsu yang kuat melawan dan setiakah hati menanti janji Tuhan? Benar
ada doa, ada istikharah tetapi bagaimana istiqamahnya? Adakah dijaga dengan
sebaik mungkin. Kita inginkan buah mangga yang manis, tetapi kita hanya menaman
benihnya sahaja kemudian tidak dijaga dan diberi baja secukupnya. Tidak adil
bukan.
Entah ke berapa bicara tentang cinta dicoretkan
di sini tetapi ingatlah bukan untuk menyatakan diri ini terlalu bagus dan baik
tetapi hanya peringatan buat diri dan buat sahabat yang sudi menghayati
bingkisan ini. Cinta itu fitrah dari Allah. Kita tidak mampu untuk
menghalangnya tetapi kita mampu untuk mengawalnya. Perlukan kawalan dari setiap
segi, kawalan nafsu, hati, pancaindera dan minda. Ramai di antara kita yang
punya pengalaman bercinta baik semasa alam persekolahan atau alam universiti
hinggakan sudah yang ke berapa pengalaman kita itu. Bercinta dan putus,
bercinta lagi dan putus lagi dan terus bercinta kemudian terus putus. Nah,
bahaya bukan cinta yang sebegini. Tapi itulah satu pengalaman mahal yang perlu
kita bayar di dalam mengemudi hati kita. Setiap kali kecewa baru kita bertemu
siapa pencipta kita, setiap kali kita berduka baru kita berjumpa siapa pencipta
kita dan setiap kali hati kita terluka baru kita sedar bahawa hati kita ini
milik DIA.
Mengapa harus kita membenci pengalaman
lalu, jadikan ia sebagai madu kemanisan walau hakikat ia pahit tetapi itu yang
menyebabkan kita bangkit. Ingat, cinta yang sementara itu hanya pinjaman dari
DIA untuk menguji kesetiaan dan kekuatan kita pada DIA. Adakah untuk dia yang
kita cinta atau melebihkan DIA yang memberi cinta. Tepuk dada tanya hati anda. Cinta
itu bukan hanya dinikmati kepada golongan berseluar jeans mahupun berskirt
pendek tetapi ia juga turut dirasai oleh insan yang berkopiah putih dan bertudung labuh. Ada gaya tersendiri. Terpulang
pada hati menilai peribadi. Bukan pakaian itu yang salah jika akhlak tidak
mengikuti dengan apa yang dipakai tetapi, si pemakai itu yang salah kerana
tidak berakhlak untuk mengikutinya.
Cinta itu berkait rapat dengan soal hati. Bagi
yang pernah merasainya tahniah diucapkan dan bagi yang sedang merasai atau akan
merasai, takziah diucapkan kerana bala menunggu di hadapan andai tiada langsung
kawalan. Cinta dalam diam. Mungkin ada yang sedang mengamalkannya. Di pihak
lelaki atau perempuan menyukai seseorang itu tanpa pengetahuannya. Jika itu
jalan yang anda pilih, teruskan berdoa mungkin itu jodoh anda tetapi usah
terlalu berharap kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Perit
dan sakit apabila kita mengalami kegagalan dalam bercinta. Tetapi percayalah
itu bukan kegagalan tetapi kejayaan buat kita kerana kita tidak lagi berdosa!
Mana lebih kita suka antara malu dengan
kawan akibat putus cinta atau malu dengan Tuhan akibat kita terlalu banyak
berdosa. Bayangkan kalau dosa itu berbau, pasti tidak ramai yang akan mendekati
kita. Cukuplah dosa yang kita ada apabila bercinta dengan makhluk yang bukan
sah dengan kita lagi. Mari sama-sama kita bermuhasabah diri. Ada di antara kita
yang sudah bercinta bertahun-tahun lamannya dan di dalam tempoh percintaan itu
terselamatkah kita dari zina hati, mata, kaki, kemaluan dan tangan? Andai masih
terjaga Alhamdulillah. Andai sudah menghampiri ke arah itu Nauzubillah.
Bertaubatlah kerana taubat itu sentiasa terbuka luas untuk kita. Ingatlah Allah
itu maha berkuasa tetapi Allah tidak zalim, Allah maha penyayang. Allah itu
maha kaya tetapi Allah tidak bakhil, Allah maha pemurah.
Kenapa bukan dia jodoh kita? Soalan itu
yang sering kita ucap dan keluhkan. Bersabarlah wahai hati yang tenang. Kita sendiri
sudah ada jawapannya kerana, DIA telah menetapkan siapa jodoh kita yang
sebenarnya. PASti dan PASti! Pernah kita dengar kadang-kadang Allah pertemukan
kita dengan insan yang salah bukan untuk membuatkan kita kalah tetapi memberi
janji bahawa kita tidak seharusnya mengalah. Kalah bukan bererti kita akan
mudah mengalah. Persiapan diri kita sebagai suami/isteri mithali perlu kita
lakukan bukan menunggu bila tiba masanya tetapi ia harus segera! Hari ini kita
juga sudah kembali memutar sejarah bahkan mengulangi sejarah. Berkahwin pada
usia muda. Ya sejarah ini sudah ada bermula dari zaman Nabi sehinggalah zaman
nenek moyang kita. Bukankah ia sesuatu yang mulia bahkan menyempurnakan
sebahagian dari agama. Namun perlu diingat kalau cinta tiada persediaan dan
hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu ia pasti tidak akan berkekalan. Wajah yang
cantik itu hanya indah ketika muda tetapi apabila usia makin bertambah
kecantikan itu akan sirna. Masih adakah erti cinta? Wujudkah lagi istilah
setia?
Kemudilah alam ini sebaiknya. Ranjau sudah
pasti ada di hadapan. Bagi sahabat yang sudah melalui alam ini, teruskanlah dan
tunjukkanlah keindahan cinta yang sebenar bukan menunjuk-nunjuk! Hindari diri
dari fitnah manusia. Bagi yang sedang merancang ke arah itu, teruskanlah
menyiapkan diri dan berusaha sebaik mungkin. Jalan keredaan itu ada kalanya susah
tetapi memerlukan hati yang tabah. Cintailah orang yang tahu mencintai kita
bukan mencintai orang yang menunggu dirinya dicintai. ~Secangkir bicara
Dia-lah yang
menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya
manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu
mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang
demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya)
kepada orang-orang yang mengetahui. (Surah Yunus 10: Ayat ke 5)
Allahu
Akbar, Allahu Akbar.. DIA lah Allah yang menciptakan sekalian alam ini. Segala
puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, siang dan malam, bulan dan
mentari. Bulan itu cahaya berseri indahnya memancar di sanubari, walau ada yang
berkata dari dekat ia penuh dengan kelodak. Tapi hakikat ia datang dari Allah
S.W.T, terlalu banyak kaitan kata tentang bulan.. “engkau laksana bulan” dan
Nabi kita pun dilambangkan seperti bulan purnama menerangi akidah umat tatkala
ia hampir sirna.
Sudah lama
saya mencari lagu ini dan tidak mengetahui apakah tajuk sebenarnya.
Rupa-rupanya indah dan cantik lagu dan maknanya itu. Saya tidak begitu berminat
dengan k-pop apatah lagi dengan lagu mandarin. Tetapi lagu ini telah membuatkan
hati saya jatuh, dulu saya pernah mendengarnya tetapi kali ini buat kesekian
kalinya lagu ini saya dengar. Sebuah lagu popular berbahasa mandarin yang
dinyanyikan oleh Teresa Teng merupakan sebuah lagu yang begitu popular di
serata dunia. Dinyanyikan oleh artis-artis pelosok negara dan lagu ini begitu
dekat dengan masyarakat China. Lagu ini bertajuk Yue Liang Dai Baio Wo De Xin
atau di dalam bahasa Inggerisnya diterjemahkan sebagai The Moon Represents My
Heart atau bermaksud Bulan Mewakili Hatiku. Indah bukan mauduqnya itu?
Maaf,
saya bukan hendak kaitkan dengan politik. Bagi yang berfikiran seperti itu,
terpulanglah. Saya hanya diberi ilham untuk menulis. Tetapi hayati maksudnya
itu dan fikirlah sedalam-dalamnya. Lagu ini mungkin ada di antara kita yang
menujukan kepada kekasih mereka tetapi siapakah yang lebih layak kita cintai
melainkan si pemberi hati kita yakni Allah. Cinta Allah kepada kita tidak
pernah sirna. Sering kali kita mempertikai setiap ujian dari Allah, tetapi
Allah tidak sesekali menjauhi kita bahkan Allah rindu. Allah amat rindu
mendengar rintihan kita. Kita hamba Allah. Alhamdulillah, terasa lunak
mendengar seorang ustaz mampu menyanyikan lagu ini dengan baik. Tahniah.