Labels

Pages

Followers

Thursday, July 25, 2013

Usah Tersalah Pilih!


Pilihan di tangan anda atau adakah pilihan di hati anda??? Kita membuat pilihan bukan berdasarkan mata yang kita ada tetapi kita memilih pilihan dengan mata hati yang menjadi kepunyaan kita. Dalam kehidupan kita sememangnya diberikan pilihan untuk hidup. Hidup yang bahagia ataupun hidup yang derita. Benar, ketentuan hidup sudah ditakdirkan Tuhan tetapi kita yang harus menentukan tadbir hidup kita. Ke mana arah tuju kita bukan sahaja di dunia tetapi apabila kita pergi meninggalkan dunia yang fana ini yakni Alam akhirat.

Orang yang berjaya adalah orang yang memaksa dirinya berubah dan orang yang gagal adalah orang yang berubah kerana terpaksa. Kita bukan orang yang terpaksa tetapi kita orang yang memaksa diri kita untuk berubah. Di dalam kehidupan ini, Tuhan tidak menilai kita sudah menjadi baik ataupun tidak tetapi Tuhan menilai adakah kita sudah berusaha menjadi baik ataupun belum. Pilihan itu ada di hati kita. Gerak hati membuka bicara menghantar pada minda menyata isyarat bahawa kita adalah seorang hamba. Hamba kepada pencipta kita. Kehidupan dan ujian tidak dapat kita pisahkan kerana ia merupakan rencah dalam hayah kita ibarat makanan dan perisanya. Ujian itu terkadang manis terkadang pahit tetapi redhalah dengan ujian hidup kita. Hidup kita sememangnya layak untuk di uji. Ujian itu datang pelbagai cara dan pelbagai rupa. Terpulang pada kita untuk menanganinya. Tetapi dalam kita redha menerima ujian usah sekali kita lupa pada si Pemberi Ujian itu yakni Allah. Dialah maha mengetahui apa yang berlaku di sebaliknya. Tapi yang pasti setiap apa yang berlaku pasti banyak hikmahnya. Itu yang pasti!

Buntu dengan pilihan yang ada di hadapan mata kita?? Bisiklah pada hati dan Ilahi itu yang pasti akan menjadi jalan pada pilihan. Jika kita hanya sekadar meminta bantuan mata sahaja ia tidak mencukupi untuk kita membuat pilihan.  Terkadang cahaya yang terlampau terang akan membuatkan kita buta! Perlukan bantuan yang ada dalam diri kita yakni mata hati. Hati kita pasti akan berbicara sebaliknya. Ikutlah kata hati bukan memilih pada pandangan mata yang pasti akan membuatkan kita buta dan tuli. Sering kali kita menggunakan mata dalam menilai cinta bukan menggunakan jiwa untuk mentafsir cinta. Maka al-hasil cinta yang disemai itu bukan berkekalan tapi sekadar bahagia pada awalan dan berakhir dengan sebuah penderitaan. Mari sama-sama kita bertanya pada diri. Adakah kita menilai seseorang dengan wajah yang ada pada mereka. Wajah cantik membuat kita terpesona dan rupa yang tampan membuat kita tertawan! Benarkah begitu? Jika itu yang menjadi syarat dalam pilihan kita sebenarnya kita telah membuat satu kesilapan yang amat besar.

Kerana itu bukan menjadi ukuran kebahagiaan yang berpanjangan. Saya ulangi ia bukan menjadi ukuran sebuah kebahagiaan yang berpanjangan. Bagaimana kita mengawal rasa tatkala kecantikan yang ada pada pasangan kita menjadi igauan dan tatapan orang lain. Cemburu pasti ada. Jika pasangan kita itu memahami erti setia mungkin kita tidak perlu merisaukannya tetapi jika sebaliknya kita ada alasan untuk menjadi risau. Awas dengan rupa. Kita yang memilih dan jangan sesekali tersalah pilih. Mungkin kita rasa bangga dapat memikat pasangan yang cantik atau tampan tetapi kita lupa segala yang menjadi tatapan itu hanyalah bersifat sementara bukan selama-lamanya. Saya ulangi bukan selama-lamanya..

Rupa yang menawan itu pasti sirna suatu hari nanti. Ketika itu pilihan yang kita pilih akan menjadi penyesalan dan bukan lagi sebagai kesyukuran! Pilihan yang hanya bersifat sementara bukan untuk setia sehingga hujung nyawa kita. Bila diberi pilihan untuk memilih siapa sebenarnya pasangan hidup kita harus memilih yang benar-benar memahami kita dan yang benar-benar setia pada cinta bukan pada manusia tetapi juga pada pencipta. Pilihan bukan sahaja merangkumi apa yang ada pada pancaindera tetapi ia juga meliputi segala apa yang ada di dalam jiwa. Telusuri fikrahnya bagaimana, agamanya bagaimana, keluarganya bagaimana seluruh hati dan nuraninya untuk siapa. Fikrah itu adalah fikiran dan fahaman. Pemahamannya dalam kehidupan bukan sahaja dari fahaman politik bahkan meliputi fahaman akidah dan ibadah. Jangan sekali-kali kita memilih pasangan yang mempunyai fahaman yang bertentangan dengan akidah kita. Bahaya! Peganglah pada Al-Quran dan As-Sunah.

Di dalam memilih sebenarnya kita baru bermula di dalam fasa perjalanan. Perjalanan mencari teman, perjalanan mengenal Tuhan, perjalanan mengambil iktibar dari lawan! Perjalanan ini penuh ranjau dan cabaran. Sebenarnya kita baru bermula. Kembara kita mencari bahagia dan pasti akan disulami dengan duka air mata tetapi ingatlah bahawa ia sebenarnya duri yang perlu kita rasa sebelum kita mengembara mencari nikmat syurga. Moga Allah izinkan kita untuk merasa nikmatnya ini. Ingatlah bahagia kita ini bukan hanya ada pada penghujung jalan tetapi ia ada pada sepanjang jalan. Railah dan nikmatilah nikmat kehidupan kita ini. Pilihlah kehidupan kita ini dengan jalan yang telah diberikan Tuhan.


Usah gentar pada dosa silam kita. Jadikan ia sebuah pengajaran yang paling berharga. Manusia boleh sahaja menghukum kita untuk memasuki pintu neraka tetapi sifat PENCIPTA kita bukan begitu. Allah itu adil sifatnya. Setiap yang jahat pasti dibalas jahat dan setiap yang baik pasti akan dibalas dengan baik. Biarkan manusia terus mencaci dengan mengadu domba perihal dosa-dosa kita yang lalu. Apa yang penting kita sudah melakukan taubat kepada NYA itu yang utama dan wajib dilaksana! Kita bukan manusia sempurna mereka juga bukan insan sempurna yang terlepas dari dosa. Ingatlah! Tatkala manusia membenci, yakinlah bahawa Allah ada sentiasa di sisi dan tatkala manusia sedang asyik memfitnah, Allah akan hadir menjadi penawar ketika kita resah dan gundah!

Thursday, June 27, 2013

Aku bertanya pada Tuhan...



~2.30 Pagi~

Mata masih segar tapi hamba merasakan amat sukar untuk terbang ke alam fantasi! Serba tidak kena! Ke kiri dan ke kanan semuanya sama tidak langsung mampu melelapkan mata. Arh…mengapa begitu sukar hendak merehatkan minda dan membiarkan roh hamba bebas seketika! Sang cengkerik masih bernyanyi riang tapi hamba masih lagi tidak mampu untuk membiarkan jiwa terbang. Fikiran terus melayang dan terus melayang…..

~9.00 Malam~

Mesej dari bonda tiba…

“Assalamualaikum anakndaku, moga sihat seadanya, bonda ingin menitip perkhabaran duka, jiran kita di desa baru sahaja dijemput oleh yang Esa. Tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk dia.”

Hamba terpaku dan terus bertanya….

“Wassalam bonda, Alhamdulillah anaknda sihat sahaja. Bagaimana perkhabaran bonda di desa? Jiran kita yang mana bonda?

“Alhamdulillah bonda sihat sahaja, jiran kita yang berada di sebelah musolla desa kita.”

“Innalillahi wainna ilahirrajiun. Anaknda seakan tidak percaya. Rasanya baru sahaja ketemu dengan dia bonda, anaknda malu dengan dia..waktu itu dia yang kerap ke Rumah Allah tetapi anaknda tidak. Allahu akbar. Allah masih sayangkan dia. Allah berikan peluang untuk dia. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman..Ameen”

“Mudah-mudahan begitulah..anaknda ku yang ku cinta kerana Yang Esa, bagaimana jika ini titipan terakhir atau bualan terakhir antara anaknda dan bonda? Anakndaku, walau apa pun yang terjadi ingatlah bahawa Allah maha mengetahui. Bonda redha jika sudah dipanggil oleh NYA tapi bonda masih perlukan rantai doa dari anaknda”

Air mata hamba mengalir laju…..

Persoalan itu hamba tamatkan dengan panggilan kerinduan. Hamba tahu bonda rindukan hamba. Hanya doa dan tawakal di serahkan pada yang Esa moga bonda sihat sentiasa.

~~~~~~~~~~

4.00 Pagi

“Ya Allah, bagaimana jika esok aku sudah tiada lagi di duniamu ini?”

“Wahai Allah, aku masih belum cukup amal bahkan masih kurang beramal untukmu…”

“Wahai Allah pahalaku masih sedikit tetapi dosaku semakin membukit”

“Ya Allah, bagaimana jika esok aku bangun bukan lagi didunia tetapi aku berada di alam barzakh sana?”

“Aku penuh dengan dosa. Aku mengaku aku hamba tetapi aku ingkar!”

“Aku mengaku DIKAU Tuhanku tetapi aku sengaja tidak mahu mengenal bahawa DIKAU Tuhanku”

“Hebat sangatkah aku???Leka dengan pujian lupa pada diri yang hanya kepunyaan Tuhan!”

“Ya Allah adakah kau menerima taubatku? Adakah kau mengampunkan dosa-dosaku yang lalu?”

“Ya Allah..orang memandangku tinggi tapi aku tahu dosaku penuh dalam diri”


“Astaghfirullahalazim.Ya Allah DIKAU izinkan aku berada di duniamu ini tapi aku leka dan terus leka!”

“Allah..Allah..Allah ampunilah dosa kedua ibu dan bapaku, ampunilah dosa seluruh ahli keluargaku. Ampunilah dosa seluruh kaum Muslimin dan muslimat, ampunilah dosa guru-guru dan pensyarah-pensyarahku, ampunilah dosa sahabat-sahabatku dan yang akhir ya Allah ampunilah dosa hambamu ini yang lemah lagi hina. Ameen.


Monday, June 24, 2013

Rotan Kecil dari Tuhan...


Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.
Al-Anbiyaa’: 35

Kita dilahirkan dengan tangisan kemudian kita meniti hidup juga dengan selitan senyuman dan tangisan dan pemergian kita juga akan turut diiringi dengan tangisan. Setiap tangisan itu tanda bahawa bukan kita menzahirkan kekecewaan tetapi kita menatijahkan ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan kita. Terkadang hati kita keras dan sukar untuk menangis tetapi kita lupa dengan tangisan kita mampu mengalirkan air kekecewaan menjadi tenaga kekuatan pada diri kita. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama dengan kita..

Hidup dilahirkan untuk menerima ujian jika kita takut untuk menghadapi ujian untuk apa kita dihidupkan? Getir dan pahitnya sebuah ujian dalam kehidupan itu pasti ada syurga kemanisan yang akan menunggu kita cuma masanya yang akan menentukan. Sebagai hamba Allah kita wajib percaya kepada hari pembalasan yakni hari Kiamat dan kita tahu setiap apa yang kita lakukan di dunia ini pasti akan mendapat balasan di akhirat kelak. Dunia merupakan tempat kita berpenat dan akhirat nanti adalah destinasi untuk kita berehat! Senyumlah tatkala diri menerima ujian. Bisik dalam diri bahawa ia bukan ubat yang pahit tetapi madu yang manis untuk kita rasa.

Setiap peristiwa yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah telah mentakdirkan sesuatu itu kepada kita dan kadang-kadang apa yang kita rasa itu tidak adil untuk kita terima tetapi kita lupa bahawa ALLLAH MAHA MENGETAHUI!. Sedarlah wahai diri, walau hati disakiti kita masih punya Ilahi, walau pengorbanan kita tidak mendapat pujian tapi yakinlah bahawa ia di pandang Tuhan dan walau kita dihenyak dengan pelbagai ujian, senyumlah kerana ia merupakan kejayaan buat kita. Usah dipeduli apa orang kata tetapi yakini apa yang Allah suka. Kita tidak mampu menutup mulut orang di sekeliling kita kerana itulah lumrah manusia yang suka bercerita dan mengadu domba. Kesalahan orang terlalu besar untuk diterima tetapi kesalahan sendiri hanya dipejamkan mata. Dalam bahasa sejarah ‘melakukan pengadilan moral’ yang bersifat bias dan tidak bebas!.

Kita sibuk bercerita tentang keburukan dan kekurangan rakan-rakan kita tetapi kita lupa pada keburukan dan keaiban yang ada pada diri kita. Kita lupa dan kita sengaja melupakannya. Menganggap diri lebih sempurna dari sahabat kita dan merasakan kita lebih segala-galanya. Ada di antara kita yang tidak boleh melihat orang lain lebih daripadanya dalam setiap segi. Jika ada, mula menarik muka dan mencebik wajah seperti ungka di rimba. Sungguh bahaya sifat seperti ini. Kita tidak akan maju jika terus begini dan selamanya. Bukan menarik muka apabila melihat sahabat kita punya kelebihan dari kita tetapi kirimkanlah nasihat dan doa buatnya mudah-mudahan dia istiqamah dan tidak menyalahgunakan segala kelebihan yang dikurniakan Tuhan itu.


Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu mendidik lidah supaya menjadi baik. Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu menggunakan akal supaya menjadi cerdik! Mari sama-sama kita merenung diri. Segala apa yang berlaku di dunia ini adalah teguran dari Tuhan. Masalah alam mula menangis akibat dari kita yang tidak peka dan tidak mahu mengambil peduli tentang alam yang melindungi kita. Mudah-mudahan kita selamat dari bencana dunia dan dilindungi oleh yang Maha Esa.Ameen.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...