Salam Aidiladha buat pembaca semua. Dalam
kesibukan kita meraikan hari yang mulia, jangan kita lupa amal ibadah kita pada
Allah. Tingkatkan segala momentum amal kita untuk mencari ganjaran di akhirat nanti.
Eratkan cinta kita pada yang Esa moga nanti kita dapat menyemai bunga pahala
yang tidak terhitung barakahnya.
Lengkap dan melengkapi itulah rencah dalam perhubungan.
Setiap perkara yang diciptakan oleh Allah kepada makhluknya juga pasti
disertakan dengan pasangan. Lihat sahaja bagaimana penciptaan manusia dan
haiwan? Adanya pasangan untuk menambahkan keturunan dan waris mereka. Jurai keturunan
tidak akan terhasil seandainya hanya satu jantina sahaja yang ada di muka bumi
ini. Itulah hebatnya kuasa Allah. Kenang kembali kisah duka Adam di syurga,
baginda bersendu rasa tika diri keseorangan, kerinduan menggamit jiwa. Allah
tahu akan setiap apa yang direncana. Diciptakan pula hawa pengubat duka Adam,
penyeri bahtera kehidupan mereka di syurga. Baginda insan pertama yang
diberikan pasangan hidup oleh Allah s.w.t
Begitulah senandung kehidupan. Hidup kita perlukan
pasangan. Tapi bukan yang haram! Saya tegaskan sekali lagi bukan yang
HARAM? Apa yang dimaksudkan dengan haram itu ialah, hubungan yang dijalin tanpa
ikatan pernikahan. Bagaimana pula dengan status pertunangan? Ya. Ia masih lagi
haram. Haram untuk kita bersentuhan! Ramai di antara kita yang keliru bahawa
apabila sudah mengikat tali pertunangan boleh menyentuh itu dan ini. Touch n
go! Bagi yang sudah terlanjur melakukannya kembalilah ke pangkal jalan. Sabarlah
dalam bersabar. Apabila ia halal buat kita nanti. Buatlah apa sahaja yang kita
inginkan. Sebagaimana maksud firman Allah ~ “Isteri kamu adalah
ladang-ladang kamu, oleh itu datangilah ladang tersebut sesuka hati kamu”
Al-Baqarah, 223~
Mengakui kelemahan kita dan pasangan kita itu salah
satu kunci utama dalam membawa bahagia rumah tangga. Setiap manusia itu punya
banyak kekurangan, oleh itulah Allah ciptakan pasangan kita untuk menampung
segala kekurangan yang kita ada dan begitu juga dengan dia, kita menjadi
pelengkap kehidupannya. Amat sukar jika kita menginginkan pasangan yang
betul-betul sempurna yang tiada langsung cacat cela. Siapa kita terlalu memilih
dengan jodoh yang dihadiahkan oleh Allah kepada kita. Rasulullah juga punya
pasangan hidup, Rasulullah juga punya isteri yang ada banyak ragam dan rasa
tetapi kebijaksanaan dan keadilan baginda mampu memberikan ceria pada
isteri-isterinya. Kekurangan mereka diubati dengan keadilan Rasulullah.
Lucu apabila membaca kisah seorang hamba Allah, yang
berkahwin kali ke 11 dan semua perkahwinannya itu berakhir dengan penceraian. Menurut
beliau, punca penceraian berlaku adalah kerana dia sukar untuk mencari isteri
yang terbaik dan solehah. Siapa sebenarnya insan ini. Jika ada yang
menggelarnya ustaz, dia tidak layak mendapat gelaran ustaz, jika ada yang
memanggilnya imam, dia tidak mungkin mampu menggalas tugas sebagai imam. Suara
yang lunak tidak cukup untuk mengukir kejituan akhlak! Sebenarnya bagi saya
bukan isterinya yang tidak baik dan solehah tetapi dia sendiri yang tidak soleh
dan baik! Mana mungkin sampai 11 kali berkahwin tiada langsung bertemu titik
kebahagiaan. Adakah sekadar alasan ataupun sekadar tuntutan nafsu semata-mata. Marilah
kita sama-sama mendoakan insan ini supaya bertemu jodoh.
Andai apa yang ditakdirkan itu tidak menepati cita rasanya,
jadikanlah ia sebagai ujian dan tanggungjawab. Di dalam perkahwinan, kita
bukan mencari bahagia tetapi kita membawa bahagia itu bersama dengan kita! Saya
tertarik dengan kata-kata tokoh terkenal di tanah air kita menurut beliau di
dalam perkahwinan nanti ada tiga tahap untuk kita mengenal pasangan kita tahap
yang pertama siapa dia sebelum kita berkahwin dengannya, tahap yang kedua siapa
dia ketika berkahwin dengan kita dan tahap ketiga bagaimana keadaan dia apabila
sudah berkahwin dengan kita.
Analogi pelengkap kehidupan ini mudah, lihat sahaja motosikal.
Bagaimana kita mampu memboncengnya jika ia hanya punya satu tayar sahaja,
mungkin boleh berjalan tetapi masih tidak sempurna. Hakikat dan realiti dia
memerlukan 2 tayar untuk membawa kita! Kedua-kedua tayar itu saling lengkap
melengkapi. Kita mampu bergerak dengan mudah. Begitulah dengan kehidupan seandainya
pasangan kita itu punya kekurangan, kita menjadi penawar untuk mengubat kekurangannya
itu. Pelengkap kedua-duanya akan menghasilkan satu natijah bahagia di luar
jangka. Hidup dengan berpadu hati pasti akan menghasilkan sebuah ikatan
kehidupan yang suci!
selamat hari raya aidiladha...
ReplyDelete