“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri
yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa)
dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang
banyak.”
Surah An-Nisa ayat 1
Allah menciptakan manusia itu
berpasang-pasangan. Lumrah sama seperti penciptaan alam yang ada pasangannya
begitu juga dengan makhluk yang bernama manusia. Itulah hebatnya Allah. Raja
segala raja. Allah menciptakan suatu kehidupan yang indah di dunia ini bukan
sebagai tempat untuk kita mencari segala penghargaan manusia tetapi tempat
untuk kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai hambanya yakni persediaan
untuk kita berada di dalam kehidupan selepas mati nanti.
Hakikat CINTA itu lahir dari syurga. Syurga
yang maha indah dan penuh kenikmatan namun Nabi Adam yang masih berada di dalam
syurga masih ada lagi kelompongan dan kekosongan di dalam hatinya. Allah s.w.t
maha tahu. Allah ciptakan nenda kita siti Hawa sebagai pasangan kepada datuk
kita, Nabi Adam. Bermula dari saat itu berputiklah cinta. Dan kemudian cinta
itu didamparkan di dunia, penuh ujian dan dugaan dan bagaimana cinta yang baik
itu akan kembali balik kepada yang baik. Cinta yang bermula di Jannah akan
kembali pulang Jannah. Cinta itu berputik di syurga. Lahir dari orang yang baik
seperti Nabi Adam.
Bukan soal cinta yang ingin saya khususkan
pada perbincangan kali ini tetapi soal makhluk yang bernama Wanita. Hati nabi
Allah Adam menjadi lunak tatkala Allah menghadiahkan pasangannya yang bernama
Siti Hawa. Cinta mereka tiada tolok bandingnya. Dialah wanita yang pertama yang
telah membahagiakan hati seorang lelaki. Wanita itu lembut sifatnya, manis
senyumnya dan teguh hatinya. Tutur katanya sopan, akhlaknya penuh keperadaban.
Selalu kita mendengar pergaduhan jantina
siapa yang lebih hebat. Sang lelaki dengan angkuh menyatakan dialah kaum yang
hebat dan kuat tetapi hakikat masih ada yang lumpuh ketika subuh mendekat. Wajah
kacak tapi pudar akhlak tiada langsung gunanya kepada kita bahkan kepada agama.
Lelaki yang punya rupa tetapi kosong jiwanya tidak akan mampu mendidik seorang
insan yang bernama wanita. Ada juga sang lelaki yang berperwatakan separa,
sebahagian lelaki dan sebahagian lagi sebaliknya. Mereka juga berbangga dan
menyatakan ‘jantina’ mereka juga tidak kurang hebatnya tetapi masih tiada gunanya
kerana mereka masih berada di dalam zon kecelaruan. Saya bukan hendak
menyalahkan kaum ini tetapi marilah sama-sama kita berdoa moga-moga mereka
berubah. Mereka juga seperti kita inginkan bimbingan bukan cacian atau kejian.
Islam itu indah dan dakwah itu perlu diperindahkan dengan seninya agar segala
isi yang kita ingin sampaikan lekat dan kuat di hati mereka.
Golongan wanita juga tidak kurang hebatnya
bahkan akan mudah melenting apabila kemampuan mereka dipersoalkan. Kata mereka,
lelaki dan wanita pada zaman ini sudah tidak ada bezanya. Bahkan segala-galanya
hampir sama, soal jawatan, pangkat, kedudukan, ekonomi dan politik golongan
wanita sudah berjaya menyaingi kaum yang bernama lelaki. Lihat sahaja di institusi
pendidikan, bermula di tadika sehinggalah di menara gading sana semuanya
dikuasai oleh golongan wanita. Itu bukti mereka sudah memiliki kuasa lebih dari
sang lelaki. Tetapi apa guna kecantikan yang menawan jika akhlak rosak melebihi
kelakuan syaitan apa guna kepandaian tetapi digunakan untuk merosakkan fikiran
insan dan apa guna kuasa jika itu memberikan sengsara pada mereka.
Cintanya Rasulullah terhadap golongan
wanita. Baginda menjadi pelindung kepada golongan ini. Lihat sahaja bagaimana
beliau menyantuni isteri-isterinya dan anak perempuannya. Penuh kelembutan
penuh keikhlasan. Tutur katanya senantiasa dirindukan mereka. Langsung tiada
lafaz herdik tetapi setiap bicara yang keluar dari kalamnya penuh mendidik. Hebatnya
cinta Rasulullah kepada mereka dan kita. Wahai insan yang bernama lelaki jangan
sekali-kali kita menyakiti hati insan yang bernama wanita ini. Hati mereka
penuh kelembutan, air mata mereka yang tumpah tidakkan mampu dibayar oleh kita,
mereka insan berperasaan mereka juga yang akan menjadi ibu kepada zuriat kita
nanti. Bimbinglah mereka dengan rasa berTuhan bukan dengan kekerasan mahupun
penindasan. Mereka umpama besi yang bengkok dan mereka juga umpama kerak nasi
yang keras. Besi boleh dilenturkan dengan baik andainya dipanaskan dengan suhu
yang bersesuaian dan kerak nasi akan menjadi lembut andainya diletakkan air
menyeri tambahan.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya
kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang
rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu
akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok
selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).
Benar terdapat hadis yang menyatakan di
neraka nanti kaum wanita begitu ramai di neraka. Tapi usah kita gentar dan
takut kerana kaum wanita begitu mudah untuk
ke syurga. Hakikat di neraka kaum wanita itu ramai tetapi sudah tersurat, kaum
wanita itu begitu mudah untuk memasuki syurga. Ingatlah akan kalam Allah yang
di sampaikan melalui lidah baginda Rasulullah ini.
Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan
penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka
maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan
Muslim)
dan
Dari Abdurrahman bin Auf bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud : Jika perempuan mengerjakan solat yang lima,
berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya dan taat kepada suaminya
maka akan dikatakan kepadanya masuklah ke dalam syurga dari pintu syurga yang
mana sahaja engkau suka- Hadis Riwayat Ahmad dan Thabarani.
Saya berpesan kepada diri saya terutamanya
dan kepada pembaca semua, jangan kita keji kepada golongan wanita yang masih
belum mendapat hidayah untuk menutup aurat dengan sempurna tetapi berilah
bantuan dan doa. Bimbinglah mereka dengan penuh hemah bukan dengan kata yang
mampu membuatkan mereka menjadi lemah, lemah untuk berubah. Kita mengasak
golongan ini dengan penuh hentaman dan cacian tapi mungkin kita lupa ada di
antara sanak saudara kita juga seangkatan dengan mereka. Jadi, lebih baik kita
menegur ahli keluarga kita dahulu. Perbetulkanlah mereka dahulu untuk kita
sama-sama memasuki syurga Allah. Insya Allah. Jangan kita sibuk menegur
kesalahan orang lain tetapi kesalahan ahli keluarga kita, dibiarkan sahaja. Tega
kita untuk membiarkan mereka hanyut ke bahtera neraka? Usahlah kita bersangka
buruk kepada golongan seperti ini. Hakikat orang yang suka bersangka buruk itu
juga mempunyai hati yang buruk.
Berbalik kepada soal siapa yang kuat dan
siapa yang hebat. Jawapan saya kedua-duanya hebat baik lelaki mahupun wanita. Tapi
yang terhebat adalah makhluk yang bernama Wanita. Lelaki itu lahir dari rahim
seorang wanita. Mungkin ada yang menyatakan bahawa tanpa lelaki zuriat itu
tidakkan ada. Sebenarnya, bukan tanpa lelaki tetapi tanpa izin Allah, kita
tidakkan mampu lahir ke dunia. Lelaki tidakkan mampu menanggung keperitan
bermula dari mengandungkan seorang zuriat sehingga melahirkannya. Tempoh masa 9
bulan 10 hari bukan tempoh masa yang singkat. Hakikat, ada kaum lelaki yang
mengandung tetapi mereka tidak mampu dan tidak akan dapat melahirkan anak. Itulah
salah satu keesaan dan kehebatan Allah s.w.t. Hargailah insan yang melahirkan
kita yakni ibu yang kita cinta. Jangan berkira untuk mengucapkan terima kasih
kepada mereka. Juga bagi yang mempunyai ibu mertua atau bakal mempunyai ibu
mertua, hargailah ibu mertua kita kerana mereka telah melahirkan pasangan kita
itu.
Ku
tinggalkan tontonan ini untukmu yang bernama wanita….
Al-Imam al-Thabrani meriwayatkan bahawa
Mu’awiyah bin Abi Sufian pernah meminang Ummu al-Darda’ selepas meninggalnya
Abu al-Darda’. Lalu pinangan Mu’awiyah itu ditolak dan dijawab oleh Ummu
al-Darda’ dengan berkata: “Sesungguhnya daku pernah mendengan Abu
al-Darda’ berkata yang beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
“Mana-mana wanita yang kematian suaminya, kemudian wanita itu berkahwin dengan
suami yang lain, maka ia menjadi milik suaminya yang terakhir ketika di dunia. Maka
aku tidak akan memilih engkau untuk menggantikan tempat Abu al-Darda’.”
Lalu Mu’awiyah menjawab: “Jika demikian hendaklah kamu (wahai Ummu al-Darda’)
membanyakkan berpuasa, kerana puasa itu menghilangkan keinginan syahwat nikah.”
No comments:
Post a Comment