Kita dilahirkan dengan penuh kesempurnaan. Lahir
kita disambut dengan tangisan dan mati kita nanti juga akan di sambut dengan
tangisan. Kita lahir umpama kain yang putih dan kita mati nanti juga akan
dibaluti dengan kain yang putih. Kita lahir dari tempat yang hina. Itu bukti
kita bukan yang berkuasa dan kita bukan raja selamanya. Allah yang menjadikan
kita. Sedarkah kita akan keEsaan Allah yang senantiasa merahmati dan
membahagiakan hidup kita. Kadang kita minta hujan, Allah turunkan kemarau yang
tak berkesudahan, kadang kita minta senyuman tapi Allah hadirkan tangisan buat
kita, dan kadang kita berdoa moga diberikan rezeki yang melimpah ruah namun
Allah berikan kita kemiskinan yang tidak terluah.
Semua ini ujian dari Allah. Allah
memberikan ujian itu yang terdaya untuk hambanya menerima. Apabila berlaku
kesusahan di dalam hidup kita, adakah kita kembali kepada Allah atau terus
menyalahkan takdir? Sebagai hamba Allah itu bukan caranya. Kita ada pencipta
kita. Mengadu dan berdoa pada Allah. Analogi mudah untuk kita fikir bersama,
sekiranya kita mempunyai kereta berjenama Proton dan tiba-tiba kereta itu
mengalami kerosakan, di mana harus kita bawa? Adakah di kedai servis Honda atau
Toyota atau di bengkel kereta biasa? Sudah tentu kita akan bawa kereta kita itu
di pusat servis Proton walaupun charge yang dikenakan agak mahal. Mereka
yang membina dan mencipta kereta itu dan tahu kerosakan kereta itu. Tidak
mungkin Pusat servis Honda dapat menyelesaikannya. Begitu juga dengan kehidupan
kita. Mengadu pada Allah. Allah yang menciptakan kita, Allah tahu apa yang terbaik
buat kita dan kita sentiasa berada di dalam perancangan Allah.
Hati resah tiada apa yang boleh di ubat
melainkan mendapat ketenangan. Di mana kita mendapatkan ketenangan itu? Semuanya
berbalik kepada pencipta kita. Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan
menjadi tenang? Al-Quran diturunkan penuh mukjizat yang hebat. Bacalah..kajilah
sirahnya..hayatilah setiap apa yang diperkatakan. Semuanya datang dari Allah. Melengkapi
segala-galanya. Jangan kita hanya sekadar membaca tanpa menghayati maknanya. Rugi
dan amat rugi. Fikirkanlah sejenak, di dalam sehari kia boleh membuka akaun facebook
selama berjam-jam lamanya, kita boleh membuka akaun twitter dengan
beratus-ratus tweet di dalamnya dan kita boleh menulis apa sahaja yang
kita suka di dalam blog tanpa terkira entry yang sudah kita
cipta. Tapi di dalam sehari itu adakah kita mampu membuka akaun talian kita
dengan Allah yakni membaca Al-Quran? saya menegur diri saya terutamanya dan
kepada rakan-rakan semua. Adakah dating kita dengan Allah hanya sekadar
solat dan berdoa dan kemudian menunggu waktu solat yang seterusnya. Itu pun belum
tentu lagi kita dapat bersolat di awal waktu. Ingat! Syaitan itu kreatif
permainannya dan inovatif fikirannya untuk menyesatkan dan melalaikan kita.
Nasihat dari rakan saya katanya “Syeikh,
enta kalau tak mampu baca Al-Quran satu juzuk sehari, cukuplah dengan satu
muka. Baca dan hayati maknanya dan jangan tidak langsung menyentuhnya. Cukup hanya
sekadar semuka tetapi enta dapat mengambil pengajaran dan ibrah tentang apa
yang enta baca tue. Jangan kita berkira dengan Allah nanti Allah berkira dengan
kita. Selangkah kita datang kepada Allah seribu langkah Allah mendekat dengan
kita.” Pesanan yang cukup memberi erti buat saya dan senantiasa menjadi
motivasi tatkala diri ditimpa duka. Sentiasa berpesan pada diri, Allah sentiasa
ada dengan kita, sentiasa ada dan tidak akan sekali-kali meninggalkan kita.
Ujian itu satu kecintaan Allah pada
hambanya. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis dan mahal. Untuk mencapai
syurga, kita harus bersiap sedia dengan ujian dari NYA. Banyak persoalan
senantiasa bermain di minda kita tatkala diri diuji dan ada yang hampir
berputus asa. Buat teman di sana dengarlah jawapan dari Allah ini:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
dibiarkan saja mengatakan: Kami beriman, sedangkan mereka tidak akan diuji? Dan
sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahi orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahu orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)
Apabila kita menerima ujian yang paling
berat di dalam hidup kita, kita juga sering mengeluh dan kita bertanya pada
Allah, adakah benar Allah menyayangi kita? Jika benar mengapa Allah berikan
ujian yang tidak mampu kita tanggung ini. Ingatlah jika kita mempunyai masalah yang
besar jangan sesekali kita berkata, “Wahai Allah, aku ada masalah besar.” Tetapi
berkatalah pada masalah itu . “Wahai masalah, aku ada Allah yang maha besar dan
Allah pasti akan membantuku. Ingat ujian itu Allah bererti kita mampu untuk
menghadapinya. Hayati titipan kalam Allah ini:
“Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan
sesuai dengan kesanggupannya.”(Surah Al-Baqarah ayat 286)
Ada di antara kita yang tidak mampu menanggung
segala ujian yang menimpa. Hidup dirasakan tiada ertinya. Mati itu penamat
segala sengsara di dunia. Ujian itu satu kepahitan kerana sudah buta erti
kemanisan di dalam kehidupan. Jangan sekali-kali kita kecewa dan berputus asa. Jadikanlah
ingatan dari Allah ini sebagai penawar duka kita:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan
janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling
tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran ayat
139)
Tika
ujian itu hadir kita sangsi dan kita seakan mati, tidak tahu ke mana arah tuju
dan tempa untuk kita mengadu. Bukankah kita ada Allah yang maha mendengar dan
maha mengasihi. Cukuplah Allah sebagai penolong bagimu dan cukuplah Allah
sebagai pelindung bagimu. Hayati bicara suci kalimah Ilahi ini:
“Dan mintalah pertolongan kepada Allah
dengan jalan yang sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang
itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Surah Al-Baqarah
ayat 45)
Kita terus mengeluh tatkala apa yang kita
minta itu tidak ditunaikan. Allah gantikan yang bukan kita sukai. Ingatlah bahawa
sesuatu yang kita sukai itu akan menjadi kebencian buat kita suatu hari nanti. Berdoalah
pada Allah moga rasa itu tidak pernah berubah. Kita bertanya adakah ganjaran
buat kita sekiranya kita sabar dengan segala ujian yang menimpa ini. Jawapannya
ada. Al-Quran telah merakamkan janji Allah yang pasti ini:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari
orang-orang mukmin, diri, harta mereka dan memberikan syurga untuk mereka…”
(Surah At-Taubah ayat 111)
Moga-moga titipan kali ini ada secangkir
ingatan buat semua. Berilah peringatan kerana peringatan itu ada manfaat bagi
orang mukmin. Pesanan buat diri dan buat semua. Sebarkanlah dengan rasa ingin
berdakwah di jalan Allah. Salam Peperiksaan. Moga kita diberikan kemudahan
untuk menjawab semua soalan peperiksaan nanti. Amen.
No comments:
Post a Comment