Pages

Thursday, December 20, 2012

Jadilah Soleh, Jadilah Solehah



Setiap orang menginginkan kesempurnaan dalam hidupnya. Tidak kira dalam apa cara sekalipun semua kita inginkan sesuatu yang baik kepada kehidupan kita. Lahir kita di dunia ini sudah tercatat di luh mahfuz sana siapa jodoh kita, tarikh mati kita dan rezeki hidup kita. Semuanya telah ada di dalam catitan Allah. Sebagai hamba yang mencari erti hidup kita dibiarkan berkelana di dunia fana ini. Mengembara dan terus mengembara. Bermula dengan badan kita yang tidak punya daya, yang mampu tersenyum dan menangis kemudian kita merangkak dan mula berdiri. Indahnya zaman itu kerana kita masih tidak punya dosa. Buat ibu dan bapa yang kematian anaknya ketika kecil jangan gusar jangan bersedih kerana mereka telah menunggu anda di pintu syurga. Allahu Akbar. Dan buat ibu bapa yang mematikan mereka ketika masih kecil juga jangan gusar kerana Allah tahu segala hukuman yang akan diberikan kepada anda. Janji Allah itu pasti.

Firman Allah dalam surah Al-Insan Ayat 2 yang bermaksud: “SesungguhNYA Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”

            Alam bayi kita tempuh dengan jayanya, kita menjadi seorang kanak-kanak kecil yang suka merengek minta itu dan ini dan senantiasa ingin dimanjakan. Alam kanak-kanak kita inilah ibu bapa mula memainkan peranannya secara total. Di sini kita diajar tentang tahu apa itu Tuhan dan bagaimana kita hendak mencintai Tuhan. sedikit adab diterapkan dalam hidup kita. Soal adab ketika makan, adab bergaul dengan orang dewasa, adab sebagai seorang anak telah diajarkan kepada kita. Kita mula mengenal Alif ba ta dan kita mula bertatih untuk membaca ayat-ayat suci Allah. Panjang kehidupan di alam ni. Walau tidak seindah zaman bayi kita tapi di sinilah bermulanya kita belajar sesuatu. Kerana lumrah sifat seorang kanak-kanak itu sentiasa ingin tahu dan mudah untuk mempelajari sesuatu. Pada ibu bapa di luar sana, gunakanlah zaman ini untuk mendidik anak-anak anda tentang ilmu yang berguna.

Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya; dan membaca al-Quran kerana orang-orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta para nabi-Nya dan orang-orang suci.  - HR ath-Thabrani

            Syukur saya yang terhingga kerana dikurniakan keluarga yang punya didikan agama yang baik, Alhamdulillah saya terkesan dan dengan izin Allah saya dapat meraih apa yang ingin mereka hajatkan. Moga keluarga kami terselamat dari azab api neraka dan fitnah Dajjal. Zaman-zaman kanak-kanak kita tinggalkan. Alam remaja kita mulakan. Di sinilah titik cabaran dan dugaan yang kita rasakan. Satu kesakitan, satu kepahitan, kemanisan, kebahagian kita cari dan kita hadapi pada zaman ini. Jadilah soleh dan jadilah solehah. Ketahuilah, untuk apa kita hidup di bumi Allah ini. Jangan kita sangka umur kita masih muda, kita akan ada untuk hari tua dan jangan kita sangka bila usia menginjak hari tua kita tidak akan pergi selama-lamanya. Kita sering risau tentang harta dan kejayaan yang tak pernah cukup kepada kita tapi adakah kita pernah berfikir atau terfikir tentang buih-buih dosa yang telah kita lakukan atau tanpa sedar kita lakukan dan juga adakah taubat kita itu sudah diterima oleh Allah?

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.  Surah al-Ankabut ayat: 2-3

Hidup ini terlalu singkat untuk kita mencari kebahagiaan dunia, gapailah redha Allah dan setialah pada janji Allah itu. Kita sangka kita calon Ahli syurga tapi bagaimana pula dengan ahli keluarga kita? Kita menegur orang-orang yang ada di sekeliling kita dan bahagia apabila mereka berubah tapi adakah kita juga mampu menegur ahli keluarga kita? Sanggupkah kita juga membiarkan mereka terus hanyut dengan kenikmatan dunia. Bawalah bersama, bimbinglah mereka dengan apa yang kita daya. Kita juga bukan manusia sempurna tetapi kita punya rasa untuk berada di sebuah perhentian yang paling indah dan yang paling bahagia itulah dia Syurga Firdausi. Jangan sesekali kita berputus asa dalam mencari keredaan Allah ini.

“..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir” –Surah Yusuf ayat 12

Jika dahulu diri kita penuh maksiat tapi kini kita ubat dengan taubat, jika dahulu kita sering melakukan dosa tapi kini kita sembuhkan dengan doa, jika dahulu diri kita sering terjerumus dengan lembah zina tapi kini kita bentuk dengan iman dan taqwa. Kukuhkan hati kita pada DIA yang mencipta. Marilah sama-sama kita menuju perubahan. Mungkin esok masih ada dan mungkin juga esok sudahkan tiada. Selagi waktu masih berdetik selagi malam masih diganti siang teruskanlah tekad dan berusahalah untuk ke arah yang lebih baik. Moga kita menjadi calon-calon syurga. Ameen.

“Maka hendaklah manusia memerhatikan dari apakah dia diciptakan? Dia diciptakan dari air yang terpancar. Yang keluar dari antara tulang sulbi dan tulang dada. Sesungguhnya Allah benar-benar kuasa untuk mengembalikannya (hidup sesudah mati)”- Ath –Thaariq ayat 5-8
dan

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).  Surah Al-Baqarah ayat: 214


1 comment: