Labels

Pages

Followers

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Wednesday, November 26, 2014

Seorang Tua Yang "Awesome"!



Alhamdulillah semalam saya menyambut hari kebebasan setelah sekian lama berjuang dalam medan ilmu. Selesai untuk semester ini. Masih berbaki 2 semester lagi untuk beralih ke bidang kerjaya. Di harap para pembaca dapat mendoakan kejayaan saya di dunia dan akhirat. Ameen. Semalam juga mencoret satu cerita indah buat diri saya yang penuh dosa ini.

Allah mentakdirkan saya untuk menghadiri satu majlis ilmu yang di sampaikan oleh Syeikh Nuruddin Al-Banjari. Pertemuan buat kesekian kalinya. Syukur ya Allah di atas pengisian ini dan aku yang Dikau pilih untuk ke  taman syurga. Banyak mesej yang di sampaikan oleh Syeikh,  santai dan penuh bermakna buat diri yang masih dan selalu melakukan dosa. Astaghfirullah. Layakkah kita bergelar hamba kepada Allah sekiranya kita senantiasa mendustai segala arahan dan suruhan Tuan kita yakni Allah. Hamba itu taat sifatnya. Tapi taatkah kita kepada Allah? Hamba itu patuh sifatnya tetapi patuhkah kita dengan arahan dan larangan dari Allah? Astagfirullah.

Antara yang menarik perhatian saya pada isi penyampaian beliau adalah berkenaan dengan kuasa sebuah zikir yakni Istighfar. Allahu Akbar, begitu cetek ilmu kita kerana zikir yang selalu kita amalkan itu bukan sahaja untuk mendapat keampunan dari Allah tetapi juga turut menjadi pembuka rezeki kepada kita dan penawar apabila kita berada dalam duka. Istighfar itu membawa maksud “Aku bermohon ampunan kepada Allah yang Maha Agung”. Perbanyakkanlah Istighfar di dalam hidup kita. Bukan hanya sekali sehari tetapi berkali-kali. Kisah pengajaran terlalu banyak tentang orang yang mengamalkan zikir ini. Mari kita ambil ibrah di atas segala kurniaan nikmat yang diberikan Tuhan. Rezeki itu datang dengan hati yang suci, bagaimana mendapatkan hati yang suci? Kembalilah meminta keampunan dari Ilahi.

“Barang siapa memperbanyak Istighfar, maka akan diberi kelapangan dalam setiap kesusahan dan jalan keluar dari kesempitan. Dan dianugerahi rezeki dari jalan yang tiada disangka-sangka. (HR Abu Dawud dan Nasa’i)

Mari sama-sama kita perbanyakan zikir pada Ilahi untuk menghilangkan segala daki yang ada di dalam hati yang hampir mati. Saya tinggalkan anda dengan kuasa Istighfar yang harus kita ambil pengajaran buat kenikmatan dalam hidup kita. Kemudian, syeikh juga turut memberi peringatan tentang bahagianya kita apabila berada di rumah Allah yakni masjid dan surau. Kita boleh berjemaah dengan sahabat handai di tempat makan dan sebagainya tetapi kita susah untuk berjemaah di masjid bahkan ‘liat’ untuk menggerakkan kaki ke masjid. Mujurlah ada solat Jumaat jika tidak mungkin sukar dan payah untuk melangkahkan kaki kita ke Rumah Allah. Lucu apabila Syeikh secara sinis menyatakan bahawa ada beberapa jenis golongan yang akrab dengan masjid ini. Golongan pertama yang sentiasa ada di masjid setiap kali solat lima waktu. Golongan kedua adalah yang hanya mampu ke masjid sekali sahaja dalam seminggu yakni ketika Solat Jumaat. Golongan ketiga pula adalah golongan yang mampu ke masjid sekali sahaja dalam setahun yakni ketika Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri atau ketika Solat Sunat Hari Raya Aidiladha. Golongan yang terakhir pula ialah golongan yang sekali sahaja dalam seumur hidupnya ke masjid yakni ketika dia disembahyangkan (menjadi jenazah).

Pengajarannya. Jadikanlah diri kita mencintai masjid sebelum masjid menjadi tempat untuk kita disembahyangkan. Mungkin pembaca masih tertanya-tanya apa kaitannya dengan tajuk cerita saya. Sabar dahulu. Akan saya terangkan di sini. Usai mendengar ceramah dari Syeikh, saya bergegas ke hadapan saf imam untuk mengambil peluang untuk bersalam. Ramai jemaah yang ingin mengambil peluang untuk bersalam dengan beliau termasuklah saya. Alhamdulillah, Allah memberi peluang itu. Kemudian para jemaah meneruskan sola Isyak. Saf sudah dirapatkan. Saya mengundur ke saf yang pertama malangnya, sudah penuh dan tiada ruang. Teringat pada zaman Rasulullah, para sahabat berebut-rebut untuk berada di dalam saf yang pertama kerana ingin mendapatkan pahala. Tetapi pada zaman kita saf yang paling belakang itu adalah saf yang lebih ‘afdal’ dan ‘awesome’.

                Saya mengundur lagi ke saf ye kedua masih penuh, ketiga sama sahaja dan keempat tiada juga ruang dan kelima…mata saya terpandang pada hujung penjuru di bahagian tepi bersebelahan dengan seorang tua yang awesome itu. Alhamdulillah, ada juga ruang. Saya mengizin lalu di hadapannya kemudian saya berada di sebelah kiri di bahagian paling tepi dan agak sempit. Belum sempat saya mengangkat takbir orang tua yang mulia itu memegang bahu saya dan dia menarik saya ke sisi kanan beliau. Dia mengambil tempat saya di sisi kiri dan saya cuba menghalang kemudian dia berkeras dengan senyuman. Biar sempit asalkan orang tua itu dapat solat selesa. Tetapi keselesaan itu dia memberikannya kepada saya. Subhanallah. Hendak sahaja memeluk beliau seeratnya persis datuk saya di kampung. Rakaat pertama usai dilakukan, Orang tua itu seakan dalam kepayahan untuk bangun melakukan rukuk, sujud dan iktidal namun dia gagahkan kerana dia yakin Allah melihat. Bayangkan, dia terpaksa menggunakan bantuan tangannya untuk menguatkan tenaganya untuk berdiri.

Rasa kasihan menyelubungi hati saya. Usai solat, sempat saya membalas senyuman dengannya dan bersalam. Saya mendoakan beliau panjang umur dan sihat tubuh badan. Ameen. Ketika melangkah keluar di pintu masjid fikiran saya melayang monolog hadir dalam tenang…

“Aku yang masih muda ini pun kadang-kadang susah untuk berjemaah di masjid..”
“Aku masih diberi kekuatan tenaga untuk bersolat, tetapi pak cik itu walau ditarik sedikit kenikmatan sihat beliau tetap terus melakukan solat berjemaah. Bagaimana pula dengan aku yang masih sihat?”
“Apabila aku sudah tua nanti, adakah aku akan sentiasa mendekat dengan masjid atau semakin menjauh? Ya Allah lindungilah aku dari sifat yang keji.”
Saya tinggalkan sebuah hadis buat renungan para pembaca….moga penulisan kali ini mendapat manfaat buat semua.

Rasulullah S.A.W bersabda : ”Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad]


Wednesday, May 14, 2014

7 Hari Mencintaiku (Aku dan Seorang Gadis Part 1)


Aku cuba dail no yang tertera…lama juga aku menunggunya..tapi macam tiada jawapan. Aku belek telefon bimbit kecilku ini. Okay sebelum tu terima kasih buat Kerajaan Malaysia yang sudi memberikan aku rebat untuk membeli telefon bimbit ini. Salute! Percayalah wahai kerajaan, setiap pemberianmu tidak aku salah gunakan. Kau berikan aku rebat untuk membeli telefon bimbit aku gunakannya untuk membeli telefon bimbit dan tidak sesekali menyerahkannya kepada sesiapa. Percayalah lagi wahai kerajaan kau berikan aku baucer buku untuk kali ketiga semuanya aku gunakan untuk membeli buku. Aku tidak sesekali menukarkannya dengan wang ringgit atau membeli selain daripada buku seperti spender ataupun baju kerana aku khuatir takut tiada keberkatan. Mungkin orang lain tak nampak tapi Tuhan kita sentiasa melihat dan malaikat pula sentiasa mencatat.

Lagi satu kerajaan kau berikan kad diskaun satu Malaysia, aku juga gunakannya untuk mendapatkan diskaun di kfc Cuma aku pun sudah lupa di mana aku letakkannya. HA HA HA. Lagi satu kerajaan alangkah indahnya jika kau berikan rebat hantaran buat pasangan pengantin yang baru hendak melangsungkan perkahwinan. Mungkin di kedai 1 Malaysia pasangan pengantin mendapat potongan harga yang paling maksimum  untuk berbelanja dan sesiapa yang menggunakan barangan di kedai 1 Malaysia untuk membuat hantaran akan diberikan ganjaran atau apa-apa sahaja yang kau suka. Aku sekadar memberi cadangan. HEEE

Berbalik dari ceritaku yang awal tadi. Kali ini aku mendail sekali lagi no telefon kawan aku..lama juga aku menunggu tetapi senyap juga. Line yang sibuk barangkali. Aku cuba lagi dan…terdengar suara wanita. Aku lebih menjadi hairan. Bukankah sahabatku ini seorang yang tampan dan bertubuh sasa dan bersuara garau kenapa pula dia sengaja bertukar suara???

Begini merdunya suara yang keluar itu dan telah meruntum hatiku “maaf anda sudah kehabisan kredit!”

Alahai, kecewanya aku saat genting sebeginilah aku mengalami ketirisan kredit. Aku bingkas mencapai kunci kuda hitamku. Aku keluar dari pintu kamar berkain pelikat jenama Gajah Terbang eh silap gajah duduk. Hembusan angin mula membaluti tubuhku saat aku berganjak ke luar. Alamak! Aku hanya berkain pelikat dan tidak berbaju. “Takkan nak beli topup dalam keadaan separuh bogel ni. Nanti apa pulak orang kata. Aku bukan Aeron Aziz ataupun Nasir Bilal Khan yang bertubuh sasa. Aku hanya seorang lelaki yang memerlukan belaian seorang isteri sahaja (eh apa ni)” Bisik hatiku..

Aku kembali ke kamar. Baju The Bos Gaurus yang dibeli secara online ku sarungkan di tubuhku. Aku dan kuda hitam memecut laju.
Di sebuah kedai runcit

“Kak topup celcom ada?”
“Ada. Nak berapa ringgit?”
“Erm..RM 5 ada?”
“Ada” Jawab wanita itu selamba dan sedikit senyuman sinis.

Wahai akak, jangan fikir aku kedekut atau sebaliknya. Aku tidak memerlukan topup sampai berpuluh ringgit kerana aku bukan ada awek. Nak bergayut ataupun nak bercanda-canda di talian tak bernyawa itu. Aku sudah tidak perlukannya lagi. Nilai kredit itu cukup untuk aku berurusan dengan keluarga, kawan-kawan dan bisnes. Itu sahaja. Cukup ke? Mungkin ada yang bertanya. Alhamdulillah setakat ini cukup. Duit topup yang berlebihan mungkin akan aku gunakan untuk belanja kawen ku nanti.(Aku sekadar membuat persiapan, aku pun tidak tahu siapa jodoh aku. Sila jangan salah faham!)

***
Kenapa dalam blog SB ni banyak sangat cerita tentang kawen dan cinta ye? Mungkin ada lagi yang bertanya. Blog SB ni budget je..buat cerita syok sendiri!!!

Ini jawapan aku : aku menulis sekadar pengamalan dan penelitian dalam hidup aku. Aku menulis sekadar untuk berkongsi ilmu. Abaikan penulisan yang mengarut dan sebagainya. Aku akui kekhilafan diriku sendiri. Blog aku bukan blog jiwang! Aku menulis untuk pencen aku di kubur nanti. Maaf jika ada yang terasa dengan tulisan aku. Aku sekadar ingin menjentik rasa dan minda anda semua. Aku ikhlas, bukan harap pujian apatah lagi follower yang ramai. JANGAN risau, aku hanya seorang penulis jalanan yang tiada langsung penerbitan apatah lagi mempunyai pembaca setia. Cuma aku bersyukur kerana ada insan-insan yang ‘terbuka’ hatinya untuk membaca blog SB ini. Terima kasih dan aku izinkan korang sampaikan ilmu di sini. (Itu pun jika korang rasa ada ilmu. Jika tiada. Let it go bak kata lagu dalam cerita Frozen.)

Jangan risau kawan, aku tak langsung berkecil hati jika kau katakan blog aku ini blog yang nonsense. Allah kurniakan aku sedikit ilmu penulisan dan akan aku gunakan untuk saham aku di sana nanti.
(Kenapa lari terus dari cerita ni??? Ok aku sambung balik)

***
Seusai membayar duit topup aku berpaling dan mataku tepat terpandang ke arah seorang gadis.

“Eh, kenapa dia bawa bata yang berat ni dekat kaunter?” Aku bicara dalam hati

Gadis itu membuat bayaran dan terus berlalu pergi. Rupanya itu bukan bata (sejenis kelengkapan untuk membuat binaan seperti rumah) tetapi sebuah buku novel!

“Tebal betul! Berapa tahun baru nak habis baca nie?”

Novel itu bertajuk 7 HARI MENCINTAIKU. Aku tidak ingat siapa penulisya. Maaf dan sila jangan salah faham. Aku bukan ingin memperkecilkan novel itu apatah lagi penulisnya tapi aku sekadar memberi contoh. Jika aku salah aku minta maaf.

Seram apabila melihat ketebalan novel tu. Aku cuba koreksi diri. Berapa banyak masa yang akan aku luangkan untuk menghabiskan bacaan novel itu. Jika novel yang tebal seperti itu aku boleh habiskan dan disertakan dengan linangan air kenapa aku tidak boleh menghabiskan novel hakikat cinta dari Tuhan (AL-QURAN) yang lebih nipis dan lebih mengugah jiwa tatkala membacanya. Jika aku baca pun, hanya sehelai dua sahaja.

Ada juga yang sudah berkali-kali khatam novel yang di baca. Tapi Al-Quran?? Tanyalah hati anda sendiri…

Aku banyak menghabiskan novel-novel cinta tetapi sampai  ke hari ini aku belum mampu menjiwai novel hakikat cinta dari Tuhan. Nashkahnya hanya satu tiada dua tiada tiga. Tapi aku sombong. Novel aku jadikan guru bukan Al-Quran!

Hatiku berbisik lagi. Kenapa aku lebih suka membaca gosip-gosip di facebook yang panjang berjela tetapi ayat Al-Quran yang hanya sepotong dua pun aku sudah letih untuk mengamalkannya! Aku sombong!!

Buat semua yang istiqamah teruskanlah membaca Al-Quran. Jiwa kita akan sentiasa hidup! Tidak salah membaca novel setebal mana pun bahkan jika ada novel yang tebal seperti saiz bangunan pun tidak mengapa tapi yang penting jangan kita lupa dengan bacaan yang sentiasa ada pahala jika kita membacanya yakni AL-QURAN!

Buat gadis itu, aku minta maaf aku tidak sekali-kali menyalahkan kamu kerana bacaan yang popular di Malaysia ini adalah bacaan berbentuk fantasi cinta yang indah-indah sahaja! Aku tidak mahu kamu jadi begitu. Jika kamu sudi, silalah menziarahi blog aku. HA HA HA.

“Buku yang kita baca pada hari ini akan memcorakkan siapa kita yang akan datang” benar ungkapan ini. Jika kita membaca buku yang penuh khayalan dan indah-indah belaka maka hidup kita sentiasa sahaja penuh angan-angan dan mimpi-mimpi yang indah. Aku nak jadi seperti watak dalam novel itu!”. Jadilah diri sendiri. Ingatlah hidup ini tidak sentiasa indah. Ujian itu mendidik kita sabar!


p/s : Cerita ini ada sambungannya. Jika ada permintaan. Insya Allah ada sambungannya. Jika tiada aku matikan cerita ini di sini. Moga ada ilmu buat pembaca yang dicintai sekalian.

Thursday, April 24, 2014

Ikhlas dari lubuk hati...


Bismilillah, Dengan Nama Allah yang Maha pengasih Maha Penyayang. Puji dan syukur buat Allah yang senantiasa memberi ruang dan peluang untuk kita berada di alam NYA. Selawat dan salam buat junjungan besar Baginda Rasulullah S.A.W di atas pengorbanan baginda melebarkan agama Allah ini.

Insya Allah di kesempatan ini saya ingin berkongsi sedikit berkaitan erti sebuah ikhlas. Benar, ikhlas itu perasaan. Satu perasaan yang maha dalam. Kata orang ikhlas ini ibarat semut hitam yang berada di atas batu yang berwarna hitam di dalam kepekatan malam yang hitam. Tidak nampak! Keikhlasan itu lahir dari sebuah hati yang dipinjam oleh Allah. Kita hanyalah pinjaman di dunia ini. Tiada apa sebenarnya yang menjadi kepunyaan hakiki dan mutlak kita hatta orang yang paling kita cinta yakni keluarga kita sekalipun merupakan pinjaman dari Allah. Allah layak mengambil kembali mereka pada bila-bila masa yang Dia pinta. Itu hak Allah dan hak kita menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Kehidupan yang serba canggih dan moden ini kita disogokkan dengan pinjaman. Semuanya berkaitan pinjaman yang menjurus kepada kewangan. Usai alam persekolahan kita juga dihadiahkan dengan perniagaan lembut dari pihak kerajaan atas nama ‘pinjaman’ bagi meneruskan kelangsungan hidup kita di alam universiti. Membayar melebihi apa yang di pinjam. Maka di situ juga turuji keikhlasan kita.

Ikhlas itu hanya Allah yang mengetahui kerana hati itu kepunyaan Allah yang Abadi. Bibir kata kita beri tapi hati kita mungkin berbicara sebaliknya. Senyuman bukan menggambarkan apa yang tersirat di dalam hati, kadang sekadar untuk mengambil hati. Sinis dan pedas. Kita mungkin rasa terkilan jika pertolongan yang kita berikan itu tidak di balas dengan penghargaan sekurang-kurangnya ucapan terima kasih. Kita mungkin berkecil hati jika sahabat yang kita pernah bantu ketika dia susah kini menghilang apabila kita pula yang ditimpa musibah. Itulah lumrah dan fitrah. Sahabat ketika senang mudah untuk dicari dan sahabat ketika susah sukar barangkali untuk sentiasa di sisi.

Oleh itu, letakkanlah Allah di hati. Niatkan segala apa yang kita lakukan hanya untuk Allah. Apabila kita letakkan pergantungan dan harapan kita pada pencipta yang menciptakan kita pasti sesekali tidak mengecewakannya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Analogi yang mudah, hanya pembuat kereta sahaja yang tahu mengendalikan dan menyelenggara sesebuah kereta mana mungkin pembuat roti atau mentega yang boleh mengatasinya. Kemahiran berlainan, seni dan pendekatan juga berbeza.

Hanya pada Allah kita bergantung harap apabila kita memberikan sumbangan dan penghargaan. Apabila kita memberi bantuan di jalan Allah balasannya adalah syurga nan indah. Subhanallah. Maha suci Allah. Jika apa yang kita berikan itu tidak mendapat balasan, kita perlu redha! Doa itu kuasa penghubung. Berdoalah dan pintalah pada Allah, biarlah kita biasa di pandangan manusia tetapi luar biasa pada pandangan Allah.

Setiap dari kita mempunyai sahabat. Ada yang punya bermacam-macam-macam ragam, ada yang pemurah ada yang berkira-berkira, ada yang suka menjadikan harta kita seperti hartanya dan bermacam-macam lagi tetapi, apa yang perlu kita faham dan khadam ialah menjaga hubungan kita dengan mereka. Ketahuilah rakan-rakan yang sebegini Allah datangkan kepada kita untuk menguji sifat sabar dan ikhlas. Indahnya dalam berukhwah. Maha Suci Allah.


Ikhlas itu ada di dalam hati, satu karunia dari ilahi yang maha suci, ikhlas itu cerminan akhlak nabi yang terpuji di dalamnya tersimpan rahsia yang tersembunyi bahkan akan tersingkap pada hati yang mencintai dan menghargainya. Ikhlas itu ada pada diri, jarang sekali-kali ia pinta untuk dipuji apatah lagi diharap sanjungan yang tinggi. Ikhlas itu hanya mampu ada pada diri insan yang sentiasa ada rasa taqwa kepada Allah. Saat kita diuji, bersyukur! Tika kita dikeji, tabah! Yakin bahawa semua itu datang dari Allah dan kembalikanlah ia kepada Allah.=)

Friday, March 28, 2014

Jodohkah Namanya?


بسم الله الرحمن الرحیم

Puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi di atas limpahan rahmatnya yang Maha Luas, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Kita masih lagi diberikan rahmat dan kesempatan bahkan sebuah pengharapan untuk meneruskan kehidupan. Selawat dan salam untuk junjungan mulia baginda Rasulullah S.A.W. Mudah-mudahan dengan mengingati Allah dan rasulNYA hati kita menjadi aman dan tenang

Insya Allah, saya sedikit berkesempatan untuk sama-sama berkongsi cebisan ilmu yang maha sempit ini. Insya Allah mudah-mudahan ilmu yang sempit ini jika diniatkan kerana Allah pasti sampai dan terkesan. Ilmu yang datang dari hati pasti akan mengisi hati-hati yang menjiwainya. Fitrah dalam kehidupan adanya sebuah pasangan. Itulah lumrah itulah anugerah dari Allah. Lelaki pasangannya wanita. Adam pasangannya Hawa. Mereka terpisah di syurga tapi dipertemukan kembali ke syurga. Masya-Allah hebatnya Allah.

Jodoh itu rahsia Ilahi, tapi percayalah jodoh yang baik perlu di cari bahkan perlu disertakan doa, restu dan tawakal kepada Allah. Saya terdiam tatkala seorang sahabat mengeluh tentang urusan jodohnya. Kata beliau, sudah tiba masanya untuk beliau mencari pasangan hidup di penghujung semester ini. Mungkin agak terlalu awal tapi masih belum terlewat bisiknya. Keluhan dari seorang sahabat yang membawa berjuta makna kepada saya. Bahkan timbul kerisauan bagaimana pula jodoh saya nanti.

Pintasan hati itu lantas saya segerakan dengan sebuah kalimah “hendakkan solehah aku perlu jadi soleh” dan “inginkan jodoh yang baik aku perlu jadi yang terbaik.” Allah maha tahu segala perancangan yang ada untuk kita. Semuanya telah ditetapkan. Terkadang kita lebih merisaukan soal jodoh dari persoalan tentang bagaimana kita bertemu ajal nanti. Antara bertemu jodoh dan bertemu ajal sudah tentu jodoh berita yang akan menggembirakan kita. Itu hakikat! Tapi tidak bagi orang yang beriman kerana mereka percaya mati itu ‘syarat’ untuk bertemu cinta Allah!

Ada kala pasangan yang kita cari itu mungkin menjadi jodoh kita tapi mungkin juga tidak. Fikirlah sedalam-dalamnya bukan sahaja pasangan tapi pasangan untuk kehidupan kita tapi pasangan untuk kita hidup! Dia yang akan menjadi isteri bahkan ibu kepada anak kita nanti. Insya Allah jika Allah izinkannya. Apa yang menjadi milik kita belum tentu menjadi rezeki kita kerana jodoh itu adalah sebuah rezeki Allah yang tidak terkira nikmatnya.

“Kehidupan kamu bermula selepas perkahwinan!” Kata seorang guru kepada saya. Benarlah kehidupan kita yang sebenar adalah selepas melangkaui alam bujang. Di situ kita diuji dengan tanggungjawab, amanah dan juga hikmah. Apa yang terselindung kini sudah tidak ditutup lagi. Apa yang dilakonkan kini tidak lagi diteruskan. Watak sebenar diri kita akan terserlah. Ketika itu, kita sedar siapa sebenarnya pasangan kita. Jika baik Alhamdulillah, jika tidak Alhamdulillah. Ia ujian dari Allah!

Apabila kita memilih pasangan hidup, kita selalu memikirkan bahawa adakah kita dan dia mempunyai persefahaman dengan dia dan adakah kita benar-benar sesuai dengan dia. Hakikatnya, dia bukan sahaja untuk kita tetapi dia juga untuk ahli keluarga kita. Dia juga akan menjadi kepunyaan ibu dan bapa kandung kita! Benar. Bahkan dia juga akan ‘berkahwin’ dengan kedua orang tua kita. Inilah persoalan yang utama. Bolehkah dia menjaga kedua-dua ibu bapa kita seperti kita menjaga mereka dan bolehkah dia menyayangi kedua-dua ibu bapa kita seperti kita menyanyangi mereka. Allahu Akbar.

Persoalan jodoh ini bukan main-main. Janji yang diucap semasa alam percintaan bukan gelanggang permainan. Ia sebuah perjanjian yang memerlukan pelaksanaan. Bukan kosong penuh bermadah! Alam bercinta kita seolah jutawan, apa saja yang dipinta kita berikan kepadanya tapi apabila sudah melangkah ke alam pernikahan kita menjadi papa bukan ayah tapi papa kedana. Saat itu sang isteri meminta untuk membeli barang dapur pun disuruh menggunakan duit sendiri.

Hanya orang yang pernah bercinta sahaja tahu penangannya. Pengalaman itu pengajaran buat kita untuk sama-sama kita ambil pelajaran. Bahaya dan amat bahaya! Alam percintaan penuh godaan dan ujian. Bukan salah syaitan bukan salah nafsu tapi salah badan yang tersasar dalam mentadbir cinta. Maka nafsu dijadikan raja, syaitan pula dijadikan penasihat. Sering saya titipkan persoalan pada tulisan saya sebelum ini, sepanjang percintaan kita dengan pasangan kita ‘sudah berapa banyak kita melakukan dosa dengannya?” Bukankah kita berjanji untuk membawanya hingga ke syurga? Tapi bagaimana caranya jika pada permulaan hubungan kita, kita sudah letakkannya ke lembah neraka? Nauzubillah. Moga Allah menjaga kita dan menjauhkan kita dari perkara mungkar dan maksiat. Astagfirullah.

Timbul kerisauan di dalam hati dan sanubari ini apabila terkenangkan adik-adik yang sudah membesar. Mereka juga sudah punya hati dan perasaan untuk dicintai dan di sayangi. Ya Allah, jadikanlah saya seorang abang yang tahu akan tanggungjawab. Mudah-mudahan mereka terselamat dari zina dan perkara maksiat. Insya Allah.

Siapa jodoh kita?Allah sahaja yang maha mengetahuinya…Kita hanya sekadar hamba perlu berdoa dan berusaha untuk menjadi hambanya yang baik dan soleh atau solehah. Jodoh itu pasti datang tepat saat dan waktunya andai kita sudah bersedia. Allahu Akbar Allah maha besar bersabarlah tentang urusan Allah ini. Jangan sekali-kali pertikaikan kepada diri kita..”mengapa aku tidak punya kekasih hati?Buruk sangatkah diriku ini?”

Tapi bisiklah pada diri..

Syukur, Alhamdulillah, Allah senantiasa menjagaku dari dosa dan zina hati. Itu hanyalah sekadar kehendakku bukan keperluanku lagi. Biarlah Allah tangguhkannya buat sementara. Aku redha,=)”

#bersambung

p/s: Insya Allah jika ada sahabat yang inginkan sambungannya akan saya ceritakan pada titipan akan datang. Jika tidak cukuplah sekadar ini sahaja dari saya yang penuh dosa ini. Mohon doa dari semua moga Allah memberikan saya kesihatan yang baik untuk terus berdakwah dalam medium ini. Saya bukan penulis buku tapi saya hanya sekadar insan yang hendak berkongsi ilmu! Saya bukan ustaz tapi saya juga sekadar hamba Allah yang ingin menyampaikan sedikit nasihat! Syukran


Saya titipkan pesanan ini buat sahabat :



Tuesday, December 3, 2013

Tanyalah pada dirimu...



Tanyalah pada dirimu…

Jika Allah kita pinggirkan siapa lagi yang akan memberikan harapan dan kesempatan?

Allah sahaja tempat kita bergantung harapan. Jangan putus harapan teruskan walau kita berada dalam kesusahan kerana kita ada Allah yang senantiasa memberi harapan

Jika kita semakin jauh dengan Allah siapa lagi yang akan kita cari sebagai teman?

Allah tidak pernah jauh dengan kita. Allah sentiasa ada dengan kita. Allah senantiasa memerhati hambanya walau tidak kita pinta tetapi DIA  sentiasa Allah

Jika solat kita sudah tinggalkan bermakna kita semakin jauh dari Tuhan
Bagaimana kita hendak minta belas dan kasihan andainya kita menjauh dari rahmat Tuhan

Jika hati kita sudah mati dari mengingati mati bagaimana kita hendak melakukan persiapan selepas kematian?

Mati itu syarat bertemu Tuhan. Persiapan semasa hidup perlu berakhir dengan kebahagiaan di syurga. Dunia itu tempat kita berpenat dan akhirat itu tempat kita berehat

Jika sudah melakukan kebaikan tinggalkanlah daripada melakukan keburukan
Hidup ini memerlukan orang yang baik dan sentiasa memberi kebaikan kepada orang lain.

Jika  sukar memberi jangan selalu meminta pada orang lain

Pintalah pada Allah dengan banyak memberi. Sesungguhnnya Allah itu maha pengasih dan penyayang.

Friday, October 25, 2013

Terdesak Sangat ke Nak Kawen???


“Bila kau nak kawen? Muka macam dah tak sabar je nak kawen? Kawan seumur kau tu dah ada anak dah, kau bile? Kau dah berpunya ke belum? Buat rumah baru ni nak sambut menantu ke? Dah ‘ada’ ke?  Orang mana? Siapa nama dia? Kerja ape? Tak nak bagitahu dekat kitaorang ke?”

Begitulah sepintas soalan yang selalu diasak kepada kita terutamanya kepada golongan yang masih belum mampu untuk menyempurnakan sebahagian daripada agama ini termasuklah saya. Agaknya sudah berapa kali ya kita diasak dengan soalan itu. Jika kawen itu semudah menaikkan harga minyak atau membuat budget 2014 sudah pasti saya akan berkahwin bukan nanti tapi sekarang. Perkahwinan atau pernikahan bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Pernikahan memerlukan ilmu dan pengetahuan.

Tahniah saya ucapkan kepada senior-senior saya dan kawan-kawan saya yang sudah melalui fasa perkahwinan. Tahniah anda semua sudah menunaikan sunah nabi dan peringatan saya bawalah bersama pasangan anda itu ke syurga. Cinta yang dasarnya syurga pasti akan kembali ke syurga! Tapi bagaimana kita? Ya, kita yang masih belum ketemu jodohnya. Jawapannya bersabarlah. Sabarlah dalam bersabar. Jangan sesekali kita rosakkan segala perancangan Allah. Kita sememangnya merancang tapi ingatlah perancangan Allah itu lebih tepat dan benar.

Benarkah apabila kita menyulam cinta sekarang akan pasti berkekalan hingga ke jinjang perkahwinan? Mari kita lihat kajian yang dilakukan di Amerika syarikat berapa ramai orang yang bercinta dan akhirnya mereka bertemu jodoh dengan bukan dari pasangan mereka ketika bercinta. Namun ada juga yang menjadi pasangan tetapi akhirnya berpisah kerana sudah tidak ada lagi perasaan ‘cinta’.  Kadang-kadang kita bercinta dengan orang lain bertunang pula dengan orang lain dan berkahwin pula dengan orang lain. Nah, itulah sebenarnya rahsia yang disimpan Allah untuk kita. Jika kita semai hubungan kita dengan perkara yang kotor maka dapatlah hasil yang kotor. Anda jangan samakan analogi seperti menggunakan baja tahi ayam untuk kesuburan tanaman. Itu tanaman, tetapi kita sebagai manusia haruslah diisi dengan ilmu keagamaan.

Saya ambil anologi membina rumah. Pasangan yang sudah berkahwin mesti mengimpikan rumah yang cantik, selesa dan indah. Bagaimana hendak mencantikkan rumah itu? Perlu ada penjagaan, cat, perabot, hiasan, kekemasan dan sebagainya untuk diduduki. Suasana rumah yang aman pasti akan mendatangkan ketenangan. Bagi suami pula, cuba anda sepahkan barang yang ada di rumah sudah tentu anda akan diberi ceramah percuma dari isteri kesayangan anda. Oleh itu hendakkan rumah yang cantik perlu kemas dan bersih. Begitu juga dengan kita jika hendakkan isteri yang baik dan solehah kita perlu ada persiapan diri yang baik yakni menjadi soleh! Persiapan!

Nasihat saya buat pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, tunjukkanlah kebahagiaan dalam rumah tangga bukan menunjuk-nunjuk! Biasanya di awal perkahwinan memang hubungan itu akrab dan erat mengalahkan belangkas. Segala aktiviti bersama suami dan isteri hendak diceritakan di fb. Mujurlah gambar aktiviti ‘malam’ bersama pasangan anda tidak di postkan juga. Maaf saya agak kasar tetapi itulah realiti. Kesian pada yang belum mampu mendirikan rumah tangga hanya dapat menelan air liur gambar ‘sweet’ anda dengan pasangan anda. Adalah lebih baik anda berkongsi bagaimana cara menjaga hati suami atau isteri ataupun memberi nasihat yang berguna bagaimana untuk menjadi suami dan isteri mithali. Sudah tentu dapat pahala!

Bagi pasangan yang sudah tergedik-gedik atau terdesak sangat mencari calon. Saya nasihatkan bersabarlah. Tidak perlu lagi kita mengejar bidadari syurga selagi kita tidak mampu menjaga syurga di bawah tapak kaki bonda kita. Saat mereka melepaskan kita bukan senang tetapi itulah pengorbanan. Persiapkanlah diri dengan ilmu. Lucu juga melihat post-post di fb seperti “ menunggu bakal imamku”, “kaulah makmumku”, “kaulah adamku”, “kau lah hawaku”, “namamu di dalam doa dan sujudku”, “wajahmu dalam istikarahku”. Saya masih teringat perbualan saya dengan seorang sahabat saya:

“aku menyampah betullah dengan post perempuan tu”

“Kenapa?”

“Eleh, budget Muslimah.”

“Amboi, kau menghukum dia tu. Takpelah dia nak jadi Muslimah ada salahnya.”

“Jadi Muslimah tak salah tapi post dia jiwang-jiwang macam orang terdesak nak kawen je.”

“Marah betul kau? Bukan kau pun post jiwang-jiwang jugak ke?”

“Err…Aku tak marah cuma ayat dia tue..menunggu bakal imamku lah,ku pilih kau menjadi   imamku la, relaku sebagai makmumkulah..erm..kalau dia nak sangat imam pergi je dekat masjid atau surau pi mintak tok imam tu jadi imam dia confirm diterima.”

“Hahaha..kau nie, tok imam tu mesti nak tapi isteri dia???”

“Itu aku tak pasti. Aku harap perempuan macamni fahamkan betul-betul  konsep baitul muslim tu dan persiapkan diri untuk menjadi solehah. Tak perlu minta lelaki yang hafal  Quran 30 juzuk tetapi kalau dapat syukur! Cukuplah dapatkan lelaki yang dapat membaca SURAH AL-FATIHAH dengan betul. Tak betul Fatihah tak sah SOLAT! Macam mana nak jadi imam buat dia nanti kalau solat tak sah??”

“Amboi….Fatihah kau macam mana?”

“Aku???Heeeee”

Begitulah serba sedikit coretan saya dan sahabat saya. Takkan lari jodoh itu dikejar. Bila tepat masa, siapa ketika dan di mana ia pasti tiba. Percayalah. Allah yang maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Oleh itu mengapa perlu gusar dan risau. Bagi yang sudah mencari calon tetapi masih tidak temui. Bersabar dan berdoalah pasti ada perkara yang masih Allah tangguhkan untuk kita dan perlu bersama-sama bermuhasabah diri. Apa silap kita. Bagaimana hubungan kita dengan Allah. Bagaimana tanggungjawab kita kepada ibu bapa kita. Percayalah bahawa Allah itu maha mengetahui apa yang berlaku.

Jika ter ‘jatuh’ hati pada si dia pandai-pandailah kawal hati, bukan kawal diri. Diri boleh kita kawal tetapi hati sukar dikawal. Sebab itu pergerakan fizikal tidak sama dengan gerak hati kita. Ikut gerak hati bukan turuti kehendak diri! Gerak hati itu memandu kita kerana hati itu raja dalam keadaan diri. Sebab itu, hukama berpesan jika ingin menilai kebaikan orang janganlah menilai dengan menggunakan mata yang ada di muka tetapi gunalah mata yang ada pada jiwa yakni mata hati. Jangan silap mentafsir. Jangan tertipu dengan wajah yang indah kerana akhlak itu tujuan utama. Akhlak baik pasti sedang untuk kita mendidik pasangan kita bahkan akan wujud persefahaman apabila berlaku perbezaan. Mudah-mudahan bicara kali ini dapat menjadi peringatan buat saya terutamanya dan diri sahabat-sahabat sekalian. Salam Dakwah.



Tuesday, August 6, 2013

Mungkin yang terakhir...



Setiap yang bermula pasti ada pengakhiran. Setiap yang hidup juga pasti akan merasa mati. Apa yang membezakannya adalah detik dan waktu sahaja. Terkadang ia cepat dan terkadang ia lambat untuk menjemput kita bertemu Pencipta kita. Sahabat yang saya sayang kerana Allah, sedarkah kita bulan yang paling mulia yakni bulan Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Terasa cepat waktu berlalu dan terasa lambat pula untuk bertemu Ramadhan pada tahun hadapan. Mudah-mudahan kita dapat bertemu lagi pada bulan itu.

Mari kita merenung diri dan sisi kita. Pada tahun ni adakah kita dapat berpuasa bersama-sama dengan keluarga kita yang tercinta. Mungkin ada di antara kita di uji oleh Sang Pencipta supaya tidak dapat lagi berpuasa bersama dengan ahli keluarga kita. Ada sahabat yang kematian ayah dan bonda tercinta. Mereka pergi buat selama-lamanya. Ada sang suami atau isteri kematian pasangan hidupnya. Itulah lumrah dalam kehidupan. Ibadah puasa perlu diteruskan walau tidak bersama tetapi doa kita pada mereka pengikat ukhwah hingga ke akhirnya. Mungkin sayu tapi ingatlah pesan Allah bahawa banyak ganjaran bagi orang yang sentiasa sabar dan redha dengan setiap ujian Tuhan.

Tahun hadapan adakah kita masih dipilih Allah sebagai tetamu Ramadhan atau tetap menjadi pilihan Allah sebagai penghuni di kuburan. Kita hanya mampu berdoa dan terus berdoa moga ada kebaikan di dalam kehidupan kita. Sekali lagi kita jentik hati kita dengan pertanyaan tahun ini mungkin kita tidak dapat lagi berpuasa bersama kekasih atau cinta hati kita. Kerana apa..kerana sudah menemui noktah dalam percintaan. Ibarat kata pepatah “ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari.” Bagi yang mengalami situasi putus cinta sebelum Ramadhan ini saya ucapkan tahniah kepada anda.  Mungkin anda sudah dapat menjimatkan kredit, air mata dan wang ringgit anda. Namun apa yang penting anda sudah dapat menyelamatkan hati anda dari mencampurkan  nikmat Ramadhan menjadi perkara yang sia-sia. Anda mungkin akan tumpukan sepenuh perhatian anda untuk bertemu dengan pencipta anda. Banyak solat yang anda dapat lakukan pada bulan  ini. Kecewa ubatnya doa.

Jangan risau jika tahun ini anda tidak dapat beraya bersama ‘si dia’ yang anda cinta. Anda sudah selamat dari dosa! Senyum dan syukur!. Orang yang bercinta paling berbahagia ketika hari raya persis suami isteri yang menyambut raya. Sebulan menahan diri dari bersentuhan tapi hari raya kembali beriringan dan berdua-duan. Segala yang haram menjadi halal. Hakikat puasa itu menahan diri dan hakikat Aidilfitri itu ialah menyambut kemenangan bukan meraikan ulang tahun percintaan yang tiada batasan. Andai dosa itu sebusuk tahi sudah pasti ramai yang akan menjauhi kita hatta kekasih yang kita sayang itu pun akan pergi meninggalkan kita.

Di penghujung Ramadhan ini mari kita berbicara dengan hati kita adakah kita sudah berubah atau masih sama seperti dahulu. Maksiat terus menerus dilakukan. Solat masih tidak terjaga dan masih menderhaka kepada ibu bapa. Jika kita masih seperti dahulu pintalah pada Tuhan moga dikurniakan hati yang baru. Hati yang suci dan senantiasa mengingati Tuhan. Alangkah ruginya kita jika Ramadhan ini hadir kemudian berlalu tetapi kita masih seperti dahulu tidak berubah dan tidak langsung merasai bahawa Allah itu satu!

Soal pada diri, pada bulan yang mulia ini adakah kita banyak membaca mesej dari kekasih atau banyak membaca surat cinta dari Allah yang maha pengasih! Bisik juga pada jiwa, pada bulan yang mulia ini adakah kita banyak menangis kerana Dia atau dia yang kita tidak tahu pengakhirannya. Kita mencari suatu yang pasti. Kita percaya pada kehidupan selepas mati yakni Alam akhirat, kita juga yakin bahawa Allah itu ilahi tetapi mengapa kita masih tuli. Tuli dari menerima cinta yang hakiki. Buta dari melihat kehidupan yang suci dan asyik dengan kenikmatan duniawi. Jadikanlah nabi sebagai ikutan dan pendamping diri. Kita insan yang lemah janganlah dilemahkan lagi dengan kebodohan kita yang tidak tahu erti dosa dan pahala.

Ingatlah di neraka itu makanannya bukan seperti yang terdapat di bazar Ramadhan. Menunya berbeza dan rasanya bertambah sengsara. Darah, Nanah, Besi panas yang mendidih, pokok berduri dan segala benda yang kotor menjadi minuman dan makanan kita di sana nanti. Tutuplah Ramadhan ini dengan pintu Taubat kerana Taubat itu ubat dari maksiat! Mudah-mudahan kita semua mendapat sedikit cahaya pada penulisan kali ini. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua sahabat yang berpuasa dan maaf zahir dan batin kepada sahabat yang tidak berpuasa.=)

Monday, June 24, 2013

Rotan Kecil dari Tuhan...


Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.
Al-Anbiyaa’: 35

Kita dilahirkan dengan tangisan kemudian kita meniti hidup juga dengan selitan senyuman dan tangisan dan pemergian kita juga akan turut diiringi dengan tangisan. Setiap tangisan itu tanda bahawa bukan kita menzahirkan kekecewaan tetapi kita menatijahkan ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan kita. Terkadang hati kita keras dan sukar untuk menangis tetapi kita lupa dengan tangisan kita mampu mengalirkan air kekecewaan menjadi tenaga kekuatan pada diri kita. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama dengan kita..

Hidup dilahirkan untuk menerima ujian jika kita takut untuk menghadapi ujian untuk apa kita dihidupkan? Getir dan pahitnya sebuah ujian dalam kehidupan itu pasti ada syurga kemanisan yang akan menunggu kita cuma masanya yang akan menentukan. Sebagai hamba Allah kita wajib percaya kepada hari pembalasan yakni hari Kiamat dan kita tahu setiap apa yang kita lakukan di dunia ini pasti akan mendapat balasan di akhirat kelak. Dunia merupakan tempat kita berpenat dan akhirat nanti adalah destinasi untuk kita berehat! Senyumlah tatkala diri menerima ujian. Bisik dalam diri bahawa ia bukan ubat yang pahit tetapi madu yang manis untuk kita rasa.

Setiap peristiwa yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah telah mentakdirkan sesuatu itu kepada kita dan kadang-kadang apa yang kita rasa itu tidak adil untuk kita terima tetapi kita lupa bahawa ALLLAH MAHA MENGETAHUI!. Sedarlah wahai diri, walau hati disakiti kita masih punya Ilahi, walau pengorbanan kita tidak mendapat pujian tapi yakinlah bahawa ia di pandang Tuhan dan walau kita dihenyak dengan pelbagai ujian, senyumlah kerana ia merupakan kejayaan buat kita. Usah dipeduli apa orang kata tetapi yakini apa yang Allah suka. Kita tidak mampu menutup mulut orang di sekeliling kita kerana itulah lumrah manusia yang suka bercerita dan mengadu domba. Kesalahan orang terlalu besar untuk diterima tetapi kesalahan sendiri hanya dipejamkan mata. Dalam bahasa sejarah ‘melakukan pengadilan moral’ yang bersifat bias dan tidak bebas!.

Kita sibuk bercerita tentang keburukan dan kekurangan rakan-rakan kita tetapi kita lupa pada keburukan dan keaiban yang ada pada diri kita. Kita lupa dan kita sengaja melupakannya. Menganggap diri lebih sempurna dari sahabat kita dan merasakan kita lebih segala-galanya. Ada di antara kita yang tidak boleh melihat orang lain lebih daripadanya dalam setiap segi. Jika ada, mula menarik muka dan mencebik wajah seperti ungka di rimba. Sungguh bahaya sifat seperti ini. Kita tidak akan maju jika terus begini dan selamanya. Bukan menarik muka apabila melihat sahabat kita punya kelebihan dari kita tetapi kirimkanlah nasihat dan doa buatnya mudah-mudahan dia istiqamah dan tidak menyalahgunakan segala kelebihan yang dikurniakan Tuhan itu.


Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu mendidik lidah supaya menjadi baik. Apa guna wajah yang cantik tetapi tidak mampu menggunakan akal supaya menjadi cerdik! Mari sama-sama kita merenung diri. Segala apa yang berlaku di dunia ini adalah teguran dari Tuhan. Masalah alam mula menangis akibat dari kita yang tidak peka dan tidak mahu mengambil peduli tentang alam yang melindungi kita. Mudah-mudahan kita selamat dari bencana dunia dan dilindungi oleh yang Maha Esa.Ameen.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...