Labels

Pages

Followers

Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Tuesday, April 22, 2014

Dosa yang teristimewa


Jadilah insan yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Walau ada yang membenci, jangan berhenti teruskan melangkah kaki kerana kita masih lagi ada hari ini untuk terus berbakti. Hari esok ada tapi kita mungkin tiada. Kita perlu melangkah dan berubah! Bukan nanti tapi sekarang. Masa itu ada tapi kita yang selalu kehilangannya. Justeru, letakkan keyakinan pada Allah dan diri bahawa kita mampu berubah!

Setiap dosa yang pernah kita lakukan jadikan pelajaran. Pahit tapi ia juga merupakan satu suntikan untuk kita menjadi yang lebih sempurna. Pedih tapi itulah hakikat dalam kehidupan. Dosa yang kita lakukan tidak terkira banyaknya. Tapi sedarlah selagi ada harapan untuk kita diampun, selagi itu Allah akan mengampunkannya. Jangan lari dari kesilapan lalu tapi hadapi ia dengan penuh ketabahan dan kekuatan.

Kita adalah hamba yang diciptakan untuk akhirat. Kita punya tujuan di alam yang fana ini. Keluhan dan keletihan terkadang menyelubungi hati dan hidup kita tapi percayalah bahawa itu merupakan sijil kerehatan apabila kita berada di alam sana. Berpenatlah di sini agar di sana nanti kita dapat berehat dengan tenang dan damai.

Jika kita sudah mula untuk berubah jangan sekali-kali kita tinggalkan sahabat kita yang masih belum dan mampu untuk berubah. Syurga itu bukan untuk kita sahaja tetapi untuk semua. Jadilah hamba Allah yang sentisasa membantu. Andai ada sahabat yang menjauh kita perlu datang mendekat bukan membiarkannya lalai dan tiada matlamat. Kerana mungkin kita juga akan di tanya nanti. Pada masa itu kita mungkin boleh berikan pelbagai alasan tetapi Tuhan akan berkata kita pernah bergelar ‘kawan’. Oleh itu, jangan sekali-kali kita tinggalkan sahabat kita.


Senyumlah pada setiap masalah yang menimpa kita. Jangan sesekali lari tapi hadapi!Stres atau tertekan itu sudah lumrah. Kembali sahaja kepada si pemberi masalah itu yakni Allah. Ujian itu kadang lama. Itu tandanya kita diuji dengan sabar. Sabarlah dalam bersabar…TEMAN..berdakwahlah semampu mu..ingatlah… ‘jalan dakwah itu panjang dan meletihkan kerana syurga itu tenang dan mendamaikan’.

Jelingan Pendosa


Jangan bila kita sudah mula berubah dan melangkah kita merasakan diri kita cukup sempurna dan diredhai Allah. Jangan pernah kita rasa sombong dengan insan yang bernama manusia. Sebuah pertemuan kadang-kadang diuji dengan percintaan dan kadang-kadang akan turut terruji dengan perpisahan. Berpisah itu lumrah dan pertemuan itu sebenarnya datang dari Allah.

Benar ada perhubungan yang terpisah. Kadang-kadang masa lalu itu kita tinggalkan perlahan dan hilangkan tanpa ada kesan. Tapi jangan sekali-kali membenci dan memandangnya nista. Kita bukan sempurna mungkin kita berubah natijah darinya. Lucu ada yang cuba melarikan diri apabila bertemu bahkan ada yang memalingkan muka seolah-olah melihat hantu. Kita sedar diri kita penuh dosa tapi kita juga sedar takkan selamanya kita hendak berdosa. Perbuatannya menghukum seolah-olah kita pendosa yang akan pasti masuk ke neraka. Allah moga dijauhkan dari kejahatan ini.

Acap kali terjadi, jangan rasa khuatir..kita takkan ada lagi permainan atau ayat yang mengukir. Kita hanya hendak bersahabat bukan memikat jauh sekali untuk terpikat. Kita sedar kita siapa. Tapi jika tiada kesudian kita tidak memaksa. Ya, mungkin kita ini dipandang dan dihidu busuk dengan dosa. Moga Allah menerima taubat kita. Ameen


Kita berbicara dengan bonda bukan bermakna kita berkehendakkan menabur gula apatah lagi menitiskan cuka pada luka di dada. Tidak. Kita hanya berbicara ikhlas dari hati seorang anak muda. Kita bukan bersengketa tapi kita sedaya menyusun kata dan gerak untuk sebuah cerita. Usah dikhuatir kita takkan sesekali cuba meningkah. Kita takkan merosakkan apa yang telah di bina..Kita hanya ingin melihat senyum dan bukan pandangan dosa.Itu sahaja dari kita.

Thursday, March 27, 2014

Korea Sangat!



Siapa kita?
Siapa kita untuk mempertikaikan ujian dari yang Esa?
Siapa kita untuk menafikan bahawa kita tidak layak untuk menerima ujian?
Siapa kita di hadapan Allah yang maha kuasa?
Siapa kita di hadapan baginda Rasulullah kekasiNya?

Kita sekadar hamba yang kerdil. Hamba yang senantiasa melakukan dosa!
Kita bukan siapa-siapa
Kerana kita adalah kita
Dari gabungan sperma  ibu dan ayah kita
Dari setitis membentuk rupa seorang manusia!

Kita berduka dengan ujian?

Bukankah Tuhan sudah mendatangkan cerita yang berbentuk pengajaran untuk sama-sama kita ambil pelajaran!

Nabi Allah, Muhammad senantiasa berada dalam ujian. Hakikat baginda seorang kekasih Allah. Dalam kandungan baginda sudah kematian ayahanda yang tercinta. Selepas kelahiran ibundanya pula pergi meninggalkan baginda. Kemudian di susuli nendanya terus isterisnya yang tercinta bahkan juga bapa saudaranya turut sama menyahut seruan Allah yang maha esa!

Kematian itu senantiasa memburu baginda.Tapi umatnya yang tetap diutama.Siapa?

Kita.Ya Kita yang bernama manusia. Tapi kita sombong bahkan angkuh untuk mengingatinya.  Masa kita hanya untuk dunia. Facebook, twitter, instagram kita jadikan ‘bacaan’ untuk menambahkan ‘pahala’ kita!
Di mana Al-Quran???Kotorkah ia untuk kita amalkan pada setiap hari?Sucikah lembaran biru putih itu untuk kita menhadap pada setia pagi hingga membawa ke pagi dinihari?

Lagu korea yang sukar kita boleh menghafal tapi ayat Al-Quran yang banyak pahalanya sukar untuk kita baca bahkan menghafalnya!

Berhibur itu tidak salah. Tapi carilah cara yang tidak membawa kita kepada kelalaian. Boleh menangis apabila menonton drama korea tapi selalu kah kita menangis apabila kita berhadapan janji kita dengan yang Esa??

Siapa sebenarnya kita ini?

Allah beri kita pinjaman untuk hidup di dunia ini hanya untuk sekadar bersuka ria? Bercouple sahaja??
Bukan. Matlamat kita adalah untuk menuju akhirat! Jalan ke syurga luas terbentang. Pilihlah…

Kita senantiasa dihidangkan dengan ramuan maksiat sedari kita membuka mata sehinggalah kita menutupnya semula. Pilihan itu ada di tangan kita. Mudah-mudahan kita selamat dari dunia yang dipinjamkan ini.


Hamba menulis sekadar renungan dan peringatan buat diri. Moga-moga sama-sama kita mengambil pengajaran.

Friday, February 21, 2014

DOAku PadaMU CINTA!


    Andai doa kita masih belum diperkenankan, bukan tandanya Allah tidak mendengar kerana DIA maha mendengar, Bersabarlah itu tandanya Allah inginkan kita senantiasa bermohon padanya. Jangan sesekali memaksa Allah untuk mengabulkan doa kita dan jangan sesekali rasa terpaksa apabila kita berdoa. Kita adalah hamba Allah yang Esa. Sebagai manusia kita sememangnya perlu dan layak untuk diuji. Ujian itu adalah rencah dalam menambah perisa kehidupan kita. Pasrahkan hati dan jiwa tatkala ujian menimpa kerana bahagia itu ada di sepanjang jalan yang kita tempa.

    Sesekali kita rasa lemah dan remah apabila menerima ujian. Kita pernah merasa gundah dengan fitnah, kita pernah rasa resah dengan persoalan ‘mahabbah’. Kita rebah dengan sumpitan dakwah yang tersalah arah dan kita gelisah menerima erti payah dan susah. Itulah namanya kehidupan. Dunia diciptakan untuk kita hidup dan akhirat diciptakan untuk kita melayari kehidupan. Allah itu maha adil maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Segala apa yang berlaku di dalam hidup kita perlu kembali kepada pencipta kita yakni Allah.

    Siapa kita untuk mempersoalkan perangcangan Allah kepada kita. Kehidupan mesti ada tujuan! Tujuan kita hidup adalah untuk melangsungkan kehidupan di alam sana nanti. Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita pasti ada hikmahnya sama ada baik atau buruk sudah tentu ada hikmah yang sudah ditetapkan oleh Allah pada kita. Jangan sesekali mengeluh dengan ujian. Pasrahkan hati untuk menerima setiap ujian itu. Ingatlah, Allah senantiasa bersama orang-orang yang bersabar.

    Kata orang di dalam dunia ini hanya ada dua perkara yang buat kita gembira dan tidak gembira. Pertama kita akan merasa gembira apabila kita sihat. Kedua kita tidak akan merasa gembira apabila kita sakit. Sihat itu akan kita rasakan sangat mahal apabila kita sakit. Penyakit yang kadan-kadang kita tidak pernah sangka dan impikan. Kita merasakan diri kita sihat tetapi sebenarnya kita sakit bahkan yang paling bahaya apabila diri dan dijiwa kita yang ‘sakit’. Ramai sarjana menyatakan bahawa penyakit ada kalanya berpunca daripada jiwa dan hati kita. Stress atau tekanan antara kesakitan jiwa yang boleh mengundang penyakit yang lain untuk kunjung tiba di dalam diri kita. Penawarnya, kembali kepada Allah. Al-Quran merakamkan berjuta bicara untuk kita rasa bahagia jika kita memahami maknanya. Zikir, merupakan tonik yang paling mujarab untuk menenangkan hati dan jiwa. Selawat ke atas baginda Rasulullah merupakan ‘shaklee’ atau suplemen di dalam tubuh dan badan kita untuk kekal sihat dan walafiat.

    Indahnya Islam jika kita benar-benar mencintai dan memahaminya. Benar, sakit itu adalah kafarah dosa tapi kebenarannya kita tidak pernah rasa kita berdosa! Alangkah ruginya kita, jadikan sakit itu sebagai alasan untuk kita mengurangkan dosa-dosa kita. Bukankah dosa itu boleh dipadamkan dengan taubat nasuha?? Jangan tunggu sakit baru hendak bertaubat. Jadikanlah hari-hari kita di dalam taubat nasuha. Mari sama-sama kita merenung diri yang penuh berdosa ini. Antara facebook dan Al-Quran yang mana kita lebih peruntukan masa untuknya???.Moga titipan ini menjadi sentuhan ringkas buat hati yang membaca.


Amalkanlah surah ini jika kita berada dalam resah dan susah


Saturday, August 17, 2013

Aku Ada, Kau ade???


Bingkisan ini ku titipkan buatmu teman
Saat dikau di dalam kesulitan
Ingatlah aku ada setia menitip sebuah tulisan
Buatmu dan buatku agar kita tidak terputus dari tali iman
Bicara ini juga hembusan rinduku buatmu teman
Saat kita berada dalam ujian jangan kita lupa pada erti Ber Tuhan
Tika kita di tampuk kejayaan jangan sekali kita alpa dengan setiap pujian
Dengarlah..dengarlah bingkisan sanubari ku ini…..

Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Sabar dan redha itu kunci sebuah kejayaan. Istiqamah dalam perlakuan itu tanda kita insan yang beriman. Hidup kita ini sering kali diberikan ujian. Ujian di dalam kesulitan pasti akan kita lalui. Tetapi kita juga perlu ketahui bahawa Allah hadirkan ujian berbentuk ‘kejayaan’. Kejayaan yang kita terima juga adalah merupakan satu ujian buat diri kita. Bahkan ujian ini lebih berat dari ujian kesakitan dan kesulitan yang kita hadapi di dalam hidup.

Tatkala kita mencapai kejayaan, pujian juga turut berjalan seiringan, hati yang dulunya merendah kini mula mendabik megah. Alangkah kita rasa besar pada ketika itu. Kita lupa pada si pemberi nikmat dan ujian. Kita bangga mempamerkan segala kejayaan yang ada di dalam diri kita. Kita lontarkan di laman sini dan sana. Melihat kenalan yang menghamburkan pujian dan kesukaan. Lantas terlupa pada diri yang takut akan sifat ujub dan bongkak. Walau kita tahu bukan untuk membangga tetapi sifat itu pasti ada kerana itulah lumrah manusia. Allah mengurniakan sifat dan rasa yang pelbagai buat diri mereka. Sedih,Marah, Gelisah, Ikhlas, Sabar, Ujub dan gembira antara rasa yang dikurniakan Allah dalam kehidupan kita. Terpulang pada diri untuk mentadbir sifat itu dengan sebaiknya.

Mengapa perlu kita tagih pujian sedangkan kita tahu kita adalah hamba yang paling lemah. Antara Redha dan penghormatan dari insan yang mana menjadi pilihan kita. Mungkin ada yang memberi puji dengan kejayaan kita itu dan mungkin juga ada yang melontarkan keji terhadap kejayaan kita kerana satu rasa yang akan hadir dalam diri mereka yang dinamakan sebagai cemburu! Terkadang kita lapik perasaan riak kita itu dengan kata ‘malu’ hakikatnya kita megah dengan apa yang diberikan. Semua orang inginkan pujian tapi ingatlah kadang pujian itu juga boleh menjadi senjata tajam yang boleh membunuh diri kita. Bahkan boleh menjadi racun yang paling berbisa di dalam merosakkan hati kita. Berlindunglah dari sifat takbur dan riak.

Teman, bicaralah pada diri..setiap kejayaan yang kita tempa perlukah kita bicarakan kesemuanya. Jika perlu untuk apa? Untuk memberikan motivasi pada yang melihat atau mendengarnya? Bisiklah pada hati, untuk apa kita ceritakan andai ini membawa kepada murka Tuhan. Kejayaan itu boleh dikongsi tetapi perlu ada jalan yang baik dan suci bukan memperlihatkan kehebatan yang ada pada diri. Ini melanggar hukum azali bahkan membawa kepada kerosakan di dalam hati. Benar kejayaan kita boleh dijadikan motivasi buat semua tetapi bukan menunjukkan apa yang kita perolehi itu tetapi tunjukkanlah bagaimana jalan kita memperoleh kejayaan itu! Menunjuk bukan menunjuk-nunjuk!. Bukan sekadar meletakkan potret kejayaan di laman maya tetapi titipkanlah sekali jalan bagaimana kita memperoleh kejayaan itu.


Hidup ini tidak selamanya kita berada di puncak dan hidup ini juga tidak akan selamanya kita berada di dasar. Apa yang paling penting adalah perubahan di dalam diri kita. Melihat kejayaan orang lain tanpa kita berusaha dengan gigih untuk memperoleh kejayaan  itu juga tidak akan membantu kita mengubah apa-apa bahkan hanya yang ada sebuah rasa yang dinamakan cemburu. Cemburu tanpa melakukan tindakan yang bernas tidak cukup untuk kita melakar sebuah kejayaan. Cemburu bukan bermakna kita perlu mencantas, cemburu bukan bererti kita perlu menjatuhkan sesiapa tetapi cemburu merupakan suis untuk kita melakukan perubahan di dalam diri kita. 
Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.

1.       Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2.       Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia INGIN MENDAPAT SANJUNGAN MANUSIA.
3.       Orang yang mengaku cinta kepada tuhan yang menciptakannya tetapi dia TIDAK BERANI MERENDAHKAN DIRINYA.

Wednesday, April 10, 2013

TUDUNG LABUH @ FREE HAIR = CANTIK



“Cantik itu subjektif”. Itulah ayat yang biasa kita dengar dan selalu kita katakan. Biasanya kecantikan ini dinisbahkan kepada golongan hawa. Walau bagaimanapun ada juga segelintir golongan adam yang tidak selesa dengan panggilan wajah yang kacak tetapi mereka bahagia dengan ungkapan rupa yang cantik. Cantik dan kecantikan itulah satu kurniaan dari Tuhan. keindahan paras rupa yang ada pada diri seseorang akan menjadi daya tarikan kepadanya dan menjadi aset yang bernilai bagi kita pada pandangan yang pertama. Siapa yang tidak suka apabila dipuji? Siapa yang tidak suka apabila ada sahabat yang mengatakan kita cantik dan indah. Senyuman kita mampu menawan sang penjantan.

Ramai di antara kita yang mampu tersenyum apabila dipuji dengan kecantikan yang pada wajah kita tetapi tidak ramai yang mampu bersyukur apabila dikeji dengan perbezaan kecantikan yang ada pada kita dan sahabat kita. Jangan sekali-kali kita katakan bahawa kita hodoh atau tidak cantik! Kita bukan hodoh tetapi berbeza kecantikan! Kita gusar dengan kedutan yang ada di muka, jerawat yang tumbuh melata tetapi kita lupa asbab yang menyebabkan berlaku sedemikian rupa. Bagaimana kehidupan seharian kita? Bagaimana pemakanan kita? Dan bagaimana dengan solat kita? Hendakkan kecantikan tetapi segala kewajipan kita tinggalkan. Adilkah kita.

Bagi para wanita yang dikurniakan rupa yang cantik dan menawan berbahagialah olehmu akan keindahan dari Tuhan ini. Namun harus diingat, cantik itu ujian dari Tuhan bukan sebagai bahan untuk kau jadikan makanan dalam kehidupan. Ia hanya sementara dan rupa yang kau ada itu pasti nanti akan menjadi makanan ulat dan kala jengking sahaja andai dikau tidak menghargainya dengan sebaik mungkin. Hari ini, wajah kita mudah kita paparkan di laman maya. Rasa bangga menyelimuti diri tatkala ramai yang memuji. Ada yang berkata rupa kita seperti artis dan model-model terkenal di dunia tetapi mereka juga sama dengan kita. Cuba lihat wajah mereka tanpa make-up. Itu bukan cantik itu plastik yang hanya menutup kecantikan yang sebenar. Wahai wanita, untuk apa sebenarnya kita menayangkan rupa kita di laman maya itu. Apa sebenarnya niat dan tujuan kita? Jika sengaja hendakkan pujian tinggalkanlah, jika terlampau terdesak mencari pasangan bersabarlah! Jika ingin menunjukkan kecantikan kita ingatlah masih ramai yang lebih cantik dari kita!

Bertudung labuh tidak semestinya baik” Mungkin ada yang pernah mendengar ungkapan ini dan mungkin ada yang hari ini baru mendengarnya. Bukan tudung itu yang tidak baik tetapi si pemakai itu yang kurang terdidik! Jika dia tahu tudung itu mampu menutupi keburukan akhaknya pasti dia akan cuba berusaha menjadi baik. Memang ada yang bertudung labuh tetapi mulutnya mengalahkan murai di hutan. Semua yang dihukumnya berdosa, menjaja keaiban orang sini dan sana dan lupa tentang keaiban diri sendiri yang terbuka luas. Lebih baik hanya memakai tudung seperti Yuna atau Najwa Latiff sahaja. Bagi yang terasa silakan terasa kerana diri yang tidak sempurna ini hanya menegur dan tidak mahu tudung yang indah itu menjadi fitnah buat wanita solehah.

Itu hanya segelintir sahaja tetapi banyak yang baik dari yang tidak baik. Labuhnya tudung itu mencirikan mereka solehah. Indahnya pakaian mereka itu menandakan mereka tahu hukum Allah. Jujur saya katakan, saya suka melihat wanita yang memakai tudung labuh atau tudung bulat. Tidak perlu berpurdah jika sama sahaja ingin menayangkan kecantikan muka. Make-up tebal juga dan kening ditrim nipis. Cantik bukan wanita yang bertudung labuh ini. Sopannya dia, kata-katanya lembut, akhlaknya terjaga dan santunnya menghormati insan. Apa yang penting hubungannya sesama insan terjaga. Biar dia mahal dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Biar dia dianggap sombong oleh lelaki yang ingin mendekatinya kerana dia tahu dia hanya untuk suaminya. Biar dia dihukum haram oleh lelaki lain kerana nanti dia akan menjadi halal kepada lelaki yang akan bergelar suaminya nanti. Ingatlah pemakaian akan merubah perlakuan kita.

Namun bagi golongan ini usahlah kita terperangkap dengan perasaan sendiri. Cinta itu sebenarnya fitrah tetapi usah kita cemari dengan fitnah. Usahlah kita ternanti-nanti siapa bakal imam kita tetapi persiapkanlah diri kita untuk menjadi makmum mereka nanti yang belum kita ketahui. Yakinlah dengan rencana Ilahi kerana DIA maha mengetahui. Tidak perlu meletakkan status-status di laman maya tentang siapa jodoh kita kerana ia sebenarnya sudah ditetapkan sebelum kita lahir lagi bahkan sebelum wujudnya Facebook lagi. Tidak perlulah menggunakan nama yang menjengkilkan mata dan meloyakan tekak rakan kita apabila kita menggunakan nama facebook seperti ~IMAMMU, MAKMUMMU, IMAMKU, MAKMUMKU. Lebih baik kita gunakan nama sendiri yang diberikan oleh ibu dan ayah kita jika hendak komersial letak sahaja nama seperti ~ALLAHYARHAM atau ALLAHYARHAMAH ataupun calon jenazah atau Hamba Allah. Jangan kita kelihatan terdesak mencari pasangan hidup selagi mana kita masih belum bersedia melayari bahtera kehidupan.

Bagaimana dengan wanita yang lebih selesa dengan gaya free hair? Adakah mereka tidak baik? Siapa kita untuk menghukum mereka untuk masuk ke dalam api neraka. Ingat! adakah nenek moyang kita atau ahli keluarga kita dahulunya sudah bertudung? Kalau bertudung cara yang bagaimana. Adakah sekadar menutup di bahagian sanggul dan menampakkan jambul atau sebaliknya? Mari kita mengingat sejarah, pemakaian tudung di Malaysia bermula pada tahun 1970an dan 1980an. Pada ketika ini telah berlaku era kebangkitan gerakan dakwah Islam di Malaysia. Gerakan-gerakan Islam ini telah berjaya mempengaruhi masyarakat di Malaysia khususnya pelajar-pelajar universiti. Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pencetus kepada perubahan pemakaian masyarakat ke arah Islamik. Gerakan Islam seperti PAS, ABIM, AL-ARQAM dan TABLIGH merupakan gerakan yang berada pada zaman kebangkitan Islam di Malaysia.

Itu sejarah dahulu tetapi gerakan ini yang mengubah corak kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. Benar wanita itu tidak wajib memakai tudung tetapi ingat wanita itu wajib menutup aurat. Menutup aurat bukan membaluti aurat. Bagi mereka yang lebih sukakan free hair ini, ingatlah bahawa logik jika sebelum tahun 1970 itu kita tidak bertudung tetapi jika hari ini kita masih lagi sama fikir-fikirkanlah. Hukum menutup aurat ini sudah terkandung di dalam Al-Quran. Kita tahu bahawa hukum menutup aurat itu wajib tetapi kita sengaja malas ambil tahu. Wahai wanita, memang cantik rambut yang anda tayangkan itu tetapi lebih cantik hanya ditayangkan untuk muhrim anda sahaja. Simpanlah ia sebaik mungkin. Kasihanilah kami kaum adam ini. Anda melabur saham kami turut sekali merasainya. Mari kita ambil contoh kita membeli makanan yang berbungkus. Jika kita hendak membawa ke rumah mesti kita bungkus dengan baik dan kemas takut nanti dihurung lalat atau terkena habuk di jalanan. Begitu jugalah dengan badan kita. Mestilah dijaga dengan baik. Jika kita biar ia terdedah sini dan sana bukankah akan membangkitkan nafsu lalat-lalat tahi di luar sana?

Saya tahu anda masih menyalahkan orang yang bertudung kerana trauma dengan golongan ini. Tetapi ingatlah tidak semua mereka begitu. Biarlah mulut mereka. Jika mereka tahu erti dakwah sudah pasti mereka akan mendekati anda dan jika mereka tahu erti mawaddah sudah tentu mereka akan mencintai anda. Jika mereka tahu istilah tarbiah sudah pasti mereka akan mendidik anda menjadi yang solehah. Wahai wanita yang ku sayang kerana Allah. Kita masih ada masa untuk berubah. Ingatlah kita sebenarnya indah kerana kita diciptakan oleh Tuhan yang Maha Indah. Jadilah cantik di mata Allah

p/s: sekadar perkongsian dari insan yang penuh dosa. Moga ada butiran mutiara untuk peringatan bersama. Mohon doa dari sahabat semua moga penulis memperoleh kejayaan di duniawi dan ukhrawi dan dimurahkan rezeki. Salam pilihan raya. Pilihlah yang mampu membawa agama di dalam kepimpinannya. Jangan kita berkecuali dari memilih kerana nanti akan dipersoalkan di akhirat kelak jika kita memilih insan yang salah. Mudah-mudahan kita selamat dari bala bencana Allah. Aku cinta Malaysia

TARIKH NOTIS PILIHANRAYA : JUMAAT
TARIKH PENAMAAN CALON : 20 APRIL 2013 (SABTU)
TARIKH UNDI AWAL : 30 APRIL 2013 (SELASA)
TARIKH UNDI : 5 MAY 2013 (AHAD)
sumber :SPR

Friday, April 5, 2013

Takkan ku siakan kamu lagi..



Kehilangan di dalam sebuah tali persahabatan amat sakit kita rasakan. Menguji setiap hati yang sanubari. Jujur pada diri kita, hakikat ia pahit tetapi ia juga perit. Terlerai sebuah tali persahabatan yang kita bina sesama insan mampu meretakkan jalan sebuah impian mampu meroboh tembok harapan.

Kawan, indah bahasa genta jiwanya. Sukar hidup tanpa teman bahkan sulit hidup bersendirian. Tetapi ia pasti ada keindahan andai kita masih kenal erti Tuhan. Mengapa perlu kita berteman dan kenapa penting adanya kawan. Kerana mereka yang akan mengingat dan memberi peringatan. Mereka juga keluarga buat kita mereka juga amanah untuk kita. Ukhwah atau talian sahabat yang kita bina haruslah berpaksikan kepada erti kejujuran dan kesetiaan. Bukan sekadar ada ketika suka dan sirna apabila derita. Itu bukan kawan itu Syaitan! Haiwan juga tidak bersikap sebegitu rupa.

Terkadang ada di antara kita yang terperangkap antara kawan dan kekasih. 2K ini menyebabkan kita menjadi dilema yang mana harus diutamakan. Hendak menjaga hati kawan, kekasih hati pula merajuk dan begitu juga sebaliknya. Sukar bukan? Tetapi fikirlah yang lebih dekat dengan kita. Jangan sampai terlalu sayang dan cinta kepada kekasih sampaikan kita lupa pada insan yang bernama kawan. Siapa yang mula-mula kita kenal antara kawan dan kekasih? Masalah dengan kekasih juga turut diceritakan kepada kawan dan masalah dengan kawan juga akan dikongsi dengan kekasih. Begitulah putaran kehidupan. Namun harus sekali-kali kita ingat, buruk mana pun mereka aib mereka harus kita jaga. Jangan lupa pada keaiban diri kita yang lebih banyak. Hargai mereka kerana mereka sudi menerima keaiban kita.

Kita akan merasa kosong apabila mereka pergi, percayalah kehilangan kawan lebih sakit dari kehilangan kekasih. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Tetapi bagi siapa yang punya pengalaman bercinta dan sudah banyak kali kecewa dengan cinta, mereka pasti tahu siapa yang lebih utama. Sakit dalam berukhwah tidak parah seperti sakit di dalam berlewah (cinta). Cemburu, marah sedih, kecewa tidak sama. Kekasih itu mungkin sahaja akan bertemu kembali dengan kita kerana semua itu urusan dari yang Esa, namun andainya kita hilang kawan sukar untuk kita bertemu lagi. “Boleh jadi kita membenci sesuatu, padahal ia amat baik untuk kita dan boleh jadi kita menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kita. Allah maha mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui.” Hebat bukan perancanaan Allah ini?

Bagi yang mempunyai masalah dengan kawan, berilah mereka kemaafan. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci. Terkadang gurauan mereka kasar tetapi itulah yang menjadi garam di dalam menyedapkan rencah kehidupan mereka. Terkadang mereka sukar untuk memahami kita tetapi kita sebenarnya yang perlu untuk memahami mereka. Bercinta tidak salah, tetapi meninggalkan kawan ketika bercinta itu salah! Dengan kawan mungkin kita terlepas dari melakukan dosa tetapi dengan kekasih kita bagaimana? Bagaimana dengan hati kita? Bagaimana dengan nafsu kita? Masihkan berada di dalam kawalan?

Pesanku untukmu kawan, jangan pula dikau membawa aku ke jalan yang tak keruan, jangan kau kata kau bahagia bercinta sebelum masamu tiba, usah kau bicara cinta itu indah sebelum kau melafaz akad amanah. Kawan, jangan kau tunjukkan aku jalan yang keliru. Aku tidak mahu memuji gambarmu dan gambarnya berkepit mesra kerana aku tidak mahu terlibat sama di dalam saham itu. Jangan kau ungkap kata bahagia, hakikat kau belum merasa alam berumah tangga. Usah kau campur antara yang haram dan halal kerana natijahnya akan memakan dirmu sendiri. Kawan aku bicara untuk diriku jua kerana aku juga tidak terlepas dari melakukan dosa. Hargailah erti sahabat selagi ia masih ada di dalam dunia ini. Cintailah mereka. bawalah mereka bersama ke jalan syurga bukan kita bimbing mereka ke lorong neraka. Sakit.. kawan…jika kau terus membiarkan aku hanyut di dalam duniaku sendiri.

Kawan, kita punya kisah kita punya sejarah tetapi usah kita kalah dengan masalah. Kerana masalah itu pembuka untuk kita berubah. Kita mampu! Ya kita mampu! Kecewa??kita ada DIA..Sedih??? kita ada DIA..Putus asa??? Kita ada DIA..



Sunday, March 31, 2013

Teruji dengan Hati. =)



Setiap yang berlaku pasti banyak hikmah yang terselindung. Hikmah itu bukan datang selepas kita diuji. Ia hadir dalam dalam masa yang tidak pernah kita duga. Walau kita rasa kesakitan tetapi bila kita ada Rasa bertuhan itulah yang akan menjadi panduan buat kita. Hidup ini untuk di uji bukan hidup ini itu lari dari ujian. Kita hamba Allah yang layak dan seharusnya mampu untuk menerima ujian itu.

Terkadang kita rasa tidak mampu dan berputus asa bahkan bagai tiada harapan lagi untuk meneruskan kehidupan. Langkah kian payah, nafas kian susah, jiwa kian resah hati kian parah. Itu hanyalah di dalam kawalan kita. Kita mampu mengawalnya. Bisik pada diri.. “ia datang dari Tuhan dan pasti akan ada kesembuhan.”  Andai ada insan di sekeliling kita yang menjadi alat untuk kesakitan kita redhalah..hadapilah dengan penuh keredaan kerana mereka adalah lorong kita meraih pahala juga mendidik jiwa. Jangan sesekali terluka dengan sikap mereka kerana kita sudah punya jiwa yang mampu mengawal segala molekul rasa yang ada di dalam diri kita.

Payah tetapi bukan susah. Sakit tetapi tidak akan berjangkit. Penat tetapi tidak akan menjadikan kita tenat! Walau apa yang datang di dalam hidup kita. Yakinlah bahawa kita layak untuk di uji dan menerima ujian. Tuhan sengaja mengaturkan kita dengan pelbagai ragam manusia. Di situ kita membina ukhwah kita menyelami erti mawaddah andai tersingkap mazmumah anggaplah ia sebagai rencah bukan padah!

Walau tinggi mana kedudukan kita, walau kaya mana pun kita tetapi harus kita tahu bahawa Tuhan kita maha Agung, Tuhan kita maha kaya. Kita berada di dalam dunianya. Sebagai peminjam dan nanti kita harus memulangkannya kembali kepada NYA. Setiap apa yang ada di bumi ini hanyalah pinjama dari NYA termasuklah diri kita ini. Gunakanlah ia sebaik mungkin jangan sesekali kita menyalahgunakannya.

Ujian kehidupan terkadang membuat kita lemah, sampai ada yang rebah juga ada yang tidak mampu untuk bangkit. Menukar gelap menjadi cahaya, menukar hiba menjadi bahagia, membuang duka menjadi suka. Setiap jalan yang kita pilih dan lalui ini pasti akan ada ujian. Bersiap siagalah wahai diri. Kuatkan iman, kuatkan hati juga kuatkan emosi. Kejarlah cita-citamu! Secangkirbicara

Sunday, March 10, 2013

Cubitan Kasih dari Allah ~Kita Layak diuji



“Ya Allah beratnya ujian yang kau berikan ini. Ya Allah aku tidak mampu, mengapa kau duga aku dengan ujian sebegini rupa. Wahai Allah, hamba mu ini lemah dan tidak punya daya untuk menghadapinya.” ~ begitulah keluhan kita terkadang apabila kita ditimpa dengan pelbagai masalah. Diri bagaikan tidak punya daya minda bagaikan tidak mampu memahaminya dan hati seakan buntu untuk menyelesaikannya. Setiap masalah yang datang itu adalah tanda sayang dari Allah. Saya ulangi ia adalah tanda sayang Allah kepada kita.

Usah sesekali kita mempertikaikan ujian atau masalah yang kita hadapi itu. Mengapa terjadi begini? Mengapa tidak sebaliknya? Mengapa harus aku yang lalui semua ini? Banyak persoalan bermain diminda, semua hadir penuh dengan tanda tanya. Ini bererti kita turut mempertikaikan si pemberi ujian itu. Siapa yang memberi ujian itu? Dialah Allah tuhan kita. Kita sebagai hambanya layak untuk diuji kerana apa? Kerana kita hamba. Hamba adalah insan yang hina, yang penuh dengan kedaifan, tidak punya apa-apa dan serba kekurangan. santuni jiwa hamba bukan sentiasa ingin menjiwai jiwa Tuhan.

Maaf saya katakan, istilah kita hamba kepada raja adalah istilah yang salah dan janggal kerana apa? Bukan dia yang menciptakan kita tetapi Allah juga yang telah menciptakan dia dan kita. Oleh itu, hormat kita biar bertempat. Ingat, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri kita. Allah tahu segala-galanya apa yang ada di dalam rasa kita kerana Allah maha tahu. Terimalah ujian itu dengan hati yang tabah. Jika masalah yang kita hadapi itu terlalu besar, ingatlah bahawa kita senantiasa ada Allah yang maha besar. Bersabarlah dalam bersabar.

Bagi remaja yang punya ujian di dalam bercinta. Hadapi ujian itu jangan sesekali kita lari. Andai dia sudah ditakdirkan untuk kita, teruskanlah berdoa dan jaga segala perkara yang perlu dijaga. Andai dia bukan untuk kita. Terima sahaja dengan hati yang terbuka. Redha dan bersyukur kerana Allah maha tahu. Kumbang itu bukan seekor bunga juga bukan sekuntum tetapi mencari kumbang yang kuat  tanduknya dan gagah sayapnya bukan suatu perkara yang mudah dan mencari bunga yang masih belum layu dan suci juga bukan mudah tetapi ia tidak payah seandainya kita punya hati yang tabah. Jangan cemburu pada mereka yang sudah mendapat kumbang dan bunganya (yang sah). Tetapi titipkanlah doa buat mereka agar mereka mampu mengemudi bahtera rumah tangga dengan lebih selamat dan bahagia bukan hanya sekadar suka-suka tetapi ada ‘sengsara’ yang perlu di sirna.

Untuk mereka yang sudah berumah tangga juga ujian dari Allah pasti hadir dan akan hadir. Kesabaran, kesetiaan dan keimanan akan menguji pasangan ini. Jadi, lengkapkanlah diri dengan ilmu dan pengetahuan. Fitnah itu akan menjadi makanan kita seandainya kita tidak menjaga dia dan Dia. Oleh itu, hiasilah diri kita dengan adab dan sedia menerima teguran dari insan-insan yang ada di sekeliling kita. Alam rumah tangga bukanlah suatu gelanggang permainan tetapi ia merupakan gelanggang sebuah kehidupan antara sang suami dan sang isteri. Cinta itu lahir dari Ilahi dan dipindahkan di dalam sekeping hati dan kemudiannya akan bertaut lagi ke dalam sekeping hati yang suci. Maka abadi dan terus mengikat tali mencari tangga ke Firdausi.
~putih-putih melati~
~Merah-merah delima~
~Siapa yang baik hati~
~Pasti ku terima~

Thursday, February 28, 2013

Senyuman Dari Bintang



Setiakah aku cinta pada NYA? Sejauh mana rasa dan perasaanku untuk kekal mencintai NYA? Terkenang bila di uji dengan gejolak hati aku kaku memilih antara intan dan batu. Aku bungkam mencari antara kilauan dan kegelapan. Semua atas ujian buat diriku untuk mengenal dengan lebih dekat siapa aku yang sebenarnya. Aku cuba menepis semua perasaan lalu. Aku tidak mahu lagi mengulangi kesilapan-kesilapan dulu. Cukuplah Dia yang maha tahu tentang banyaknya dosa-dosaku dahulu.

Aku tahu akan sekian kekhilafanku tapi tika tiba ujian dari NYA , aku seakan tidak mampu. Sebenarnya aku tahu aku mampu. Ya. Aku mampu. Tiap kali diri diuji, satu kesedaran bangkit, merelakan bahawa aku harus menerima setiap apa yang ada di dalam kehidupanku ini. Dia sudah merencanakan sesuatu yang indah buatku. Aku percaya. Aku harus ada rasa sabar yang mendalam. Selagi mana Dia belum mengizinkan, aku harus bersabar dan terus bersabar. Dia sebenarnya telah lama memakmulkan doaku untuk aku menjauhi segala perkara maksiat, mungkar dan mazmumah. Allah. Syukurku padamu.

Alir air dari kelopak pancainderaku masih lagi ada. Aku harus menghargai dan aku perlu terus percaya pada diriku. Siapa aku tanpa keredhaan NYA. Walau aku dihenyat di lautan kebencian yang paling dalam, tetapi aku tahu, aku tidak akan sekali-kali dibenci oleh NYA. Takdir bukan pemutus buatku tetapi aku perlu mencari tadbir untuk aku menerus hidupku. Akan ku bekal dengan pengalaman lalu buat iktibar dalam jiwa.

Bukan nanti tetapi sekarang. Peluang yang ada ini harus aku gunakan. Menjadi yang lebih baik, menjadi anak, pelajar,guru dan suami yang lebih baik. Dan sentiasa tahu bahawa aku adalah hamba Dia.


Andai bisa ku lihat mentari di sana
Takkan mungkin aku merasa gelita
Jika bisa aku berlindung di balik cahaya
Sudah pasti akan ku lakukannya
Tetapi ku tahu Dia tidak mengizinkannya
Dia memberi cinta NYA untuk ku cintai
Dia sentiasa memberi dan tidak pernah henti

Tapi aku..
Aku yang cuba berlari
Berlari dari meraih cinta NYA
Mencari hanya sementara
Buta menilai hakikat pahit
Aku tega tanpa kata

Di mana wahai jiwaku seorang hamba
Hamba pada yang Esa
Aku hanya satu bukan beribu
Penciptaku juga Satu bukan dua bukan tiga
Sedalam mana rasa ini
Makin ku hanyut makin jauh aku lemas
Nafasku kian pergi
Hanya tinggal jasad yang menunggu mati

Allah, sempatkah aku?
Adakah masih punya ruang dan waktu.
Untuk aku laksana apa yang masih terbuku
Menjadi seorang hambamu yang tahu erti Kau yang Satu
Menjadi permata buat ayah dan bondaku
Menjadi pejuang penerus rantai agamamu
Menjadi daie kepada semua makluk yang bernyawa
Menjadi penguat pada sebuah rumah tangga
Sempatkah………..

Saturday, February 23, 2013

Kerana..Kita Mampu !



Allah itu sayang pada kita dan Allah sesekali tidak pernah jauh dari kita. Tiap hari, detik saat dan waktu Allah senantiasa ada dengan kita. Andai ada perkara yang menimpa, cukuplah Allah sebagai pelindung dan tempat untuk kita bergantung harap. Manusia hanya sebagai alat untuk memudahkan segala urusan kita. Allah yang pemilik segala-galanya dan yang utama.

Saya yakin dan percaya kita semua mempunyai kemahuan dan inginkan kejayaan dalam hidup kita. Kita hendak berjaya dalam pelajaran, kemudian bekerjaya, seterusnya ke alam rumah tangga. Tetapi ingat kita masih lagi berpegang kepada amanah dari pencipta dan kita masih lagi ada gelaran ‘hamba’ di dalam diri kita. Bukan hamba kepada manusia dan harta tetapi hamba kepada PENCIPTA kita.

Ke mana sahaja kita pergi, ingat. Allah sentiasa di hati dan memerhati. Tiap apa yang menimpa kepada diri kita. Harus kita lalui dengan tabah dan selesaikan dengan penuh hemah. Penyelesaian itu ada kita yang perlu mencari dan memikirnya. Begitu juga dengan impian kita. Andai kita ingin mendaki gunung yang tinggi kita harus kuat dan persiapkan fizikal dan mental kita bukan sekadar memasang angan tanpa ada usaha. Masih segar bibit-bibit perbincangan antara saya dengan pensyarah saya yang amat saya kagumi. Seorang yang bergelar profesor tetapi watak dan tuturnya biasa dan mudah untuk didekati.

Prof: Semua orang ada angan dan impian. Setiap impian kita mesti diiringi dengan usaha yang gigih bukan sekadar hanya berdoa. Seiringkan keduanya. Kamu ada impian kan?

Saya: Ye prof, saya teringin nak sambung pelajaran saya ni di peringkat yang lebih tinggi. Tapi saya takut terikat dengan banyak perjanjian. Takut terhalang cita-cita saya tue prof.

Prof: Awakni, belum jadi apa-apa dah macam-macam yang awak fikirkan. Awak belum lagi melangkah di akhir garisan tetapi awak dah buat banyak andaian. Bahaya tue.

Saya: Saya bukan apa prof, sekarang nie pasaran kerja kan perlukan persaingan.

Prof: jadi carilah kelainan di sebalik persaingan itu. Kita tahu semua akan tertumpu pada kerjaya yang sama macam kamu. Lambakan pengangguran pasti akan berlaku. Jadi awak perlu merebut peluang yang ada. Kita andaikan begini, awak nak mendaki sebuah gunung yang tinggi. Tetapi awak takut untuk mendaki dek kerana mendengar banyak tanggapan negatif tentang gunung tue. Contohnya banyak binatang buas, tiada laluan yang baik, terpaksa mengharungi arus sungai yang besar dan bermacam-macam lagi perkara yang menghalang awak sehinggakan awak tidak mampu lagi untuk meneruskan hajat awak itu. Walhal awak belumpun lagi melangkah kaki ke tempat itu. Langkahlah dahulu baru awak tahu bagaimana keadaannya. Silap-silap kawasan gunung itu sudah ada pembangunan.

Saya: InsyaAllah prof, terima kasih atas nasihat. Saya akan berusaha menggapai cita-cita saya ini.

Jika kita ada impian kita. Niatkan di dalam hati dan yakin Allah pasti akan perkenankan. Janji Allah adalah pasti. Usaha kita yang perlu disemat dalam diri, istiqamah dalam setiap apa yang kita lalui. Yakin dan letaklah pergantungan kita kepada Allah.

Tuesday, February 5, 2013

Bahagiakah dengan Permusuhan???



Salam pertemuan buat pembaca semua. Lama agaknya saya tidak mencoret titipan di dalam blog ini. Hendak kata sibuk tidak juga tetapi ada beberapa amanah yang perlu dilaksana. Alhamdulillah sudah menginjak bulan kedua di dalam tahun 2013 ini. Syukur ya pada Allah kerana kita masih diberikan kesempatan untuk merasa kehidupan di dunia ini.

Sahabat, pernahkah kita sangka bahawa segala tindakan kita di dunia ini disukai oleh semua manusia? Apa sahaja yang kita lakukan disokong dan diikuti oleh mereka. Sukar untuk kita memuaskan hati orang tetapi biarlah kita lakukan itu atas keperluan kita bukan atas kehendak kita. Lumrah di dalam kehidupan sudah pasti ada yang tidak berkenan. Jangan disangka orang yang baik juga tidak ada yang membencinya bahkan menjadi orang yang baik itu lagi banyak musuhnya. Tetapi ingat jika kita menjadi baik bukan untuk membina permusuhan tetapi mencipta ikatan persaudaraan.

Musuh itu kadang-kadang akan menjadi tangga untuk kita berjaya dan kadang-kadang akan menjadi sahabat kita yang paling kita cinta. Ingat sahabat yang baik akan menegur kesilapan rakannya dan membantu untuk menyelesaikan masalah rakannya itu. Bukan hanya menegur dan membuat mimik muka kasihan. Nabi juga mempunyai musuh yang ramai inikan pula kita yang hanya manusia penuh dosa. Ambillah iktibar dari sejarah Nabi bagaimana baginda memenangi hati musuh-musuhnya itu terutamanya kaum Kuffar.

Jangan kita angkuh dengan apa yang kita ada kerana musuh kita senantiasa memerhatikan gerak geri kita. Untuk apa kita membangga diri andai ada yang masih membenci. Kita punya hati, akal dan fikiran untuk kita jadikan iktibar di dalam kehidupan. Sukar untuk mencari kawan yang benar-benar baik tetapi mudahkanlah dengan lakukan sebenar-benar kebaikan kepada kawan kita. Hargailah mereka dan bukan memaksa mereka untuk menghargai kita. Kuasa itu sementara, jawatan itu ada tempohnya dan penghormatan juga ada masanya. Yang kekal hanya jasa. Ingatlah baik orang kepada kita bukan baik kita kepada orang dan Ingatlah buruk kita kepada orang bukan buruk orang kepada kita.=)

Sunday, January 13, 2013

Allah akan beri lebih dari itu...



Kita minta panas hingga ke malam tapi Allah datangkan hujan kedamaian. Kita pinta senyuman yang berpanjangan tetapi Allah hadirkan tangisan sebagai penyeri rasa kita dan terkadang kita pohon moga diberikan kesenangan di dalam kehidupan tetapi Allah berikan kesempitan di dalam hidup. Apa sebenarnya erti pemberian Allah itu kepada kita. Adakah benar Allah menyayangi hambanya?

Benar ia memang benar. Allah tidak pernah membenci hambanya yang sentiasa meminta, cuma tempoh masanya cepat atau lambat sahaja. Bersabarlah dalam berdoa. Apa yang penting apabila kita berdoa itu mestilah ada keyakinan yang kuat. Yakin bahawa Allah pasti memperkenankannya. Insya Allah doa kita pasti termakbul. Saya teringat perbualan di antara saya dengan seorang hamba Allah yang berniaga burger berdekatan dengan tempat saya belajar.

“Assalamualaikum pak cik, burger ayam special satu ye.”

“Waalaikumussalam ye nak. Mujur anak sempat kalau tak dah habes tinggal satu je lagi. Ujar pak cik itu kepada saya

“Alhamdulillah rezeki pak cik malam ni kan? Sekejap je Allah nak beri kan pak cik kan.” Soal saya kepada beliau.

“Ye Nak. Allah makbulkan doa pak cik hari ni. Alhamdulillah. pak cik sentiasa berdoa moga rezeki pak cik bertambah dan burger pak cik habes dijual. Kalau tak terpaksa pak cik tunggu sampai ke lewat pagi.”

Saya melihat ukiran senyuman yang ada pada wajahnya. Saya sudah mengenali pak cik ini dari semester 3 lagi. Alhamdulillah, kadang-kadang dia memberikan ilmu santai kepada saya yang saya tidak akan dapat di mana-mana. Pesan saya kepada semua, jangan sesekali kita sombong dengan insan seperti ini, ramahlah dengan mereka kerana ada sesuatu yang pasti mereka berikan bukan burger percuma tetapi suatu ilmu yang berguna yang tidakkan kita perolehi di mana-mana. Sebenarnya hati ini sudah lama menginginkan burger bakar Abang Burn. Mudah-mudahan dapat saya rasa suatu hari nanti.

“Anak, kita nie selalu sombong dengan Allah, termasuklah pak cik ni. Kita nak jadi kaya tetapi kita malas berusaha apatah lagi berdoa pada DIA. Kita nak harta yang banyak tetapi usaha kita tidak padan dengan apa yang kita hendak. Pak cik bersyukur kerana rezeki pak cik makin bertambah. Alhamdulillah nak, kita pinta je pada Allah, Allah pasti akan perkenankan dan bila Allah bagi lebih dari itu yang kita dapat. Betul tak nak?” Ujar pak cik itu kepada saya

“Ye pak cik. Allah yang berhak memberi dan Allah yang berhak menarik balik apa yang DIA berikan.”

“Anak, cuba kita lihat ayah kita, kalau kita minta sesuatu yang baik. Pernah tak dia tidak tunaikan permintaan kita itu? Kalau ayah takde duit sekalipun dia akan cuba berusaha untuk menunaikan hajat anaknya itu. Ayah akan gigih bekerja untuk pastikan hati anaknya dan dia gembira. Ayah kita hebat nak, cuba tengok kulit dan uban yang ada padanya. Itu lambang kegigihan dia bekerja, untuk apa? Untuk kita nak. Anak, begitu juga dengan Allah, kita mesti berdoa dan meminta kepadanya kemudian kita berusaha dengan segigihnya. Allah pasti akan membantu kita”

Saya terkedu dengan kata-kata itu…

“Ish pak cik nie, buat ayat sentimental pulak dekat sini. Aku ni exam pun tak start lagi, dahla tak dapat balik kampung. Hati dah terlampau rindu nak jumpa mak dan abah. Ya Allah sabarkankanlah hati ini.” Bisik hati saya laju. Andai tiada orang yang melihat pasti air mata saya akan mengalir. Tetapi sebagai seorang lelaki yang sopan, biarlah air mata itu hanya mengalir di dalam hati.=)

Mudah-mudahan kita dapat pengiktibaran dari sedikit cerita saya ini. Saya pasti mungkin ada yang pernah mengalaminya. Tetapi bukan hanya digunakan untuk modal perbualan tetapi jalan kita untuk sentiasa rasa hidup mengingati Tuhan. mudah-mudahan kita menjadi hambanya yang soleh dan bertaqwa.Insya Allah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...