Labels

Pages

Followers

Sunday, January 13, 2013

Allah akan beri lebih dari itu...



Kita minta panas hingga ke malam tapi Allah datangkan hujan kedamaian. Kita pinta senyuman yang berpanjangan tetapi Allah hadirkan tangisan sebagai penyeri rasa kita dan terkadang kita pohon moga diberikan kesenangan di dalam kehidupan tetapi Allah berikan kesempitan di dalam hidup. Apa sebenarnya erti pemberian Allah itu kepada kita. Adakah benar Allah menyayangi hambanya?

Benar ia memang benar. Allah tidak pernah membenci hambanya yang sentiasa meminta, cuma tempoh masanya cepat atau lambat sahaja. Bersabarlah dalam berdoa. Apa yang penting apabila kita berdoa itu mestilah ada keyakinan yang kuat. Yakin bahawa Allah pasti memperkenankannya. Insya Allah doa kita pasti termakbul. Saya teringat perbualan di antara saya dengan seorang hamba Allah yang berniaga burger berdekatan dengan tempat saya belajar.

“Assalamualaikum pak cik, burger ayam special satu ye.”

“Waalaikumussalam ye nak. Mujur anak sempat kalau tak dah habes tinggal satu je lagi. Ujar pak cik itu kepada saya

“Alhamdulillah rezeki pak cik malam ni kan? Sekejap je Allah nak beri kan pak cik kan.” Soal saya kepada beliau.

“Ye Nak. Allah makbulkan doa pak cik hari ni. Alhamdulillah. pak cik sentiasa berdoa moga rezeki pak cik bertambah dan burger pak cik habes dijual. Kalau tak terpaksa pak cik tunggu sampai ke lewat pagi.”

Saya melihat ukiran senyuman yang ada pada wajahnya. Saya sudah mengenali pak cik ini dari semester 3 lagi. Alhamdulillah, kadang-kadang dia memberikan ilmu santai kepada saya yang saya tidak akan dapat di mana-mana. Pesan saya kepada semua, jangan sesekali kita sombong dengan insan seperti ini, ramahlah dengan mereka kerana ada sesuatu yang pasti mereka berikan bukan burger percuma tetapi suatu ilmu yang berguna yang tidakkan kita perolehi di mana-mana. Sebenarnya hati ini sudah lama menginginkan burger bakar Abang Burn. Mudah-mudahan dapat saya rasa suatu hari nanti.

“Anak, kita nie selalu sombong dengan Allah, termasuklah pak cik ni. Kita nak jadi kaya tetapi kita malas berusaha apatah lagi berdoa pada DIA. Kita nak harta yang banyak tetapi usaha kita tidak padan dengan apa yang kita hendak. Pak cik bersyukur kerana rezeki pak cik makin bertambah. Alhamdulillah nak, kita pinta je pada Allah, Allah pasti akan perkenankan dan bila Allah bagi lebih dari itu yang kita dapat. Betul tak nak?” Ujar pak cik itu kepada saya

“Ye pak cik. Allah yang berhak memberi dan Allah yang berhak menarik balik apa yang DIA berikan.”

“Anak, cuba kita lihat ayah kita, kalau kita minta sesuatu yang baik. Pernah tak dia tidak tunaikan permintaan kita itu? Kalau ayah takde duit sekalipun dia akan cuba berusaha untuk menunaikan hajat anaknya itu. Ayah akan gigih bekerja untuk pastikan hati anaknya dan dia gembira. Ayah kita hebat nak, cuba tengok kulit dan uban yang ada padanya. Itu lambang kegigihan dia bekerja, untuk apa? Untuk kita nak. Anak, begitu juga dengan Allah, kita mesti berdoa dan meminta kepadanya kemudian kita berusaha dengan segigihnya. Allah pasti akan membantu kita”

Saya terkedu dengan kata-kata itu…

“Ish pak cik nie, buat ayat sentimental pulak dekat sini. Aku ni exam pun tak start lagi, dahla tak dapat balik kampung. Hati dah terlampau rindu nak jumpa mak dan abah. Ya Allah sabarkankanlah hati ini.” Bisik hati saya laju. Andai tiada orang yang melihat pasti air mata saya akan mengalir. Tetapi sebagai seorang lelaki yang sopan, biarlah air mata itu hanya mengalir di dalam hati.=)

Mudah-mudahan kita dapat pengiktibaran dari sedikit cerita saya ini. Saya pasti mungkin ada yang pernah mengalaminya. Tetapi bukan hanya digunakan untuk modal perbualan tetapi jalan kita untuk sentiasa rasa hidup mengingati Tuhan. mudah-mudahan kita menjadi hambanya yang soleh dan bertaqwa.Insya Allah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...