Labels

Pages

Followers

Friday, December 28, 2012

Jumaat yang Terakhir...



Ya Allah diri ini berada di dalam kesakitan. Kau sembuhkanlah segala penyakit yang ada di dalam tubuhku ini. Sembuhkanlah Ya Allah. Tidak lama lagi aku akan berperang dengan tinta untuk meneruskan amanahmu sebagai khalifah. Ku pohonkan agar kau memberikanku kesembuhan yang baik  Ya Allah. Engkau yang memberikan kesakitan dan engkau yang memberikan kesembuhan. Mudah-mudahan semuanya di bawah penjagaan mu. Wahai Allah kurniakanlah aku nikmat hidup yang senantiasa mencintai  dan mensyukuri keagunganMU. Mudah-mudahan aku menjadi hamba mu yang soleh dan mudahan aku menjadi anak yang baik.Amen.=)

Semakin kita meniti usia semakin dekat kita dengan kematian. Usia kita kian bertambah dosa kita juga makin membongkah tapi apakah natijah yang telah kita lakukan di sebalik pemberian nikmat Allah ini. Adakah kita terus bergelumang dengan dosa adakah kita masih seperti dahulu dan tidak langsung ingin merubah. Tidak cukup hanya sekadar memasang angan-angan tanpa dizahirkan dengan perlakuan. Impian itu penting tapi biarlah ia menjadi kenyataan. Pesan saya pada diri, kematian itu pasti tapi sudahkah kita bersiap sedia atau hanya sekadar menanti? Tidak. Marilah sama-sama kita perbetulkan diri. Marilah sama-sama kita tingkatkan amal ibadah kita. Ingat, jalan ke syurga itu banyak, pilihlah dan carilah kerana syurga itu mahal dan indah.

Kiralah berapa umur kita sekarang dan muhasabahlah sejenak apakah kita sudah melaksanakan amanah kita dengan Allah dengan sebaik mungkin, segala apa yang kita ada ini semuanya pinjaman bukan milik kita yang kekal. Hanya Allah yang maha kekal, Maha Kekal. Buat teman semua selagi masih ada nafas pada nyawa kita, laksanakanlah apa yang belum kita laksana. Saya yakin. Masih banyak hutang kita dengan Allah. Taubat itu terbuka luas bagi insan yang benar-benar ingin berubah. Kebaikan itu bukan hanya untuk orang baik, tetapi orang yang pernah melakukan kejahatan juga masih mampu untuk berubah menjadi baik dan ingin walau diri kita sudah mendapat hidayah untuk berubah jangan sekali-kali kita bongkak dan sombong. Jawatan itu bukan kuasa tapi amanah dari Allah. Terkadang kita bangga mempamerkan kehebatan kita di facebook, menjaja diri kita sini dan sana dalam bahasa remaja, merasakan diri ‘budget’ bagus. Apa sahaja yang kita lakukan diceritakan di laman itu. Allah tidak memandang pada diri orang yang sombong. Keihlasan dalam melakukan amanah itulah yang di pandang Allah. Biar tidak nampak di mata manusia tapi jelas pada pandangan Allah.

Hari ini, Jumaat yang terakhir buat kita. Masihkah sempat untuk kita merasa Jumaat yang seterusnya? Masih adakah ruang dan peluang untuk kita merasai nikmat penghulu segala hari ini. Allah. Sayu rasa saya diiringi mendung cuaca di sana, rasa sayup mula membelenggu diri sama rasanya tatkala mengingati pemergian Ramadhan pada tahun ini. Sempatkah saya untuk merasanya lagi sempatkah kita wahai teman? Jumaat yang terakhir ini peringatan buat kita dan ingatan buat semua yang bernyawa. Hari ini akan berlalu pergi adakah kita akan bertemu pada tahun yang mendatang. Sama-sama kita berdoa moga Allah panjangkan umur kita dan moga Allah berikan peluang untuk kisa melaksanakan sisa amanah yang masih belum kita jamah.

Jumaat yang terakhir ini, kita penuhkan dengan amalan. Ingatan buat diri yang lemah ini. Kita mampu bertahajud dengan facebook dan twitter hingga ke hening pagi masakan kita tidak mampu untuk bertahajjud di malam hari mengatur janji dengan Ilahi. Ayuh sama-sama kita koreksi diri lakukan perubahan kerana esok belum tentu ada. Jika ada, Alhamdulillah. Bagi yang punya musuh, maafkanlah mereka. Sukar untuk memaafkan tetapi ingat Allah itu maha pengampun dan maha pemaaf dan nabi Allah juga insan yang senantiasa memaafkan umatnya. Berilah kemaafan.. jagalah hubungan kita dengan Allah, Allah pasti akan menjaga kita. PASTI!

Lagu ini penuh peringatan buat kita.Dengarlah..luangkan sedikit masa anda dan hayati bait-bait katanya.

Tuesday, December 25, 2012

Kita Selalu...Mengeluh dengan Allah...




Kita dilahirkan dengan penuh kesempurnaan. Lahir kita disambut dengan tangisan dan mati kita nanti juga akan di sambut dengan tangisan. Kita lahir umpama kain yang putih dan kita mati nanti juga akan dibaluti dengan kain yang putih. Kita lahir dari tempat yang hina. Itu bukti kita bukan yang berkuasa dan kita bukan raja selamanya. Allah yang menjadikan kita. Sedarkah kita akan keEsaan Allah yang senantiasa merahmati dan membahagiakan hidup kita. Kadang kita minta hujan, Allah turunkan kemarau yang tak berkesudahan, kadang kita minta senyuman tapi Allah hadirkan tangisan buat kita, dan kadang kita berdoa moga diberikan rezeki yang melimpah ruah namun Allah berikan kita kemiskinan yang tidak terluah.

Semua ini ujian dari Allah. Allah memberikan ujian itu yang terdaya untuk hambanya menerima. Apabila berlaku kesusahan di dalam hidup kita, adakah kita kembali kepada Allah atau terus menyalahkan takdir? Sebagai hamba Allah itu bukan caranya. Kita ada pencipta kita. Mengadu dan berdoa pada Allah. Analogi mudah untuk kita fikir bersama, sekiranya kita mempunyai kereta berjenama Proton dan tiba-tiba kereta itu mengalami kerosakan, di mana harus kita bawa? Adakah di kedai servis Honda atau Toyota atau di bengkel kereta biasa? Sudah tentu kita akan bawa kereta kita itu di pusat servis Proton walaupun charge yang dikenakan agak mahal. Mereka yang membina dan mencipta kereta itu dan tahu kerosakan kereta itu. Tidak mungkin Pusat servis Honda dapat menyelesaikannya. Begitu juga dengan kehidupan kita. Mengadu pada Allah. Allah yang menciptakan kita, Allah tahu apa yang terbaik buat kita dan kita sentiasa berada di dalam perancangan Allah.

Hati resah tiada apa yang boleh di ubat melainkan mendapat ketenangan. Di mana kita mendapatkan ketenangan itu? Semuanya berbalik kepada pencipta kita. Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang? Al-Quran diturunkan penuh mukjizat yang hebat. Bacalah..kajilah sirahnya..hayatilah setiap apa yang diperkatakan. Semuanya datang dari Allah. Melengkapi segala-galanya. Jangan kita hanya sekadar membaca tanpa menghayati maknanya. Rugi dan amat rugi. Fikirkanlah sejenak, di dalam sehari kia boleh membuka akaun facebook selama berjam-jam lamanya, kita boleh membuka akaun twitter dengan beratus-ratus tweet di dalamnya dan kita boleh menulis apa sahaja yang kita suka di dalam blog tanpa terkira entry yang sudah kita cipta. Tapi di dalam sehari itu adakah kita mampu membuka akaun talian kita dengan Allah yakni membaca Al-Quran? saya menegur diri saya terutamanya dan kepada rakan-rakan semua. Adakah dating kita dengan Allah hanya sekadar solat dan berdoa dan kemudian menunggu waktu solat yang seterusnya. Itu pun belum tentu lagi kita dapat bersolat di awal waktu. Ingat! Syaitan itu kreatif permainannya dan inovatif fikirannya untuk menyesatkan dan melalaikan kita.

Nasihat dari rakan saya katanya “Syeikh, enta kalau tak mampu baca Al-Quran satu juzuk sehari, cukuplah dengan satu muka. Baca dan hayati maknanya dan jangan tidak langsung menyentuhnya. Cukup hanya sekadar semuka tetapi enta dapat mengambil pengajaran dan ibrah tentang apa yang enta baca tue. Jangan kita berkira dengan Allah nanti Allah berkira dengan kita. Selangkah kita datang kepada Allah seribu langkah Allah mendekat dengan kita.” Pesanan yang cukup memberi erti buat saya dan senantiasa menjadi motivasi tatkala diri ditimpa duka. Sentiasa berpesan pada diri, Allah sentiasa ada dengan kita, sentiasa ada dan tidak akan sekali-kali meninggalkan kita.

Ujian itu satu kecintaan Allah pada hambanya. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis dan mahal. Untuk mencapai syurga, kita harus bersiap sedia dengan ujian dari NYA. Banyak persoalan senantiasa bermain di minda kita tatkala diri diuji dan ada yang hampir berputus asa. Buat teman di sana dengarlah jawapan dari Allah ini:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: Kami beriman, sedangkan mereka tidak akan diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahi orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahu orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Apabila kita menerima ujian yang paling berat di dalam hidup kita, kita juga sering mengeluh dan kita bertanya pada Allah, adakah benar Allah menyayangi kita? Jika benar mengapa Allah berikan ujian yang tidak mampu kita tanggung ini. Ingatlah jika kita mempunyai masalah yang besar jangan sesekali kita berkata, “Wahai Allah, aku ada masalah besar.” Tetapi berkatalah pada masalah itu . “Wahai masalah, aku ada Allah yang maha besar dan Allah pasti akan membantuku. Ingat ujian itu Allah bererti kita mampu untuk menghadapinya. Hayati titipan kalam Allah ini:

“Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”(Surah Al-Baqarah ayat 286)

Ada di antara kita yang tidak mampu menanggung segala ujian yang menimpa. Hidup dirasakan tiada ertinya. Mati itu penamat segala sengsara di dunia. Ujian itu satu kepahitan kerana sudah buta erti kemanisan di dalam kehidupan. Jangan sekali-kali kita kecewa dan berputus asa. Jadikanlah ingatan dari Allah ini sebagai penawar duka kita:

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran ayat 139)

            Tika ujian itu hadir kita sangsi dan kita seakan mati, tidak tahu ke mana arah tuju dan tempa untuk kita mengadu. Bukankah kita ada Allah yang maha mendengar dan maha mengasihi. Cukuplah Allah sebagai penolong bagimu dan cukuplah Allah sebagai pelindung bagimu. Hayati bicara suci kalimah Ilahi ini:

“Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan yang sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Surah Al-Baqarah ayat 45)

Kita terus mengeluh tatkala apa yang kita minta itu tidak ditunaikan. Allah gantikan yang bukan kita sukai. Ingatlah bahawa sesuatu yang kita sukai itu akan menjadi kebencian buat kita suatu hari nanti. Berdoalah pada Allah moga rasa itu tidak pernah berubah. Kita bertanya adakah ganjaran buat kita sekiranya kita sabar dengan segala ujian yang menimpa ini. Jawapannya ada. Al-Quran telah merakamkan janji Allah yang pasti ini:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dan memberikan syurga untuk mereka…” (Surah At-Taubah ayat 111)

Moga-moga titipan kali ini ada secangkir ingatan buat semua. Berilah peringatan kerana peringatan itu ada manfaat bagi orang mukmin. Pesanan buat diri dan buat semua. Sebarkanlah dengan rasa ingin berdakwah di jalan Allah. Salam Peperiksaan. Moga kita diberikan kemudahan untuk menjawab semua soalan peperiksaan nanti. Amen.

Sunday, December 23, 2012

Hanya kerana Namamu Wanita




“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”
 Surah An-Nisa ayat 1

Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Lumrah sama seperti penciptaan alam yang ada pasangannya begitu juga dengan makhluk yang bernama manusia. Itulah hebatnya Allah. Raja segala raja. Allah menciptakan suatu kehidupan yang indah di dunia ini bukan sebagai tempat untuk kita mencari segala penghargaan manusia tetapi tempat untuk kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai hambanya yakni persediaan untuk kita berada di dalam kehidupan selepas mati nanti.

Hakikat CINTA itu lahir dari syurga. Syurga yang maha indah dan penuh kenikmatan namun Nabi Adam yang masih berada di dalam syurga masih ada lagi kelompongan dan kekosongan di dalam hatinya. Allah s.w.t maha tahu. Allah ciptakan nenda kita siti Hawa sebagai pasangan kepada datuk kita, Nabi Adam. Bermula dari saat itu berputiklah cinta. Dan kemudian cinta itu didamparkan di dunia, penuh ujian dan dugaan dan bagaimana cinta yang baik itu akan kembali balik kepada yang baik. Cinta yang bermula di Jannah akan kembali pulang Jannah. Cinta itu berputik di syurga. Lahir dari orang yang baik seperti Nabi Adam.

Bukan soal cinta yang ingin saya khususkan pada perbincangan kali ini tetapi soal makhluk yang bernama Wanita. Hati nabi Allah Adam menjadi lunak tatkala Allah menghadiahkan pasangannya yang bernama Siti Hawa. Cinta mereka tiada tolok bandingnya. Dialah wanita yang pertama yang telah membahagiakan hati seorang lelaki. Wanita itu lembut sifatnya, manis senyumnya dan teguh hatinya. Tutur katanya sopan, akhlaknya penuh keperadaban.

Selalu kita mendengar pergaduhan jantina siapa yang lebih hebat. Sang lelaki dengan angkuh menyatakan dialah kaum yang hebat dan kuat tetapi hakikat masih ada yang lumpuh ketika subuh mendekat. Wajah kacak tapi pudar akhlak tiada langsung gunanya kepada kita bahkan kepada agama. Lelaki yang punya rupa tetapi kosong jiwanya tidak akan mampu mendidik seorang insan yang bernama wanita. Ada juga sang lelaki yang berperwatakan separa, sebahagian lelaki dan sebahagian lagi sebaliknya. Mereka juga berbangga dan menyatakan ‘jantina’ mereka juga tidak kurang hebatnya tetapi masih tiada gunanya kerana mereka masih berada di dalam zon kecelaruan. Saya bukan hendak menyalahkan kaum ini tetapi marilah sama-sama kita berdoa moga-moga mereka berubah. Mereka juga seperti kita inginkan bimbingan bukan cacian atau kejian. Islam itu indah dan dakwah itu perlu diperindahkan dengan seninya agar segala isi yang kita ingin sampaikan lekat dan kuat di hati mereka.

Golongan wanita juga tidak kurang hebatnya bahkan akan mudah melenting apabila kemampuan mereka dipersoalkan. Kata mereka, lelaki dan wanita pada zaman ini sudah tidak ada bezanya. Bahkan segala-galanya hampir sama, soal jawatan, pangkat, kedudukan, ekonomi dan politik golongan wanita sudah berjaya menyaingi kaum yang bernama lelaki. Lihat sahaja di institusi pendidikan, bermula di tadika sehinggalah di menara gading sana semuanya dikuasai oleh golongan wanita. Itu bukti mereka sudah memiliki kuasa lebih dari sang lelaki. Tetapi apa guna kecantikan yang menawan jika akhlak rosak melebihi kelakuan syaitan apa guna kepandaian tetapi digunakan untuk merosakkan fikiran insan dan apa guna kuasa jika itu memberikan sengsara pada mereka.

Cintanya Rasulullah terhadap golongan wanita. Baginda menjadi pelindung kepada golongan ini. Lihat sahaja bagaimana beliau menyantuni isteri-isterinya dan anak perempuannya. Penuh kelembutan penuh keikhlasan. Tutur katanya senantiasa dirindukan mereka. Langsung tiada lafaz herdik tetapi setiap bicara yang keluar dari kalamnya penuh mendidik. Hebatnya cinta Rasulullah kepada mereka dan kita. Wahai insan yang bernama lelaki jangan sekali-kali kita menyakiti hati insan yang bernama wanita ini. Hati mereka penuh kelembutan, air mata mereka yang tumpah tidakkan mampu dibayar oleh kita, mereka insan berperasaan mereka juga yang akan menjadi ibu kepada zuriat kita nanti. Bimbinglah mereka dengan rasa berTuhan bukan dengan kekerasan mahupun penindasan. Mereka umpama besi yang bengkok dan mereka juga umpama kerak nasi yang keras. Besi boleh dilenturkan dengan baik andainya dipanaskan dengan suhu yang bersesuaian dan kerak nasi akan menjadi lembut andainya diletakkan air menyeri tambahan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).

Benar terdapat hadis yang menyatakan di neraka nanti kaum wanita begitu ramai di neraka. Tapi usah kita gentar dan takut kerana kaum wanita begitu mudah  untuk ke syurga. Hakikat di neraka kaum wanita itu ramai tetapi sudah tersurat, kaum wanita itu begitu mudah untuk memasuki syurga. Ingatlah akan kalam Allah yang di sampaikan melalui lidah baginda Rasulullah ini.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

dan

Dari Abdurrahman bin Auf bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Jika perempuan mengerjakan solat yang lima, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya dan taat kepada suaminya maka akan dikatakan kepadanya masuklah ke dalam syurga dari pintu syurga yang mana sahaja engkau suka- Hadis Riwayat Ahmad dan Thabarani.

Saya berpesan kepada diri saya terutamanya dan kepada pembaca semua, jangan kita keji kepada golongan wanita yang masih belum mendapat hidayah untuk menutup aurat dengan sempurna tetapi berilah bantuan dan doa. Bimbinglah mereka dengan penuh hemah bukan dengan kata yang mampu membuatkan mereka menjadi lemah, lemah untuk berubah. Kita mengasak golongan ini dengan penuh hentaman dan cacian tapi mungkin kita lupa ada di antara sanak saudara kita juga seangkatan dengan mereka. Jadi, lebih baik kita menegur ahli keluarga kita dahulu. Perbetulkanlah mereka dahulu untuk kita sama-sama memasuki syurga Allah. Insya Allah. Jangan kita sibuk menegur kesalahan orang lain tetapi kesalahan ahli keluarga kita, dibiarkan sahaja. Tega kita untuk membiarkan mereka hanyut ke bahtera neraka? Usahlah kita bersangka buruk kepada golongan seperti ini. Hakikat orang yang suka bersangka buruk itu juga mempunyai hati yang buruk.

Berbalik kepada soal siapa yang kuat dan siapa yang hebat. Jawapan saya kedua-duanya hebat baik lelaki mahupun wanita. Tapi yang terhebat adalah makhluk yang bernama Wanita. Lelaki itu lahir dari rahim seorang wanita. Mungkin ada yang menyatakan bahawa tanpa lelaki zuriat itu tidakkan ada. Sebenarnya, bukan tanpa lelaki tetapi tanpa izin Allah, kita tidakkan mampu lahir ke dunia. Lelaki tidakkan mampu menanggung keperitan bermula dari mengandungkan seorang zuriat sehingga melahirkannya. Tempoh masa 9 bulan 10 hari bukan tempoh masa yang singkat. Hakikat, ada kaum lelaki yang mengandung tetapi mereka tidak mampu dan tidak akan dapat melahirkan anak. Itulah salah satu keesaan dan kehebatan Allah s.w.t. Hargailah insan yang melahirkan kita yakni ibu yang kita cinta. Jangan berkira untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka. Juga bagi yang mempunyai ibu mertua atau bakal mempunyai ibu mertua, hargailah ibu mertua kita kerana mereka telah melahirkan pasangan kita itu.

 Ku tinggalkan tontonan ini untukmu yang bernama wanita….


Al-Imam al-Thabrani meriwayatkan bahawa Mu’awiyah bin Abi Sufian pernah meminang Ummu al-Darda’ selepas meninggalnya Abu al-Darda’. Lalu pinangan Mu’awiyah itu ditolak dan dijawab oleh Ummu al-Darda’ dengan berkata:  “Sesungguhnya daku pernah mendengan Abu al-Darda’ berkata yang beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Mana-mana wanita yang kematian suaminya, kemudian wanita itu berkahwin dengan suami yang lain, maka ia menjadi milik suaminya yang terakhir ketika di dunia. Maka aku tidak akan memilih engkau untuk menggantikan tempat Abu al-Darda’.”  Lalu Mu’awiyah menjawab: “Jika demikian hendaklah kamu (wahai Ummu al-Darda’) membanyakkan berpuasa, kerana puasa itu menghilangkan keinginan syahwat nikah.” 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...