Labels

Pages

Followers

Thursday, July 25, 2013

Usah Tersalah Pilih!


Pilihan di tangan anda atau adakah pilihan di hati anda??? Kita membuat pilihan bukan berdasarkan mata yang kita ada tetapi kita memilih pilihan dengan mata hati yang menjadi kepunyaan kita. Dalam kehidupan kita sememangnya diberikan pilihan untuk hidup. Hidup yang bahagia ataupun hidup yang derita. Benar, ketentuan hidup sudah ditakdirkan Tuhan tetapi kita yang harus menentukan tadbir hidup kita. Ke mana arah tuju kita bukan sahaja di dunia tetapi apabila kita pergi meninggalkan dunia yang fana ini yakni Alam akhirat.

Orang yang berjaya adalah orang yang memaksa dirinya berubah dan orang yang gagal adalah orang yang berubah kerana terpaksa. Kita bukan orang yang terpaksa tetapi kita orang yang memaksa diri kita untuk berubah. Di dalam kehidupan ini, Tuhan tidak menilai kita sudah menjadi baik ataupun tidak tetapi Tuhan menilai adakah kita sudah berusaha menjadi baik ataupun belum. Pilihan itu ada di hati kita. Gerak hati membuka bicara menghantar pada minda menyata isyarat bahawa kita adalah seorang hamba. Hamba kepada pencipta kita. Kehidupan dan ujian tidak dapat kita pisahkan kerana ia merupakan rencah dalam hayah kita ibarat makanan dan perisanya. Ujian itu terkadang manis terkadang pahit tetapi redhalah dengan ujian hidup kita. Hidup kita sememangnya layak untuk di uji. Ujian itu datang pelbagai cara dan pelbagai rupa. Terpulang pada kita untuk menanganinya. Tetapi dalam kita redha menerima ujian usah sekali kita lupa pada si Pemberi Ujian itu yakni Allah. Dialah maha mengetahui apa yang berlaku di sebaliknya. Tapi yang pasti setiap apa yang berlaku pasti banyak hikmahnya. Itu yang pasti!

Buntu dengan pilihan yang ada di hadapan mata kita?? Bisiklah pada hati dan Ilahi itu yang pasti akan menjadi jalan pada pilihan. Jika kita hanya sekadar meminta bantuan mata sahaja ia tidak mencukupi untuk kita membuat pilihan.  Terkadang cahaya yang terlampau terang akan membuatkan kita buta! Perlukan bantuan yang ada dalam diri kita yakni mata hati. Hati kita pasti akan berbicara sebaliknya. Ikutlah kata hati bukan memilih pada pandangan mata yang pasti akan membuatkan kita buta dan tuli. Sering kali kita menggunakan mata dalam menilai cinta bukan menggunakan jiwa untuk mentafsir cinta. Maka al-hasil cinta yang disemai itu bukan berkekalan tapi sekadar bahagia pada awalan dan berakhir dengan sebuah penderitaan. Mari sama-sama kita bertanya pada diri. Adakah kita menilai seseorang dengan wajah yang ada pada mereka. Wajah cantik membuat kita terpesona dan rupa yang tampan membuat kita tertawan! Benarkah begitu? Jika itu yang menjadi syarat dalam pilihan kita sebenarnya kita telah membuat satu kesilapan yang amat besar.

Kerana itu bukan menjadi ukuran kebahagiaan yang berpanjangan. Saya ulangi ia bukan menjadi ukuran sebuah kebahagiaan yang berpanjangan. Bagaimana kita mengawal rasa tatkala kecantikan yang ada pada pasangan kita menjadi igauan dan tatapan orang lain. Cemburu pasti ada. Jika pasangan kita itu memahami erti setia mungkin kita tidak perlu merisaukannya tetapi jika sebaliknya kita ada alasan untuk menjadi risau. Awas dengan rupa. Kita yang memilih dan jangan sesekali tersalah pilih. Mungkin kita rasa bangga dapat memikat pasangan yang cantik atau tampan tetapi kita lupa segala yang menjadi tatapan itu hanyalah bersifat sementara bukan selama-lamanya. Saya ulangi bukan selama-lamanya..

Rupa yang menawan itu pasti sirna suatu hari nanti. Ketika itu pilihan yang kita pilih akan menjadi penyesalan dan bukan lagi sebagai kesyukuran! Pilihan yang hanya bersifat sementara bukan untuk setia sehingga hujung nyawa kita. Bila diberi pilihan untuk memilih siapa sebenarnya pasangan hidup kita harus memilih yang benar-benar memahami kita dan yang benar-benar setia pada cinta bukan pada manusia tetapi juga pada pencipta. Pilihan bukan sahaja merangkumi apa yang ada pada pancaindera tetapi ia juga meliputi segala apa yang ada di dalam jiwa. Telusuri fikrahnya bagaimana, agamanya bagaimana, keluarganya bagaimana seluruh hati dan nuraninya untuk siapa. Fikrah itu adalah fikiran dan fahaman. Pemahamannya dalam kehidupan bukan sahaja dari fahaman politik bahkan meliputi fahaman akidah dan ibadah. Jangan sekali-kali kita memilih pasangan yang mempunyai fahaman yang bertentangan dengan akidah kita. Bahaya! Peganglah pada Al-Quran dan As-Sunah.

Di dalam memilih sebenarnya kita baru bermula di dalam fasa perjalanan. Perjalanan mencari teman, perjalanan mengenal Tuhan, perjalanan mengambil iktibar dari lawan! Perjalanan ini penuh ranjau dan cabaran. Sebenarnya kita baru bermula. Kembara kita mencari bahagia dan pasti akan disulami dengan duka air mata tetapi ingatlah bahawa ia sebenarnya duri yang perlu kita rasa sebelum kita mengembara mencari nikmat syurga. Moga Allah izinkan kita untuk merasa nikmatnya ini. Ingatlah bahagia kita ini bukan hanya ada pada penghujung jalan tetapi ia ada pada sepanjang jalan. Railah dan nikmatilah nikmat kehidupan kita ini. Pilihlah kehidupan kita ini dengan jalan yang telah diberikan Tuhan.


Usah gentar pada dosa silam kita. Jadikan ia sebuah pengajaran yang paling berharga. Manusia boleh sahaja menghukum kita untuk memasuki pintu neraka tetapi sifat PENCIPTA kita bukan begitu. Allah itu adil sifatnya. Setiap yang jahat pasti dibalas jahat dan setiap yang baik pasti akan dibalas dengan baik. Biarkan manusia terus mencaci dengan mengadu domba perihal dosa-dosa kita yang lalu. Apa yang penting kita sudah melakukan taubat kepada NYA itu yang utama dan wajib dilaksana! Kita bukan manusia sempurna mereka juga bukan insan sempurna yang terlepas dari dosa. Ingatlah! Tatkala manusia membenci, yakinlah bahawa Allah ada sentiasa di sisi dan tatkala manusia sedang asyik memfitnah, Allah akan hadir menjadi penawar ketika kita resah dan gundah!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...