Labels

Pages

Followers

Friday, March 28, 2014

Jodohkah Namanya?


بسم الله الرحمن الرحیم

Puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi di atas limpahan rahmatnya yang Maha Luas, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Kita masih lagi diberikan rahmat dan kesempatan bahkan sebuah pengharapan untuk meneruskan kehidupan. Selawat dan salam untuk junjungan mulia baginda Rasulullah S.A.W. Mudah-mudahan dengan mengingati Allah dan rasulNYA hati kita menjadi aman dan tenang

Insya Allah, saya sedikit berkesempatan untuk sama-sama berkongsi cebisan ilmu yang maha sempit ini. Insya Allah mudah-mudahan ilmu yang sempit ini jika diniatkan kerana Allah pasti sampai dan terkesan. Ilmu yang datang dari hati pasti akan mengisi hati-hati yang menjiwainya. Fitrah dalam kehidupan adanya sebuah pasangan. Itulah lumrah itulah anugerah dari Allah. Lelaki pasangannya wanita. Adam pasangannya Hawa. Mereka terpisah di syurga tapi dipertemukan kembali ke syurga. Masya-Allah hebatnya Allah.

Jodoh itu rahsia Ilahi, tapi percayalah jodoh yang baik perlu di cari bahkan perlu disertakan doa, restu dan tawakal kepada Allah. Saya terdiam tatkala seorang sahabat mengeluh tentang urusan jodohnya. Kata beliau, sudah tiba masanya untuk beliau mencari pasangan hidup di penghujung semester ini. Mungkin agak terlalu awal tapi masih belum terlewat bisiknya. Keluhan dari seorang sahabat yang membawa berjuta makna kepada saya. Bahkan timbul kerisauan bagaimana pula jodoh saya nanti.

Pintasan hati itu lantas saya segerakan dengan sebuah kalimah “hendakkan solehah aku perlu jadi soleh” dan “inginkan jodoh yang baik aku perlu jadi yang terbaik.” Allah maha tahu segala perancangan yang ada untuk kita. Semuanya telah ditetapkan. Terkadang kita lebih merisaukan soal jodoh dari persoalan tentang bagaimana kita bertemu ajal nanti. Antara bertemu jodoh dan bertemu ajal sudah tentu jodoh berita yang akan menggembirakan kita. Itu hakikat! Tapi tidak bagi orang yang beriman kerana mereka percaya mati itu ‘syarat’ untuk bertemu cinta Allah!

Ada kala pasangan yang kita cari itu mungkin menjadi jodoh kita tapi mungkin juga tidak. Fikirlah sedalam-dalamnya bukan sahaja pasangan tapi pasangan untuk kehidupan kita tapi pasangan untuk kita hidup! Dia yang akan menjadi isteri bahkan ibu kepada anak kita nanti. Insya Allah jika Allah izinkannya. Apa yang menjadi milik kita belum tentu menjadi rezeki kita kerana jodoh itu adalah sebuah rezeki Allah yang tidak terkira nikmatnya.

“Kehidupan kamu bermula selepas perkahwinan!” Kata seorang guru kepada saya. Benarlah kehidupan kita yang sebenar adalah selepas melangkaui alam bujang. Di situ kita diuji dengan tanggungjawab, amanah dan juga hikmah. Apa yang terselindung kini sudah tidak ditutup lagi. Apa yang dilakonkan kini tidak lagi diteruskan. Watak sebenar diri kita akan terserlah. Ketika itu, kita sedar siapa sebenarnya pasangan kita. Jika baik Alhamdulillah, jika tidak Alhamdulillah. Ia ujian dari Allah!

Apabila kita memilih pasangan hidup, kita selalu memikirkan bahawa adakah kita dan dia mempunyai persefahaman dengan dia dan adakah kita benar-benar sesuai dengan dia. Hakikatnya, dia bukan sahaja untuk kita tetapi dia juga untuk ahli keluarga kita. Dia juga akan menjadi kepunyaan ibu dan bapa kandung kita! Benar. Bahkan dia juga akan ‘berkahwin’ dengan kedua orang tua kita. Inilah persoalan yang utama. Bolehkah dia menjaga kedua-dua ibu bapa kita seperti kita menjaga mereka dan bolehkah dia menyayangi kedua-dua ibu bapa kita seperti kita menyanyangi mereka. Allahu Akbar.

Persoalan jodoh ini bukan main-main. Janji yang diucap semasa alam percintaan bukan gelanggang permainan. Ia sebuah perjanjian yang memerlukan pelaksanaan. Bukan kosong penuh bermadah! Alam bercinta kita seolah jutawan, apa saja yang dipinta kita berikan kepadanya tapi apabila sudah melangkah ke alam pernikahan kita menjadi papa bukan ayah tapi papa kedana. Saat itu sang isteri meminta untuk membeli barang dapur pun disuruh menggunakan duit sendiri.

Hanya orang yang pernah bercinta sahaja tahu penangannya. Pengalaman itu pengajaran buat kita untuk sama-sama kita ambil pelajaran. Bahaya dan amat bahaya! Alam percintaan penuh godaan dan ujian. Bukan salah syaitan bukan salah nafsu tapi salah badan yang tersasar dalam mentadbir cinta. Maka nafsu dijadikan raja, syaitan pula dijadikan penasihat. Sering saya titipkan persoalan pada tulisan saya sebelum ini, sepanjang percintaan kita dengan pasangan kita ‘sudah berapa banyak kita melakukan dosa dengannya?” Bukankah kita berjanji untuk membawanya hingga ke syurga? Tapi bagaimana caranya jika pada permulaan hubungan kita, kita sudah letakkannya ke lembah neraka? Nauzubillah. Moga Allah menjaga kita dan menjauhkan kita dari perkara mungkar dan maksiat. Astagfirullah.

Timbul kerisauan di dalam hati dan sanubari ini apabila terkenangkan adik-adik yang sudah membesar. Mereka juga sudah punya hati dan perasaan untuk dicintai dan di sayangi. Ya Allah, jadikanlah saya seorang abang yang tahu akan tanggungjawab. Mudah-mudahan mereka terselamat dari zina dan perkara maksiat. Insya Allah.

Siapa jodoh kita?Allah sahaja yang maha mengetahuinya…Kita hanya sekadar hamba perlu berdoa dan berusaha untuk menjadi hambanya yang baik dan soleh atau solehah. Jodoh itu pasti datang tepat saat dan waktunya andai kita sudah bersedia. Allahu Akbar Allah maha besar bersabarlah tentang urusan Allah ini. Jangan sekali-kali pertikaikan kepada diri kita..”mengapa aku tidak punya kekasih hati?Buruk sangatkah diriku ini?”

Tapi bisiklah pada diri..

Syukur, Alhamdulillah, Allah senantiasa menjagaku dari dosa dan zina hati. Itu hanyalah sekadar kehendakku bukan keperluanku lagi. Biarlah Allah tangguhkannya buat sementara. Aku redha,=)”

#bersambung

p/s: Insya Allah jika ada sahabat yang inginkan sambungannya akan saya ceritakan pada titipan akan datang. Jika tidak cukuplah sekadar ini sahaja dari saya yang penuh dosa ini. Mohon doa dari semua moga Allah memberikan saya kesihatan yang baik untuk terus berdakwah dalam medium ini. Saya bukan penulis buku tapi saya hanya sekadar insan yang hendak berkongsi ilmu! Saya bukan ustaz tapi saya juga sekadar hamba Allah yang ingin menyampaikan sedikit nasihat! Syukran


Saya titipkan pesanan ini buat sahabat :



Thursday, March 27, 2014

Korea Sangat!



Siapa kita?
Siapa kita untuk mempertikaikan ujian dari yang Esa?
Siapa kita untuk menafikan bahawa kita tidak layak untuk menerima ujian?
Siapa kita di hadapan Allah yang maha kuasa?
Siapa kita di hadapan baginda Rasulullah kekasiNya?

Kita sekadar hamba yang kerdil. Hamba yang senantiasa melakukan dosa!
Kita bukan siapa-siapa
Kerana kita adalah kita
Dari gabungan sperma  ibu dan ayah kita
Dari setitis membentuk rupa seorang manusia!

Kita berduka dengan ujian?

Bukankah Tuhan sudah mendatangkan cerita yang berbentuk pengajaran untuk sama-sama kita ambil pelajaran!

Nabi Allah, Muhammad senantiasa berada dalam ujian. Hakikat baginda seorang kekasih Allah. Dalam kandungan baginda sudah kematian ayahanda yang tercinta. Selepas kelahiran ibundanya pula pergi meninggalkan baginda. Kemudian di susuli nendanya terus isterisnya yang tercinta bahkan juga bapa saudaranya turut sama menyahut seruan Allah yang maha esa!

Kematian itu senantiasa memburu baginda.Tapi umatnya yang tetap diutama.Siapa?

Kita.Ya Kita yang bernama manusia. Tapi kita sombong bahkan angkuh untuk mengingatinya.  Masa kita hanya untuk dunia. Facebook, twitter, instagram kita jadikan ‘bacaan’ untuk menambahkan ‘pahala’ kita!
Di mana Al-Quran???Kotorkah ia untuk kita amalkan pada setiap hari?Sucikah lembaran biru putih itu untuk kita menhadap pada setia pagi hingga membawa ke pagi dinihari?

Lagu korea yang sukar kita boleh menghafal tapi ayat Al-Quran yang banyak pahalanya sukar untuk kita baca bahkan menghafalnya!

Berhibur itu tidak salah. Tapi carilah cara yang tidak membawa kita kepada kelalaian. Boleh menangis apabila menonton drama korea tapi selalu kah kita menangis apabila kita berhadapan janji kita dengan yang Esa??

Siapa sebenarnya kita ini?

Allah beri kita pinjaman untuk hidup di dunia ini hanya untuk sekadar bersuka ria? Bercouple sahaja??
Bukan. Matlamat kita adalah untuk menuju akhirat! Jalan ke syurga luas terbentang. Pilihlah…

Kita senantiasa dihidangkan dengan ramuan maksiat sedari kita membuka mata sehinggalah kita menutupnya semula. Pilihan itu ada di tangan kita. Mudah-mudahan kita selamat dari dunia yang dipinjamkan ini.


Hamba menulis sekadar renungan dan peringatan buat diri. Moga-moga sama-sama kita mengambil pengajaran.

Thursday, March 20, 2014

Dengarlah Bintang Hatiku ^^


Teman,
Jalan dakwah yang kau pilih ini memerlukan kecekalan dan ketabahan. Kau pasti akan menerima pahitnya ujian kerana ku tahu manisnya sebuah perjuangan, kembaramu tanpa mengharap Ehsan hanya memerlukan doa kekuatan kau tega dalam menempa sebuah jalan yang penuh ranjau. Kau terima seadanya cerca dan hiba. Kau jadikan ia sebuah nostalgia untuk kau di puncak jaya.

Teman,
Ku tahu jalan yang kita pilih ini bukan suatu permainan bahkan akan menguji kita erti sebuah persahabatan. Kita pasti akan diuji dengan duri persahabatan tapi pesanku teman kita perlu hadapi segala kesakitan dengan penuh keredaan kerana kita sentiasa ada yang Maha Mengasihan.

Teman,
Kita lakukan ini semata-mata untuk mencari redha Tuhan, bukan perlukan perhatian apatah lagi kemahsyuran! Kita hanya abdi pada Ilahi, kita menyampaikan atas nama seorang Muslim. Kita bukan pendakwah tetapi kita juga boleh menjadi penyebar ke jalan Allah, kita bukan ustaz tapi kita juga boleh menjadi seorang penasihat.
Teman,
Terimalah segala kritikan dengan hati yang penuh lapang, saat di hina kita balaslah dengan doa bukan dendam yang membara. Tika kita dipandang sinis, kuatkanlah sayap agama kita untuk menyampaikan. Lontarkan gerimis kita pada Tuhan! Ya, Sesungguhya Dia Maha Mendengar dan dia mengetahui isi hatimu teman.

Teman,
Andai ada di antara kita yang gugur dalam jalan ini, satu di antara harus meneruskannya. Jangan sekali-kali kau atau aku matikan perjuangan ini. Rantai agama ini perlu diteruskan walau apa pun cara kita yang terdaya. Teruskanlah melangkah walau kita berasa susah.

Teman,
Pada sebuah pertemuan, hati kita ditautkan dengan namanya dakwah. Jangan sekali-kali dikau menyerah jangan sekali-kali kau mengatakan bahawa Aku sudah kalah! Ketahuilah olehmu teman, Rahmat Allah pasti mengiringi hamba yang senantiasa berusaha dan tidak berputus asa!

Husairi Hanafi
20/03/2014


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...