Pages

Labels

motivasi (47) Cinta (39) Tazkirah (34) Puisi (31) cerpen (18) lawak (14) Kenangan (8) LIRIK LAGU (7) macam-macam (7) Hiburan (6) Keluarga (6) Gosip Ustaz (5) Gambar (4) Tips (4) Bola Sepak (2) Insaf (2) Artikel (1) Bongkar (1) Sejarah (1)

Followers

Featured Posts

Thursday, April 17, 2014

Wajah Berdosa!



Kenapa masih payah dan susah
Susah benar untuk mengubah
Masihkah aku menyalahkan syaitan?
Atau diriku yang  menolak janji Tuhan?
Ah, aku penat dengan semua ini!
Benar  dan jujur dari hati
Aku ingin berubah
Aku ingin melangkah
Tapi ada sahaja alasan yang meningkah!

Itu dosa! Aku tahu
Tapi aku tega melakukannya
Aku membenarkannya
Mengisi hati-hatiku
Kenapa masih susah untuk berubah

Hatiku sudah rosak?
Ya Allah jika hati yang lama ini sudah mati
Engkau sudikanlah menggantikannya dengan yang baru dan suci
Aku tidak bisa menahan beban yang terpikul ini
Aku khuatir aku akan jatuh tersungkur
Bahkan terkubur…

Nafsu yang bisa
Melemahkan saraf jiwa
Hancur dibadai rangsang
Makin longlai melayar rasa yang mencincang
Sombongnya aku pada MU Tuhan
Ku biarkan mantera lain yang berbicara
Bukan dari kalam mu yang penuh bahagia

Aku makin menjauh terus menjauh
Ingkar dan angkuh!
Entah bila hatiku mahu luluh
Luluh pada jasadku yang akan dimamah usia

Sukar tapi aku perlu menukar
Payah tapi aku mesti beralah
Getir tapi aku harus pandai mentadbir
Biar lambat asalkan aku melangkah
Dari kaku mati dalam tingkah!

Aku ingin berubah
 Ke jalanMU Allah
Aku tidak mahu dipandang indah pada zahir
Tapi batin penuh racun yang mengalir]
Yang bisa merosakkan iman dan taqwaku pada MU



Sunday, April 13, 2014

Lagu buat yang tercinta...


Baru sekejap meninggalkan mereka di kampung tapi rindu bagaikan hangat dan sentiasa segar. Tanpa mereka aku pasti tiada. Terima kasih kasih  Tuhan memberikan aku cinta yang indah ini. Setiap kali aku pandang senyuman mereka terasa hilang penat dalam menuntut ilmu yang setinta, datang berjuta semangat yang memberi untuk aku buktikan segala janji yang telah aku janjikan untuk mereka. Setiap kali pulang mereka senantiasa sambut dengan gembira dari mula aku melihat dunia sehingga kini aku menjadi aku yang dewasa. Sempatkah tuhan untuk aku berbakti pada mereka? Ku yakin jika Dikau izinkan aku pasti akan membayar budi mereka walau tidak setimpal tapi akan cuba sepenuh daya dan keringatku.

Aku sedar aku makin membesar, aku juga sedar mereka juga makin bertambah usia. Wajah yang dulu licin kini kuntum kedutan. Keringat yang memberikan aku makan, tenaga yang senantiasa mengatakan cukup untuk apa yang aku perlukan. Tidak pernah menolak dan mengecewakan. Benang putih yang suci semakin menutup rambut mereka nan hitam. Tuhan jagalah mereka, cintailah mereka seperti mana mereka mencintaiku. Ameen..

Lagu ini ku dedikasikan buat ayah dan bonda..=')

Lirik Lagu Arjuna Beta - Fynn Jamal

Tak kanku biarkan walau ribut menyentakmu yang tidur
datang petir menyambar
jengking dan ular–
bonda takkan berundur

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa

kan ada satu ketika kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul, anakanda,
tak jelas mata–
ambil yang sarat duri

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

ngeri tak terbayang mata
bonda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anakanda

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa


Biar - Fynn Jamal


Mata tua yang memandang aku itu--
Bundar
Pudar

Dia tak mahu bilang apa yang mencengkam jiwa usangnya
“biar”
Katanya, “biar”.

Wahai ayahanda
Berhentilah walau sebentar
Dan renungkan mataku yang melaut
Khabarkan yang jujur dan ujar
Apa menyerabut?

Wahai ayahanda
Bercukuplah menggagah tulang rapuhmu
Akukan lemahmu
Perikan penatmu
Kisahkan jerihmu
Aku mahu tahu

Mata tua yang bagai ada sakti dewa-dewi itu--
Harum
Senyum

Dipukaukan aku nan terus terpana dan terlupakan
“biar”
Katanya lagi, “biar”

Wahai ayahanda
Bisikkanlah walau sekali
Izinkan aku menumpangkan bahu
Berikan aku seperca dari beban kamu

Wahai ayahanda
Lihatkanlah aku
Berlari kini
Melompat tinggi
Setiapnya kerna kau tak pernah pergi

Ah, apa masih ingat lagi
Aku suka lari-lari?
Kau bagaikan tak peduli
Ku biar kau patah hati

Ah, apa masih tidak lupa
Tengking jerit sama-sama?
Makan tak mahu semeja
Sahabat lebih berharga

Ah, apa mampu kau sudikan
Ampun maaf ku sujudkan?
Bisa tidak kau teruskan
Ku sesat kau tunjuk jalan?

Ah, apa layak aku bagi?
Tak terbalas sampai mati
Kau sungguh yang paling tinggi
Istanamu syurga nanti


Friday, April 4, 2014

Cerita Cinta buat Atuk. Al-Fatihah =')


Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang. Syukur Allah masih memberi kita nyawa untuk terus berada di dunianya ini. Dunia yang penuh pancaroba juga penuh racun di dalamnya. Maha suci Allah yang masih memberikan kita nikmat yang tidak terhingga yakni nikmat sihat dan bahagia. Mari kita renung sejenak seandainya nikmat itu, Allah menariknya kembali. Astaghfirullah, berat rasanya untuk kita terima. Allah menarik nikmat sihat dan Allah memberikan kita sakit. Itu adalah ujian!

Makanan dan minuman penyambung hayat kita untuk meneruskan kehidupan. Maha suci Allah yang turut memberikan nikmat kekenyangan buat kita semua. Bayangkan seandainya jika sudah kehilangan nikmat itu yakni nikmat makan. Allahu Akbar…Masih segar diingatan saya tatkala mengenangkan kisah cinta saya bersama Allahyarham nenda tercinta yang baru sahaja pergi menghadap Pencipta. Saya redha dengan suratan ini. Allahyarham nenda selalu berpesan jagalah dan hargailah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Andai Allah menariknya kita pasti sukar untuk mendapatkannya kembali.

Saat Allahyarham nenda diuji sakit, teringat kata-katanya… “Allah dah tarik nikmat sihat dan nikmat makan atuk, Atuk redha, sebagai hamba Allah kita kena senantiasa bersyukur kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat kita. Ini sudah janji atuk yang telah Allah takdirkan. Apa pun keadaan Allah yang kita perlu utamakan

Pesanan itu, sentiasa subur dan harum di hati saya. Atuk juga berpesan..jagalah kesihatan kerana penyakit ini datangnya seperti angin..cepat! tetapi kesembuhannya seperti semut yang berjalan di laluan yang panjang. Mengambil masa yang lama. Allahu Akbar, nikmat sihat ini yang amat kita impikan. Benar kata atuk, jika sakit..harga kesihatan itu kita rasakan teramat mahal!

Allah rindunya pada Allahyarham atuk, rindu itu tiba-tiba datang melamar saya. Air mata merisik tanpa henti. Hanya kalam indah dari Allah saya jadikan bekal buat atuk di sana. Allah jaga atuk saya. Insya Allah.
Sakit itu penghapus dosa, benar! Tapi, adakah bila kita sakit baru kita rasa kita hamba yang berdosa?? Sekali lagi persoalan atuk membuat hati saya lara…lara bukan bererti kecewa lara kerana kini saya tidak dapat lagi mendengar nasihat yang paling berguna dari atuk.

Atuk berpesan..jangan bila kita sakit baru kita hendak mengingat Allah. Allah itu senantiasa di hati dan diingati bukan sekali tapi setiap hari dan selama-lamanya. Istighfar selalu.. tambah atuk..Allah rindunya hati ini kembali bertaut, namun apakan daya sudah suratan takdir dariMU yang maha merencana. Terima kasih Allah dikau menghadirkannya buat kami sekeluarga. Terima kasih yang Allah dikau meminjamkannya walau sementara cuma.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan peluang untuk saya menjaganya di kala beliau dalam keuzuran sehinggalah beliau bertemu takdir dan suratan hidupnya. Maha suci Allah juga yang memberikan saya peluang untuk menguruskan jenazahnya buat yang terakhir kalinya. Wajah itu dahulu, yang senantiasa tersenyum dan memberi keriangan saat saya ditimpa kehampaan, wajah itu yang dulu senantiasa mengirimkan saya doa kekuatan saat saya berada di landasan kesedihan. Allah, sekejap benar masa itu berlalu. Terlalu pantas dan amat pantas. Maha suci Allah juga kerana sempat memberikan saya ruang untuk menjaganya sebelum matahari tinggi memancar. Waktu fajar yang merupakan fajar terakhirnya untuk melihat dunia.

=========================================

Atuk, abang takkan pernah lupa segala pesanan atuk kepada abang. Atuk, abang mohon sejuta kekhilafan andai tidak dapat menjadi cucu yang terbaik. Abang dah mencuba sedaya abang untuk menjaga atuk. Maafkan abang atuk, jika atuk terguris. Tapi percayalah atuk, abang tak pernah sesekali akan melupakan atuk. Al-Fatihah dari abang senantiasa menjadi peneman buat atuk pada setiap malam. Atuk, abang minta maaf andai terlupa atau sengaja melupakannya untuk membaca kalam Allah itu. Insya Allah atuk, abang senantiasa berikan atuk bekal buat di sana. Abang masih ingat saat atuk menyuapkan makanan kepada abang saat abang masih kecil, atuk akan pastikan abang kenyang. Atuk risau jika abang tak makan. Walau makanan kurang tapi Atuk tetap berkata ‘ada lagi.”Atuk…terima kasih mendidik abang sehingga abang berjaya sampai ke tahap ini. Atuk, maafkan abang tak dapat tunaikan janji abang untuk atuk melihat siapa pasangan hidup abang. Maaf atuk, abang masih tidak tahu siapa jodoh abang dan bila ia tiba abang pasti akan menunjukkannya tapi……atuk…

Atuk, maafkan abang atuk..dulu abang pernah berjanji…gaji pertama abang…akan abang kongsikan dengan atuk..tapi maafkan abang..atuk.abang tidak sempat…atuk pergi sebelum abang mendapat kerja. Insya Allah, atuk akan merasa bahagiannya juga.

Dari kecil sampai abang dewasa atuk tidak pernah meninggikan suara..nasihat atuk penuh hemah bicara atuk senantiasa terselit dakwah. Allah ..rindu sekali lagi datang melamar…

Atuk, abang masih ingat dulu ketika abang merajuk dengan mak, atuk yang datang memujuk. Atuk pesan…jangan sesekali berkecil hati dengan ibu kita kerana di situ syurga kita. Ibu itu suci hatinya, tulus jiwanya. Dia sayang pada kita. Terima kasih atuk mendidik abang tanpa rasa jemu.


Atuk, sekarang atuk sudah kembara di alam sana meninggalkan alam nyata. Abang yakin, atuk bahagia di sana, Dalam mimpi abang, atuk senantiasa tersenyum..sentiasa…Andai dapat di ulang masa..tapi sudah tertulis…atuk tunggu abang di syurga ya. Insya Allah jika Allah izinkan kita semua pasti akan ke sana. AL-FATIHAH BUAT ABDUL MAJID B.DAHAMAN (13/1/2014)





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...