Labels

Pages

Followers

Friday, January 18, 2013

Cantik itu untuk siapa???



Pandangan mata selalu menipu kita tetapi pandangan hati tidak pernah menipu bahkan ia tetap dan jujur. Kita akan melihat dan menilai seseorang itu pada kebiasaannya dengan menggunakan panca indera yang kita panggil sebagai mata. Melihat kecantikan seseorang wanita itu juga dengan menggunakan mata. Suka kita apabila ada rakan di sekeliling kita memuji kecantikan kita.

“Eh, awak cantiknya wajah awak, mulusnya kulit awak dan putihnya awak..” Begitulah lebih kurang pujian dari rakan kita.

Saya percaya lelaki mana yang tidak terpana dengan kecantikan yang ada pada wanita itu. Virus ini bukan sahaja ada pada golongan lelaki yang biasa-biasa sahaja tetapi turut tersebar pada golongan lelaki yang ber ‘agama’. Mereka memandang mengikut corak pemikiran mereka. Wanita cantik yang dibaluti dengan akhlak yang baik. Sebenarnya kecantikan itu mampu membunuh seorang wanita itu. Mahukan terlalu cantik sehingga sanggup membuat pendedahan plastik yang begitu mahal harganya. Bukan sahaja mahal dengan kiraan angka tetapi harga yang terpaksa di bayar pada muka apabila ia memberikan kesan sampingan kepada kita.

Masih ingatkah nama seperti Jocelyn Wildenstein yang telah membelanjakan sebanyak  4 juta US Dollar untuk mengubah mukanya menjadi raksasa? Masih ingatkah pada seorang wanita Korea yang bernama Hang Mioku begitu ketagih membuka pembedahan ke atas mukanya hanya untuk dilihat cantik dan akhirnya beliau menjadi seperti raksasa yang digeruni. Itu cerita figura di luar negara. Mari kita lihat di Malaysia. Saya rasa semua pasti kenal kepada nama Zila Bakarin ini. Jika anda tidak mengetahui tentang ini, anda boleh saja google di internet. Apa yang beliau nyatakan adalah beliau begitu menyesal telah melakukan suntikan terhadap wajah dan bibirnya hanya kerana untuk dilihat cantik.

Saya sengaja mengambil contoh artis di luar sana kerana mereka sudah mempunyai nama dan boleh dijadikan pengiktibaran buat kita. Ini baru sahaja sudah pandai sedikit bergaya dan bermake-up sudah tergedik-gedik ingin menayangkan kecantikan mereka itu. Untuk siapa sebenarnya kita tunjukkan kecantikan kita itu wahai kaum wanita? Untuk mendapat anugerah dan pujian dari manusia? Hanya untuk itu? Alangkah rendahnya maruah anda. Ya. Saya minta maaf, kerana jika itu yang anda inginkan anda pasti akan dapat tetapi anda mungkin lupa siapa sebenarnya si pemberi wajah kecantikan itu kepada anda. Adakah anda gunakan sebaiknya? Wajah itu dari kurniaan Allah yang maha indah maha cantik.

Mari kita lihat diri kita, sudah berapa juta gambar kita di upload di facebook, blog. Twitter dan sebagainya. Ingat kembali niat kita yang sebenarnya mengapa perlu kita mengupload gambar itu? Adakah kita ingin merakamkan kenangan abadi atau sekadar hanya ingin mendapat pujian dan like yang tinggi. Saya menegur diri saya yang serba kekurangan ini. Wahai kaum wanita di luar sana. Anda tahu bahaya gambar anda itu apabila diupload di facebook. Anda tahu kan? Tetapi hakikatnya anda malas hendak ambil tahu. Bangga dengan jumlah like yang banyak, bangga dengan memberi saham dosa pada insan yang menekan button like itu. Alangkah ruginya kita. Untuk apa sebenarnya kita suka menayangkan wajah cantik kita itu. Untuk pujian? Untuk tatapan semua? Kita bukan artis tetapi salahkah kita menepis segala dugaan yang akan menghakis peribadi kita? Sama sahaja bagi yang bertudung, berpurdah dan gambar yang membuka aurat. Setiap hari bertukar profile picturenya. Bangga agaknya dengan pujian.

Nasihat saya jika ada yang memuji kecantikan anda itu. Jawablah dengan penuh hemah jawablah hanya kerana Allah….

Wahai sahabat, Alhamdulillah kecantikan ini hanya pinjaman dari Allah dan bukan milik saya yang kekal. Wajah cantik yang awak lihat sekarang ini nanti akan ada kedutan dan pengakhiran akan jadi makanan kepada ulat dan kala jengking. Akan kembali pada Allah. Sahabat, saya bermohon agar anda mendoakan saya, kerana saya tidak mahu sesekali menjadi fitnah pada manusia, kaum adam terutamanya.

Ukirlah kata jawapan itu dengan rasa merendah diri dan hanya kerana Ilahi bukan atas dasar inginkan simpati atau menunjukkan diri punya ilmu agama yang tinggi. Berilah nasihat walaupun ianya pahit untuk diterima.

Soal cantik itu adalah subjektif dan ia amat sukar ditafsir dengan mata. Ramai yang salah anggap apabila seseorang itu punya wajah yang cantik sudah tentu akhlaknya juga baik. Ada.. tetapi tidak semua. Bahkan rupa itu lari dari peribadinya. Rupa itu digunakan untuk menggoda, untuk meraih harta, untuk kepentingan diri dan hanya untuk kepuasan nafsu sahaja. Malang dan malang. Tetapi anugerah yang paling indah apabila wajah itu selari dengan akhlaknya kedua-duanya baik dan terdidik. Kita selalu mendengar perkataan ‘love is blind’. Itulah anugerah. Lelaki yang punya wajah yang biasa mendapat isteri yang indah wajahnya dan begitu juga dengan wanita yang punya wajah yang luar biasa mendapat suami yang indah rupanya. Itulah kurniaan Allah bagi orang yang bersabar dan menjaga akhlaknya.

Saya teringat perbualan antara saya dan kawan saya..

“Ramai orang tanya dekat aku, kenapa aku pilih awek yang biasa-biasa je muka dia”

“Kenapa?” Soal saya ringkas

“Yela, pilih yang cantik-cantik ni susah kalau dia tak pandai jaga muka, senyum dia orang rindu, muka dia sentiasa orang nak pandang, nanti aku juga yang cemburu”

“La..apa susah kau jalan dengan dia nanti kau tutup je muka dia dengan kain ke dengan topeng Power Rangers

“Ish kau nie..aku serius la…sebab tu aku nak pilih yang biasa-biasa je”

“Itu yang kau takutkan ke? Bukan ke wajah cantik dia tue Allah yang cipta? Jadi kita nasihat dan doa supaya dia jaga kecantikan dia tu. Jangan nanti jadi fitnah kepada kita terutamanya dan kepada orang yang memandangnya.”

“Tapi aku ni kuat cemburu. Nanti khawen. Takkan tiap masa aku nak cemburu?” Ujar kawan saya itu.

“Hmm..cemburu tu kan perasaaan, perasaan kan boleh dikawal dan diubah?” Jawab saya

“Ye..kena cari yang cantik la maksud kau?”

“Ye..yang cantik akhlak..kalau dapat cantik wajah itu bonus dekat kau. Tapi jangan nak main-main pula

Kalau kita kejar yang cantik muka. Memang banyak kat luar sana bahkan kita takkan dapat terkejar tapi carilah yang ada akhlaknya. Okay?”

“Okay, baiklah ustaz..ana dengar nasihat enta”

“Hahaha..ish, aku bukan ustaz, aku tak hebat la..aku hanya penasihat..hahaha.” Ujar saya menutup bicara

Ingatlah bahawa semuanya hanya pinjaman dari Allah. Kita akan kembali kepadanya. Itu pasti. Bila waktu dan masa hanya Allah yang mengetahui. Jadilah wajah indah kita itu wajah yang senantiasa mengikat tentang Allah bukan wajah yang selalu menimbulkan kata-kata fitnah kepada kita dan agama.=)


Wednesday, January 16, 2013

Menangislah Wahai Jiwa yang Tenang



Menangislah wahai jiwa yang Tenang

Kau hadir dalam hidupku membuka ruang seri dalam hatiku
Menyinari setiap hari dan waktu mengisi segenap ruang yang baru
Dari mula aku kembara dalam rahimmu kau senantiasa menantiku
Takkan tertinggal walau sesaat takkan terleka walau seditik di mata
Setia cintamu padaku, setia cintamu pada dia, dia yang menjadi tongkatmu
Kau alis ukiran senyuman pahat rasamu di setiap corak tongkat itu
Walau getir kau tidak pernah rasa ia payah, malah kau hadir, hadir memberi peluang
Dia juga begitu, lembut dalam bicara tegas di dalam bahasa, marah bukan zahir dia benci
Tapi luahan batin supaya dia dimengerti, didengari dan diiukiti
Buat kau dan dia dengarlah suara hatiku yang paling dalam ini
Aku tanamkan genta rasaku terhadap kau dan dia
Bagaimana aku nanti jika kau dan dia tiada, aku tak sanggup bahkan aku tidak mahu

Wahai jiwa yang tenang ini, kuatkanlah aku untuk mencintai mereka
Sentiasa merasa kasih mereka sentiasa tidak lupa pada mereka
Walau nanti aku dipuncak yang tinggi takkan sekali aku pergi
Akan ku bawa kau dan dia bersama, bersama mengemudi hari
Kita mencari apa yang digelar Firdausi, kita rasa apa yang kita tidak rasa di fana ini
Kau dan dia telah meniti hari aku juga begitu, bahkan aku takut
Gerak apakah yang telah aku lakukan kepada kau dan dia untuk sama-sama kita ke sana
Sudahkah cukup? Atau aku masih belum bermula

Wahai Ilahi, pintaku..rayuku agar aku tidak pernah menjauhkan diri dari hartamu yang bernilai itu
Cintaku pada hartamu itu senantiasa mekar dalam kalbu dan jiwaku
Kerna….
Kau adalah bondaku yang ku cinta
Dan kerana
Dia adalah ayahanda ku yang juga ku cinta.

Tuesday, January 15, 2013

Mahasiswa yang BODOH atau DIPERBODOHKAN???




Hari ini hangat dikatakan seorang pelajar universiti yang begitu lantang mengutarakan pendapatnya. Beliau dihentam dari segenap segi. Beliau seorang anak muda berketurunan India. Sebelum saya meneruskan kata-kata ini. Saya berharap agar rakan-rakan pembaca tidak menyalah tafsir apa yang ingin saya perkataan. Jadikanlah ia sebagai isi untuk kita berfikir untuk sama-sama kita nilai dan bukalah pemikiran kita seluas-luasya. Saya bukan hendak berbicara soal politik tanah air kerana saya tidak arif tentang politik di Malaysia ini. Saya juga tidak mahu berbicara dengan emosi kerana saya takut isi yang saya ingin sampaikan kepada pembaca nanti menjadi lari dan terhenti.

Heboh video ini di Youtube, Facebook, Twitter dan laman sosial yang lain yang menyatakan kebiadaban seorang mahasiswi wanita ini. Beliau berbicara soal kepentingan mahasiswa di garap dengan fakta dan pemikiran beliau. Saya yakin beliau banyak berfikir dan membaca dan tidak menyerap sebarang fahaman tanpa berfikir terlebih dahulu. Benar negara kita adalah negara demokrasi dan kita bebas bersuara tapi ingat bukan bebas ‘sepenuhnya’. Gadis India ini antara mahasiswi yang berjaya bangun dari keramaian yang hanya tahu mengangguk dan bertepuk.

Namun, apa yang malang adalah apabila seorang wanita yang lebih berusia daripada gadis ini terus memotong dan mencatas hujah dan percakapannya. Adilkah begitu? Di mana hak beliau sebagai seorang mahasiswa untuk bersuara. Mikrofonnya di rampas dan percakapan beliau dihentikan. Kali ini saya melihat hujah antara ilmu dan emosi. Wanita yang menjadi pengerusi itu hanya bercakap sekadar emosi semata-mata. Dia meminta untuk di dengar tetapi dia sendiri tidak mahu mendengar, dia meminta untuk dihormati tetapi dia sendiri tidak tahu menghormati. Saya yakin dia bukan bangsa Melayu kerana bangsa Melayu ini penuh adab dan kesopanannya dan helahnya juga tinggi setinggi bintang di angkasa.

Apa yang lebih mendukacitakan saya adalah, keegoan seorang wanita yang merasakan bahawa dia berpendidikan tinggi. Beza antara A level dan Degree. Alahai sempitnya pemikiran seorang presiden ini. Jika dibandingkan dengan sijil memanglah dia hebat tetapi jika dibandingkan dengan pemikiran gadis India itu jauh lebih hebat. Ini pandangan saya. Siapa kita untuk menghina orang dikhalayak ramai dan menjatuhkan maruahnya dengan sesuka hati ini. Hanya kerana kita punya jawatan dan pangkat kita bebas melakukannya? Tidak dan tidak kerana mengikut hukum alam apa yang berlaku tidak akan kekal lama. Cuaca ada hujan, ada panasnya air laut juga ada pasang ada surutnya dan begitu juga kehidupan bukan selamanya kita berada di atas. Ingat!.

Ada apa dengan pelajaran tinggi jika ilmu komunikasi dan menghormati tidak beliau adaptasi di dalam kehidupan. Bahkan mempersoalkan gadis itu mengapa beliau perlu belajar di Universiti ini dan mengapa beliau masih perlu tinggal di negara ini. Angkuh dan penuh sombong wanita itu berkata. Di mana datangnya pemimpin jika tidak dari seorang warganegara? Maaf saya tidak menggunakan perkataan RAKYAT kerana rakyat itu bermaksud hamba. Jiwa yang masih rasa dijajah. Sebenarnya kita bukan rakyat tetapi adalah WARGANEGARA. Rakyat bererti hamba yang abdi yang sentiasa mengikut telunjuk orang atasan. Kita sudah merdeka tetapi jiwa kita masih belum. Siapa sebenarnya yang berkuasa di dalam sebuah negara? Yang berkuasa adalah WARGANEGARA. Mereka memilih kerajaan untuk memerintah dan kuasa ditangan mereka. Warganegara adalah raja. Bukan warganegara yang berkhidmat kepada kerajaan tetapi kerajaan yang harus berkhidmat kepada warganegara. Sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyediakan prasarana dan kemudahan kepada kita. Itu memang kerja dan amanah mereka. Bukan untuk dikaut harta yang ada di dalam negara. Mengapa perlu diungkit? Mengapa perlu dimasukkan di dalam bait lagu? Mengapa perlu diminta untuk dihargai? Itu sememangnya kerja anda dan itu sememangnya amanah dari kami untuk anda yang perlu dilaksanakan.

Ada yang menyatakan kita harus bersyukur kerana di bumi Tanah Tumpah kita ini aman dan damai tiada langsung peperangan. Baik, saya nyatakan di sini amankah kita sekiranya kes bunuh, rogol, rompak, samun dan jenayah yang lain berlaku setiap hari. Tidak percaya dengan kata-kata ini lihat di Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan TV 1 bahkan turut ada rancangan khas seperti 999. Amankah kita sebenarnya? Kes ini meningkat saban tahun tetapi yang ditangkap bukan penjenayah,  golongan agama, pelajar yang inginkan haknya, golongan ilmuan dan cerdik pandai yang mendapat hukumannya. Penjenayah semakin ramai dan terus ramai. Soal akhlak apatah lagi, kita mengalami kebobrokan dan kebejatan yang amat serius. Kes pembuangan bayi hampir setiap hari. Itukah bangsa yang merdeka.

Natijah daripada memperbanyakkan program dansa daripada program agama. Pada fahaman kita program agama mesti dikaitkan dengan politik. Itu salah. Banyak lagi ilmu yang diperbincangkan dan salah satunya ada berkaitan dengan politik. Mengapa kita terlalu jumud dan takut. Kita buta menilai hak dan kita celik melihat batil. Mahukan pangkat dan nama, perkara itu kita pandang sepi sahaja. Inilah kehebatan kita. Hanya tahu menyalak apabila isu Kalimah Allah dan penghinaan Rasul dimainkan tetapi apakah sebenarnya tujuan kita. Adakah kita sebenar-benarnya faham tentang agama kita atau sekadar ikutan sahaja. Marilah kita fikirkan bersama. Islam itu cara hidup kita. Tiada langsung lari dengan agama. Mengapa kita tidak mahu bersama dengan orang yang punya ilmu agama mengapa kita lebih suka dengan orang yang punya nama?

Mari kita renung maksud mahasiswa. Mahasiswa terdiri daripada dua perkataan iaitu maha yang bermaksud tinggi serta siswa bermaksud orang yang menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Mahasiswa dicorak dan diwarnakan oleh suasana universiti yang didokongi oleh ahli-ahli akademik. Jika murni dan betul suasana yang dicorakkan itu, serta tepat landasan intelektualnya, maka baiklah mahasiswa yang dihasilkan, dan begitu pula sebalikknya. Sejak merdeka, bilangan siswazah universiti tempatan dan siswazah yang menamatkan pengajian di luar negeri bertambah pesat sekali. Kepesatan tersebut seiring pula dengan kepesatan ekonomi Malaysia yang secara purata menunjukkan kadar pertumbuhan yang tinggi. Dalam suasana begini, keperluan untuk menyediakan tenaga kerja menjadi isu kritikal yang penting, dan tanggungjawab besar itu dibebankan kepada universiti tempatan. Oleh itu para mahasiswa pada masa kini haruslah mempersiapkan diri mereka supaya mampu berdepan dengan pasaran kerja yang semakin mencabar.

            Mahasiswa telah berada di dalam suasana keilmuan dan akademik dalam kehidupan mereka dan telah menjadikan mereka golongan intelektual muda yang mampu disandarkan harapan. Peranan mahasiswa di dalam bidang keilmuan haruslah dipandang tinggi dan mendapat perhatian semua pihak kerana mahasiswa memainkan peranan yang amat penting terhadap pembangunan bangsa dan negara. Walau bagaimanapun, hari ini telah dilihat semakin lesu dan hilang taringnya kerana kegagalan mereka menghayati dan menjiwai peranan mahasiswa yang sebenar. Berada di alam universiti bukanlah masa untuk bersenang lenang setelah berjaya di dalam peperiksaan awam tetapi, masih banyak peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mahasiswa kini. Mahasiswa bukan sahaja perlu untuk menghabiskan pembelajaran mereka di universiti bahkan perlu mempersiapkan diri untuk ke alam kerjaya mereka di masa hadapan.

            Ada yang berpendapat bahawa sekiranya mahasiswa tidak suka dengan sistem pendidikan atau pentadbiran negara, sila keluar dari negara ini. Alahai begitu mudah memberi hukuman. Bukan tidak suka tetapi tidak bersetuju dengan apa yang ada. Bukan menentang tetapi hanya mempunyai perbezaan pandangan sahaja. Salahkan jika menyatakan pandangan. Konsepya mudah di dalam keluarga, kadang-kadang anak-anak ada menegur ibu atau ayahnya tentang sesuatu perkara yang dia tidak suka dan ibu bapa haruslah pandai mendidik anak-anak itu dan membuat sedikit perubahan supaya mendatangkan kembali sifat positif kepada anak-anak mereka. Kita selalu meminta untuk didengar tetapi adakah kita juga selalu mendengar apa yang orang kata?. Wajarkah apabila anak itu menegur ayah dan ibunya terus dia dihalau dari rumah.Ini Zalim. Bukan soal biadap bukan soal anak derhaka tetapi persoalan berkaitan dengan kesalahan.

            Sebagai seorang manusia yang waras kita fikirkanlah sejenak apa yang sudah kita dapat. Bukan tidak mensyukuri tetapi minta untuk diberikan dengan seadil-adilnya tiada langsung berkaitan kaya untuk kroni. Salam sayang dari saya. Saya tutup bicara ini dengan memetik kata-kata dari Buya Hamka, “Kalau hidup sekadar hidup, khinzir di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja.”

Sedikit ole-ole untuk para pembaca.













Sunday, January 13, 2013

Allah akan beri lebih dari itu...



Kita minta panas hingga ke malam tapi Allah datangkan hujan kedamaian. Kita pinta senyuman yang berpanjangan tetapi Allah hadirkan tangisan sebagai penyeri rasa kita dan terkadang kita pohon moga diberikan kesenangan di dalam kehidupan tetapi Allah berikan kesempitan di dalam hidup. Apa sebenarnya erti pemberian Allah itu kepada kita. Adakah benar Allah menyayangi hambanya?

Benar ia memang benar. Allah tidak pernah membenci hambanya yang sentiasa meminta, cuma tempoh masanya cepat atau lambat sahaja. Bersabarlah dalam berdoa. Apa yang penting apabila kita berdoa itu mestilah ada keyakinan yang kuat. Yakin bahawa Allah pasti memperkenankannya. Insya Allah doa kita pasti termakbul. Saya teringat perbualan di antara saya dengan seorang hamba Allah yang berniaga burger berdekatan dengan tempat saya belajar.

“Assalamualaikum pak cik, burger ayam special satu ye.”

“Waalaikumussalam ye nak. Mujur anak sempat kalau tak dah habes tinggal satu je lagi. Ujar pak cik itu kepada saya

“Alhamdulillah rezeki pak cik malam ni kan? Sekejap je Allah nak beri kan pak cik kan.” Soal saya kepada beliau.

“Ye Nak. Allah makbulkan doa pak cik hari ni. Alhamdulillah. pak cik sentiasa berdoa moga rezeki pak cik bertambah dan burger pak cik habes dijual. Kalau tak terpaksa pak cik tunggu sampai ke lewat pagi.”

Saya melihat ukiran senyuman yang ada pada wajahnya. Saya sudah mengenali pak cik ini dari semester 3 lagi. Alhamdulillah, kadang-kadang dia memberikan ilmu santai kepada saya yang saya tidak akan dapat di mana-mana. Pesan saya kepada semua, jangan sesekali kita sombong dengan insan seperti ini, ramahlah dengan mereka kerana ada sesuatu yang pasti mereka berikan bukan burger percuma tetapi suatu ilmu yang berguna yang tidakkan kita perolehi di mana-mana. Sebenarnya hati ini sudah lama menginginkan burger bakar Abang Burn. Mudah-mudahan dapat saya rasa suatu hari nanti.

“Anak, kita nie selalu sombong dengan Allah, termasuklah pak cik ni. Kita nak jadi kaya tetapi kita malas berusaha apatah lagi berdoa pada DIA. Kita nak harta yang banyak tetapi usaha kita tidak padan dengan apa yang kita hendak. Pak cik bersyukur kerana rezeki pak cik makin bertambah. Alhamdulillah nak, kita pinta je pada Allah, Allah pasti akan perkenankan dan bila Allah bagi lebih dari itu yang kita dapat. Betul tak nak?” Ujar pak cik itu kepada saya

“Ye pak cik. Allah yang berhak memberi dan Allah yang berhak menarik balik apa yang DIA berikan.”

“Anak, cuba kita lihat ayah kita, kalau kita minta sesuatu yang baik. Pernah tak dia tidak tunaikan permintaan kita itu? Kalau ayah takde duit sekalipun dia akan cuba berusaha untuk menunaikan hajat anaknya itu. Ayah akan gigih bekerja untuk pastikan hati anaknya dan dia gembira. Ayah kita hebat nak, cuba tengok kulit dan uban yang ada padanya. Itu lambang kegigihan dia bekerja, untuk apa? Untuk kita nak. Anak, begitu juga dengan Allah, kita mesti berdoa dan meminta kepadanya kemudian kita berusaha dengan segigihnya. Allah pasti akan membantu kita”

Saya terkedu dengan kata-kata itu…

“Ish pak cik nie, buat ayat sentimental pulak dekat sini. Aku ni exam pun tak start lagi, dahla tak dapat balik kampung. Hati dah terlampau rindu nak jumpa mak dan abah. Ya Allah sabarkankanlah hati ini.” Bisik hati saya laju. Andai tiada orang yang melihat pasti air mata saya akan mengalir. Tetapi sebagai seorang lelaki yang sopan, biarlah air mata itu hanya mengalir di dalam hati.=)

Mudah-mudahan kita dapat pengiktibaran dari sedikit cerita saya ini. Saya pasti mungkin ada yang pernah mengalaminya. Tetapi bukan hanya digunakan untuk modal perbualan tetapi jalan kita untuk sentiasa rasa hidup mengingati Tuhan. mudah-mudahan kita menjadi hambanya yang soleh dan bertaqwa.Insya Allah.

Thursday, January 10, 2013

Mengapa Perlu Aku Menulis???




“Sekali menulis dan selamanya akan terus menulis”. Kata-kata ini saya ambil dari ungkapan dan prinsip hidup seorang pensyarah saya. InsyaAllah suatu hari nanti saya ingin menjadi penulis yang berjaya seperti beliau. Bidang dakwah itu maha luas dan banyak cabangnya. Terpulang pada kita untuk memilihnya ada dakwah melalui lisan, gerak badan dan penulisan. Tetapi apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah dakwah melalui penulisan. Ya penulisan. Ruang legar di dalam skop begitu luas dan kita bebas untuk menulis apa sahaja yang kita hendak tuliskan. Tetapi ingat apa yang penting adalah kita menulis perkara yang kita perlu tulis dan bukan perkara yang kita hendak tulis. Amat berbeza ‘perlu’ dan ‘hendak’. Begitu juga dengan perkara yang ingin kita ucapkan. Biar berkesan dan terkesan. Kita bercakap bukan dasar kita hendak bercakap tetapi atas dasar kita perlu bercakap untuk menzahirkan sesuatu. Jika ada ilmu yang kita tidak ketahui, baik kita diam kerana diam itu akan menutup kebodohan kita. Saya setuju dengan istilah ini.

Tetapi ingin saya tegaskan bahawa lebih baik kita nampak bodoh sekejap bertanya soalan yang bodoh daripada kita bodoh selamanya. Saya agak terkilan kepada orang yang mempunyai ilmu apabila ditanyakan sesuatu kepadanya dia menyatakan bahawa ‘tolong jangan tanya soalan bodoh’. Mungkin agak kasar penulisan kali ini tetapi moga ada peringatan buat kita. Mereka juga ingin tahu dan sememangnya kita harus memberi tahu. Sabar itu kunci kejayaan. Jangan sesekali bangga dengan ilmu yang kita ada kerana semuanya milik Allah belaka. Jadi, jawablah segala pertanyaan itu dengan tenang dan memberi kepuasan kepada si penanya walaupun kita menganggap itu hanya soalan picisan atau soalan bodoh.

Berbalik kepada bidang penulisan ini. Saya bersyukur kerana diberikan secebis ilmu dari Yang Esa untuk saya menzahirkan pendapat saya. Blog ini akhirnya berjaya diwujudkan. Terima kasih kepada rakan yang memperkenalkan saya dakwah IT ini. Moga Allah merahmati anda. Blog ini bermula dari seorang follower dan pageviewsnya hanya mencecah 10-20 sahaja dalam sehari. Tapi hari ini, Alhamdulillah ia bertambah sedikit demi sedikit. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan pembaca yang sudi menziarahi blog saya yang tidak seberapa ini. Blog ini tidak popular dan hanya picisan ilmu dari seorang insan sahaja. Lucu juga jika ada yang menyatakan blog Secangkir bicara ini diwujudkan hanya untuk meraih bilangan follower yang ramai. Ingin saya tegaskan di sini. Saya bersyukur kepada yang sudi mengikuti blog saya ini kerana saya berharap moga ada ilmu yang di sampaikan oleh rakan-rakan blog saya apabila membaca blog saya ini. Penting! pengikut yang banyak kerana dakwah itu akan mudah tersebar dan apabila dikongsi ia menjadi bonus pahala kita di Akhirat kelak. InsyaAllah. Saya menulis bukan kerana hendakkan nama tetapi saya menulis untuk kepentingan agama. Saya tidak petah berbicara juga daif dalam berbahasa tetapi saya berharap penulisan saya ini adalah salah satu medan dakwah saya.

Agak lucu juga apabila melihat beberapa penulisan di blog yang menceritakan banyak tentang hal peribadi dan kononnya ia adalah berbentuk peribadi dan tidak mahu dibaca oleh orang. Jika ia kita anggap sebagai peribadi jangan diletakkan di dalam laman maya. Tulis sahaja pada diari anda. Bagi yang punya buku diari letakkan sahaja cerita anda di situ. Dan niat untuk berubah. Barulah ia digelar peribadi. Namun apabila kita sudah berkongsi cerita kita kepada somebody ia sudah tidak dikatakan sebagai peribadi. Saya amat tidak berminat untuk menceritakan terlalu banyak kisah peribadi kita kerana takut ia akan menyatakan riak dalam diri kita. Itu bahaya. Gunakanlah penulisan ini dengan sebaiknya.

Saya yakin ada di antara kita yang terlalu aktif dalam laman twitter, facebook dan blog tetapi ingat YANG KIRI kita sentiasa memerhati dan mencatat amalan kita dan ingat kita akan bertanggungjawab terhadap apa yang kita tulis di akhirat nanti. Allah akan menilai amalan kita itu. Bagi yang punya twitter saya nasihatkan berhentilah dari banyak meluah dan mengeluh. Ini menandakan dirinya tidak bahagia dan banyak masalah! Sedikit-sedikit tweet di twitter lapar, sakit perut, marah semuanya hendak diluahkan. Ada yang mengatakan twitter itu lebih privasi dari facebook tidak banyak yang komen sekiranya kita meluahkan sesuatu tetapi bagi saya kita lupa, YANG KIRI KITA juga sedang mengupdate statusnya terhadap dosa yang kita lakukan. Berhentilah menulis perkara yang sia-sia. Teguran ini khusus untuk diri saya dan anda semua.

Akhir kalam, menulislah selagi mana kita mampu menulis tetapi ingat biarlah penulisan kita untuk menjadi air yang jernih bukan menjadi nanah yang ada pada kudis..walau apa yang kita lakukan ingatlah bahawa Allah dan malaikat Rakib dan Atib sentiasa memerhati dan mencatat amalan kita. Salam dakwah dari saya.=)

Monday, January 7, 2013

KAU selalu ada. =)



Salam pertemuan buat pembaca semua. Alhamdulillah bersua kita lagi. Diri mohon maaf kerana tidak sempat meletakkan sedikit ilmu pada lembaran ini. Alhamdulillah hari ini saya diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan pembaca. Apa yang penting bukan untuk menunjukkan kehebatan yang ada pada diri tetapi sekadar menyampaikan rahsia ilmu Ilahi. Insya Allah sama-sama kita mengutip tinta yang baik mog nanti kita mendapat pengakhiran yang baik.

Bicara kali ini tentang hubungan kita dengan Pencipta kita. Bagaimana kita pada hari ini? Bagaimana dengan iman kita? Tahun demi tahun kita hidup di alun dengan ujian kehidupan kita tabah sehingga ke hari ini. Tapi fikirkanlah sejenak, kita ada Pencipta kita. Ya kita ada pencipta. Siapa? Dialah Allah. Allah yang zat maha besar. Kesyukuran apa yang telah kita berikan pada Allah atas nikmat yang telah kita dapat di dunia ini? Kita mampu bergelak tawa dengan keluarga dan rakan, bersuka ria dengan handai tanpa rasa gusar akan natijah kita nanti.

Allah sentiasa ada dengan kita tetapi kita yang selalu mentiadakan Dia. Allah selalu memerhatikan kita tetapi kita selalu bersembunyi dari Dia. Allah juga amat merindukan doa dan rintihan kita tetapi kita selalu dendangkan melodi lagha dari mengingati Dia. Di mana kita sebagai hamba Allah yang kata cinta pada NYA. Selalu Allah datangkan ujian kepada kita tetapi ada yang masih tidak peka. Kata mereka datang dari kesilapan diri bukan dari ujian Tuhan. Hidup diteruskan tanpa sedikit pun berfikir tentang Allah.

Kita boleh memikirkan hal yang remeh dengan lamanya bahkan sanggup memikirkan masalah rakan-rakan kita dan terus membantu mereka. Tapi ingatlah bahawa jangan sekali-kalai lupakan masalah kita dengan Allah. Bagaimana tanggungjawab kita dan apa amar maaruf yang telah kita lakukan atau sudahkan kita lakukan? Tepuk dada tanyalah iman. Tika ada hati yang membenci jangan sekali kita berkata pada Allah ‘Ya Allah ada insan yang membenciku’ tetapi berkatalah pada hati, Aku ada Allah yang sentiasa mengingati dan merinduiku’.

Ayuh pada masa yang kita ada ini, eratkan kembali hubungan kita dengan Allah, jangan jadikan kesilapan dulu sebagai titik noktah untuk kita menjalin cinta dengan Allah dan ingat jangan sekali-kali membenci kesilapan itu kerana mungkin dia yang telah membawa kita dengan Allah walau dengan cara yang salah tetapi setidaknya kita masih ada hati untuk merubah dan terus berubah. Usah lagi kita fikirkan dosa semalam. Natijahkannya dengan taubat. Ingat. Sesungguhnya Allah maha pemaaf dan pemgampun.

Tuesday, January 1, 2013

Uzlahku Pada Tahun Baru_2013



Alhamdulillah, syukur pada Allah keranaku masih lagi diberikan hembusan nafas untuk merasa nikmat pada tahu baru ini. Aku melangkah pada satu destinasi yang baru walau hakikat di dalam tahun Islam sudah lama aku merasakannya. Ya, sudah lama. Alhamdulillah pada iftitah tahun baru ini subuhku masih terjaga. Ya Allah moga aku terus istiqamah dalam menjadi hambamu yang patuh akan ajaranmu

Wahai Allah, tiada kata yang dapat ku ungkapan hanya doa yang mampu ku panjatkan. Pada mula kembara aku dan keluargaku ke tahun baru ini, Dikau peliharalah, DIKAU jagalah kami. Wahai Allah syukur kami tidak terhingga di atas segala karunia yang kami rasa. Pada tahun baru ini tiada azam yang ku aku titipkan kerana masih lagi aku berhutang denganMU. Saat aku dihenyak dengan perasaan bumgkam yang mengganggu diri, DIKAU hadir sebagai PEMBERI, DIKAU  berikan ketenangan, kemenangan dan kebahagiaan dalam hidupku.

Wahai Allah, andai ramai yang membenci diriku ini, aku pasti tidak akan sesekali membenci mereka kerana ku tahu mereka tidak tahu. Benar, mereka tidak tahu. Biar aku di caci manusia tetapi tidak di matamu  wahai Allah. Biarlah aku menjaga hubunganku denganmu kerana ku pasti DIKAU juga akan menjaga ku.

Pada tahun baru ini, ku pohonkan moga DIKAU hadiahkan aku hati yang baru, hati yang lebih mencintaimu hati yang sentiasa merindui kekasihmu, Rasulullah. Wahai Allah, hatiku yang lama sudah layu dan beku, buta dari taubat celik pada maksiat. Ya Allah, moga cinta kita berkekalan, moga kita saling berkasihan. Wahai Allah, tiada apa yang dapat ku coretkan hanya selaut kesyukuran ku panjatkan di atas segala nikmat dan ujian yang telah DIKAU berikan.

Ku tinggalkan semua kenangan silam atas masa yang kelam agar ku mampu bangkit dengan peristiwa semalam, semalam satu duka semalam juga satu senyuman buatku. Ujian kepahitan yang ku rasakan rupanya DIKAU gantikan dengan manisnya madu cinta BerTuhan. Alhamdulillah. Ya Allah jauhkanlah jua aku dari segala sifat sombong, bongkak dan bangga diri yang tidak ketahuan. Ku takut rasa ini memakan diriku. Ku takut rasa ini akan mematikan aku sebagai hamba yang mencintai mu.

Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, ampunilah dosa guru-guru, ampunilah dosa pensyarah-pensyarahku, ampunilah dosa rakan-rakanku dan ampunilah dosa seluruh ahli keluargaku. Wahai Allah, sudilah apa kirany DIKAU mengampuni dosa ku dan terimalah taubatku ini. Ya Allah, jauhkanlah kami dari maksiat, zina, perkara mungkar, fitnah Dajjal dan Azab Api Neraka, Jauhkanlah Ya Allah, Jauhkanlah kami dari perkara yang merosakkan cinta kami kepadamu. Wahai Allah jadikanlah aku anak yang soleh dan permudahkanlah urusanku di duniamu ini. Ameen..

Secangkirbicara Husairi Hanafi….pohon doa dari kalian semua moga saya dipermudahkan menjawab peperiksaan pada esok hari. Ameen. Sayang semua kerana Allah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...