Labels

Pages

Followers

Tuesday, December 28, 2010

Aku Part 3

    Adakah penantian dan kesabaranku yang ku tunggu selama berbulan-bulan akan membuahkan hasil? Waktu itu senja semakin melabuhkan tirainya untuk memberi ruang malam menghiasi alam dan angin mula bertiup di setiap sudut rumah papan ku. Ku lihat nun jauh di sana matahari kian terbenam dan cahaya waktu itu begitu indah, itulah dia ciptaan dari sang Maha Esa. Sempat aku bertanya pada ibu di manakah ayah pergi dan masih belum pulang lagi lalu ibu menjawab pertanyaan ku itu. Ibu berkata ayahku pergi ke pekan untuk membeli barang-barang dapur dan kelengkapan lain. 

     Ku lihat juga wajah ibu yang agak kerisauan menantikan kepulangan ayah namun ibu pandai melindungkan segalanya agar aku tidak perasaan apa yang tersirat diraut putih wajah suci ibu. Sambil menunggu ayah, ibu membuatkan aku secawan teh yang mana sehingga hari ini air teh buatan ibulah yang ku anggap terbaik di dunia. Air teh yang dibuat ibu itu ku hirup perlahan-lahan kerana masih suam, sementara menunggu kepulangan ayahku.Waktu itu sudah berganti malam. Setelah agak lama kami menunggu ketibaan ayah. Akhirnya dedaun pintu di ketuk. Ayah memanggil ibu dan pintu dibuka. Saat itu ayah membisikkn sesuatu di telinga ibuku lantas terukir senyuman diwajah ibu. Barang-barang makanan yang ayah bawa itu telah diletakkan ibu di dapur dan aku juga turut membantu.

          Kami sekeluarga menunggu untuk makan malam bersama dan pada malam itu ibu telah menghidangkan kami makanan yang sedap-sedap. Aku menjamahnya dengan tergesa-gesa. Ayah menegur aku katanya “nanti tercekik pulak makanan tu. makan dengan sopan dan jangan gelojoh”. Sedang asyik menjamah masakan ibu tadi timbul pula persoalan tentang apa yang dibisikkan ibu tadi. Bertubi-tubi soalan menusuk dibenak fikiranku namun tidak mampu ku luahkan dengan kata..ahh.., aku biarkannya seketika biarlah jawapan itu hadir pada hari esok. Ku rasakan begitu panjang malam untuk beralih ke waktu siang. Lakaran mindaku masih timbul pelbagai persoalan tentang apa yang berlaku sebentar tadi. Aku terbaring keseorangan ditemani kelambu usang dan bantal busukku dan ku cuba lelapkan mata perlahan-lahan.

          Keesokannya, sedang asyik dalam lamunan aku dikejutkan dengan bunyi deruan enjin motosikal di halaman rumahku. “Siapalah yang datang pada waktu pagi sebegini. Aku nak tidur pun susah,” marahku memendam rasa. Kemudian bunyi itu kembali lagi menerobos masuk ke halwa telinga ku, aku terus bangun dan menuju ke halaman rumah, oh..rupa-rupanya ayah sedang menghidupkan sebuah motosikal baru. Aku terus berlari mendapatkan ayah dan aku bertanya, “motor siapa ni ayah?” Ayah menjawab, “inilah motor kita”..kalau tidak silap aku motor itu berjenama YAMAHA dan modelnya aku tidak ingat tapi yang pasti bukan YAMAHA LC 135 yer... Ayah terus memberitahu aku motor ini di beli untuk kemudahan kami sekeluarga dan ayah juga berkata tidak lama lagi aku akan menginjak ke alam persekolahan jadi mudahlah bagi ayah untuk menghantar dan mengambil aku ke sekolah nanti. 

     Rupa-rupanya inilah yang dibisikkan oleh ibu malam tadi. Aku juga gembira kerna rezeki ayah dan ibu semakin bertambah hari demi hari. Berkat kesungguhan dan kesabaran mereka akhirnya membuahkan hasil. Namun jauh di sudut hatiku  terpancar sedikit kesedihan kerana basikal yang ku idam-idamkan masih belum tiba. “Erm..biarlah ayah membeli keperluan yang penting dahulu nanti suatu hari tentu ayah akan membelikan aku basikal baru”, pujukku untuk menyedapkan hati yang seakan sepi ini.

          Lupakan sebentar coretan aku dan basikal, terkenang pula tentang kegemaranku semasa kecil. Memandangkan aku begitu berminat dengan haiwan aku suka membela binatang, aku juga gemar bermain lastik. Setiap pagi aku dan kawan-kawan selalu berjalan ke kawasan kampung untuk mencari sasaran dan antara sasaran kami ialah  burung. Antara pakar melastik burung adalah aku. Aku dianggap ketua atau `tekong’ oleh rakan-rakanku. Pada ketika itu lastik kami hanyalah buatan sendiri dan masih banyak kekurangan lagi walau bagaimanapun untuk melastik burung-burung kecil sudah memadai dengan lastik buatan kami itu antara burung yang selalu menjadi sasaran kami ialah burung murai, burung kedidi, burung kelicap dan burung merbah. Masa itu kami tidak memikirkan nilai kemanusiaan yang ada pada diri kami, yang kami tahu hanyalah untuk  berseronok sahaja, pernah sekali aku melastik sepasang burung kelicap yang sedang bertenggek di atas ranting pokok, dan terkena pada seekor burung itu dan ia jatuh ke tanah.

      Sempat ku merenung ke arah pasangannya yang hanya mampu melihat dari atas pokok dan tidak bisa melakukan apa-apa kerna ia hanya seekor burung yang tidak mempunyai akal seperti aku. Mungkin pada waktu itu aku tidak merasai kesedihan yang dialami oleh burung itu akibat kehilangan pasangannya. Sang burung itu sudah tentu meratapi pemergian pasangannya..kuntum-kuntum yang dulunya mekar berseri..kelopak gugurnya berderai..Mungkin mereka boleh diibaratkan seperti kelicap dua sejoli dan aku menjadi penghalang dan pemutus cinta suci mereka. Ah..kejamnya aku..tapi aku hanya kanak-kanak yang hanya mampu berhibur dan dan masih tidak mampu memikirkan baik dan buruk atas setiap tindakan ku itu.

          Demikian coretan tadi, kini ingin ku luahkan pengalaman ketika aku mula-mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan seawal usia 5 tahun lagi. Aku mendapat pendidikan awal Prasekolah di Taska Teluk Medan. Di Situlah aku mula mendapat pendidikan formal dan sebelum ini hanya keluargaku sahaja yang menjadi guru kepada aku. Iyalah selama ini semuanya ibu ada di sisi dan senantiasa membantu aku apabila aku memerlukan pertolongan dan kini aku perlu berdikari sendiri untuk menguruskan kehidupan ku di tadika. Saat mula pendaftaran di tadika aku melihat pelbagai peristiwa yang berlaku, ada kawanku yang tidak mahu melepaskan ibunya pergi dan ada pula yang tidak mahu turun dari kenderaan keluarganya. Ku tersenyum melihat gelagat mereka. 

     Mujurlah aku sudah dididik sedari kecil untuk berjauhan dengan ibu dan ayahku jadi aku tenang sahaja bila ayahku menghantar aku ke tadika. Sejenak hatiku di hambat perasaan terharu tatkala mengenangkan persiapan ibu untuk membantu aku ke tadika. Pada waktu itu aku begitu teruja untuk ke tadika sehingga aku yang mengejutkan kedua ibu bapaku tidur. Seingat aku air kolam di rumah begitu sejuk jadi kau meminta ibu supaya menjerang air untuk aku mandi jadi kuranglah sedikit kesejukan itu. Selesai sahaja aku mandi aku dipakaikan dengan baju sekolah yang baru dan ibu menyisirkan rambutku dengan penuh kasih sayang dan saat itu dapat ku tatap wajah seorang ibu yang penuh dengan pengorbanan dalam membesarkan aku.

Benarlah kata pujangga ‘hidup memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan perjuangan, perjuangan memerlukan ketabahan, ketabahan memerlukan keyakinan, keyakinan pula menentukan kejayaan, kejayaan pula menentukan kebahagiaan.’        

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...