Labels

Pages

Followers

Saturday, July 18, 2009

Pidato BPR didik pelajar bebas rasuah



Oleh HAMDAN TAWADI


Dr. Mashitah Ibrahim (empat dari kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah II BPR, Datuk Zakaria Jaafar (lima dari kiri) bersama para pemenang Pertandingan Akhir Pidato Pencegahan Rasuah Prauniversiti peringkat kebangsaan 2008 di The Zone, Hotel Regency, Johor Bahru, baru-baru ini.
- Gambar RAJA JAAFAR ALI
________________________________________

JOHOR BAHRU 28 Okt. - Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Prauniversiti peringkat kebangsaan yang dianjurkan Badan Pencegah Rasuah (BPR), di sini baru-baru ini merupakan satu usaha BPR menjadikan pelajar sebagai golongan sasar untuk didekati bagi melahirkan masyarakat yang bebas daripada rasuah.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pertandingan itu diadakan di peringkat sekolah menengah memandangkan ia adalah sebuah institusi pendidikan yang penting bagi membentuk dan melahirkan masyarakat berintegriti tinggi dan membenci jenayah rasuah.
Katanya, pelbagai usaha juga telah dilaksanakan oleh BPR dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan generasi muda dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan mengenai aspek pencegahan rasuah.
"Topik antirasuah merupakan antara topik atau isu penting yang diajar dalam beberapa mata pelajaran penting termasuk Pendidikan Islam, Sejarah, Bahasa Melayu dan Pengajian Am.
"Ia diajar dan didedahkan sama ada di peringkat sekolah menengah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi," katanya di sini baru-baru ini.
Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Prauniversiti peringkat kebangsaan diadakan selama tiga hari bermula 21 Oktober lalu di The Zone, Hotel Regency dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Pertandingan yang dianjurkan sejak 2002 itu, buat julung kali diadakan di luar Putrajaya mendapat penganjuran dari BPR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Pada tahun ini juga, buat pertama kali pertandingan pidato turut diadakan dalam bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan Dusun di Sabah dan Iban di Sarawak.
Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil manakala naib johan menggondol RM750 dan tempat ketiga mendapat RM500.
Sementara itu, Ahmad Said berkata, pelajar wajar menyedari, rasuah mampu memberi kesan kepada proses pembangunan dan kemajuan sesebuah negara, justeru jenayah itu perlu diperangi habis-habisan.
Dalam hal ini, beliau berkata, pihaknya tidak mahu melihat soal ketirisan berleluasa dalam projek-projek pembangunan disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pegawai yang diamanahkan.
"Keadaan itu menyebabkan pembangunan infrastruktur seperti hospital, sekolah, jalan raya dan sebagainya terbengkalai atau dibina tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan hingga keselamatan orang ramai terjejas," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya semasa berada di luar negara khususnya di beberapa negara di Afrika dan negara-negara jiran, jenayah rasuah menyebabkan rakyat hidup sengsara dengan jurang antara penduduk yang kaya dan miskin, sangat luas.
Katanya, walaupun sesetengah negara itu kaya dengan sumber alam, namun pembangunan infrastruktur terlalu mundur seperti jalan raya, sekolah, hospital dan kemudahan awam tidak dibangunkan secara teratur.
Menurut beliau, rakyat di situ terpaksa merempat di bawah jambatan dan hidup umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.
"Kesannya, rakyat memberontak kerana tidak puas hati dengan kerajaan yang ada dan berlaku perang saudara, pembunuhan beramai-ramai serta saling tidak mempercayai antara satu sama lain," katanya.
Sehubungan itu, katanya, rakyat negara ini amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang berwawasan jauh dengan menubuhkan BPR selepas 10 tahun negara mencapai kemerdekaan berbanding negara lain yang lambat bertindak untuk menangani rasuah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...