Labels

Pages

Followers

Monday, November 5, 2012

TAUBAT ITU UBAT!



{Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat hamba-NYA ketika ia bertaubat kepada-NYA daripada (kegembiraan) seseorang yang menunggang untanya di tengah gurun sahara yang sangat tandus, lalu unta itu terlepas dan membawa lari bekal makanan dan minumannya. Hamba Allah itu hampir putus asa untuk kembali mendapatkannya. Kemudian dia menghampiri sebatang pohon lalu berbaring di bawah teduh pohon itu kerana telah putus asa mendapatkan unta tunggangannya tersebut. Ketika dia dalam keadaan demikian, tiba-tiba dia mendapati untanya telah berdiri di hadapannya. Lalu segera dia menarik tali kekang unta itu sambil berucap dalam keadaan sangat gembira, “Ya Allah, Engkau adalah adalah hambaku dan aku adalah Tuhan-MU” Hamba Allah itu salah mengucapkan rasa syukur itu kerana dia terlalu gembira.} ~Hadis Riwayat Muslim~

Salam pertemuan, setiap detik masa berlalu kita masih diberikan ruang dan peluang oleh yang Esa untuk terus merasa nikmat kehidupan di dunia. Benarlah apa yang dikata, dunia ini tempat kita berpenat dan di akhirat nanti destinasi untuk kita berehat. Bukan berpenat mengejar harta dan pangkat, bukan berpenat mencari dosa dan maksiat tetapi, berpenat untuk mencari ilmu bagi menuju jambatan kita ke akhirat, berpenat untuk meraih tempat di syurga yang penuh nikmat.

Titipan kali ini moga dapat menjadi nikmat pada sekalian umat. Bukan terasa untuk menunjuk diri ini hebat tetapi untuk mencari pencen di kubur dan di akhirat. Mudah-mudahan sama-sama kita mendapat manfaat. Saya mulakan penulisan ini dengan menitipkan sebuah cerita tentang gembiranya Allah terhadap hambanya yang bertaubat. Bagaimana gembiranya kita apabila dikurnia sesuatu nikmat, begitulah gembiranya Allah pada hambanya yang bertaubat. Bahkan lebih lagi.

Kehidupan di dunia ini begitu singkat. Singkat untuk mencari musuh, singkat untuk mempunyai hasad dan singkat untuk membenci. Allah kurniakan sebuah kehidupan untuk kita rasa untuk kita bina dan untuk kita teroka. Perjalanan di dunia ini begitu mencabar dan memerlukan kita bersabar. Ujian pasti hadir dalam setiap kehidupan kita. Masalah pasti tiba saat kita di dalam suka atau duka dan sedih pasti bersinar tika indah kita menghilangkan cahaya sukanya. Begitulah lumrah dunia. Hidup ini umpama roda. Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita berada di bawah. Titik kedudukan kita ini tidak akan kekal lama pasti akan bertukar. Lihat sahaja perdana Menteri Malaysia yang paling lama memerintah di negara kita ini. Dia juga akhirnya menoktahkan jawatannya itu. Setiap yang kita ada pasti tidak akan kekal lama. Bersedia untuk melepaskan dan redha atas segala ujian.

Begitu juga dengan cinta, cinta adalah fitrah dan jangan sesekali fitrah itu menjadi fitnah. Allah mengurniakan cinta kepada kita untuk kita rasa. Islam mengajar kita erti percintaan sesama pencipta dan hambanya. Cinta bukan dianggap sebagai sekatan tetapi sebagai kawalan. Kawalan dari segala apa yang boleh menyebabkan kemurkaan Tuhan. Jaga, pelihara dan bimbing orang yang kita cintai itu. Saya teringat pesan ‘dia’ kepada saya “jangan sesekali lalai dalam kehidupan ini”. Terkesan di hati merasa di seluruh urat nadi, moga diri terus istiqamah dalam berbakti dan moga jiwa penuh hemah dalam mencari cinta agung nan suci.

Menjurus pada mauduq perbincangan kita, kita inginkan ketenangan dalam kehidupan. Sering kali kita mahukan sakinah (ketenangan) dalam hayah (kehidupan) kita tetapi jalan untuk mencari sakinah itu tiada sekadar berharap dan terus berharap tanpa ada usaha. Hati resah kerana dosa yang makin membarah, jiwa goyah kerana maksiat makin bertambah. Di mana nilai kesucian kita pada ketika itu? Ketenangan itu punca keindahan raja dalam kerajaan diri kita yang bernama hati. Kebahagiaan itu datang dari ketenangan hati, ketenangan hati itu datang dengan sumber yang mengingati Allah dengan kita melafaz Zikrullah.

Taubat itu ubat. Ubat pada jiwa yang kian berkarat penawar pada kalbu yang lesu. Pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk kita tetapi kita yang sengaja menjauhi pintu itu. Kita tidak akan dapat memasuki rumah kita dengan cara yang lumrah seandainya kita tidak melalui pintu. Begitu juga dengan taubat bagaimana kita inginkan ketenangan seandainya dosa dan noda kita sentiasa berlinangan dalam diri kita. Jangan sesekali kita risau pada ibadah kita ini diterima ataupun tidak tapi risaulah sama ada taubat kita ini diterima ataupun  tidak. Ingat! Allah maha Pengampun. Hukama pernah berkata, salah satu tanda taubat kita diterima adalah apabila kita merasa tenang dalam beribadah.

Saya menyeru diri saya terutamanya dan pada pembaca semua jagalah diri kita dari melakukan dosa yang kita tidak sedari. Perkara ini amat bahaya. Syaitan itu kreatif hasutan dan permainannya. Jagalah diri dan iman kita sebaik mungkin. Kita sebenarnya banyak melakukan dosa besar dari melakukan dosa kecil. Subhanallah, bagaimana kita tidak pernah bersyukur atas setiap apa yang dikurniakan Allah. Dosa besar bermaksud perkara yang dilarang di dalam Al-Quran dan As-Sunah. Berapa ramai di antara kita yang tahu bahawa perkara yang kita lakukan itu berdosa tetapi kita tetap tega melakukannya. Bahkan bangga dengan dosa yang kita lakukan itu.

Laman maya bahaya Facebook begitu dekat dengan diri kita. Hari rasa kosong jika tidak membukanya dan minda rasa resah jika tidak melihatnya. Ingat! Facebook boleh menjadi ladang untuk kita menabur pahala dan boleh juga menjadi padang untuk kita mencari dosa. Fikirlah, setiap apa yang kita catatkan di dalam facebook itu pasti nanti akan disoal oleh Allah. Ingat! Pada sahabat semua, jangan kita bangga menayangkan kecantikan itu pada khalayak. Wajah cantik itu hanya menipu. Di tampal dengan lapisan kimia yang berbahaya. Sahabat, jangan kita bangga pada rupa yang hebat andai nanti ia hanya menjadi makanan ulat dan jangan kita riak dengan kecantikan yang ada andai kulit kita nanti tidak mampu untuk melawan kepanasan api neraka. Jauhkanlah kita dari fitnah manusia.

Simpan pada kecantikan dan kekacakan kita itu pada yang halal. Allah itu cantik dan sukakan kecantikan. Jangan kita sampai menayangkan segala apa yang ada pada kita hanya untuk mendapat pujian dari manusia yang penuh dosa. Apa guna wajah indah jika kotor pada pada pandangan Allah. Redha Allah yang utama! Rasa kolot jika pakaian kita tidak setanding dengan pakaian rakan-rakan lain yang ditayangkan di Facebook sana. Tidak perlu rasa begitu kerana biar pakaian yang kita pakai melambangkan agama kita melambangkan maruah dan diri kita. Terdedah sini dan sana tidak akan mampu melawan panasnya api neraka nanti. Marilah sama-sama kita berdoa, moga mereka berubah. Berubah pada kebaikan dan berubah pada mencari Redha Tuhan.

Hadis nabi ada menyebut “setiap anak adam itu bersalah tetapi sebaik-baik kesalahan itu adalah BERTAUBAT.” Kita semua berdosa, tetapi jangan sesekali kita bawa bersama insan yang kita sayang terlibat dengan dosa yang kita lakukan. Renunglah diri, hinakan diri mengadu pada Tuhan kerana pintu taubat itu masih dibuka. Bersegeralah kita bertaubat. Maafkanlah kesalahan orang yang bersalah kepada kita. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci. Berilah maaf dan segeralah bertaubat. Akhirul kalam, moga titipan ini menjadi sedikit jarum suntikan buat sahabat semua. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya makhluk Allah yang penuh dosa dan hina tetapi saya ingin bersama dengan sahabat untuk menjadi hamba Allah yang berjaya di dunia dan akhirat.

Dengarlah..alirkan air mata kita. Kerana air mata yang jatuh ketika mengiangati azab Allah pasti akan dijauhan kita dari api neraka.=’)



2 comments:

Zul Salleh said...

Assalamualaikum Tn. HH

Pohon izin nak copy paste ke blog saya.Artikel ni menarik untuk dikongsi bersama terutamanya menjelang tahun baru 1434H nih

Terima Kasih.

Husairi Hanafi said...

Wassalam,silakan saudara.Moga-moga dapat kita berkongsi ilmu. Jangan lupa tinggalkan link nanti ye.=)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...