Labels

Pages

Followers

Tuesday, November 13, 2012

Cinta nan lalu...



Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya ~ Ada tiga perkara. Siapa yang memilikinya pasti akan merasai kemanisan iman. Pertama, Apabila Allah S.W.T dan rasul NYA lebih dikasihi selain keduanya. Kedua, apabila dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah S.W.T. Ketiga, apabila dia merasa benci untuk menjadi kufur, seperti bencinya dia dicampak ke dalam api.~
(Riwayat Bukhari)



Kehilangan sesuatu perkara yang kita sayang begitu menyakitkan dan begitu memedihkan. Bila hilang apa yang kita ada baru timbul rasa sesal di jiwa. Hati mati memburu cinta tapi hakikat jiwa penuh dihujani murka dari DIA. Awas dengan sebuah angkara sahaja pasti akan merosakkan raja dalam kerajaan diri kita. Andai raja sudah rosak apatah lagi rakyat jelata iaitu seluruh tubuh badan kita.

Di sinilah bermula satu muhasabah diri yang perlu kita hayati dan mesti untuk kita fahami. Mengapa berlaku perkara yang tidak kita pinta dan mengapa DIA menguji dengan cinta yang sangat kita damba. Tapi hakikat manusia, cinta pada DIA yang perlu diutama. Mana mungkin kita mendapat cinta yang barakah andai kita memilih jalan yang salah. Mana mungkin kita akan mendapat cinta yang bahagia jika kita menjadikan nafsu sebagai matlamat utama. Cinta itu bahagia dan membahagiakan. Cinta itu satu perasaan sesama insan dan cinta itu adalah fitrah. Agama kita mengajar panduan bercinta sesama insan. Perkara yang fitrah sememangnya akan menjadi lumrah. Tapi ingat cinta yang dikurniakan oleh Tuhan harus mempunyai panduan dan tujuan. Cinta bukan sebagai sekatan tetapi sebagai kawalan.

Kawalan dan sekatan satu perkara yang berbeza. Sekatan membawa makna kita menghalang terus dari berlaku sesuatu perkara itu dan kawalan kita membenarkan perkara itu berlaku tetapi kita mengawalnya mengikut garis tujuan yang diajar di dalam agama kita. Fitrah ini ada pada makhluk yang bernama manusia. Sangat indah kerana dengan kuasa cinta ini juga akan membawa kita ke neraka atau ke syurga. Jalan menuju ke sana sudah ada di hadapan kita. Terpulang pada kita untuk memilihnya. Lakukanlah pemilihan yang bijak. Bagaimana ya sekiranya kita dapat melihat keadaan di syurga dan neraka? Saya yakin semua akan menolak cinta yang ada di dunia ini dan pasti akan memilih syurga! Waktu mana kita akan melihat penentuan nasib kita nanti? Itulah waktu saat kita menghadapi sakaratulmaut. Pada detik itu segala hijab kita dibuka dan kita akan melihat ke mana kita akan berkelana sama ada ke syurga atau neraka. Mohonlah moga kita sama-sama di tempat si syurga firdausi.

Rasa ingin dicintai mesti akan tiba pada diri kita. Alam remaja alam penuh pancaraba. Segala neka ragam manusia kita akan merasa pada alam ini. Remaja sifatnya memberontak, tenaganya genta membuak, pancainderanya tegap dipasak. Tapi akan tewas dengan penangan cinta yang hadir untuk memberi rasa dalam kehidupan remaja. Di sinilah perkara yang harus kita faham iaitu berkenaan dengan kawalan dan sekatan. Mereka perlukan kita, berilah nasihat sebanyak mungkin moga nanti akan mendatangkan natijah yang terpimpin. Di Malaysia kajian menyatakan bahawa gadis Melayu kita merupakan bangsa yang paling ramai kehilangan DARA. Maknanya apa? Mereka sudah pernah melakukan hubungan kelamin sebelum berkahwin. Tanyalah pada mana-mana lelaki adakah mereka hendak pada wanita yang sudah menjadi ‘bekas’ orang ini atau ‘secondhand’ ini. Sudah semestinya jawapan mereka tidak. Tapi ingat pada maksud kalam Allah ini ~Wanita yang jahat untuk lelaki yang jahat dan wanita yang baik untuk lelaki yang baik~

Kadang-kadang Allah mengurniakan ujian cinta pada kita untuk kita rasa. Rasa sakit, pedih, cemburu, marah, sedih, rindu dan pelbagai lagi rasa mainan syaitan yang perlu kita terima. Inilah ujian buat kita. Saat cinta mula berbunga antara kita dan dia, dan tika itu juga racun layu menyirami cinta kita itu. Mengapa terjadi perpisahan saat hati mula bertautan? Kenapa berlaku kesakitan saat jiwa mula ingin berkasihan? Nah, inilah dia nikmat ujian dari Tuhan. Jika kita yakin dengan ketentuan Tuhan pasti kita redha dan pasrah untuk melepaskan. Cinta itu bukan bererti mengikat tapi melepaskan dan membebaskan. Takut akan nama kehilangan? Mengapa? Mati itu pasti dan kehilangan itu juga akan kita hadapi jadi, perlu persiapkan diri. Kegagalan dalam percintaan bukan bererti kita gagal dalam kehidupan tetapi untuk memberi kejayaan pada kita supaya bersiap sedia bertemu dengan Tuhan. Mampukah kita bertemu dengan NYA saat diri penuh maksiat, dosa dan noda.? Tepuk dada tanya Iman anda.

Tiga penyesalan yang akan kita semua alami andainya kita tidak benar menghayati cinta kurniaan Ilahi ini. Skop perbincangan saya bukan hanya menjurus pada cinta sesama insan tetapi cinta kepada pencipta dan kekasihnya juga perlu kita hayati bersama. Penyesalan pertama ialah penyesalan saat sakaratulmaut, kedua penyesalan saat melihat sahabat handai kita disiksa di neraka dan penyesalan ketiga penyesalan saat diperlihatkan catatan buku amalan kita. Sesal pada ketika itu sudah tidak memberi apa-apa lagi.

Jadikanlah cinta nan lalu sebagai kenangan kita bukan kenangan indah tetapi kenangan yang akan memberikan kita natijah, natijah sebuah hayah sama ada ke syurga atau neraka. Jangan sesekali kita menyesali perkara yang telah berlaku tetapi persiapkanlah diri untuk melalui perkara yang menunggu. Teguhkan matlamat, betulkan niat dan mantapkan ilmu akhirat supaya nanti tidak menyesal di kemudian hari. Alirkan kenangan lalu bersama angin semangat untuk kita menjadi yang terbaik. Jangan takut atas kesilapan lalu kerana lumrah manusia pasti akan melakukan kesilapan dan dosa. Hanya Rasul sahaja yang terpelihara dari segala bencana ini. Hadis nabi ada menyebut “setiap anak adam itu bersalah tetapi sebaik-baik kesalahan itu adalah BERTAUBAT.”

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...