Labels

Pages

Followers

Friday, August 24, 2012

Haramkah Raya kita Tahun ini?


Lebaran hari yang penuh mulia. Di sambut oleh seluruh umat yang beragama Islam. Sambutan hari atau Eid Mubarak diraikan tanda kemenangan kita bersama setelah kita bersama di dalam universiti Ramadhan. Satu universiti yang mendidik kita dari segenap segi dan satu-satunya universiti yang dapat menilai diri kita. Di bulan Ramadhan itulah kita dapat mengenal siapa diri kita yang sebenarnya.  Kita tidak lagi dikongkong oleh Syaitan. Hanya nafsu yang perlu dikawal. Kita bersih pada bulan itu. Andainya kita mampu berdisiplin pada bulan itu sudah semestinya diri kita juga akan berdisiplin pada bulan-bulan yang lain. InsyaAllah.  Ramadhan mendidik kita menjadi manusia yang jujur dan amanah. Boleh sahaja kita berbuka puasa tanpa penglihatan manusia tetapi kita tidak tega melakukannya kerana sifat jujur dan amanah ada dalam diri kita.

Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Jika Allah masih mengurniakan umur yang panjang untuk kita merasai Ramadhan pada tahun hadapan, rebutlah dan manfaatkanlah segala kelebihan yang diberikan itu. Pesta segala-galanya buat kita. Tiada bulan yang paling mulia melainkan bulan Ramadhan. Alangkah beruntungnya pada mereka yang telah diambil nyawanya pada bulan ini. Terlepas sementara dari azab kubur. Andai saya diberikan tempoh masa untuk memilih tarikh ajal saya, saya juga ingin pergi di bulan mulia ini tetapi semuanya telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Beruntung pada hati yang meratapi pemergian Ramadhan. Air mata saya mengalir seusai imam memberi salam pada solat Isyak di malam raya. Takbir raya dilaungkan tanda Ramadhan sudah menemui titik noktahnya pada tahun ini. Alhamdulillah, Allah memberikan ruang pada kita untuk merasai cinta 30 hari denganNya.

Kini hadir keseronokan kita untuk menyambut hari lebaran. Persiapan raya kita lakukan. Kadang-kadang melebihi persiapan Ramadhan. Budget raya lebih tinggi dari budget pada bulan Ramadhan. Bukan itu sahaja, pada mereka yang tidak pernah berpuasa juga tidak kurang hebatnya menyambut Syawal ini. Bahkan lebih hebat dari orang yang berpuasa. Alangkah indahnya jika mereka tahu kelebihan bagi orang yang berpuasa dan keburukan bagi orang yang tidak berpuasa. Saya menerima bertalu-talu mesej menyambut Aidilfiti. Terima kasih kepada sahabat yang sudi menghantarnya. Maaf tidak sempat membalasnya. Suasana di kampung banyak tanggungjawabnya terkadang terlupa di mana gadget kecil saya itu berada.

Raya, remaja dan cinta. Jika dulu saya pernah mengulas berkenaan dengan Ramadhan dan remaja, kini perbincangan saya berkenaan dengan raya dan remaja pula atau singkatannya 2R. Bagaimana ya pasangan yang bercinta ini menyambut raya? Sudah semestinya hebat. Beraya di rumah bakal mak mentua dan bapa mentua sudah menjadi takwim tahunan mereka yang bercinta. Di tambah pula jadual untuk beraya dari rumah ke rumah sahabat handai yang lain. Tidak perlu ramai, cukup sekadar mereka berdua sahaja. Yang punya motosikal ‘menarik’ bersama pasangannya dan yang punya motokar duduk bersebelahan bersama kekasihnya. Sempatkah kita berfikir akan bulan Ramadhan yang telah mendidik disiplin kita? Bukankah kita sudah berjaya mengawal nafsu kita pada bulan itu.

Mereka seolah berbangga dapat beraya bersama dengan kekasih. Ketepikan soal dosa yang penting kita bahagia. Bagi pasangan yang membonceng motosikal sudah semestinya akan berlaku sentuhan pada bahagian-bahagian tertentu. Di mana? Anda semua boleh memikirkannya. Kita beraya dengan suami atau isteri yang bukan halal untuk kita. Bagaimana jika suami atau isteri yang halal buat kita nanti melihat perlakuan kita itu. Jodoh itu Allah yang menentukannya. Bagi remaja yang mengekalkan percintaan mereka tanpa noda tahniah saya ucapkan. Tapi tidak ramai yang mampu melakukannya. Hebat kuasa cinta ini. Andai ada pasangan kita tinggal jauh dari desa kita, ada yang sanggup beraya ke rumah kekasihnya itu. Sang lelaki di selatan dan sang perempuan di utara. Jarak bukan pemisah. Bas ekspres atau kereta api sudi menjadi penghubung bagi jiwa yang resah!

Saya terkenang pada sebuah perbualan dengan sahabat lama saya dahulu. Perbincangan kami lebih kurang begini bunyinya.

“Man, kau ni biar betul sanggup nak pergi ke utara tue. Semata-mata nak ziarah dia?”

“Yela, kan sekarang hari raya. Dah lama aku rancang nak gi utara tue. Nak jumpa family dia.”

“Kau serius ke dengan dia”

“Mestilah serius mat oi! Aku kena jumpa family dia dulu. Jadi, raya nie sebagai titik permulaan bagi aku nak kenal dengan family dia. Biasalah bakal menantu. Hehehe”

“Owh, kalau macam tue ko bincang la secara serius dengan mak ayah dia. Sambungkan dengan ikatan jangan biar hubungan kosong tanpa ada talian. Ko faham tak nie?”

“Faham mat, tapi aku macam tak bersedia lagi nak bincang secara serius bab kahwin nie. Untuk permulaan aku nak berkenal-kenalan dulu dengan family dia.”

“Lah, alang-alang ko dah jumpa mak ayah dia. Ko kata ko serius. Jadi dapatkan dengan cara yang paling baik! Luahkan dengan mak ayah dia. Apa tunggu lagi man, halalkan apa yang haram.”

“Err…ko cakap senanglah, aku fikir aku nak kerja dulu, cari duit dulu pastue baru aku nak fikir tentang kawen nie.”

“Owh kalau macam tue lagi senang. Sekarang nie ko stop dulu dengan dia. Nanti dah ada kerja dan duit baru kau cari dia balik. Ha. Takkan dia tak boleh tunggu?”

“Hmmmm”

Sengaja saya mengusik rakan saya itu dengan soalan sebegitu rupa. Moga hajatnya tercapat dan terhindar dari segala perkara maksiat. Kalau benar kita rancang untuk memiliki seseorang itu biarlah bertujuan untuk dijadikan isteri. Berbeza ye sahabat, antara perempuan yang dicintai hanya sekadar tempat untuk mengilangkan rasa sunyi sepi dari perempuan yang dicintai untuk dijadikan isteri dan suri di dalam hati seorang suami. Andai dia benar pemilik tulang rusuk kiri kita. Teruskan berdoa, berusaha dan bertawakal. Persiapkan diri kita. Jika sudah sampai masanya jangan berlengah lagi. Halalkan apa yang haram.!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...