Labels

Pages

Followers

Thursday, August 23, 2012

Sebenarnya, kita boleh buat MAKSIAT!



            Selamatkah kita dari maksiat? Itu persoalan pertama yang harus ditujukan kepada diri kita. Setiap manusia dikurniakan satu sifat yang bernama NAFSU. Nafsu ini bahaya gerak gerinya, hebat hasutannya. Bukan sahaja kita mempunyai Nafsu, Allah juga telah memberikan kita seekor jin yang bernama Qarin yang ada dalam setiap diri manusia. Jin ini menyerupai kita dan ia tidak akan dapat dilihat dengan pandangan mata. Qarin inilah yang menghasut kita supaya tidak melakukan perkara kebaikan.

            Benarkah kita boleh membuat maksiat di bumi Allah ini. Ya, sudah semestinya boleh! Maksiat di dalam Lisan Al-Arab bermaksud perkataan yang berlawan bagi ketaatan. Perkataan yang berlawan dengan ketaatan ialah PENDERHAKAAN. Dari segi istilah kemaksiatan adalah meninggalkan segala perintah dan mengerjakan segala larangannya atau meninggalkan apa yang diwajibkan dan difardhukan dalam kitab NYA dan sunah rasul NYA serta mengerjakan apa yang di larang Allah dan Rasulullah Saw sama ada dari segi perbuatan atau perkataan yang zahir atau batin.

            Maksiat bukan sahaja melibatkan perkara zina tetapi segala perkara yang meninggalkan segala perintah Allah. Skop maksiat yang ingin saya bicara ini tidak dapat tidak akan menyentuh soal Remaja dan Cinta. Tulisan ini bukan sahaja untuk menegur diri pembaca tetapi untuk menegur diri saya sendiri agar kita sama-sama menjaga akhlak kita dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Hadis nabi ada menyebutkan ~ Bercakaplah benar walaupun pahit~ dan ~sampaikanlah walau satu ayat~. Ingat matlamat hidup kita yang sebenarnya. Tanggungjawab kita diberikan nyawa oleh Allah sebenarnya adalah untuk apa? Adakah untuk menggapai cinta manusia semata-mata? Tidak. Banyak tanggungjawab lagi yang masih Allah kehendaki untuk kita laksanakan. Ingatlah akan maksud ayat Allah ini ~ carilah apa yang diberikan kepadamu di akhirat dan janganlah engkau lupa nasibmu di dunia~.

            Buat anda yang ingin melakukan maksiat saya tinggalkan cerita ini untuk anda. “ Pada suatu hari terdapat seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia lalu berkata, “Wahai Aba Ishak, selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “ Jika kamu mahu menerima LIMA syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “ Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah jangan kamu memakan rezekinya.

Mendengar ungkapan itu dia lalu mengenyitkan keningnya dan berkata, “ Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya! ” Tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah kamu memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-NYA.

Yang kedua ialah “ Kalau kamu mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi NYA!”

Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki NYA dan tinggal di bumi NYA, sedangkan kamu melanggar segala larangan NYA?”

“Ya! Anda benar.” Kata lelaki itu.

Kemudiannya dia bertanyakan tentang syarat ketiga. Ibrahim lalu menjawab, “ Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak terlihat oleh NYA!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat yang bagaimana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat.” Tanya Ibrahim.

Lelaki itu menggangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan,“ Sekiranya malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, ketepikan kematianku dahulu. Aku  masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah menyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “ Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan dikau ikut bersamanya.”

Perkataan itu telah membuatkan lelaki itu insaf. Dia berkata, “ Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.”  Kata lelaki itu sambil menangis teresak-esak.

            Jadi, kalau kita mampu, bolehkan kita melakukan maksiat dengan lima syarat itu? Tanyalah diri kita. Allah maha pemurah maha penyayang. Sesiapa yang telah terlanjur melakukan maksiat, bertaubatlah segera selagi jasad kita masih bernyawa. Yakinlah supaya Allah akan menerima taubat kita.




No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...