Labels

Pages

Followers

Sunday, March 10, 2013

Cubitan Kasih dari Allah ~Kita Layak diuji



“Ya Allah beratnya ujian yang kau berikan ini. Ya Allah aku tidak mampu, mengapa kau duga aku dengan ujian sebegini rupa. Wahai Allah, hamba mu ini lemah dan tidak punya daya untuk menghadapinya.” ~ begitulah keluhan kita terkadang apabila kita ditimpa dengan pelbagai masalah. Diri bagaikan tidak punya daya minda bagaikan tidak mampu memahaminya dan hati seakan buntu untuk menyelesaikannya. Setiap masalah yang datang itu adalah tanda sayang dari Allah. Saya ulangi ia adalah tanda sayang Allah kepada kita.

Usah sesekali kita mempertikaikan ujian atau masalah yang kita hadapi itu. Mengapa terjadi begini? Mengapa tidak sebaliknya? Mengapa harus aku yang lalui semua ini? Banyak persoalan bermain diminda, semua hadir penuh dengan tanda tanya. Ini bererti kita turut mempertikaikan si pemberi ujian itu. Siapa yang memberi ujian itu? Dialah Allah tuhan kita. Kita sebagai hambanya layak untuk diuji kerana apa? Kerana kita hamba. Hamba adalah insan yang hina, yang penuh dengan kedaifan, tidak punya apa-apa dan serba kekurangan. santuni jiwa hamba bukan sentiasa ingin menjiwai jiwa Tuhan.

Maaf saya katakan, istilah kita hamba kepada raja adalah istilah yang salah dan janggal kerana apa? Bukan dia yang menciptakan kita tetapi Allah juga yang telah menciptakan dia dan kita. Oleh itu, hormat kita biar bertempat. Ingat, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri kita. Allah tahu segala-galanya apa yang ada di dalam rasa kita kerana Allah maha tahu. Terimalah ujian itu dengan hati yang tabah. Jika masalah yang kita hadapi itu terlalu besar, ingatlah bahawa kita senantiasa ada Allah yang maha besar. Bersabarlah dalam bersabar.

Bagi remaja yang punya ujian di dalam bercinta. Hadapi ujian itu jangan sesekali kita lari. Andai dia sudah ditakdirkan untuk kita, teruskanlah berdoa dan jaga segala perkara yang perlu dijaga. Andai dia bukan untuk kita. Terima sahaja dengan hati yang terbuka. Redha dan bersyukur kerana Allah maha tahu. Kumbang itu bukan seekor bunga juga bukan sekuntum tetapi mencari kumbang yang kuat  tanduknya dan gagah sayapnya bukan suatu perkara yang mudah dan mencari bunga yang masih belum layu dan suci juga bukan mudah tetapi ia tidak payah seandainya kita punya hati yang tabah. Jangan cemburu pada mereka yang sudah mendapat kumbang dan bunganya (yang sah). Tetapi titipkanlah doa buat mereka agar mereka mampu mengemudi bahtera rumah tangga dengan lebih selamat dan bahagia bukan hanya sekadar suka-suka tetapi ada ‘sengsara’ yang perlu di sirna.

Untuk mereka yang sudah berumah tangga juga ujian dari Allah pasti hadir dan akan hadir. Kesabaran, kesetiaan dan keimanan akan menguji pasangan ini. Jadi, lengkapkanlah diri dengan ilmu dan pengetahuan. Fitnah itu akan menjadi makanan kita seandainya kita tidak menjaga dia dan Dia. Oleh itu, hiasilah diri kita dengan adab dan sedia menerima teguran dari insan-insan yang ada di sekeliling kita. Alam rumah tangga bukanlah suatu gelanggang permainan tetapi ia merupakan gelanggang sebuah kehidupan antara sang suami dan sang isteri. Cinta itu lahir dari Ilahi dan dipindahkan di dalam sekeping hati dan kemudiannya akan bertaut lagi ke dalam sekeping hati yang suci. Maka abadi dan terus mengikat tali mencari tangga ke Firdausi.
~putih-putih melati~
~Merah-merah delima~
~Siapa yang baik hati~
~Pasti ku terima~

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...