Labels

Pages

Followers

Wednesday, March 20, 2013

Kenapa Bukan Dia?



Tatkala kita diuji dengan satu perasaan yang tidak pernah kita rasa sebelum ini, ia datang begitu hebat, kita tidak mampu untuk menyekat. Acap kali kita berkata jiwa kita penat, penat untuk merasai perasaan itu lagi, serik untuk cenderung ke arah rasa itu. Bukankah ia anugerah dari Allah yang maha Esa. Benar ia anugerah tapi ingat ia juga akan menjadi fitnah andai kita tidak tahu mengemudinya. Cinta itu lahir dari hati yang suci untuk dipindahkan kepada hati yang penuh nurani namun andai cinta itu datang dari jiwa yang kotor dan rosak ia akan menjadi sebuah cinta yang penuh noda dan dosa. Moga kita semua dijauhi dari malapetaka ini. Cinta itu lahir dari syurga kembalikan ia juga ke syurga!

Virus cinta ini semakin terkesan di dalam diri remaja baik yang ‘biasa-biasa’ atau yang sudah punya nilai agama. Matlamatnya sama cuma pendekatan berbeza. Bagi yang biasa-biasa, keluar berdua, makan bersama, bergambar mesra, dan saling berpimpinan tangan sudah menjadi kebiasaan dan bagi yang ada nilai agamanya juga menggunakan istilah ‘Islamik Couple’ bunyinya seakan menghalalkan tetapi ia penuh kesengsaraan, persoalan untuk menguruskan hati dan perasaan. Bolehkah bertahan tanpa ada sebuah pertemuan? Mampukah hati mengawal nafsu yang kuat melawan dan setiakah hati menanti janji Tuhan? Benar ada doa, ada istikharah tetapi bagaimana istiqamahnya? Adakah dijaga dengan sebaik mungkin. Kita inginkan buah mangga yang manis, tetapi kita hanya menaman benihnya sahaja kemudian tidak dijaga dan diberi baja secukupnya. Tidak adil bukan.

Entah ke berapa bicara tentang cinta dicoretkan di sini tetapi ingatlah bukan untuk menyatakan diri ini terlalu bagus dan baik tetapi hanya peringatan buat diri dan buat sahabat yang sudi menghayati bingkisan ini. Cinta itu fitrah dari Allah. Kita tidak mampu untuk menghalangnya tetapi kita mampu untuk mengawalnya. Perlukan kawalan dari setiap segi, kawalan nafsu, hati, pancaindera dan minda. Ramai di antara kita yang punya pengalaman bercinta baik semasa alam persekolahan atau alam universiti hinggakan sudah yang ke berapa pengalaman kita itu. Bercinta dan putus, bercinta lagi dan putus lagi dan terus bercinta kemudian terus putus. Nah, bahaya bukan cinta yang sebegini. Tapi itulah satu pengalaman mahal yang perlu kita bayar di dalam mengemudi hati kita. Setiap kali kecewa baru kita bertemu siapa pencipta kita, setiap kali kita berduka baru kita berjumpa siapa pencipta kita dan setiap kali hati kita terluka baru kita sedar bahawa hati kita ini milik DIA.

Mengapa harus kita membenci pengalaman lalu, jadikan ia sebagai madu kemanisan walau hakikat ia pahit tetapi itu yang menyebabkan kita bangkit. Ingat, cinta yang sementara itu hanya pinjaman dari DIA untuk menguji kesetiaan dan kekuatan kita pada DIA. Adakah untuk dia yang kita cinta atau melebihkan DIA yang memberi cinta. Tepuk dada tanya hati anda. Cinta itu bukan hanya dinikmati kepada golongan berseluar jeans mahupun berskirt pendek tetapi ia juga turut dirasai oleh insan yang berkopiah putih  dan bertudung labuh. Ada gaya tersendiri. Terpulang pada hati menilai peribadi. Bukan pakaian itu yang salah jika akhlak tidak mengikuti dengan apa yang dipakai tetapi, si pemakai itu yang salah kerana tidak berakhlak untuk mengikutinya.

Cinta itu berkait rapat dengan soal hati. Bagi yang pernah merasainya tahniah diucapkan dan bagi yang sedang merasai atau akan merasai, takziah diucapkan kerana bala menunggu di hadapan andai tiada langsung kawalan. Cinta dalam diam. Mungkin ada yang sedang mengamalkannya. Di pihak lelaki atau perempuan menyukai seseorang itu tanpa pengetahuannya. Jika itu jalan yang anda pilih, teruskan berdoa mungkin itu jodoh anda tetapi usah terlalu berharap kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Perit dan sakit apabila kita mengalami kegagalan dalam bercinta. Tetapi percayalah itu bukan kegagalan tetapi kejayaan buat kita kerana kita tidak lagi berdosa!

Mana lebih kita suka antara malu dengan kawan akibat putus cinta atau malu dengan Tuhan akibat kita terlalu banyak berdosa. Bayangkan kalau dosa itu berbau, pasti tidak ramai yang akan mendekati kita. Cukuplah dosa yang kita ada apabila bercinta dengan makhluk yang bukan sah dengan kita lagi. Mari sama-sama kita bermuhasabah diri. Ada di antara kita yang sudah bercinta bertahun-tahun lamannya dan di dalam tempoh percintaan itu terselamatkah kita dari zina hati, mata, kaki, kemaluan dan tangan? Andai masih terjaga Alhamdulillah. Andai sudah menghampiri ke arah itu Nauzubillah. Bertaubatlah kerana taubat itu sentiasa terbuka luas untuk kita. Ingatlah Allah itu maha berkuasa tetapi Allah tidak zalim, Allah maha penyayang. Allah itu maha kaya tetapi Allah tidak bakhil, Allah maha pemurah.

Kenapa bukan dia jodoh kita? Soalan itu yang sering kita ucap dan keluhkan. Bersabarlah wahai hati yang tenang. Kita sendiri sudah ada jawapannya kerana, DIA telah menetapkan siapa jodoh kita yang sebenarnya. PASti dan PASti! Pernah kita dengar kadang-kadang Allah pertemukan kita dengan insan yang salah bukan untuk membuatkan kita kalah tetapi memberi janji bahawa kita tidak seharusnya mengalah. Kalah bukan bererti kita akan mudah mengalah. Persiapan diri kita sebagai suami/isteri mithali perlu kita lakukan bukan menunggu bila tiba masanya tetapi ia harus segera! Hari ini kita juga sudah kembali memutar sejarah bahkan mengulangi sejarah. Berkahwin pada usia muda. Ya sejarah ini sudah ada bermula dari zaman Nabi sehinggalah zaman nenek moyang kita. Bukankah ia sesuatu yang mulia bahkan menyempurnakan sebahagian dari agama. Namun perlu diingat kalau cinta tiada persediaan dan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu ia pasti tidak akan berkekalan. Wajah yang cantik itu hanya indah ketika muda tetapi apabila usia makin bertambah kecantikan itu akan sirna. Masih adakah erti cinta? Wujudkah lagi istilah setia?

Kemudilah alam ini sebaiknya. Ranjau sudah pasti ada di hadapan. Bagi sahabat yang sudah melalui alam ini, teruskanlah dan tunjukkanlah keindahan cinta yang sebenar bukan menunjuk-nunjuk! Hindari diri dari fitnah manusia. Bagi yang sedang merancang ke arah itu, teruskanlah menyiapkan diri dan berusaha sebaik mungkin. Jalan keredaan itu ada kalanya susah tetapi memerlukan hati yang tabah. Cintailah orang yang tahu mencintai kita bukan mencintai orang yang menunggu dirinya dicintai. ~Secangkir bicara



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...