Labels

Pages

Followers

Thursday, March 7, 2013

Dia...Jodohku



Jodoh akan tiba pada tepat masa, siapa ketika dan di mana. Ia bicara hakikat bukan sekadar pengubat. Yakinlah pada urusan Allah ini. Jodoh itu akan hadir pada kita semua. Teruskan menanti dan mengharap pada si pemberi Jodoh yakni Allah. Persiapkanlah diri untuk jodoh kita nanti agar kita menjadi pembimbing dan pendampingnya.

Jatuh cinta pada seseorang itu, fitrah. Jatuh cinta kerana bernafsu pada seseorang itu, mazmumah dan jatuh cinta pada seseorang untuk menjadikannya isteri atau suami kepada kita itu, adalah amanah! Perasaan ini akan hadir bila kita menginjak usia remaja. Segala kawalan dan pengetahuan perlu ada di dalam habitat cinta ini. Andai kita gugur untuk mentafsirkannya maka akan membawa bencana pada diri kita dan dia. Hakikat cinta itu suci dan ia bermula di syurga. Kisah antara Nabi Allah Adam dan Hawa. Namun, cinta kita pada hari ini, banyak tersasar dan dan lari dari istilah suci itu.

Apa yang dilarang menjadi ikutan dan apa yang disuruh menjadi ejekan. Penangan cinta membuka marahbahaya kita. Saya yakin, ramai di antara kita yang pernah bercinta atau sedang atau akan atau telah bercinta. Saya akui saya juga pernah. Penangannya sungguh bahaya dan amat bahaya. Benar awalnya manis akhirnya sakit seperti hempedu yang terhiris. Ramai di antara kita yang tidak sedar ketika mana saat bahagia bersama pasangan dan adakah kita terfikir selamanya ia akan bahagia. Hakikat kita lupa si pemberi cinta yakni Allah. Apabila terjadi sesuatu perkara di luar jangkaan kita, kita seakan pasrah dan menyalahkan takdir. Takdir yang membuatkan kita menjadi begini. Takdir yang menjadi pemutus antara kita dan dia. Bukan takdir yang salah tetapi kita yang salah mentadbir hati kita. Saya ulangi sebenarnya kita yang salah mentadbir hati kita.

Pahitnya ujian itu bukan menjadi racun dalam kehidupan kita tetapi sebaliknya ia menjadi penawar pada bisa yang kita rasa. Sebagai contoh, apabila kita sakit, kita memerlukan ubat. Ubat itu pahit bukan? Tetapi pahit itulah yang akan melegakan kita. (Cuma nasihat saya jangan kita terlalu bergantung pada ubat kerana banyak kandungan dadah di situ. Barat mencipta ubat yang boleh melemahkan antibodi kita dan menyebabkan kita ketagih pada ubat. Ini hanyalah perumpamaan dari saya). Kesakitan akibat putus cinta boleh menyebabkan kita lemah. Tetapi itu juga akan menjadikan kita seorang yang tabah dan seorang yang akan berubah. Benar. Kita belum terlambat untuk berubah. Berubah menjadi seorang yang lebih matang dan tahu tentang hidup dan kehidupan. Lakukan persediaan untuk masa hadapan kita nanti.

Pesan saya, usah kita menyalahkan bahan ujian dari Tuhan itu tetapi berterima kasih lah kepadanya. Agak sukar tetapi, andai tidak mampu kirimkanlah doa bahagia buat dia. Jangan rasa benci mahupun iri hati. Bahagiakanlah diri kita apabila melihat dia bahagia. Bukan tiada jodoh dengan dia tetapi jodoh itu belum sampai. Bersabarlah. Allah itu yang memberi hati kepada kita. Bagi yang sedang berbahagia dengan pasangan masing-masing. Jagalah dan peliharalah segala apa yang menjadi larangan di dalam percintaan. Andai mampu kita menjauhi dari zina mata, hati, kaki dan tangan. Insya Allah. Allah pasti akan redha tetapi andai kita gagal menjaganya pasti Allah jua akan murka.

Masa bukan menentukan pengakhiran tetapi permulaan itu yang akan menentukan pengakhiran.  Iftitah penentu natijah. Proses memilih jodoh kita itu yang penting. Jika diawalnya kita sudah melalui perkara-perkara yang mendekatkan kita dengan maksiat bersama pasangan kita itu pasti diakhir nanti kita akan memperolehi hidup yang tiada berkat. Ingat dia yang akan menjadi suami dan ayah pada anak kita nanti dan dia juga akan menjadi ibu dan isteri kita nanti. Ketahuilah olehmu wahai putera puteri amanah Ilahi, jangan sesekali kau tukar fitrah itu menjadi fitnah. Ingat taat lebih mudah daripada melakukan maksiat, jika taat itu pedih, sesungguhnya maksiat itu lebih pedih.

Doa dan istikharah pengikat pada datangnya jodoh kita. Kita masih tidak tahu siapa jodoh kita tetapi kita boleh berdoa untuk jodoh yang tidak diketahui oleh kita itu. Teruskanlah berdoa, biar dia tidak tahu kerana kita punya DIA yang maha tahu. “Ya Allah, kurniakanlah aku jodoh yang baik, jodoh yang soleh/solehah.” Istikarah sahaja tidak mencukupi harus diistiqamah dengan doa setiap hari. Tapi apa yang penting perubahan diri kita. Bagaimana nanti jika jodoh kita itu tahu kita orang yang tidak baik. Selagi ada masa berubahlah.

Pimpinan tangan ketika bercinta bukan syarat utama. Bergambar mesra berdua (couple) juga bukan tuntutan agama. Wahai sahabat, tidakkah kita kasihankan pada jodoh kita nanti jika dia tahu dan dia melihat jodohnya itu bergambar mesra bersama pasangan yang dia sendiri tidak tahu pengakhirannya. Andai dosa itu berbau pasti tidak ada orang yang akan mendekati kita. Mari kita ambil contoh makanan. Kita semestinya mahukan makanan yang enak dan tidak terusik oleh sesiapa. Tetapi sanggupkah kita menghabiskan makanan kita itu andai ada kawan kita yang sudah merosakkannya dengan mencampurkan bahan perisa atau rasa yang kita tidak gemari.?

Bersabarlah dengan urusan Allah ini kerana ia pasti akan hadir walau kita tidak sedari. ~Wa ila Rabbika far ghob~. Utamakan amanah kita nanti akan kita iring dengan fitrah cinta yang suci. Jangan kita sibuk memikirkan siapa jodoh kita tetapi sibuklah dengan berfikir apa persiapan kita untuk bakal jodoh kita. Mudah-mudahan bicara kali ini menjadi nasihat buat diri saya terutamanya dan kepada pembaca yang budiman sekalian.~ Secangkirbicara

3 comments:

nurul said...

betul tu .. Allah da tentukan siapa jodoh kita ..

Nur Zulaikha said...

sokong sgt2..

Meis Izz said...

. speechless.... entry "baek punya"..
tuan admin, mintak izin curik pict di atas ea.. TQ

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...