Labels

Pages

Followers

Tuesday, August 6, 2013

Mungkin yang terakhir...



Setiap yang bermula pasti ada pengakhiran. Setiap yang hidup juga pasti akan merasa mati. Apa yang membezakannya adalah detik dan waktu sahaja. Terkadang ia cepat dan terkadang ia lambat untuk menjemput kita bertemu Pencipta kita. Sahabat yang saya sayang kerana Allah, sedarkah kita bulan yang paling mulia yakni bulan Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Terasa cepat waktu berlalu dan terasa lambat pula untuk bertemu Ramadhan pada tahun hadapan. Mudah-mudahan kita dapat bertemu lagi pada bulan itu.

Mari kita merenung diri dan sisi kita. Pada tahun ni adakah kita dapat berpuasa bersama-sama dengan keluarga kita yang tercinta. Mungkin ada di antara kita di uji oleh Sang Pencipta supaya tidak dapat lagi berpuasa bersama dengan ahli keluarga kita. Ada sahabat yang kematian ayah dan bonda tercinta. Mereka pergi buat selama-lamanya. Ada sang suami atau isteri kematian pasangan hidupnya. Itulah lumrah dalam kehidupan. Ibadah puasa perlu diteruskan walau tidak bersama tetapi doa kita pada mereka pengikat ukhwah hingga ke akhirnya. Mungkin sayu tapi ingatlah pesan Allah bahawa banyak ganjaran bagi orang yang sentiasa sabar dan redha dengan setiap ujian Tuhan.

Tahun hadapan adakah kita masih dipilih Allah sebagai tetamu Ramadhan atau tetap menjadi pilihan Allah sebagai penghuni di kuburan. Kita hanya mampu berdoa dan terus berdoa moga ada kebaikan di dalam kehidupan kita. Sekali lagi kita jentik hati kita dengan pertanyaan tahun ini mungkin kita tidak dapat lagi berpuasa bersama kekasih atau cinta hati kita. Kerana apa..kerana sudah menemui noktah dalam percintaan. Ibarat kata pepatah “ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari.” Bagi yang mengalami situasi putus cinta sebelum Ramadhan ini saya ucapkan tahniah kepada anda.  Mungkin anda sudah dapat menjimatkan kredit, air mata dan wang ringgit anda. Namun apa yang penting anda sudah dapat menyelamatkan hati anda dari mencampurkan  nikmat Ramadhan menjadi perkara yang sia-sia. Anda mungkin akan tumpukan sepenuh perhatian anda untuk bertemu dengan pencipta anda. Banyak solat yang anda dapat lakukan pada bulan  ini. Kecewa ubatnya doa.

Jangan risau jika tahun ini anda tidak dapat beraya bersama ‘si dia’ yang anda cinta. Anda sudah selamat dari dosa! Senyum dan syukur!. Orang yang bercinta paling berbahagia ketika hari raya persis suami isteri yang menyambut raya. Sebulan menahan diri dari bersentuhan tapi hari raya kembali beriringan dan berdua-duan. Segala yang haram menjadi halal. Hakikat puasa itu menahan diri dan hakikat Aidilfitri itu ialah menyambut kemenangan bukan meraikan ulang tahun percintaan yang tiada batasan. Andai dosa itu sebusuk tahi sudah pasti ramai yang akan menjauhi kita hatta kekasih yang kita sayang itu pun akan pergi meninggalkan kita.

Di penghujung Ramadhan ini mari kita berbicara dengan hati kita adakah kita sudah berubah atau masih sama seperti dahulu. Maksiat terus menerus dilakukan. Solat masih tidak terjaga dan masih menderhaka kepada ibu bapa. Jika kita masih seperti dahulu pintalah pada Tuhan moga dikurniakan hati yang baru. Hati yang suci dan senantiasa mengingati Tuhan. Alangkah ruginya kita jika Ramadhan ini hadir kemudian berlalu tetapi kita masih seperti dahulu tidak berubah dan tidak langsung merasai bahawa Allah itu satu!

Soal pada diri, pada bulan yang mulia ini adakah kita banyak membaca mesej dari kekasih atau banyak membaca surat cinta dari Allah yang maha pengasih! Bisik juga pada jiwa, pada bulan yang mulia ini adakah kita banyak menangis kerana Dia atau dia yang kita tidak tahu pengakhirannya. Kita mencari suatu yang pasti. Kita percaya pada kehidupan selepas mati yakni Alam akhirat, kita juga yakin bahawa Allah itu ilahi tetapi mengapa kita masih tuli. Tuli dari menerima cinta yang hakiki. Buta dari melihat kehidupan yang suci dan asyik dengan kenikmatan duniawi. Jadikanlah nabi sebagai ikutan dan pendamping diri. Kita insan yang lemah janganlah dilemahkan lagi dengan kebodohan kita yang tidak tahu erti dosa dan pahala.

Ingatlah di neraka itu makanannya bukan seperti yang terdapat di bazar Ramadhan. Menunya berbeza dan rasanya bertambah sengsara. Darah, Nanah, Besi panas yang mendidih, pokok berduri dan segala benda yang kotor menjadi minuman dan makanan kita di sana nanti. Tutuplah Ramadhan ini dengan pintu Taubat kerana Taubat itu ubat dari maksiat! Mudah-mudahan kita semua mendapat sedikit cahaya pada penulisan kali ini. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua sahabat yang berpuasa dan maaf zahir dan batin kepada sahabat yang tidak berpuasa.=)

2 comments:

Izz said...

Very well said...Alhamdulillah

Izz said...

Very well said...Alhamdulillah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...